P.Ramlee adalah seorang seniman agung di dalam sejarah dunia filem Melayu. Tetapi untuk mencapai ke tahap sedemikian tidaklah semudah yang disangka. Selain di anugerahkan dengan bakat semulajadi dari Allah S.WT, kelansungan kerja seni P.Ramlee bukanlah dilakukan dengan seorang diri tetapi ianya diterjemahkan secara berpasukan.

Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi kisah siapakah insan-insan disekeliling P.Ramlee dalam membantu melaksanakan karya-karya seninya yang sentiasa segar sehingga sekarang.

P.Ramlee berhijrah dari Pulau Pinang ke Singapura pada tahun 1948 bersama sahabatnya dari kampung yang bernama Sukardi. Sukardi merupakan teman sepermainan P.Ramlee di zaman kanak-kanak sehingga remaja. Tetapi nasibnya kurang baik di dalam bidang seni apabila beliau telah gagal menjalani sesi uji bakat yang dilakukan di Malay Film Production. Beliau kemudian pulang ke Pulau Pinang dan memohon untuk menjadi tentera.

Pada peringkat awal P.Ramlee diterima bekerja di Malay Film Production sebagai Clapper boy dan penyanyi latar. Disebabkan beliau terlalu minat untuk mendalami bidang muzik maka beliau banyak menuntut ilmu muzik bersama dengan Zubir Said, Yusof B dan Osman Ahmad. Mereka ini semua adalah penggubah, pencipta lagu dan pemimpin orkestra yang tersohor pada ketika itu di studio Jalan Ampas.

Disebabkan ketekunan dan minat yang mendalam pada muzik, P.Ramlee dapat menguasai segala ilmu yang dicurahkan dengan cepat disamping P.Ramlee memiliki kebolehan menyanyi dengan baik menyebabkan P.Ramlee terlalu istimewa di mata mereka. Mereka ini semua sangat P.Ramlee hormati sebagai seorang abang dan guru. P.Ramlee juga sempat belajar cara-cara menyusun ragaman muzik dengan tokoh muzik yang hebat dari Filipina, Alfonso Soliano dan Fred Libio.

P.Ramlee boleh memainkan alat muzik seperti Piano, Gitar, Biola dan Accordian dengan baik. Tetapi beliau tidak boleh memainkan alat muzik tiupan seperti Saksafon dan Trumpet. Jika kita menonton filem Ibu Mertua Ku, pasti kita akan menganggap P.Ramlee yang meniup saksafon berkenaan. Tetapi sebenarnya ianya dimainkan oleh Yusof B, P.Ramlee hanya mengayakannya sahaja di dalam filem tersebut. Satu perkara yang dilakukan oleh P.Ramlee untuk mengenang jasa mereka ini semua dengan menubuhkan kumpulan Pancha Sitara bagi mengembang bakat seni yang mereka miliki.

P.Ramlee di angkat menjadi hero buat kali pertama melalui filem Bakti arahan L.Krishnan pada tahun 1950. Setelah filem Bakti menjadi box office nama P.Ramlee melonjak dengan mendadak. Reputasinya sebagai pelakon juga berada di puncak kejayaan. Semua pengarah di Malay Film Production berlumba-lumba untuk mengambil P.Ramlee berlakon di dalam filem arahan mereka. P.Ramlee telah menjadi aset penting dan anak emas kepada pemilik Shaw Brothers, Mr. Run Run Shaw.

Gaji P.Ramlee juga naik secara mendadak. Apabila situasi ini berlaku maka timbullah rasa tidak puas hati dikalangan pelakon-pelakon yang lebih senior di studio berkenaan. Mereka beranggapan majikan tidak adil terhadap mereka dan mengugut untuk melakukan mogok. Ada beberapa pelakon telah meninggalkan studio berhijrah ke syarikat lain untuk mencari tapak baharu. P.Ramlee juga sangat disukai oleh seorang pengarah India bernama S.Ramanathan. Kebanyakkan filem arahan S.Ramanathan beliau mengambil P.Ramlee sebagai hero.

Apabila P.Ramlee dilantik menjadi pengarah pada tahun 1955 ramai yang menyokong dan ada juga yang kurang senang dengan perlantikan itu. Tetapi apabila Penarek Becha mendapat pujian dan menempa kejayaan maka ramailah yang cuba untuk mendampingi P.Ramlee dengan harapan akan diberi peluang berlakon di dalam filem P.Ramlee. Aziz Sattar antara penyokong kuat apabila mendengar perkhabaran yang P.Ramlee akan dilantik menjadi pengarah.

Tetapi beliau tidak dipilih oleh P.Ramlee untuk berlakon di dalam filem Penarek Becha. Ini membuatkan Aziz Sattar pernah terasa hati dengan P.Ramlee sehingga beliau pernah berkata pada P.Ramlee, “apalah lu Ram, gua sokong lu kuat untuk jadi pengarah tapi lu tak ambil gua berlakon dalam filem lu”. Tetapi apabila Aziz Sattar menerima skrip Bujang Lapok dari P.Ramlee barulah beliau sedar yang P.Ramlee tidak memilih pelakon dari kalangan kawan tetapi beliau menilai kesesuaian watak seseorang pelakon berkenaan.

P.Ramlee sememangnya bijak dalam membuat pemilihan pelakon untuk berlakon di dalam filem-filemnya. Beliau tidak memilih kawan. Sebagai contoh S.Kadarisman yang agak dingin dengan P.Ramlee tetapi disebabkan beliau adalah seorang pelakon yang hebat maka P.Ramlee telah mengambilnya berlakon di dalam filem Antara Dua Darjat. P.Ramlee beranggapan hanya S.Kadarisman sahaja yang mampu membawakan peranan sebagai Engku Mukri di dalam filem berkenaan. Sehingga S.Kadarisman pernah mengeluarkan kenyataan kepada seorang rakan, “aku pelik dengan manusia Ramlee ini. Aku selalu kutuk dia tetapi dia masih pilih aku berlakon di dalam filem arahannya”.

Begitu juga dengan seniman Ahmad Mahmood. Hubungannya dengan P.Ramlee tidak berapa baik tetapi P.Ramlee telah memberikannya satu watak ikonik yang sangat diingati dan sinonim dengannya sebagai Doktor Ismadi di dalam filem Ibu Mertua Ku. P.Ramlee menyatakan Ahmad Mahmood mempunyai raut wajah yang bersih seperti orang terpelajar yang sesuai untuk peranan sebagai seorang Doktor.

Di Jalan Ampas P.Ramlee berkawan dengan sesiapa sahaja. Ini kerana perwatakan P.Ramlee yang ramah dan suka berbual dengan rakan-rakan pelakon mahupun pekerja studio membuatkan dirinya disenagi ramai. Seperti seniman Nordin Ahmad yang bakatnya berjaya digilap oleh P.Ramlee melalui filem Semerah Padi sehingga beliau telah di angkat sebagai seorang pelakon berkarisma besar dengan sekelip mata.

Nordin Ahmad mempunyai hubungan yang agak rapat dengan P Ramlee sejak beliau menjejakkan kaki ke studio Jalan Ampas. Mungkin mereka berdua berasal dari Pulau Pinang menyebabkan hubungan itu lebih akrab. Setelah Nordin Ahmad berhijrah ke studio Cathay-Keris dan menjadi bintang besar di sana beliau tidak lupa untuk bertemu P.Ramlee dengan mengunjungi rumah P.Ramlee bagi menjaga silatirurahim sesama mereka.

Kehebatan dan keberkesanan P.Ramlee sebagai anak seni bukanlah hasil kerjanya seorang diri. Ianya melibatkan kerja berpasukan. Sebagai pengarah filem P.Ramlee sangat suka menggunakan peranan S.Sudarmaji sebagai penolong pengarahnya. Hampir keseluruhan filem-filem yang P.Ramlee arahkan di Singapura beliau menggunakan khidmat S.Sudarmaji. Begitu juga dengan penulisan lirik lagu.

Dari 360 buah lagu ciptaan P.Ramlee lebih separuh liriknya ditulis oleh S.Sudarmaji. Ini kerana S.Sudarmaji memiliki kempampuan untuk menulis dengan baik kerana beliau dikatakan pernah terlibat dalam pembetukan Angkatan 45 yang dipimpin oleh sasterawan hebat dari Indonesia Chairil Anwar. Begitu juga dengan skrip filem arahan P.Ramlee yang banyak dihasilkannya bersama S.Sudarmaji. Ramai yang beranggapan yang S.Sudarmaji boleh diibaratkan seperti kanan P.Ramlee di dalam menterjemahkan karya-karya seninya.

Ketika di Jalan Ampas P.Ramlee sangat menghormati pelakon-pelakon yang lebih tua darinya. Sebagai contoh seniman Haji Mahadi yang sangat P.Ramlee sanjungi. Haji Mahadi mempunyai pengetahun ilmu agama yang sangat tinggi. Ini kerana beliau dilahirkan di dalam keluarga yang warak dan kuat pegangan agama. Ayahanda beliau ialah Syeikh Haji Ahmad Said Linggi merupakan seorang tokoh ulama besar dari Negeri Sembilan. Begitu juga dengan abang-abangnya yang pernah menjadi Mufti di negeri berkenaan. Ada yang mengatakan P.Ramlee ada menuntut ilmu agama dan kerohanian dengan Haji Mahadi ketika di Jalan Ampas.

Antara insan-insan lain yang selalu mendampingi P Ramlee ketika di Jalan Ampas seperti Jamil Sulong, S.Shamsudin, A.Rahim, Kassim Masdor dan Muhamad Hamid. Jamil Sulong turut menyumbang lirik untuk lagu ciptaan P.Ramlee. Begitu juga dengan Kassim Masdor yang banyak belajar tentang muzik dan mencipta lagu dengan P.Ramlee.

Dapatkah kita bayangkan jikalau lagu-lagu ciptaan P.Ramlee tanpa lirik tulisan S.Sudarmaji, Jamil Sulong. Sejauh manakah medium muzik yang dilahirkan P.Ramlee mampu dihayati tanpa sokongan keindahan lirik ciptaan penulis lirik tersebut.

Lagu Getaran Jiwa misalnya sebuah “masterpiece” lirik dari S.Sudarmaji. Liriknya begitu terkenal dan dimasyarakatkan tetapi nama S.Sudarmaji seolah-olah dipandang sepi. Begitu juga dengan lagu-lagu lain seperti Tanya Sama Hati, Berkorban Apa Saja dan beberapa lagi lirik hasil kreativiti Jamil Sulong.

Sebagai pencipta lagu P.Ramlee sebenarnya mendapat sokongan kreatif daripada penulis lirik yang memahami jiwa dan prinsip sosialnya. Mereka yang banyak menjulang nama P.Ramlee dalam membentuk sebuah karya tidak lain tidak bukan ialah S.Sudarmaji dan Jamil Sulong.

Tanpa kehadiran penulis lirik yang mampu berinteraksi dengan P.Ramlee, barangkali tidak akan wujud lagu-lagu yang sentiasa relevan dengan semua zaman. Peranan S.Sudarmaji dan beberapa rakan lain sangat penting dalam menterjemahkan karya-karya P.Ramlee. Oleh itu penulis lirik yang banyak bergandingan dengan P.Ramlee tidak wajar dipinggirkan apabila kita seringkali memperkatakan tentang seniman agung ini.

Apabila P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur pada penghujung tahun 1963. Insan pertama yang meyambut P.Ramlee di Federal Hotel, Kuala Lumpur ialah Salleh Ghani dan Mahmud Jun. Turut hadir ialah pemilik Studio Merdeka, Ho Ah Loke. Walaupun kerjaya seni P.Ramlee agak sukar di Kuala Lumpur disebabkan beliau kehilangan rakan-rakan sekerjanya ketika di Singapura yang sudah faham dengan peranan masing-masing itu tidak bermakna P.Ramlee tidak mampu untuk berkarya dengan baik.

Di Studio Merdeka P Ramlee banyak menggunakan khidmat Ahmad Nawab untuk kerja-kerja mencipta lagu. Ahmad Nawab pula seorang pemuzik professional dan mampu memainkan pelbagai alat muzik termasuk Saksafon. Ini telah memudahkan kerja-kerja mencipta lagu P.Ramlee di sana. Ahmad Nawab juga seringkali dipanggil oleh P.Ramlee ke rumahnya bagi tujuan tersebut.

Begitu juga dengan Salleh Ghani yang banyak membantu P.Ramlee dalam urusan penubuhan Pawagam P.Ramlee bersama seorang hartawan yang bernama H.M Shah. Salleh Ghani pernah menjadi penjaga tiket di kaunter pawagam tersebut di awal pembukannya. Untuk membuat filem-filem komidi di Studio Merdeka, P.Ramlee kembali bekerjasama dengan A.R Tompel yang sudah tidak perlu dipertikaikan kewibawaannya sebagai seorang pelakon komidi.

Apa yang sangat menarik yang ingin saya kongsikan mengenai hubungan Mahmud Jun dengan P.Ramlee. Ketika P.Ramlee di Singapura, Mahmud Jun tidak pernah berlakon bersama atau dibawah arahan P.Ramlee. Ini disebabkan mereka berdua berlainan studio. P.Ramlee di Malay Film Production manakala Mahmud Jun di Cathay-Keris. Tetapi apabila P.Ramlee berhijrah ke Studio Merdeka beliau kerap mengambil Mahmud Jun berlakon di dalam filem-filem awal beliau arahkan di studio berkenaan. Bayangkan Mahmud Jun yang memang sudah terkenal dengan watak-watak antagonis ketika di Cathay-Keris mampu dikomidikan oleh P.Ramlee.

Dengan sekelip mata sahaja P.Ramlee merubah karektor jahat Mahmud Jun dengan memberinya watak sebagai Pak Maon di dalam filem Nasib Do Re Mi. Watak Pak Maon kadang kala lebih diingati oleh peminat berbanding watak antagonis Mahmud Jun di Cathay-Keris. Satu perkara yang perlu diketahui Mahmud Jun juga merupakan guru mengaji Al-Quran kepada anak-anak P.Ramlee dan sering kali beliau mengajar Al-Quran kepada anak-anak P.Ramlee di rumah P.Ramlee. Mahmud Jun juga dikatakan adalah insan yang terawal sampai di rumah P.Ramlee apabila mendapat berita tentang kematian P.Ramlee pada pagi 29 May 1973.

Seorang lagi insan yang sangat penting di dalam hidup P.Ramlee ialah Ramli Ismail atau nama panggilanya Ramli Kecil. Ramli Kecil merupakan suami kepada Norlia Ghani dan bapa kepada pelakon Rusdi Ramli. Ramli Kecil adalah pembantu P.Ramlee yang paling setia. Boleh dikatakan setiap masa beliau ada bersama P.Ramlee bagi membantu kerja-kerja seharian P.Ramlee. Dari kerja driver, menghantar dan menjemput anak-anak P.Ramlee pergi dan balik sekolah sehingga kerja-kerja membeli keperluan rumah dan membayar bil. Ramli Kecil mula tinggal bersama P.Ramlee sejak dari tahun 1961 di Singapura.

Ketika itu P.Ramlee melantik beliau sebagai jurugambar di syarikat penerbitan majalah Bulanan Gelanggang Filem milik P.Ramlee. Apabila P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur beliau turut membawa Ramli Kecil bersamanya. Ramli Kecil boleh dikatakan menyimpan rahasia terbesar P.Ramlee. Banyak pengalaman kehidupan P.Ramlee mampu diriwayatkan oleh Ramli Kecil. Setelah Ramli Kecil mendirikan rumahtangga bersama Norlia Ghani beliau meminta izin untuk tinggal berasingan dengan P.Ramlee dan P.Ramlee membenarkan tetapi dengan syarat beliau perlu melakukan kerja-kerjanya seperti kebiasaan. Apabila Rusdi Ramli dilahirkan nama Rusdi itu juga telah diberi oleh P.Ramlee yang kebetulan pada ketika itu sedang mengarah filem Doktor Rushdi.

Sepanjang 25 tahun P.Ramlee mengabdikan diri sebagai insan seni bermacam-macam pengalaman yang telah dilalui olehnya. Satu perkara yang perlu kita ketahui bukan semua orang menyukai P.Ramlee. Ada yang hanya bermuka-muka dihadapannya dengan niat untuk mendapat peluang berlakon di dalam filem arahannya tetapi dibelakang P.Ramlee dihentam dan ditikam dengan teruk. Satu sifat yang sangat murni yang ada pada P.Ramlee adalah beliau tidak pandai menyimpan dendam.

Walaupun beliau tahu siapakah mereka-mereka yang membencinya beliau tetap menganggap mereka sebagai seorang kawan dan sentiasa berbuat baik. Seperti kata Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, selepas kematian P.Ramlee ramai yang mengaku kononnya pernah makan sepinggan dan tidur sebantal bersama P.Ramlee ketika hayatnya. Tetapi hakikatnya mereka yang mengaku itu dan ini secara berlebihan inilah yang menikam P.Ramlee.

Abdullah Hussain merupakan sahabat baik P.Ramlee sejak di Singapura. Beliau merupakan insan pertama yang menulis buku tentang kisah hidup P.Ramlee ketika P.Ramlee masih hidup. P.Ramlee sendiri menjadi pembaca pruf buku berkenaan. Buku berjudul Gagak Di-Rimba itu telah diterbitkan oleh syarikat penerbitan Angkatan Baru pada tahun 1966.

RUJUKAN:

Gagak Di- Rimba – Abdullah Hussain

Kenagan Abadi P.Ramlee – Ramli Ismail

Erti Yang Sakti – Tun Ahmad Sarji

P.Ramlee Dari Kacamata Aimi Jarr – Aimi Jarr

Sesi temubual santai bersama Ramli Ismail

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Hidir Ali Razali seorang peminat tentang sejarah perfileman Melayu klasik. Beliau telah memulakan pengkajian dan mendalami perkembangan sejarah berkaitan sejak 25 tahun yang lalu.

Comments are closed.