Operasi Badar, Pertempuran Uhud, Khaibar, Hunain dan lain-lain lagi sudah acap kali didendangkan agar manusia mengambil ibrah daripadanya. Namun, sudah pasti jarang sekali untuk kita mendengar Ekspedisi Pertempuran Dhat Al-Riqa akibat daripada rantaian pengkhianatan kabilah-kabilah arab di Kawasan Najd terhadap kaum muslimin.

Para ahli sirah dan maghazi mencatatkan bahawa pertempuran ini berlaku pada tahun keempat hijrah. Akan tetapi beberapa pendapat kuat menyatakan bahawa ekspedisi ini berlaku pada Rabiulawal tahun 7 Hijrah setelah ghazwah Khaibar seperti mana yang dinyatakan oleh Ramadhan Al-Buthi dan Al-Mubarakfuri.

Dinamakan petempuran ini dengan nama Dhat Al-Riqa oleh sebab seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al’-Asyari:

“Kami keluar bersama Rasulullah ﷺ dan dalam kalangan kami ada enam orang yang saling berganti-ganti menunggang seekor unta sehingga tapak kaki kami pecah-pecah dan kakiku juga turut pecah-pecah sehingga kuku kakiku tertanggal. Maka, kami membalut kaki dengan kain. Disebabkan itu, peperangan ini dinamakan Dhat Al-Riqa (potongan-potongan atau perca-perca kain) kerana kami membalut perca-perca kain pada kaki kami”.

(HR Bukhari:4128)

Orang arab Badwi ketika itu mengumpulkan kekuatan ketenteraan dengan tujuan mahu menggempur kawasan pinggiran Madinah sehingga menyebabkan Nabi Muhammad ﷺ melancarkan beberapa operasi dan gerakan untuk memberi pelajaran kepada mereka. Gabungan di antara Bani Thalabah dan Muharibah daripada kabilah Ghatfan dibentuk hingga sudah siap sedia untuk bertempur dengan umat Islam.

Untuk itu, baginda ﷺ mempersiapkan angkatan tenteranya sekitar 400-700 orang dan keluar menuju Nahl untuk memerangi golongan tersebut. Dalam masa yang sama, baginda melantik Abu Dzar al-Ghifari untuk memangku pentadbiran kerajaan Islam Madinah selama keberadaan baginda di luar kota Islam pertama itu.

Sehingga sampai satu tahap, pasukan Islam sudah sampai bergerak masuk ke kawasan dalam tanah air orang Arab Badwi hingga sampai ke daerah Nahl, iaitu satu daerah di Najd kira-kira dua puluh hari perjalanan daripada Madinah. Takdir menentukan bahawa satu bahagian kabilah tersebut bertembung dengan pasukan Islam yang sedang mara.

Ironinya, kabilah tersebut tidak berani mengapikan keadaan apatah lagi mahu mencetuskan sebarang persengketaan. Kata Said Ramadhan al-Buthi bahawa Allah telah memasukkan ketakutan dalam jiwa mereka sehingga meskipun jumlah mereka yang ramai tetapi gentar melihat tentera Islam sehingga bergerak menjauhi.

Akan tetapi, berlaku satu pertempuran kecil sehingga seorang wanita musyrik ditawan dan sebahagian sejarawan mengatakan bahawa perempuan musyrik itu terbvnuh. Ini menyebabkan suami perempuan tersebut berhasrat untuk membalas dendam dan tidak akan kembali kecuali setelah menumbangkan salah seorang sahabat Nabi Muhammad ﷺ.

Malam itu, pasukan Islam berhenti berehat di suatu lembah yang bernama Syi’b lalu baginda bertanya siapakah di antara mereka yang akan berjaga malam ini. Lalu bingkas disambut dua orang pemuda yang bersedia berjaga malam tersebut. Ibnu Ishaq mengatakan dua orang lelaki itu adalah Ammar b Yasir dan Abbad b Bisyr.

Maka, ketika mereka mula mahu berjaga, Abbad berkata kepada Ammar, “bagaimana menurut dirimu, siapa dahulu yang patut berjaga? Aku dahulu atau aku berjaga selepas kamu?”

Lalu Ammar membalas agar Abbad berjaga terlebih dahulu dan dia merebahkan dirinya untuk tidur manakala mula berkawal. Abbad setelah itu menunaikan solat dan tatkala itulah lelaki musyrik menghidu peluang kerana menyangka bahawa Abbad sedang berkawal serta berseorangan.

Tanpa berfikir panjang, maka lelaki itu bertindak melepaskan anak panah hingga mengenai tubuh Abbad yang sedang menunaikan solat. Menurut Said Ramadhan Al-Buthi, sahabat ansar itu mencabut anak panah yang melekat di tubuhnya lalu melanjutkan solatnya. Melihat perkara itu, timbul perasaan berang dalam dada lelaki musyrik hingga melepaskan anak panah kedua dan tertancap di tubuh Abbad.

Ironinya, Abbad tetap melakukan perkara yang sama sehingga kata Al-Mubarakfuri bahawa Abbad ditembak anak panah sebanyak tiga kali. Apabila selesai solat itu, barulah Abbad mengejutkan sahabatnya sehingga menyebabkan Ammar terkejut lalu melompat dari tidurnya mencari siapa pelakunya.

Lelaki musyrik itu tersentak apabila ternampak Ammar kerana dia menyangka bahawa Abbad keseorangan lalu melarikan diri. Darah merah banyak mengalir membasahi tubuh Abbad menyebabkan Ammar merasa hairan.

“Mengapa engkau tidak mengejutkan aku ketika panahan yang pertama?”,tanya Ammar.

Lalu Abbad membalas, “pada waktu aku sedang membaca surah, aku tidak suka menghentikan bacaanku”. Kemudian Abbad berkata lagi, “waktu itu aku membaca Surah al-Kahfi dan aku tidak ingin rukuk tetapi beberapa anak panah bersusulan menusukku sehingga aku memendekkan bacaan dan rukuk agar bisa segera membangunkanmu.”

“Kalau bukan kerana takut melalaikan perintah Nabi Muhammad ﷺ untuk berkawal, nescaya aku pasti sudah m4ti sebelum aku memutuskan solatku”, tambah Abbad lagi.

RUJUKAN:

Said Ramadhan Al-Buthi, Fiqh Sirah.

Saffiyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah:Al- Rahiq Al-Makhtoum, terj. Muhammad Ramzi Omar.

Lihat Shahih Bukhari, Kitab Al-Maghazi, Bab Ghuzwah Dhat Al-Riqa, Hadith No:4128.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.