Sado: Kisah Tragis Si Putera Mahkota Joseon

7,538

Baginda lahir dalam dulang emas, malah kelahirannya begitu dinantikan setelah saudara lelakinya meninggal dunia. Dan, baginda telah diangkat menjadi putera mahkota pada usia yang terlalu muda. Namun, perjalanan hidupnya tidak seindah yang disangkakan.

Ini adalah kisah mengenai Putera Sado, iaitu putera mahkota kepada Raja Yeongjo yang memerintah Joseon pada sekitar abad ke-17 hingga 18. Kisahnya antara kisah yang banyak terakam dalam pelbagai catatan sejarah, malah terdapat banyak versi cerita mengenai putera ini telah divisualkan melalui layar perak dan layar kaca.

Artikel ini akan membawa kita menelusuri dan mengenali serba sedikit mengenai Putera Mahkota Sado, kehidupan peribadinya serta masalah yang dihadapi sehingga membawa kepada kem4tiannya.

Sejarah awal

Nama sebenar baginda adalah Putera Jangheon, iaitu putera kedua kepada Raja Yeongjo yang memerintah Joseon pada sekitar tahun 1694 hingga 1776. Putera Jangheon telah dilahirkan pada Februari 1735, dan ibu baginda adalah gundik kesayangan Raja Yeongjo, iaitu gundik diraja Yeong. Baginda telah diberi gelaran Sado, yang membawa makna ‘memikirkannya dalam penuh kesedihan’.

Saudara lelaki baginda yang menjadi putera mahkota sebelumnya telah meninggal dunia pada usia sembilan tahun, dan kelahiran Putera Sado begitu diraikan kerana baginda adalah pewaris tunggal kepada Raja Yeongjo. Namun, kehidupan baginda tidaklah seindah seperti yang diharapkan.

Raja Yeongjo dikatakan mempunyai sikap baran dan Putera Sado begitu gerun dengan ayahandanya sedari kecil lagi. Malah, sikap Putera Sado yang agak pemalu dan takut-takut apabila berada di samping ayahandanya menambahkan lagi rasa berang di hati Raja Yeongjo. Putera mahkota ini begitu mengagumi ayahandanya, namun baginda berdepan dengan pelbagai jenis penderaan sama ada dari segi mental mahupun fizikal. Raja Yeongjo tidak pernah setuju dengan apa yang dilakukan oleh puteranya itu.

Raja Yeongjo dikatakan gemar mengkritik apa jua kesalahan (walaupun kesilapan kecil) yang dilakukan oleh Putera Sado dan tidak pernah menunjukkan rasa gembira atas kejayaan puteranya. Raja Yeongjo tidak membenarkan puteranya itu menghadiri apa jua upacara di istana, dan sering memalukannya di hadapan dayang dan sida-sida istana. Baginda juga tidak mengizinkan Sado untuk melawat makam diraja sehinggalah pada akhir tahun 1756.

Hubungan Sado dan bondanya juga tidaklah begitu baik. Demi menjaga hubungan dengan Raja Yeongjo, bondanya lebih banyak mengikuti sahaja apa jua perintah diraja dalam membesarkan Sado dan tidak memberikan kasih sayang sepenuhnya sebagai seorang ibu. Meskipun baginda sangat menyanjungi ayahandanya dan menghormati bondanya, namun Sado sebenarnya tidak diasuh dengan baik oleh mereka.

Perkahwinan di usia muda

Disebabkan lantikannya sebagai putera mahkota berlaku di usia yang masih muda, Sado telah mengahwini seorang gadis muda, iaitu Hyegyong, demi masa depannya. Hyegyong adalah anak perempuan kepada seorang sarjana Joseon yang miskin, namun mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup tinggi. Pada waktu perkahwinan mereka, usia Sado dan Hyegyong adalah sekitar lapan tahun.

Dalam catatan memoir oleh Hyegyong, iaitu The Memoirs of Lady Hyegyong, beliau telah menyatakan bagaimana dia begitu resah kerana telah terpilih sebagai isteri kepada seorang putera mahkota. Beliau seolah-olah telah mendapat prarasa tentang dugaan dan ujian yang bakal dilaluinya di istana.

Oleh kerana pasangan pengantin ini terlalu muda, hubungan mereka bermula sebagai teman sepermainan, seperti kanak-kanak yang lain. Mereka tinggal di istana berasingan, dan walaupun para dayang melayan Hyegyong dengan baik, namun beliau tetap seorang kanak-kanak yang dipaksa untuk melalui satu kehidupan berbeza di istana.

Meskipun Hyegyong dan Sado dapat berkawan dengan baik, tetapi sebagai kanak-kanak, Hyegyong tidak mampu untuk memberikan sokongan sepenuhnya terhadap suaminya. Namun, bapa Hyegyong yang prihatin telah memberikan sepenuhnya kasih sayang terhadap Jangheon yang telah diabaikan oleh ibu bapanya.

Diserang penyakit

Lebih setahun usia perkahwinan mereka, pada sekitar tahun 1746, Sado telah jatuh sakit. Apabila baginda sembuh, mereka telah berpindah ke istana yang lain, berdekatan dengan istana milik bondanya. Ada catatan sejarah yang menyatakan bahawa punca perpindahan ini adalah kerana Raja Yeongjo enggan melihat puteranya berada dekat dengan baginda. Dan Sado menjadi semaking terasing daripada keluarganya.

Penyakit yang dihadapi oleh Sado adalah permulaan kepada kisah tragis hidupnya. Tiada sesiapa pasti, apakah penyakit sebenar yang dihadapi olehnya pada waktu itu, namun sikap Sado telah berubah setelah dia sembuh. Walaupun begitu, baginda masih menunjukkan sikap yang serius terhadap pelajaran dan berminat untuk bersukan dalam keadaan begitu.

Selepas ulang tahunnya yang ke-14, Sado dan Hyegyong telah hidup seperti suami isteri yang lain. Beberapa tahun kemudian, mereka dikurniakan seorang anak, malangnya kanak-kanak itu meninggal dunia pada usia dua tahun. Pasangan muda ini begitu sedih dengan kehilangan anak mereka, namun setahun kemudian, pada tahun 1752, mereka dikurniakan seorang lagi putera. Keadaan menjadi semakin baik bagi pasangan muda ini selepas itu.

Sado mempunyai hubungan yang rapat dengan saudara perempuannya, iaitu Puteri Hwahyeop yang turut diabaikan oleh Raja Yeongjo, dan apabila puteri itu meninggal dunia pada tahun 1752, baginda sangat berdukacita. Pada tahun tersebut jugalah Sado mula membaca sebuah teks Taoist yang dipanggil Okchugyeong. Tidak lama selepas itu, sikap Sado semakin berubah dan keadaan baginda menjadi semakin teruk.

Para ahli sejarah menyatakan bahawa serangan demam campak yang dihadapi oleh Sado telah memburukkan lagi keadaannya, dan baginda mula mengalami mimpi menakutkan dan berhalusinasi. Sado percaya bahawa baginda mampu melihat dewa kilat dan mempunyai ketakutan luar biasa terhadap langit.

Malah, Sado turut yakin bahawa ayahandanya akan menyalahkan dirinya jika ribut petir melanda negara. Ada catatan sejarah menjelaskan bahawa Sado begitu terpengaruh dengan sihir Taoist, terutamanya pada sebuah buku yang dipanggil Jade Spine Scriptures.

Catatan oleh Hyegyong dalam memoirnya telah menyatakan bahawa betapa sukarnya untuk Sado memilih baju dan bersiap. Kesemua bajunya dibakar sebagai persembahan untuk dewa dewi, dan baju-bajunya dikaitkan dengan keadaan cuaca untuk menyenangkan hati dewa tuhan yang hanya difahami oleh dirinya sahaja. Catatan Hyegyong ada menyebut:

“Untuk baginda bersiap, saya terpaksa menyediakan 10, 20 ataupun 30 pasang baju yang dihamparkan. Baginda akan membakar sebahagian daripadanya, bagi pihak hantu atau apa sahaja. Ia adalah nasib yang baik jika kami mampu menyiapkan baginda untuk memakai satu pakaian tanpa sebarang insiden. Namun, jika ada di antara mereka yang bertugas membuat sedikit sahaja kesilapan, baginda tidak akan mampu memakai pakaian itu, tidak kira lah bagaimana pun usahanya. Dan dalam proses ini, ramai yang tercedera, malah ada yang dibvnuh.”

Meskipun keadaan mental Sado yang tidak stabil, namun Raja Yeongjo tetap mengarahkannya untuk menghadiri urusan kerja istana, terutamanya bagi perkara-perkara yang tidak ingin dilakukannya. Urusan ini termasuklah mengawal selia hukuman seksa terhadap banduan istana, yang sebenarnya lebih memburukkan keadaan mental Sado.

https://www.thepatriots.store/store/mahakarya/

Kedua-dua Sado dan Raja Yeongjo mempunyai hubungan sulit dengan dayang istana. Hubungan antara Sado dan Raja Yeongjo bertambah buruk apabila Sado mendapat dua anak lelaki daripada gundiknya dan Raja Yeongjo hanya memiliki anak perempuan sahaja. Malah, salah seorang daripada ahli keluarga gundik Yeongjo turut membuat laporan kepadanya mengenai perangai pelik Sado.

Akibat beberapa siri kejadian pertengkaran antara Raja Yeongjo dan Sado, keadaan menjadi semakin buruk antara kedua-duanya. Sado semakin membenci ayahandanya dan Raja Yeongjo mula melepaskan kemarahannya dengan memukul para sida di istana. Dalam satu insiden, istana telah terbakar dan Hyegyong yang sedang hamil telah melarikan diri bersama putera mereka yang masih kecil.

Keadaan mental Sado menjadi semakin teruk dari hari ke hari. Malah Hyegyong sendiri hampir buta setelah Sado memukul kepalanya dengan menggunakan papan catur. Tindakan Sado semakin ganas dan tidak terkawal. Hyegyong dalam catatan memoirnya menulis bahawa Sado menyatakan:

“Ia meredakan kemarahan saya dengan membvnuh manusia atau haiwan kerana saya tertekan dan tidak terkawal.”

Penyakit mental Sado

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh pakar psikiatri terhadap kes Putera Sado, mereka berpendapat bahawa simptom yang dihadapi oleh baginda menepati kriteria yang ditetapkan oleh Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders bagi kemurungan dan mempunyai potensi menghidapi bipolar disorder.

Malah, melalui catatan memoir Hyegyong mengenai kesukarannya memilih pakaian menunjukkan bahawa Putera Sado sebenarnya mempunyai ‘fobia pakaian’, yang boleh juga dianggap sebagai simptom kepada obsessive compulsive disorder.

Meskipun ada catatan sejarah yang menyatakan bahawa keadaan mental Putera Sado ini adalah akibat sikapnya yang gemar minum sehingga mabuk dan berparti, serta konspirasi pihak istana, namun penilaian pakar psikiatri menidakkan kemungkinan ini. Kesimpulan yang dibuat dari sudut psikiatri menyatakan bahawa Sado mengalami banyak episod kemurungan dan panik.

Selain daripada masalah peribadinya, sejarah keluarga Sado juga adalah antara faktor penyumbang kepada gangguan mentalnya ini. Raja Gyeongjong dan Sanggyegun turut dikatakan mengalami masalah kemurungan dan ini turut menjadi penyebab kepada keadaan yang sama dialami Sado.

Pengakhiran hayat Sado

Pada sekitar Julai 1762, Sado telah diarahkan menghadap Raja Yeongjo. Gelaran putera mahkotanya telah ditarik balik, dan Raja Yeongjo mengarahkan Sado dimasukkan ke dalam sebuah kotak beras, iaitu sebuah kotak kayu yang besar. Kotak ini ditutup dan Sado telah dibiarkan kepanasan di dalam kotak tersebut. Sado bertahan selama lapan hari di dalam kotak tersebut, tanpa makanan dan air, dia menjerit meminta tolong sehingga ke akhir hayatnya.

Putera Sado telah dikebumikan di Gunung BaebongSan di Yangju. Kesemua orang suruhan dan pembantunya pula telah dihukum bvnuh. Hyegyong pula tidak dikenakan apa-apa hukuman dan terus hidup bersama putera dan puterinya. Ada yang menyatakan bahawa Hyegyong terus bertahan hidup demi membuktikan keadaan suaminya yang tidak bersalah dan sebagai protes terhadap tindakan Raja Yeongjo. Dan kerana itulah, Hyegyong telah menulis memoir sebagai respons kepada spekulasi kem4tian suaminya.

Meskipun Sado melayan Hyegyong melayannya dengan teruk, namun beliau masih melayan Sado dengan kasih sayang kerana rasa kasihannya terhadap penyakit mental yang dihadapinya. Putera mereka berdua, yang akhirnya menjadi raja Joseon, iaitu Raja Jeongjo (pewaris takhta selepas Raja Yeongjo) telah memindahkan makamnya pada tahun 1789 ke Hyeollyungwon, berdekatan dengan Suwon.

Lima tahun kemudian, Suwon Hwaseong Fortress telah dibina oleh Raja Jeongjo bagi memperingati makam ayahandanya, dan Hyegyong yang meninggal dunia telah dikebumikan bersama suaminya pada tahun 1816. Raja Jeongjo sangat menghormati dan menyanjungi bapanya, Sado. Malah, ayat pertama yang diucapkannya ketika ditabalkan sebagai raja adalah: “Beta adalah putera kepada Sado”.

Kesimpulan

Cerita mengenai Putera Sado ini pernah divisualkan dalam beberapa siri drama Korea dan filem Korea. Antaranya ialah drama bersiri Secret Door pada tahun 2014 dan filem The Throne (Yoo Ah-In memegang watak Sado) pada tahun 2015.

Kisah tragis Putera Sado ini sebenarnya adalah berpunca daripada kekurangan kasih sayang serta pengabaian yang dilakukan terhadap putera ini. Ia adalah akibat daripada kemarahan, ketakutan dan kegelisahan hidup seorang putera yang mengalami tekanan perasaan. Meskipun lahir dalam dulang emas, pengakhiran hidupnya penuh kesedihan, seperti gelaran Sado yang diberi untuk dirinya.

RUJUKAN:

Anonymous. (2016). Prince Sado of Korea – The Coffin King. Retrieved May 10, 2020, from http://www.historynaked.com/prince-sado- korea-coffin-king/

Haboush, J. K. (1996). The Memoirs of Lady Hyegyong: The Autobiographical Writings of A Crown Princess of Eighteenth-Century Korea. London, England: University of California Press.

Jeong, H. E., & Kim, C. Y. (2014). A Psychiatric Approach to Prince Sado : A Bipolar Disorder Sufferer or a Victim of Party Strife. J Korean Neuropsychiatr Assoc, 53(5), 299–309.

Jin, E.-S. (2015). The ever – changing history of Prince Sado. Retrieved May 10, 2020, from https://koreajoongangdaily.joins.com/news/ article/article.aspx?aid=3010313

Lee, B. (2004). Psychoanalytic Note on the Death of Prince Sado. J Korean Psychoanalytic Society, 15(2), 228–238.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.