Moving Forward As One

S. Shamsudin – Ikon Pelawak Filem Melayu Klasik

982

Lawak jenakanya masih segar serta mampu membuatkan kita ketawa sehingga ke hari ini.

Malah dalam satu bengkel seni lakon, seniman Nordin Ahmad pernah berkata: “Jika ingin jadi pelawak, belajar dengan A.R. Tompel dan S. Shamsuddin”.

S. Shamsuddin atau nama sebenarnya Samsudin bin Dali dilahirkan pada 1 Januari 1929 di Pasir Panjang, Singapura. Bapanya berasal dari Melaka, manakala ibunya berasal dari Singapura.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Sebelum menjadi pelakon, Sudin bekerja sebagai tukang kayu di studio Jalan Ampas. Beliau mula bekerja di sana pada tahun 1948. Kerjanya membuat set untuk filem-filem terbitan studio itu. Gajinya ketika itu $50 sebulan.

Kali pertama Sudin dapat peluang berlakon ketika pengarah B.S. Rajhans mengarahkan sebuah filem berjudul Chempaka pada tahun 1948. Itu pun sebagai pelakon extra je dengan bayaran $3. Lepaslah untuk Sudin buat minum-minum kopi.

Selepas 2 tahun jadi pelakon extra, barulah Sudin naik jadi pelakon pembantu dalam filem Aloha (1950) bersama P.Ramlee. Dalam filem tu Sudin jadi pak lawak dan lakonannya memuaskan hati majikan. Selepas filem Aloha, Sudin kerap berlakon sebagai pelawak di studio Jalan Ampas.

Pada tahun 1953, Sudin diberi kepercayaan untuk jadi pelakon utama dalam filem Istana Impian arahan V. Girimaji. Ini adalah salah satu filem Sudin yang beliau bawa watak serius.

Pada tahun 1957, Sudin bersama Aziz Sattar terpilih untuk menjadi pelakon utama dalam filem komedi pertama arahan P. Ramlee iaitu Bujang Lapok. Filem ini mula ditayangkan pada 30 November 1957.

Komen P. Ramlee: “S. Shamsuddin adalah seorang pelakon lawak yang memang berbakat. Saya tak perlu mengajar dia berlawak, memadai menerangkan kemahuan saya, dan lebih menyenangkan saya, dia dapat membuatnya lebih baik daripada yang saya jangkakan.”

Satu kehebatan Sudin dalam berlawak, beliau adalah seorang yang tidak memerlukan skrip dalam menterjemahkan dialognya. Permainan mimik mukanya juga sangat berkesan sehingga mempu membuat penonton ketawa walaupun Sudin tak berdialog.

Insan yang sering menghantui hidup Abang Sudin. Kalau jumpa asyik kena pau je

Salah satu teknik yang Sudin amalkan untuk membuatkan lawak ialah dengan menggunakan kerengga. Menurut S. Sudarmadji, Sudin akan berlatih seorang diri dengan meletakkan kerengga di atas batang hidungnya dan membiarkan kerengga itu berkeliaran di mukanya.

Dengan cara ini Sudin dapat membuat senaman muka bagi mengelakkan beliau berasa geli akibat berkeliarannya kerengga itu tadi. Secara tidak langsung Sudin telah melakukan teknik mimik muka yang natural dan bukannya dibuat-buat.

Menurut Wahid Satay, sangat susah untuknya mendominasi pentas apabila beliau digandingkan dengan Sudin ketika melakukan ‘stand-up comedy’.

“Kalau ada ‘kunci’nya, baru kita boleh diamkan Sudin”, kata Pak Wahid.

Menurut Aziz Sattar pula, Sudin adalah pelakon yang sukar untuk dikawal ketika di set. Kalau berlawak, dia suka buat dialog sendiri. Tapi kebiasaannya pengarah akan terima je sebab apa yang Sudin buat tu lebih baik dan kelakar daripada benda yang sepatutnya dia kena buat.

Di luar bidang lakonan, Sudin adalah seorang yang pendiam. Sudin tak suka campur hal orang dan tak pernah bercakap hal buruk tentang orang. Dia buat hal sendiri je. Ramai pelakon dan pekerja studio senang dengan sifatnya ini.

Sudin bekerja di studio Jalan Ampas sehingga penutupannya pada tahun 1967. Sesekali beliau akan dapat tawaran berlakon di Cathay Keris.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, Sudin sering berulang alik dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk berlakon filem. Sudin pernah diberi anugerah Pelawak Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) menerusi filem Dia Ibuku arahan Yassin Salleh.

Di Festival Filem Malaysia ke-22 (2009) pula, Sudin diberi penghargaan Anugerah Khas Juri: Artis Veteran Lelaki di atas sumbangannya dalam bidang seni di Malaysia.

S. Shamsuddin meninggal dunia pada 4 Jun 2013 di Singapura ketika berusia 84 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu dan 7 orang anak. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi, Singapura. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang orang beriman.

Ruangan komen telah ditutup.