Sains Disebalik Rumah Tradisional Melayu

1,214

Bangsa Melayu ini kaya dengan sejarahnya yang tersendiri dari sebagai pembina empayar hinggalah kehalusan budaya dan budi masyarakatnya. Justeru, tidak hairanlah mengapa bila kita menyelami semula sejarah bangsa kita, sudah pasti banyak kejutan yang menarik seperti keupayaan pembinaan kubu dan kota yang utuh hinggalah taktik perang biologi yang sudah dipraktikkan dalam peperangan. Namun, semua itu tidak mengatasi kehalusan seni bina kediaman Melayu di mana ia turut mengandungi unsur saintifik dan falsafah yang terus relevan sepanjang zaman.

Pertamanya, dari segi susun atur ruang rumah. Susun atur sesebuah rumah Melayu tradisional melambangkan sosiobudaya Melayu. Bahagian serambi selalunya diletakkan di bahagian hadapan di mana ia berperanan sebagai ruang menyambut kedatangan tetamu.

Sementara bahagian utama rumah atau rumah ibu merupakan ruang utama bagi aktiviti kekeluargaan dan keraian. Ini berikutan ia bersesuaian dengan sikap masyarakat Melayu yang amat menghargai kedatangan tetamu. Pada masa sama, ia juga dapat membantu menjaga privasi tuan rumah kerana tetamu hanya berkumpul di situ dan tidak akan berani masuk ke ruang lain rumah kecuali dengan kebenaran tuan rumah.

Sementara bagi rumah Melayu tradisional yang mempunyai susun atur jenis berkembang, susun atur ini mempunyai selang atau jambatan penghubung antara ruang dalam rumah. Ia selalunya diletakkan antara rumah ibu dengan dapur bagi memudahkan kaum Hawa bergerak dari kedua-dua arah semasa kenduri-kendara di sesebuah rumah diadakan. Manakala bilangan bilik pula bergantung kepada bilangan ahli keluarga dalam isi rumah berkenaan.

Ia boleh ditambah atau dikurangkan mengikut keperluan sesebuah keluarga. Ada juga rumah tradisional yang mempunyai penghadang setinggi 0.4 meter yang memisahkan rumah ibu dengan serambi. Penghadang ini bertujuan melambatkan kehadiran musuh dan membenarkan tuan rumah melarikan diri atau bersedia mempertahankan diri.

Sementara geta atau lantai yang ditinggikan merupakan satu ruang khas untuk berehat atau tidur. Ciri yang terdapat pada Rumah Serambi Pahang ini bertujuan melindungi penghuninya dari ancaman bahaya termasuk ancaman musuh. Dengan struktur yang kuat dan kedudukannya jauh dari lantai, ia menyukarkan pihak musuh yang cuba menikam tuan rumah dari arah bawah rumah dengan tombak atau lembing.

Manakala kolong digunakan sebagai ruang serbaguna untuk pelbagai perkara dari aktiviti kenduri-kendara hinggalah aktiviti seharian seperti penyimpanan peralatan dan hasil tuaian. Bila berlakunya musim tengkujuh, kolong digunakan sebagai ruang menyidai pakaian yang dibasuh dan tempat para nelayan membaiki jala mereka bila tidak turun ke laut.

Ruang loteng yang dijumpai di rumah-rumah Melayu tradisional termasuk di Negeri Sembilan selalunya digunakan sebagai bilik ahli keluarga lelaki yang masih bujang dan tidak sesuai untuk kegunaan ahli keluarga wanita kerana terlalu curam. Ada masanya, ia juga digunakan sebagai stor simpanan makanan dan tempat persembunyian ahli keluarga wanita dari ancaman musuh.

Dari segi binaan pula, kediaman Melayu tradisional turut mengaplikasikan teknik pasak dan tanggam dalam proses pembinaannya. Kedua-dua bahan ini menjadi pilihan pembina Melayu terdahulu kerana ia dapat menjadikan sesebuah bangunan atau rumah kukuh tanpa memerlukan penggunaan paku.

Apabila sesebuah rumah Melayu dibina, struktur tiang utama atau tiang seri dinaikkan terlebih dahulu. Ini disusuli dengan pemasangan rasuk panjang dan rasuk pendek bagi mengikat kedudukan tiang seri kepada tiang-tiang sokongan yang lain.

Setelah itu selesai, lantai sementara akan dipasang bagi membolehkan pembina rumah memasang alang panjang, alang pendek, tunjuk langit, alang muda dan tulang bumbung. Selepas semua alang berjaya dipasang, komponen bumbung pula akan dipasang dengan perletakan kasau jantan dan kasau betina. Bila kedua-duanya siap dipasang, barulah atap dan tebar layar dipasang. Akhir sekali, barulah komponen lain rumah seperti tingkap, jendela, pintu dan perhiasan rumah dipasang bagi melengkapkan pembinaan rumah Melayu tradisional.

Sekali imbas, ia nampak seperti kolot dan ketinggalan zaman. Tetapi hakikatnya, teknik pembinaan Melayu tradisional ini merupakan versi Nusantara dan terawal bagi Sistem Binaan Berindustri (IBS). Ini kerana teknik ini lebih mapan berbanding binaan moden kerana ia dilihat dapat menyelesaikan permasalahan banjir yang selalu melanda sesetengah kawasan semasa musim tengkujuh.

Selain itu, rumah Melayu tradisional juga boleh dileraikan, dipasang semula dan dipindahkan melalui kaedah lerai dan pasang semula atau mengangkat keseluruhan struktur rumah ke lokasi baru dengan cara bergotong-royong. Kaedah pemindahan ini turut menjelaskan mengapa pembina Melayu terdahulu memilih bahan binaan yang bersifat ringan tetapi utuh kualitinya.

Konsep rumah tradisi Melayu juga bersifat mesra alam kerana menyambungkan elemen manusia dengan alam melalui amalan Pokok Anak. Amalan ini merujuk kepada setiap kali sesebuah keluarga menyambut kelahiran anak, mereka akan menanam dua benda iaitu sebatang pokok dan uri.

Mengikut kepercayaan Melayu, pokok itu bukan hanya penanda kelahiran anak tapi juga ditanam bagi menggantikan pokok yang ditebang untuk dijadikan rumah bagi anak terbabit. Ia merupakan simbolik kesinambungan alam dan manusia yang berkait serta saling memerlukan.

Pelan dan susun atur rumah Melayu tradisional. Sumber: https://www.majalahsains.com/rumah-tradisional-melayu-antara-seni-sains-kuno-realiti/

Logiknya, binaan moden nampak utuh dari segi ketahanannya tetapi ia tidak boleh beradaptasi dengan iklim dan cuaca sesebuah tempat. Dan ini satu kelebihan yang dapat dilihat pada rumah Melayu tradisional. Lantai tinggi bertiang yang menjadi sebahagian daripada identiti rumah Melayu tradisional bukan sekadar menawarkan perlindungan keselamatan penghuninya dari ancaman musuh dan binatang buas.

Bahkan, ia juga dapat mengekalkan keselesaan terma dalaman sesebuah rumah. Bila angin masuk dari bawah rumah, ia dapat memasuki rumah menerusi lantai yang dipasang dengan kayu lantai jarang. Keadaan ini amat ideal untuk membantu proses penukaran dan peredaran udara.

Contoh lantai tinggi bertiang pada sebuah rumah kutai di Perak. Sumber: https://www.hmetro.com.my/node/181077

Memandangkan di sesetengah tempat dilanda musim tengkujuh, ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mengeringkan tanah yang basah bila berlakunya hujan lebat atau banjir. Justeru menerusi lantai tinggi bertiang, ia membuka ruang pencahayaan yang diperlukan untuk mengeringkan tanah di bawah rumah.

Dan melihat kepada logik lantai tinggi bertiang, maka munasabah juga memikirkan ia lebih tinggi bagi rumah di utara Semenanjung Malaysia berbanding di selatan Semenanjung Malaysia. Hal ini kerana kejadian banjir kerap berlaku di situ dan konsep lantai sebegini dilihat bersesuaian dalam menangani ancaman bencana alam itu.

Jika anda perasan, bila anda berada di rumah Melayu tradisonal, anda akan merasa lebih nyaman dan sejuk berbanding dalam binaan moden yang dilengkapi dengan penghawa dingin. Hal ini terjadi berikutan jumlah bukaan atau jendela rumah sebegini banyak dan menyeluruh dari paras lantai sehingga hampir ke siling rumah.

Ketinggian bukaan ini sangat sesuai kerana ia berada pada paras badan penghuni. Ini kerana dengan mengambil kira faktor keluasan bukaan, jumlah tingkap yang banyak dan ukiran tembus di atas tingkap, ia dilihat mampu meningkatkan peredaran udara yang merentas rumah tersebut.

Dari situ, ia akan mengaktifkan proses peredaran udara sejuk dan penyaluran keluar udara panas di dalam rumah. Ukiran tembus bukan sekadar berperanan sebagai perhiasan rumah dan membantu proses peredaran udara tetapi juga membantu proses pencahayaan rumah.

Mahkota kecantikan rumah Melayu tradisional sudah tentu bumbungnya yang unik. Namun, bumbung yang dikenali sebagai bumbung cerun bertingkat ini turut berfungsi menyalurkan udara panas keluar dari rumah melalui rongga antara bumbung atas dan bawah.

Rongga ini membenarkan peredaran udara panas keluar yang terperangkap di ruang dalam bumbung melalui kaedah kesan timbunan. Sementara penggunaan bahan binaan ringan seperti atap nipah membantu menyejukkan bahagian atas bumbung kerana atap jenis ini mempunyai kapasiti terma yang rendah.

Bahan ini tidak menyimpan haba dan menyejuk serta-merta apabila cuaca redup. Di sesetengah kediaman, ada juga yang menggunakan tebar layar berongga di mana ia turut mempunyai fungsi sama dengan bumbung cerun bertingkat.

Contoh bumbung cerun bertingkat pada Rumah Penghulu Haji Ismail bin Khatib Bakar di Pahang.

Unjuran bumbung rumah tradisional yang panjang membantu melindungi rumah dan tingkap daripada pancaran terik matahari dan tempias air hujan lebat. Perlindungan yang diberikan oleh unjuran bumbung ini membolehkan tingkap dan bukaan sentiasa dibuka tanpa mengira keadaan cuaca hari itu. Ini sekaligus menjadikan rumah tradisional ini terus kekal nyaman tanpa perlu bimbang dengan gangguan cuaca.

Atas sebab inilah, jika reka bentuk tradisi ini digabungkan dengan elemen pembinaan moden, ia bukan saja sesuai dengan iklim cuaca negara. Malah, ia secara tidak langsung memberi nafas baru kepada reka bentuk tradisi rumah Melayu untuk terus kekal malar hijau dan menjadi inspirasi kepada generasi mendatang.

RUJUKAN:

1. Iszahanid, Hafizah. (2016). Anak dara disembunyikan di loteng rumah. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/node/184827

2. Harian Metro. (2016). Fungsi loteng. https://www.hmetro.com.my/node/186345

3. Tun Tuah, Ifwan. (2016). Rumah 150 tahun masih teguh. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/node/138998

4. Mohd Sahabuddin, Mohd Firrdhaus. (2016). Rumah Tradisional Melayu: Antara Seni, Sains & Realiti. Majalah Sains. https://www.majalahsains.com/rumah-tradisional-melayu-antara-seni-sains-kuno-realiti/

5. Utusan Malaysia. (2015). Rumah Serambi Pahang tonjol kreativiti Melayu. https://www.utusan.com.my/rencana/utama/rumah-serambi-pahang-tonjol-kreativiti-melayu-1.76952

6. Utusan Malaysia. (2015). Rumah tradisional miliki sejarah tersendiri. https://www.utusan.com.my/rencana/utama/rumah-tradisional-miliki-sejarah-tersendiri-1.76942

7. Wan Alias, Wan Noor Hayati. (2016). Bumbung bertingkat rumah Melayu, bukti pelopori ilmu sains. Berita Harian. http://www.bhplus.com.my/node/152361

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.