Rusuhan Penjara New Mexico

3442
views

Pada tarikh 2 dan 3 Februari 1980, tercetusnya rusuhan di Penjara Sekuriti Maksimum New Mexico. Fasiliti penjara ini terletak di Santa Fe, Amerika Syarikat.

Imej yang bakal anda lihat ini adalah kesan peninggalan selepas peristiwa rusuhan yang berlangsung selama 36 jam. Ia termasuk dalam senarai rusuhan yang paling berdarah dalam sejarah institusi penjara di Amerika Syarikat.

Rusuhan ini dikatakan terjadi berikutan keadaan penjara dan ruang tinggal yang sangat teruk, dan beberapa faktor lain seperti berikut;

1. Ruang tinggal atau sel penjara yang tidak bersih.

2. Ketidakpuasan hati banduan dengan makanan yang disediakan oleh pihak penjara.

3. Kekurangan pengawal penjara yang terlatih, dan permasalahan polisi mengawal keadaan.

4. Permasalahan sekuriti oleh kerana banyak kawasan boleh diakses dengan mudah oleh banduan tanpa halangan yang sepatutnya.

5. Populasi banduan yang semakin meningkat kepada 1,136 orang semasa rusuhan terjadi. Penjara itu sepatutnya menempatkan 900 orang banduan sahaja.


Lakaran tentang bahagian-bahagian penjara yang berlakunya keganasan antara perusuh.

Rusuhan tersebut tercetus apabila beberapa orang banduan yang dalam keadaan mabuk dengan meminum arak buatan sendiri, telah menjadikan salah seorang pengawal penjara sebagai tebusan ketika beliau sedang meronda.

Mereka kemudian bertindak merampas kunci pengawal untuk membuka sel-sel berhampiran, seterusnya melepaskan banduan lain. Tidak lama kemudian, para banduan yang semakin lama semakin ramai itu berjaya menawan bilik kawalan utama.

Bilik kawalan yang dipecahkan

Setelah mempunyai akses kepada bilik kawalan utama, mereka menggunakan sistem kawalan, dan membuka hampir kesemua sel di dalam penjara terdebut. Ini membebaskan kesemua banduan termasuklah golongan banduan yang dikategorikan sebagai ‘banduan yang paling teruk’. Senjata dan peralatan lain yang diletakkan di dalam bilik kawalan ini juga telah diambil perusuh.

Walau bagaimanapun, tidak seperti rusuhan di Penjara Attica yang mempunyai ketua rusuhan dan pelan yang terancang, banduan di Penjara New Mexico ini terbahagi kepada beberapa kumpulan kecil yang boleh dikatakan berlainan ‘ideologinya’.

Banduan dari geng-geng yang bermusuhan ini mula membunuh banduan dari geng yang berlainan.

Keadaan di dalam bilik kawalan utama

Keganasan dan kekacauan menjadi lebih teruk lagi apabila para banduan menubuhkan sebuah ‘skuad pembunuhan’.

Mereka kemudian bertindak mencari golongan banduan yang diketahui telah menjadi pembelot dan memberi maklumat kepada polis, serta banduan yang telah membunuh dan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa serangan seksual. ‘Golongan’ ini ditempatkan di sel pengasingan.

Sebagai fakta tambahan, tahukah anda, seorang pesalah yang membunuh dan membuat serangan seksual terhadap kanak-kanak (pedofil) terletak di dalam ‘kasta’ yang paling rendah dalam penjara?

‘Skuad pembunuhan’ itu kemudian berjaya memecah masuk blok sel yang menempatkan ‘golongan terendah’ itu dengan menggunakan alat pemotong besi.

Salah seorang banduan yang menjadi mangsa perusuh, telah diangkat dan ditempatkan berhampiran tingkap seolah-olah sebagai pameran kepada polis yang sedang berkawal di luar penjara tersebut. Perusuh kemudian membakar muka mangsa itu hidup-hidup.

Kemudian, kumpulan perusuh itu telah bertindak memenggal kepala seorang banduan. Kesan tetakan menggunakan kapak itu telah diambil gambarnya oleh pihak polis selepas rusuhan tersebut berakhir.

Terdapat pengakuan salah seorang banduan ketika ditemubual berkata, beliau ternampak dua orang banduan lain menggunakan penyapu untuk memukul kepala yang dipenggal, seolah-olah kepala itu adalah bola.

Blok sel 4 yang menempatkan banduan pengasingan

Selepas pihak berkuasa berjaya mendapatkan akses kepada penjara selepas rusuhan berakhir, mereka menjumpai mayat seorang banduan lelaki dalam keadaan yang mengerikan.

Beliau digantung pada siling dan lehernya telah dikelar. Selain itu, kemaluannya juga telah dipotong dan diletakkan ke dalam mulutnya. Banduan lelaki itu, hanyalah seorang pencuri biasa. Beliau ditempatkan di sel pengasingan kerana sebelum ini, beliau dikatakan telah dirogol beramai-ramai oleh banduan lain.

Bukan banduan sahaja yang menerima ‘hukuman’ daripada kumpulan perusuh, 7 daripada 12 pengawal penjara yang dijadikan tebusan juga telah dipukul dengan teruk, ditikam dan diliwat oleh banduan.

Bagaimanapun, ia menakjubkan kerana tiada pengawal penjara yang mati dibunuh.

Di dalam rusuhan ini, 33 orang banduan telah mati dibunuh dan dimutilasi, dan 23 daripada banduan itu merupakan banduan yang telah ditempatkan di sel pengasingan.

Selain itu, seramai 200 orang banduan lain telah dipukul dan dirogol oleh kumpulan perusuh. 90 orang daripada banduan telah dibawa ke hospital akibat “overdose” dadah yang diambil dari hasil pecah masuk farmasi penjara dan kecederaan akibat pergaduhan.

Rujukan:

The 1980 New Mexico Prison Riot by Mark Colvin. Retrieved from: https://www.radford.edu/~junnever/articles/prison.htm

1980 New Mexico State Penitentiary prison Riot- Documentary. Retrieved from: https://m.youtube.com/watch?v=3M-hPpuAqwQ