Sains Disebalik Ayam Bertelur

510

Kesemua jenis haiwan daripada ‘keluarga’ burung dan ini termasuklah ayam, membiak dengan cara menghasilkan telur, atau terma saintifiknya (“oviparous”), demi menjamin kelangsungan spesiesnya.

Tetapi, apabila pembiakan melalui penghasilan telur atau oviparous ini dilihat dari perspektif kebolehan-hidup atau ‘survival’, terserlah kekurangan padanya. Oleh kerana, telur yang dihasilkan terdedah kepada bahaya dan berisiko dimakan oleh pemangsa.

Walaubagaimanapun, kekurangan dari segi pembiakan oviparous dilihat tidak memberi kesan yang signifikan kepada kelangsungan hidup haiwan dari keluarga burung dan ayam. Kerana dapat kita saksikan sendiri, haiwan ini boleh didapati di mana-mana sahaja di muka bumi.

Sebabnya, haiwan-haiwan dari keluarga burung dilengkapi kelakuan menjaga telur (“brooding”) dan naluri keibuan yang tinggi. Selain itu, struktur dan komposisi telur yang dihasilkannya juga menjadi salah satu faktor mengapa kumpulan burung ini berjaya dan mempunyai spesies yang pelbagai.

Sebagai perbandingan, haiwan mamalia pula membiak dengan cara melahirkan anak, atau terma saintifiknya (“viviparous”). Namun begitu, terdapat beberapa haiwan misalnya platipus dan echidna, yang sedikit aneh tapi pada masa sama, sangat istimewa. Ini kerana, walaupun kedua-dua haiwan ini tergolong dalam kumpulan mamalia, kedua-duanya membiak dengan cara bertelur.

Proses Pelepasan Ovum (Ovulasi).
Perbandingannya di antara Manusia & Ayam.

Bagi manusia (wanita), kebiasaannya satu daripada sel ovum itu akan matang, kemudian ia akan dilepaskan dari folikel ovari mengikut kitaran yang berlaku setiap 28 hari. Proses ini dipengaruhi oleh hormon yang dikenali sebagai Luteinizing Hormone (LH).

Pada masa yang sama, dinding uterus atau rahim itu akan mengalami perubahan fisiologi mendadak. Yang mana ia akan menebal bagi menyambut atau mempersiapkan ‘bilik’ yang bakal diduduki oleh bayi untuk 9 bulan akan datang, itu pun sekiranya persenyawaan dengan sel sperma dari lelaki berlaku.

Sekiranya sperma daripada lelaki didapati tiada di dalam tiub falopian itu, atau dalam erti kata lain, tiada persenyawaan berlaku, sel ovum itu akan musnah dengan sendirinya.

Rahim yang tidak diperlukan dan dindingnya yang penuh saluran darah itu akan kembali seperti sediakala. Kemusnahan dinding rahim ini lah yang menyebabkan gadis dan wanita itu keluar darah haid (period).

Proses pelepasan ovum atau ovulasi bagi ayam, boleh dikatakan hampir sama dengan manusia seperti yang telah dinyatakan di atas. Cuma masa yang diambil, serta hormon yang terlibat sahaja berbeza.

Bagi ayam hutan, penghasilan telur itu berlaku kira-kira satu atau dua kali sahaja dalam masa setahun. Beberapa ‘batch’ telur yang dihasilkan sebiji demi sebiji sepanjang beberapa hari itu kemudian akan dieramkan bersama-sama.

Manakala bagi ayam domestik (dibela manusia), ia berkebolehan untuk menghasilkan telur untuk sepanjang tahun. Telurnya turut dihasilkan dalam bentuk beberapa kumpulan atau ‘batch’, pada kadar satu biji telur sehari, mengikut kitaran yang berlaku setiap 26-28 jam dan sepanjang 4 hingga 6 hari untuk satu kitaran lengkap.

Setelah lengkap kitaran selama 4-6 hari ayam tersebut untuk ia menghasilkan telur, ayam akan berehat sebentar, mengambil masa sekurang-kurangnya sehari atau lebih, sebelum ia kembali memulakan kitaran 4-6 hari yang baru.

Proses pelepasan ovum oleh ayam ini dibawah seliaan atau kawalan hormon kompleks yang dikenali sebagai gonadotropin. Ia dihasilkan oleh kelenjar pituitari (anterior pituitary gland). Fungsi hormon gonadotropin ini sama seperti Luteinizing Hormone (bagi manusia), iaitu merangsang atau mencetus pelepasan sel ovum daripada ovari.

Sekiranya terdapat sel ovum yang telah cukup matang ketika hormon gonadotropin ini dirembeskan oleh kelenjar pituitari, pelepasan ovum akan berlaku sebagai tindak balas.

Selain itu, hormon progesteron yang dihasilkan kelenjar hipotalamus juga turut berperanan dalam proses ovulasi. Kerana ia mengawal pelepasan hormon gonadotropin daripada kelenjar pituitari.

Organ-organ dalaman ayam.

Ovari : Organ Utama

Seperti manusia, ayam betina setelah menetas ke dunia ini, telah pun dilengkapi dengan dua ‘ketul’ ovari.

Apa benda pula ovari ni?

Ovari ialah organ yang diibaratkan seperti sebuah ‘kilang’. Ia adalah organ yang sangat penting bagi membolehkan seseekor ayam betina itu untuk menghasilkan telurnya, iaitu dengan menghasilkan sel ovum (telur kuning).

Kedua-dua ovari ini masing-masing terletak pada bahagian kiri dan kanan badan ayam tersebut.

Akan tetapi, sejurus selepas ayam betina itu menetas, salah satu daripada ovari tersebut, yakni ovari yang terletak di bahagian kanan, telah dihentikan perkembangannya.

Bermakna, hanya ovari bahagian kiri sahaja yang akan terus matang dan berkemampuan untuk berfungsi sepenuhnya pada masa akan datang. Dari sini kita semua faham, hanya ovari pada bahagian kiri sahaja yang bertanggungjawab menghasilkan ovum.

Menurut pakar, hormon estrogen memainkan peranan dalam terhentinya perkembangan ovari kanan ayam betina.

Saya yakin anda semua pasti tertanya, mengapa ovari kanan dihentikan perkembangannya?

Saluran duktus ayam

1. Ini adalah adaptasi istimewa yang dimiliki oleh hampir kesemua haiwan dalam kumpulan burung, dan ini termasuklah ayam. Dengan memiliki dua ovari dan dua saluran duktus, ia akan menyebabkan burung menjadi lebih berat dan menyukarkan ia untuk terbang. Bagi ayam yang tidak boleh terbang pula, dengan ada dua ovari dan dua saluran duktus, bermakna ayam akan memerlukan lebih banyak tenaga, nutrien dan mineral untuk menghasilkan telurnya dengan efisien, teratur dan sempurna.

2. Seterusnya, memiliki 2 ovari yang berfungsi akan membuatkan bahagian dalaman burung dan ayam menjadi terlalu padat dan sempit. Dengan tubuh yang kecil, ia tidak relevan untuk memiliki 2 ovari. Cuba anda bayangkan sekiranya kedua-ovari berfungsi dan ayam bertindak menghasilkan telur pada masa yang sama. Mungkin boleh, tapi ia akan menyebabkan saiz telur menjadi kecil.

Walaubagaimanapun..

Sekiranya ovari dan saluran duktus ayam pada bahagian kiri yang berfungsi sepenuhnya itu rosak pada masa akan datang, ovari kanan dengan bantuan hormon yang dirembeskan, akan melalui proses perkembangan dan akan berfungsi sepenuhnya bagi menggantikan ovari kiri yang rosak.

Sejak dari awal kehidupan seseekor ayam itu, ovari kirinya sudah sedia ada terkandung oocytes, yakni sel ovum (telur kuning) yang masih belum matang. Jumlahnya berbeza untuk setiap ekor dan baka ayam, ia berada dalam anggaran 2000 sehingga 4000 biji dan mungkin lebih. Dalam erti kata lain, ayam betina itu telah pun mempunyai ‘bekalan’ ovum yang secukupnya untuk ia menghasilkan telur sepanjang hayat.

Bagaimanapun, ayam betina domestik diketahui hanya menghasilkan sebahagian sahaja daripada jumlah ovum yang terkandung di dalam ovari kiri, sebelum ia ‘menopaus’ atau dalam erti kata lain, berhenti menghasilkan telur dan kemudian disembelih dan dijual sebagai ayam pencen.

Organ Pembiakan Ayam

Pembentukan telur ayam itu berlaku secara berperingkat, dan ia bertempat di dalam satu saluran yang dikenali sebagai saluran duktus (“oviduct”).

Saintis dan ahli zoologi seringkali ibaratkan saluran duktus ini sebagai “production line” di dalam sebuah kilang.

Berikut adalah beberapa bahagian yang terdapat di saluran duktus, berserta sedikit pengenalan mengenai kedudukannya.

– Ovari
– Infundibulum
– Magnum
– Isthmus
– Kelenjar Cengkerang
– Vagina
– Cloaca

Bahagian yang paling dekat dengan ovari di dalam saluran duktus, adalah satu corong yang dikenali sebagai infundibulum. Ia mempunyai bukaan seluas 9 sentimeter dan bersambung kepada bahagian berbentuk tiub lain di dalam saluran duktus. Walau bagaimanapun, anda perlu tahu infundibulum tidak mempunyai sambungan terus kepada ovari.

Selepas corong infundibulum, ialah bahagian Magnum iaitu tiub terpanjang untuk keseluruhan saluran duktus, ia berukuran 30 sentimeter. Seterusnya bahagian Isthmus, tiub berukuran 10 sentimeter, diikuti oleh kelenjar cengkerang, vagina dan akhirnya cloaca.

Setiap bahagian saluran duktus atau oviduct ini mempunyai fungsinya yang tersendiri dan akan dijelaskan lebih lanjut kemudian. Bagi saya, ia lebih mudah difahami ketika kita sama-sama teliti proses pembentukan telur tersebut.

Proses Pembentukan Telur

1. Ovari

Apabila tiba umur yang sesuai untuk ayam itu memulakan proses menghasilkan telur, satu persatu daripada ovum yang terkandung di dalam ovari kiri ayam betina itu akan matang.

Bermakna, pada satu-satu masa, badan ayam betina telah pun mengandungi sel ovum yang berada di tahap perkembangan yang berbeza.

Kira-kira setiap 26-28 jam, salah satu daripada sel ovum (telur kuning) yang telah matang itu akan dilepaskan ke dalam saluran duktus, inilah yang dikenali sebagai proses ovulasi (ovulation).

Kebiasaannya, pelepasan ovum yang baru akan berlaku setiap 30-75 minit selepas telur yang sebelum nya berjaya dihasilkan oleh ayam tersebut.

Perasan tak daripada pembacaan di atas, ayam betina itu tak diperlukan untuk mengawan terlebih dahulu dengan ayam jantan, untuk ia menghasilkan telurnya?

Ini sama la seperti manusia (gadis dan wanita) yang akan melepaskan sel ovum dari folikel ovari bagi setiap kitaran 28 hari ke dalam tiub falopian. Sekiranya tiada sperma dari lelaki, tiada persenyawaan yang akan berlaku. Selepas itu, sel ovum dan dinding rahim akan musnah dengan sendiri nya, proses yang kita kenali sebagai haid (menstruation).

Tetapi bagi ayam betina, walaupun ia tidak menerima sperma daripada ayam jantan, dan persenyawaan itu tidak mengambil tempat, telur tetap akan dihasilkan seperti biasa. Cuma, yang bezanya, telur tersebut TIDAK akan melalui perkembangan, atau dalam erti kata lain, ia tidak akan menjadi anak ayam.

2. Infundibulum

Mengesan pelepasan sel ovum (telur kuning), bukaan lebar bahagian infundibulum yang tidak mempunyai sambungan langsung dengan ovari, akan bergerak untuk ‘menangkap’ sel ovum tersebut.

Sekiranya, sel sperma daripada ayam jantan itu hadir, persenyawaan ovum akan mengambil tempat di infundibulum. Selanjutnya, lapisan yang dikenali sebagai membran vitelline akan menyelimuti sel ovum.

Kemudian, cecair pekat yang dikenali sebagai albumen (telur putih), akan dirembeskan oleh sel-sel yang melapisi bahagian infundibulum. Ini bagi menghalang hubungan lanjut antara sel sperma (jika ada) dengan sel ovum.

3. Magnum.

Bahagian seterusnya adalah magnum. Magnum dalam bahasa latin bermaksud “besar”. Ia adalah bahagian yang terpanjang di dalam saluran duktus ayam.

Ovum atau telur kuning itu akan berada di sini sekurang-kurangnya untuk 3 jam. Pada masa ini, sel-sel yang melapisi magnum juga akan merembeskan albumen (telur putih), cuma nya lapisan ke-2 albumen ini sedikit cair daripada albumen yang dihasilkan infundibulum.

4. Isthmus.

Ithmus adalah bahagian seterusnya dalam saluran duktus ayam. Ia adalah bahagian yang sedikit sempit berbanding infundibulum dan magnum. Terma “isthmus” itu sebenarnya merujuk kepada daratan sempit yang menghubungkan dua daratan besar.

Di sini, lapisan dalaman akan melitupi telur yang hampir sempurna itu, sebagai persediaannya untuk menerima cengkerang.

5. Kelenjar Cengkerang

Seterusnya, telur akan bergerak ke bahagian dalam saluran duktus yang dikenali sebagai kelenjar cengkerang. Bahagian ini berukuran 5 inci panjang. Di sini, cengkerang luaran telur itu akan terbentuk.

Cengkerang telur ayam ini diperbuat daripada kalsium karbonat. Menurut pakar, ayam betina itu akan menggunakan 8 – 10 peratus daripada kandungan kalsium dalam badan untuk ia menghasilkan cengkerang.

Dari 8-10 peratus kalsium yang digunakan untuk menghasilkan cengkerang tersebut, sebahagian besar daripadanya didatangkan dari tulang ayam betina itu sendiri. Manakala selebihnya didapatkan daripada diet pemakanan ayam. Sebab itu lah, kadang-kadang penternak akan memberi vitamin kalsium kepada ayam.

Telur yang sedang dalam proses menerima cengkerang ini juga akan diputar perlahan dengan pergerakan otot, bagi memastikan pembentukan cengkerang meliputi permukaan telur dengan sekata.

Seperkara lagi, telur akan berada di kelenjar ini selama 20 jam, masa yang paling lama jika dibandingkan dengan tempoh yang diambil pembentukan telur di bahagian lain dalam saluran duktus.

Setelah lengkap proses pembentukan, tiba lah masa untuk telur itu dikeluarkan oleh ayam .

Vagina

Bahagian terakhir di dalam saluran duktus ialah vagina. Ia berukuran 4-5 inci. Vagina tidak mempunyai peranan dalam pembentukan telur itu sendiri, tapi ia satu bahagian penting dalam proses bertelur atau mengeluarkan telur. Vagina terdiri daripada otot yang akan menolak telur itu keluar ke cloaca.

Cloaca

Cloaca ini adalah satu bukaan di mana najis dan telur ayam itu akan keluar. Oleh kerana cloaca mempunyai sambungan kepada kedua-dua sistem perkumuhan dan pembiakan ayam.

Walau bagaimanapun, najis dan telur tidak akan dikeluarkan pada masa sama. Sebab nya, ketika proses bertelur, vagina yang terdiri daripada otot akan menutupi saluran sistem perkumuhan untuk ke cloaca.

Jadi jangan lah anggap telur ayam ni kotor ya.

Telur dan lapisan-lapisannya.

Sekadar info tambahan:

Ayam betina turut mempunyai bahagian yang dikenali sebagai kelenjar sperma. Dan seperti nama nya, fungsi kelenjar ini ialah untuk menyimpan sperma dari ayam jantan setelah selesai proses mengawan.

Kelenjar sperma ini juga sangat menarik untuk dibincangkan, kerana sperma tersebut diketahui disimpan oleh ayam betina untuk satu tempoh masa yang agak lama, iaitu 10-14 hari, dalam suhu badan.

Tamadun manusia yang maju dengan kelengkapan berteknologi tinggi seperti sekarang pun, kalau nak simpan sperma dari lelaki, kena lalui proses (“cryo-freezing”) iaitu simpanan dalam cecair nitrogen yang sangat sejuk untuk memelihara morfologi dan genetiknya.

Tetapi anehnya ayam dan haiwan-haiwan lain yang ada kelenjar sperma, depa boleh simpan sperma dalam suhu badan, dan sperma itu juga dapat digunakan (“viable”), untuk persenyawaan ovum akan datang.

Seperkara lagi, semasa telur dari saluran duktus dalan perjalanan keluar ke cloaca, kelenjar yang mengandungi sperma disimpan akan ‘dipicit’ keluar, kemudian bergerak ke infundibulum, untuk mempersenyawakan ovum

Jika anda ada sebarang soalan untuk ditanyakan, sila komen ya.😊

RUJUKAN:

Jacob, Jacquie and Tony Pescatore. Avian Female Reproductive System. Department of Animal Sciences, University of Kentucky College of Agriculture, Food & Environment.

Bellairs, Ruth and Mark Osmond. The Atlas of Chick Development. Academic Press, San Diego, 1998

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.