Sains Disebalik Mobile Suit Gundam

0
1369
views

Mobile Suit Gundam merupakan siri sains fiksyen anime popular dari Jepun yang memaparkan robot-robot gergasi dikendalikan oleh manusia. Gundam menjadi perintis kepada genre robot gergasi realistik bertemakan ketenteraan. Genre ini lebih dikenali dalam kalangan penggemar anime sebagai mecha ataupun lebih spesifik dikategorikan sebagai Real Robot. Gundam mula ditayangkan pada 7 April tahun 1979 dan sepanjang tempoh tersebut, ia telah berkembang menjadi sebuah nama yang cukup dikenali di seluruh dunia.

Pengaruh Gundam di dalam masyarakat Jepun sangat meluas apabila jenama itu digunakan sebagai inspirasi oleh syarikat-syarikat besar seperti Mitsubishi, Isuzu dan Nissan dalam mereka bentuk produk mereka. Agensi-agensi kerajaan juga tidak ketinggalan dalam menggunakan jenama Gundam terutama sekali agensi ketenteraan serta pasukan bomba dan penyelamat. Ternyata Gundam memberikan kesan budaya yang mendalam kepada penduduk Jepun apabila ia digelar sebagai “Star Trek of Japan” berikutan legasi yang ditinggalkan siri anime popular ini.

Sepanjang lebih kurang 4 dekad, Gundam berjaya mewujudkan lebih dari 18 siri televisyen, 27 buah filem (termasuklah Original Video Animation (OVA)), dan lebih kurang 16 buah manga. Gundam mampu berjaya bertahan sehingga ke sekarang kerana kebanyakan siri-siri televisyennya membawa tema yang berat dan membincangkan perkara-perkara penting seperti falsafah peperangan dan juga penggunaan kanak-kanak dalam medan tempur. Tidak kurang dari itu, Gundam juga cuba untuk mengetengahkan konsep dan teknologi yang realistik bersandarkan kepada teori sains yang nyata (antara sebab kenapa ia dikategorikan sebagai Real Robot). Rencana ini akan cuba membedah konsep-konsep sains yang dibawa oleh siri popular ini dan sejauh manakah praktikalitinya di alam nyata.

1) Konsep Fizik Minovsky

Siri pertama Gundam diletakkan dalam era fiksyen yang dinamakan sebagai Universal Century (UC). Ia merupakan penanda bagi permulaan era manusia mula hidup di angkasa. Ketika era ini wujud pelbagai koloni angkasa yang dihuni oleh berjuta manusia. Kebanyakan teknologi pada era ini dikatakan berpunca oleh penemuan seorang saintis bernama Trenov Y.Minovsky. Menurut sejarah dunia Universal Century, professor Minovsky merupakan orang yang bertanggungjawab membangunkan teknologi pelakuran nuklear pada suhu bilik (Cold Fusion).

Teknologi itulah yang membolehkan Minovsky dan rakan sekerjanya,Ionesco untuk membangunkan reaktor pelakuran nuklear (Minovsky-Ionesco Reactor) pada saiz yang kecil. Saiz yang kecil inilah yang menjadi pemangkin kepada perkembangan teknologi ketika itu dan membolehkan wujudnya teknologi-teknologi seperti Mobile Suit dan juga kapal angkasa. Ketika mereka melakukan ujikaji, Minovsky telah mengesan kesan gelombang elektromagnet di dalam teras reaktor tersebut.

Kewujudan gelombang elektromagnet itu tidak dapat dijelaskan melalui fizik konvensional. Oleh kerana itulah Minovsky meramalkan yang wujudnya partikel sub-atomik yang istimewa yang terhasil dari reaksi lakuran Helium dan mewujudkan gelombang elektromagnetik tersebut. Beberapa tahun selepas itu, selepas beberapa siri ujikaji, partikel yang diramalkan itu akhirnya dijumpai dan dinamakan sebagai Partikel Minovsky.

Partikel Minovsky merupakan asas kepada banyak lagi teknologi di era UC. Wujudnya partikel ini membolehkan senjata-senjata seperti senapang laser dan pedang laser (lightsaber) dibina. Selain itu, keistimewaan partikel ini digunakan dalam berbagai aplikasi antaranya sebagai pengadang radar dan penghalang komunikasi menjadikan ia sebagai teknologi utama yang digunakan oleh pihak ketenteraan di era UC.

Jadi sejauh manakah realistiknya konsep fizik Minovsky ini? Ye, jika dilihat pada dasarnya, memang teknologi yang dipamerkan di dalam era UC ini bagaikan berpijak di bumi yang nyata. Tapi jika diselidiki dengan lebih mendalam, konsep ini bagaikan sembang binatang terbang. Konsep-konsep seperti Cold Fusion (pelakuran nuklear pada suhu bilik) memanglah benar dan pernah dihipotesiskan oleh para saintis,namun sehingga sekarang tiada sebarang percubaan cold fusion pun yang berjaya. Lebih-lebih lagi apabila melihatkan yang proses Cold Fusion dalam UC menghasilkan partikel Minovsky. Proses pelakuran Cold Fusion tidak mampu menghasilkan partikel seumpama partikel Minovsky dan ianya merupakan konsep rekaan semata-mata.

Gambar 2: Banagher Links, seorang Newtype
Sumber: https://ghostlightning.wordpress.com/2012/05/29/the-purpose-of-possibility-what-mobile-suit-gundam-unicorn-does-for-the-universal-century-narrative-the-first-of-three-posts-on-mobile-suit-unicorn-05/

2) Konsep Newtype dan Evolusi Manusia

Sepanjang 40 tahun penyiaran, Gundam telah mempamerkan jalan cerita fiksyen dari berbagai era. Dari Universal Century sehinggalah ke Post-Disaster Era, setiap daripadanya memaparkan jalan cerita yang kompleks serta konsep sains yang pelbagai. Namun, kebanyakan dari siri Gundam ini ada memaparkan satu konsep yang sama yang menjadi batu asas penceritaan,iaitu konsep evolusi manusia di angkasa. Universal Century dengan konsep Newtype, Cosmic Era dengan konsep Coordinator serta SEED, dan Anno Domini dengan konsep Innovator. Kesemuanya membawa mesej yang sama, yang manusia akan berevolusi apabila menetap tinggal di angkasa dalam tempoh masa yang lama.

Waqaf Saham

Konsep ini dijelaskan dengan panjang lebar melalui naratif Mobile Suit Gundam. Konsep Newtype yang diperkenalkan itu juga menjadi asas dan punca konflik di dalam dunia UC. Menurut konsep tersebut, manusia yang menetap dan tinggal di koloni angkasa lebih cepat berevolusi dan lebih hebat fisiologinya daripada manusia yang kekal menetap di Bumi. Newtype berevolusi dengan lebih mampan sehingga mampu membentuk keupayaan telekinesis dan mampu berkomunikasi menggunakan minda (saya tahu bunyinya mengarut). Cosmic Era yang dipamerkan dalam Gundam Seed juga memperkenalkan konsep Coordinator, manusia yang telah diubahsuai genetiknya bagi menghasilkan manusia sempurna tanpa sebarang cacat cela.

Konsep sains Newtype yang dibawa oleh siri Gundam ini ada benarnya. Ramai saintis sudah mengeluarkan hipotesis bahawa manusia mumgkin akan berevolusi apabila menetap di angkasa. Ini kerana pertukaran persekitaran dan juga keadaan di angkasa yang berlainan dengan bumi (seperti ketiadaan graviti dan atmosfera yang bersesuaian) akan menyebabkan manusia berevolusi bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan di angkasa. Namun, keterlaluanlah jika manusia itu berevolusi sampai mampu membentuk keupayaan telekinesis. Ia hanya penambah perisa yang dikelolakan oleh pencipta Gundam bagi merancakkan lagi jalan cerita.

Gambar 3: Rajah gambaran GN Drive yang digunakan dalam Gundam 00
Sumber: https://theartofmh.deviantart.com/art/GN-Drive-Exploded-View-713636446

Mobile Suit Gundam 00 merupakan antara siri gundam yang popular di kalangan peminat. Ia diletakkan dalam garis masa Anno Domini (sama dengan garis masa dunia nyata). Gundam 00 merupakan siri Gundam yang pertama mempamerkan watak orang Islam sebagai watak utama (Heroin-nya pun orang Islam). Siri ini juga banyak menyentuh tentang konflik di Timur Tengah yang tidak berkesudahan. Konsep sains yang diperlihatkan dalam siri ini juga tidak kurang hebatnya. Gundam 00 berkisar tentang 5 Gundam yang hebat yang ditugaskan sebagai pengaman dan mampu menggugat kekuatan ketenteraan kesatuan negara-negara besar. Ini semua boleh dicapai kerana Gundam tersebut dilengkapi dengan teknologi GN (Gundam Nucleus) Drive.

GN Drive merupakan reaktor solar yang menggunapakai konsep pereputan Baryon sebagai penggerak penjanaan kuasa. Pereputan Baryon, seperti yang dihipotesiskan oleh para saintis menghasilkan foton gamma yang boleh dijadikan sebagai sumber tenaga,dan disebabkan reaksi pereputan Baryon menghasilkan kembali proton, proses itu boleh terjadi berulang kali membentuk reaktor dengan sumber tenaga tanpa batasan. Namun begitu, proses pereputan Baryon mempunyai separuh hayat (half-life) sehingga 10^36 tahun. Bagaimana hendaknya penjanaan tenaga itu dapat dimanfaatkan jika ia mengambil masa yang terlalu lama?

Di dalam Gundam 00, dikatakan proses pereputan Baryon tersebut dimangkin (catalyse) oleh partikel yang dipanggil sebagai magnetic monopoles. Magnetic Monopoles merupakan salah satu dari partikel yang dicari-cari oleh saintis kerana ia merupakan salah satu daripada kunci bagi mencari kesamarataan di antara 4 daya utama alam semesta (graiviti, elektromagnet, daya lemah dan daya kuat).Saintis meramalkan yang magnetic monopoles boleh memangkin proses pereputan Baryon dan mempercepatkan proses pereputan itu menjadi sekelip mata. Magnetic Monopoles pula katanya hanya boleh didapati di dalam kawasan yang bergraviti tinggi. Disebabkan itulah naratif Gundam 00 mengatakan yang GN Drive hanya boleh dibuat di planet Musytari.

Walaubagaimanapun, konsep magnetic monopoles dan juga pereputan Baryon masih lagi teori. Tiada lagi eksperimen lengkap yang dapat membuktikan kedua-dua fenomena ini sama ada benar-benar berlaku ataupun tidak. Lebih-lebih lagi apabila dikatakan yang proses pereputan Baryon ini menghasilkan GN Partikel yang mampu memberi daya angkat. Konsep GN Drive ini walaupun mempunyai asasnya tapi sengaja dilebihkan dan ditambah rencah bagi mencantikkan penceritaan.

Rumusan

Siri sains fiksyen yang bersandar pada fakta sains sebenar bukanlah perkara yang baru. Ia telah wujud lama sejak penulis prolifik Isaac Asimov masih tekun berkarya lagi (tahun 1940-an). Isaac Asimov dengan konsep 3 Hukum Robotik, Star Trek dengan konsep teleportasi dan warp drive, dan juga Star Wars dengan konsep hyperdrive. Banyak juga konsep-konsep yang diramalkan oleh siri sains fiksyen ini yang telahpun menjadi kenyataan, seperti iPad yang pernah ditunjukkan dalam Star Trek, Heads-up Display yang pernah ditunjukkan dalam Minority Report dan banyak lagi.

Jadi tidak hairanlah jika Gundam menggunapakai konsep sains sebenar sebagai asas penceritaan. Sains fiksyen merupakan antara medium yang bagus bagi kita untuk mengenali konsep-konsep sains ini dengan lebih dekat. Kerana sambil kita berhibur, kita mengambil pengajaran dan menambah ilmu pengetahuan.

Rujukan:

Biberian, Jean-Paul (2007), “Condensed Matter Nuclear Science (Cold Fusion): An Update” International Journal of Nuclear Energy Science and Technology

Ritter, Stephen K (2016), “Cold fusion died 25 years ago, but the research lives on” Chemical and Engineering News

Francis,Matthew (2015), “Do protons decay?: Is it possible that these fundamental building blocks of atoms have a finite lifetime?” Symmetry Magazine

Callan,Curtis (1983), “The Proton Decay — Magnetic Monopole Connection” AIP Conference Proceedings