Russio-Fobia

0
561
views

Di Barat sekarang tengah kecoh pasal Rusia. US, UK, Perancis dan Jerman bersepakat mengutuk Rusia sebagai dalang disebalik kejadian serangan racun ke atas bekas “double agent” bernama Sergei Skripal yang bermastautin di Salisbury, UK.

Kejadian ini juga memberi justifikasi kepada Trump untuk mengenakan sekatan ke atas Rusia, atas dakwaan Rusia bercampur tangan dalam pilihanraya US tahun 2016 dan kegiatan “cyberattack” terhadap US, walaupun selama ini Trump cuba menghalang sekatan tersebut (ada misteri di situ).

Kekecohan ini tidak timbul secara kebetulan. Pilihanraya Rusia akan diadakan pada Ahad ini (18 Mac 2018) dan Vladimir Putin dijangka akan dilantik semula sebagai Presiden Rusia. Kuasa-kuasa Barat sudah lama menunggu peluang (atau mencipta peluang) untuk menekan Putin. Macam orang yang tertunggu-tunggu kesilapan Ayman. Sekali silap kecil, fuh dia punya tabuh, macam orang dapat air selepas seminggu kemarau.

Kenapa kuasa-kuasa Barat, terutamanya pakatan US-UK (pakatan “Anglo-Amerika”) begitu anti dengan Rusia dan Putin? Sebenarnya sentimen anti-Rusia atau “Russophobia” ini telah lama wujud dalam sejarah.

Baru-baru ini majalah The Economist memaparkan muka depan (di sebelah kanan) yang memuatkan karikatur Putin sebagai seekor kurita (octopus). Ia cuba menggambarkan Rusia sebagai seekor sotong kurita raksasa yang menjalarkan tangannya ke bumi negara-negara jiran. Bila orang tengok kurita dia rasa geli, jijik dan takut. Itulah tujuannya untuk menimbulkan persepsi negatif massa terhadap Rusia dan Putin.

Muka depan The Economist ini mengingati ramai tentang tradisi propaganda Barat yang sememangnya suka menggambarkan Rusia sebagai kurita, contohnya seperti peta Eropah terbitan tahun 1900 di sebelah kiri. Tsar Nicholas II pula jadi sotong kurita. Mesejnya adalah bahawa Rusia ialah sebuah negara yang agresif dan rakus.

Tanggapan terhadap Rusia sebagai imperialis yang rakus kuasa bertambah kukuh selepas seorang ahli geografi berbangsa UK, Halford Mackinder mengemukakan teori “Heartland” pada tahun 1904. Menurut Mackinder, Rusia menduduki kawasan “heartland” (daerah jantung) benua Eropah-Asia (atau “Eurasia”) yang meliputi kawasan Asia Tengah dan Eropah Timur.

Kelebihan geografi yang berada di tengah-tengah dan terlindung dari laut terbuka ini membuatkan Rusia berpotensi untuk menguasai benua Eurasia dengan memperluaskan jajahannya ke arah barat, timur dan selatan, seperti kurita yang menggenggam mangsanya. Jadi Mackinder melihat Rusia sebagai ancaman kepada kepentingan kuasa-kuasa Barat, terutamanya kepentingan Empayar UK di Asia.

Namun begitu, disebabkan oleh ancaman Jerman dalam kedua-dua perang dunia, UK terpaksa bekerjasama dengan Rusia. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, US yang menggantikan tempat UK sebagai kuasa ulung dunia telah mengaplikasikan teori Mackinder. Untuk menghalang Rusia dari menguasai Eurasia, US menubuhkan pakatan NATO di sebelah Eropah Barat, pakatan CENTO di Timur Tengah serta pakatan Jepun dan SEATO di Asia Timur untuk membendung (“contain”) Rusia dari arah barat, selatan dan timur. US berpakat dengan sesiapa sahaja, termasuk mujahideen di Afghanistan, untuk membendung pengembangan kuasa Rusia.

Selepas keruntuhan rejim komunis Rusia pada tahun 1991, Rusia berada dalam keadaan huru hara. US mengambil peluang ini untuk memperluaskan pengaruhnya ke negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah, dengan tujuan untuk menguasai “heartland” Rusia. Rusia ketika itu dah umpama sebuah “failed state”, Presiden Boris Yeltisn terlalu lemah untuk melindungi kepentingan Rusia.

Yevgeny Primakov yang memegang jawatan Menteri Luar pada tahun 1996 dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Rusia pada tahun 1998 cuba membalikkan tren kemerosotan kuasa Rusia. Primakov ingin mewujudkan pakatan dengan China, India dan Iran untuk “counter” pengaruh US. Usaha Primakov membawa kepada pengisytiharan pakatan Rusia-China pada tahun 1997 untuk mewujudkan sebuah dunia “multipolar” yang bebas daripada dominasi US (“unipolar”). Anak murid Primakov, iaitu Putin meneruskan agendanya selepas menjadi presiden pada tahun 2000.

Selain meneruskan kerjasama dengan China, Putin juga mula mengetatkan kawalan ke atas negara-negara jiran yang dianggap sebagai pintu masuk kepada “heartland”, antaranya Ukraine, Georgia dan Syria. Tindakan Rusia di negara-negara ini ditafsirkan oleh kuasa-kuasa Barat sebagai “imperialism” dan “aggression”. Namun dari sudut pandang yang neutral dan realis, Rusia berbuat demikian untuk tujuan kelangsungan hidup. Takkan kot nak tengok US dan NATO makin berkembang tapi tak buat apa-apa?

Lebih-lebih lagi dengan kebangkitan China sebagai pencabar kepada kuasa US di Asia-Pasifik, lagilah Rusia dilihat sebagai duri dalam daging. US risau gabungan China dan Rusia akan merealisasikan mimpi ngeri Mackinder iaitu penguasaan benua Eurasia oleh “heartland power”. Sekarang bukan saja Rusia semakin dominan di Eurasia, malah China pun memiliki cita-cita yang sama menerusi “Belt and Road”. Jadi tak hairanlah sekiranya kuasa-kuasa Barat semakin terdesak dan “berdrama” untuk menekan Rusia.

Tapi jangan disebabkan Rusia melawan US, kita pun nak jadi pro-Rusia atau mengagung-agungkan dan memuja Putin. Kebangkitan Rusia dan China memang bagus untuk mewujudkan sebuah dunia “multipolar” yang tidak berpaksikan US, namun Rusia dan China tetap kuasa imperialis yang mengutamakan kepentingan negara mereka. Jangan kita keluar dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.

Sebagai negara kecil, pilihan yang ada di tangan kita adalah untuk mewujudkan hubungan yang seimbang (“balance of power equilibrium”) dengan kesemua kuasa-kuasa besar ini, dan ia bukanlah sesuatu yang mudah.