Moving Forward As One

Saintis Berjaya Cipta Vaksin Jenis Pil?

1,290

Ketika ini, pengambilan vaksin termasuk Covid-19 dibuat melalui kaedah suntikan. Tetapi banyak entiti di seluruh dunia sedang bereksperimen dengan kaedah pengambilan vaksin baru yang mesra pengguna. Ini termasuk pengambilan melalui alat sedut atau dalam bentuk pil.

Salah satu syarikat yang bereksperimen dengan idea alat sedut vaksin ialah Iconovo. Firma ini bekerjasama dengan firma penyelidikan imunologi baru ISR, firma sama yang menghasilkan vaksin Covid-19 berbentuk serbuk. Tidak seperti vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer, Moderna dan AstraZeneca yang menggunakan kod DNA atau RNA protein virus, vaksin ISR berasaskan protein virus Covid-19 dan boleh bertahan dengan suhu setinggi 40°C.

Rajah 1: Ahli kimia Iconovo, Ingemo Andersson menunjukkan contoh alat sedut vaksin Covid-19 keluaran syarikat. Sumber: BBC

Ini sama sekali berbeza dengan protokol simpanan vaksin Covid-19 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana kebanyakan vaksin berbentuk cecair. Ia perlu disimpan dalam bebuli kaca khas dalam suhu serendah -70°C sebelum dipindahkan ke peti sejuk. Sekiranya protokol ini gagal dipatuhi, vaksin akan hilang keberkesanannya dan tidak boleh digunakan semasa sesi vaksinasi.

Pengasas ISR merangkap profesor imunologi dari Institut Karolinska, Ola Winquist melihat vaksin berbentuk serbuk ini bakal mengubah pengedaran dan pengambilan vaksin. Ini kerana menurut Profesor Winquist, ia tidak akan dikekang dengan keperluan suhu simpanan dan boleh diambil tanpa memerlukan kehadiran pengamal kesihatan.

Ketika ini, vaksin ini sedang diuji keberkesanannya terhadap varian Beta (Afrika Selatan) dan Alpha (United Kingdom) Covid-19. Begitupun, keberkesanannya masih lagi belum teruji termasuk tahap perlindungan sama dengan vaksin lain yang diluluskan WHO. Ia masih lagi di peringkat ujian percubaan haiwan tetapi ISR dan Iconovo telah mendapat dana mencukupi untuk fasa percubaan manusia untuk tempoh dua bulan akan datang.

Tetapi rakan sekerja Winquist, Profesor Stefan Swartling Peterson percaya sekiranya vaksin ini terbukti keberkesanannya, maka ini menunjukkan ia boleh mempermudah pengedaran vaksin ke banyak negara termasuk negara-negara miskin. Selain itu dari segi alam sekitar, ia tidak memakan kos elektrik yang banyak dari segi penyimpanan peti sejuk. Dan paling penting, ia amat berguna bagi individu yang mempunyai fobia terhadap jrum.

Rajah 2: Profesor Stefan Schwartling Peterson. Sumber: BBC

Selain vaksin berbentuk serbuk, Swartling Peterson turut menyebut nama sebuah lagi firma baru pembuat vaksin iaitu Ziccum. Ziccum sedang menguji teknologi yang direka untuk mengeringkan udara membabitkan vaksin sedia ada atau vaksin terbaru Covid-19 tanpa menjejaskan keberkesanannya.

Ini sudah pasti memudahkan usaha mewujudkan kemudahan pengisian dan pembotolan vaksin di negara-negara membangun. Ini sekaligus membolehkan negara-negara ini dapat menyudahkan proses akhir pembuatan vaksin di negara masing-masing. Serbuk vaksin akan dicampur dengan air suling sebelum dimasukkan dalam jrum sntikan dan diberi kepada penerima vaksin.

Begitupun, menurut jurucakap pertubuhan Perikatan Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI), Ingrid Kromann, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan. Ini termasuk memperkemas dan meningkatkan skala pembuatan vaksin sebegini. Tetapi jika berjaya, ia dapat mengurangkan pembaziran, memberi lebih banyak akses kepada negara-negara membangun dan mengurangkan kos pembuatan vaksin itu sendiri.

RUJUKAN:

Savage, Maddy. (2021). Could Covid vaccine be taken as a pill?. BBC News.

Ruangan komen telah ditutup.