Sebelum ini, Tuan Shahmil Hafiz (Rusuhan Penjara Mexico) pernah menulis berkenaan sebuah rusuhan penjara yang berlaku di sebuah fasiliti penjara yang terletak di Santa Fe, Amerika Syarikat. Rusuhan tersebut berlaku akibat daripada pemberontakan yang tercetus dalam kumpulan banduan di sana terhadap beberapa hal yang mereka tidak berpuas hati. Tambahnya lagi, dikatakan juga bahawa rusuhan penjara tersebut merupakan yang paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat.

Untuk pengetahuan umum, pemberontakan banduan juga pernah berlaku di negara kita pada beberapa dekad yang lalu. Beberapa orang banduan telah menawan sebuah klinik di dalam Penjara Pudu dalam pemberontakan mereka untuk menekan pihak berkuasa supaya mengurangkan pertuduhan terhadap mereka di muka pengadilan. Apa yang lebih teruk tentang pemberontakan banduan ini ialah mereka berjaya  menjadikan dua orang petugas kesihatan sebagai tebusan mereka.

Penawanan Klinik Penjara & Puncanya

Segalanya bermula pada pagi Jumaat, 17 Oktober 1986 ketika para banduan sedang berada di Klinik Penjara Pudu bagi menjalani rutin pemeriksaan kesihatan mereka. Pemeriksaan kesihatan pada ketika itu yang diketuai oleh seorang Doktor Pakar Kulit, Dr. Rafdzi Jaafar yang juga turut dibantu oleh pembantunya seperti kebiasaannya. Kesemua individu yang berada di Klinik Penjara tersebut dikejutkan dengan serangan daripada 6 orang banduan yang menggunakan objek tajam sebagai senjata. Serangan mengejut ini diketuai oleh Chua Chep Seng atau lebih dikenali sebagai Jimmy Chua bersama-sama dengan 5 orang konconya iaitu Lam Hock Sung, Ng Lai Huat, Sin Ah Lau, Yap Chee Keong dan juga Phang Boon Ho.

Sebaik sahaja mereka berjaya menawan klinik tersebut, mereka telah mengarahkan kesemua individu yang berada dalam Klinik Penjara tersebut supaya keluar meninggalkan bangunan tersebut kecuali untuk Dr. Rafdzi Jaafar dan pembantunya yang dijadikan sebagai t3bus4n. Mujur sekali, warden terakhir yang meninggalkan bangunan tersebut telah melakukan satu tindakan yang amat bijak dengan mengunci pintu klinik tersebut sebagai langkah untuk tidak membenarkan pemberontak-pemberontak yang diketuai oleh Jimmy Chua itu lari dan meninggalkan bangunan Klinik Penjara Pudu tersebut. Kemudian, dengan tangkasnya beliau berjaya mengumpulkan beberapa orang Pegawai Penjara untuk mengepung bangunan tersebut. Apa yang membuatkan keadaan menjadi lebih sukar buat pemberontak-pemberontak itu ialah apabila bekalan elektrik di bangunan Klinik Penjara tersebut dipotong.

Serangan dan penawanan Klinik Penjara ini dilaksanakan oleh Jimmy Chua dan konco-konconya kerana mereka yang pada ketika itu dalam tempoh tahanan reman sedar yang hukuman berat menanti mereka di atas kesalahan jenayah yang telah dilakukan oleh mereka. Oleh itu, penawanan Klinik Penjara bersertakan dengan penebusan 2 orang petugas kesihatan ini dilakukan dalam usaha mereka untuk berunding atau lebih tepat lagi untuk mengugut pihak berkuasa agar mereka boleh dikenakan hukuman yang ringan sahaja di atas kesalahan jenayah mereka lagi-lagi Jimmy Chua yang bakal dikenakan hukuman gantung sampai mati atas kesalahannya membunuh seorang pegawai polis.

Kebijaksanaan Pihak Berkuasa Dalam Mengatur Strategi

Pihak polis telah dikerahkan ke Penjara Pudu dalam usaha untuk menangani krisis yang dihadapi pihak penjara di sana. Pihak polis juga sempat berunding dengan Jimmy Chua dalam usaha untuk memujuk mereka menyerah diri dan melepaskan banduan. Jimmy Chua bersetuju untuk melepaskan banduan dengan syarat pihak berkuasa perlu memberikan sebuah kenderaan bersama sejumlah wang serta membebaskan mereka. Permintaan ‘gila’ Jimmy Chua terus ditentang keras oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam pada ketika itu, Dato’ Mohd Zaman Khan.

Rundingan tersebut gagal dan pihak polis terpaksa merancang strategi baharu. Beberapa hari telah berlalu dan Jimmy Chua bersama konco-konconya yang bertahan hanya dengan sisa bekalan makanan yang terdapat dalam Klinik Penjara tersebut masih enggan untuk keluar menyerah diri dan membebaskan 2 orang tebusan yang ‘dipegang’ bersama dengan mereka. Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) yang pada ketika itu sudah bersiap sedia dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan terhadap pemberontak-pemberontak tersebut.

Sebelum itu, Perdana Menteri pada ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (belum menerima gelaran Tun) telah mengarahkan pasukan UTK untuk melaksanakan serangan tanpa menggunakan senjata api supaya tidak berlakunya sebarang pertumpahan darah. Oleh sebab itu, pasukan UTK hanya menggunakan senjata jenis cota dan rotan untuk menyerang pemberontak-pemberontak tersebut.

Akhirnya pada hari keenam penawanan Klinik Penjara tersebut, pasukan UTK menemui masa yang sesuai untuk melaksanakan serangan apabila mendapat maklumat bahawa Jimmy Chua dan konco-konconya sedang tidur nyenyak di dalam bangunan tersebut. Pasukan UTK yang berkekuatan 12 orang pada ketika itu berjaya menyelinap masuk tanpa disedari kehadiran mereka di dalam klinik tersebut. Jimmy Chua dan konco-konconya akhirnya berjaya ditahan oleh pasukan UTK yang sememangnya pakar dalam situasi sebegini tanpa berlakunya pertumpahan darah langsung dalam penahanan keenam-enam individu tersebut.

Jimmy Chua Selepas Ditahan

Jimmy Chua bersama-sama 5 orang konconya kemudian dibawa ke muka keadilan bermula tarikh 18 April, 1987. Mereka dituduh di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang juga boleh membawa kepada hukuman gantung sampai m4ti jika disabitkan kesalahan. Keenam-enam mereka kemudian dibuktikan bersalah di Mahkamah Tinggi dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Kesemua mereka kemudian akhirnya digantung mati pada 10 Oktober 1989 di atas kesalahan mereka menawan Klinik Penjara Pudu.

Syabas dan terima kasih kepada kesemua pihak yang telah terlibat dalam usaha untuk menangkap kesemua individu terbabit dalam penawanan klinik tersebut. Kebijaksanaan pihak berkuasa dalam menyusun strategi adalah amat mengagumkan kerana kesemua individu tersebut ditahan tanpa sebarang pertumpahan darah sekalipun.

RUJUKAN :

  1. BERNAMA TV (2016). B:File – Tebusan Penjara Pudu. https://www.youtube.com/watch?v=eO6-m1y0BjY
  2. Iluminasi (2019). Peristiwa Rusuhan Banduan Penjara Pudu Yang Menggemparkan Negara Pada Tahun 1986. https://iluminasi.com/bm/rusuhan-penjara-pudu-peristiwa-rusuhan-banduan-yang-menggemparkan-negara-pada-tahun-1986.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.