Sains Disebalik Letak Kain Basah Atas Kepala Waktu Demam (Jaram)

871

Pernahkah anda terdengar perkataan “jaram”, yang mana sewaktu kita masih kecil dahulu, apabila kita demam, pasti ibu atau ayah kita meletakkan sehelai tuala atau kain yang dibasahkan pada bahagian dahi kita, dengan tujuan untuk menurunkan suhu badan kita yang sememangnya tinggi sekiranya kita demam.

Daripada aspek perubatan, perbuatan ini kita panggil sebagai tepid sponging, iaitu satu cara untuk menurunkan suhu badan seseorang pesakit yang demam. Selalunya, seseorang itu akan membuka baju pesakit, dan kemudiannya meletakkan tuala yang dibasahkan di bahagian dahi, dada dan ketiak. Kaedah ini juga digunapakai dalam rawatan seseorang di hospital.

Terdapat beberapa kajian klinikal yang diterbitkan, dan mengikut pada National Institute for Clinical Excellence atau NICE dalam satu garis panduan pada tahun 2007, mereka tidak menggalakkan tepid sponging ini dilaksanakan pada pesakit yang sedang demam, kerana kajian mereka mendapati bahawa kaedah ini yang mana membuka baju pesakit dan mendedahkan mereka pada suhu di persekitaran akan menerukkan lagi keadaan pesakit.

Dalam satu kajian klinikal di mana mereka membandingkan kesan tepid sponging dengan ubat demam yang bernama paracetamol, sememangnya, pada satu jam pertama, perbuatan tepid sponging ini menurunkan suhu lebih cepat berbanding dengan menggunakan paracetamol, namun, 6 jam kemudian, mereka mendapati suhu badan pesakit yang makan ubat paracetamol mempunyai perbezaan yang signifikan berbanding suhu badan pesakit yang dilakukan tepid sponging.

Walau bagaimanapun, untuk sesetengah pesakit di Malaysia ini khususnya, mereka yang tidak mempunyai ubat paracetamol cecair ini tiada cara lain untuk merawat selain daripada tepid sponging. Pada pendapat saya, kaedah ini walaupun tidak digalakkan untuk dilakukan di hospital, tetapi kaedah ini sesuai jika kita lakukan di rumah.

Cuma, terdapat beberapa teknik dan kaedah yang betul untuk melakukannya, serta anda perlu memahami bagaimana mekanisma tepid sponging ini berlaku, yang telah saya senaraikan dibawah ini

  • Pastikan anda mengelap badan pesakit dengan tuala basah, bukan meninggalkan tuala tersebut di atas dahi pesakit. Jika anda tinggalkan tuala tersebut di atas dahi pesakit, itu bukanlah digelar sebagai tepid sponging.
  • Kaedah ini menggunakan konsep penyejatan air di atas kulit pesakit. Disebabkan suhu di Malaysia ini bersifat tropikal, maka, mekanisma sebenarnya adalah dengan menyapu air dan meninggalkan satu lapisan air di permukaan kulit. Air ini akan mengalami penyejatan, yang mana proses ini memerlukan haba yang datang daripada suhu persekitaran dan juga haba daripada badan pesakit yang panas akibat demam. Jadi, itulah sebabnya mengapa perbuatan meninggalkan tuala basah di atas dahi tidak akan menunjukkan keberkesanan dalam menurunkan suhu badan pesakit.
  • Jangan gunakan air yang sejuk, sebaliknya, gunakan air yang bersuhu bilik sahaja. Kajian mendapati bahawa penggunaan air yang lebih sejuk tidak akan menurunkan suhu badan pesakit dengan lebih cepat, sebaliknya, mereka mendapati bahawa tiada perbezaan yang signifikan diantara penggunaan air panas, air bersuhu bilik dan air yang sejuk.
  • Penggunaan air yang sejuk, seperti ada sesetengah orang menyangka bahawa dengan cara mandi dengan air sejuk akan mengurangkan demam sebaliknya akan menyebabkan saluran darah di kulit pesakit mengecut kerana respond terhadap suhu yang turun secara mendadak. Hal ini akan menyebabkan refleks badan kita, iaitu mengumpulkan lebih banyak haba kerana terlalu sejuk, yang mana akan menyebabkan pesakit mengalami peningkatan suhu badan dengan lebih teruk selepas itu.
  • Jangan buka baju pesakit, atau meletakkan pesakit di bawah selimut tebal (overdressed and underdressed) kerana hal ini tidak akan menyebabkan penurunan suhu badan lebih cepat berbanding dengan seseorang yang berpakaian seperti biasa, terutama sekali pada kanak-kanak.

Kini, kita mempunyai pelbagai bahan yang dikatakan dapat menurunkan suhu badan daripada luar (externally) seperti produk berubat yang didakwa boleh menurunkan suhu badan pesakit dengan cara melekatkan produk tersebut di kepala. Sememangnya, konsep yang sama dipakai dengan tepid sponging ini, cumanya, perbezaannya adalah dari segi cara penyejukkan badan kita, iaitu dengan menggunakan bahan seperti menthol, yang berangin dan membuatkan kita berasa sejuk.

Apapun, sekiranya demam seseorang itu tidak terkawal, saya ingin mencadangkan supaya anda membawa pesakit berjumpa dengan doktor. Penggunaan pil paracetamol juga digalakkan untuk pesakit luar, yang mana keberkesanannya telah terbukti, disamping mempunyai kesan sampingan yang amat sedikit (tidak seperti yang didakwa oleh sesetengah penjual-penjual ubat-ubatan yang tidak bertauliah).

Kerosakkan hati akibat paracetamol ini hanya akan berlaku sekiranya anda mengambilnya dalam kuantiti yang banyak, dan menggunakannya setiap hari selama berbulan-bulan. Juga, nasihat yang saya berikan di sini tidak boleh digunapakai sekiranya bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh seorang doktor yang merawat anda memandangkan artikel ini bersifat general dan tidak boleh digunakan sebagai konsultasi.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.