Rusa Ekor Putih – Tanduk Berdarah

1,030

Bagi Rusa Virginia a.k.a Rusa Ekor Putih atau nama saintifiknya Odocoileus virginianus yang berjantina jantan, tanduknya akan mula tumbuh pada lewat musim bunga.

Tanduk ini diliputi oleh lapisan tisu yang dikenali umum sebagai velvet @ baldu, dan ia dilengkapi saluran darah untuk membekalkan nutrisi bagi tanduk itu membesar.

Apabila tiba lewat musim panas, tanduk rusa itu telah pun mengeras. Lapisan tisu baldu itu sama ada akan tertanggal dengan sendirinya sedikit demi sedikit, atau rusa itu yang akan mempercepatkan proses menanggalkan baldu tersebut. Iaitu dengan menggosokkan tanduknya pada permukaan kasar seperti pokok.

Selain itu, pakar berpendapat bahawa kelakuan rusa ekor putih ini menggosok tanduknya pada pokok adalah untuk menguatkan otot leher.

Walaupun pendarahan berlaku ketika proses tersebut, ia tidak mendatangkan kesakitan kepada rusa oleh kerana tisu dan saraf telah tiada lagi pada bahagian tanduk, setelah tisu baldu itu mati.

Difahamkan, rusa akan memakan tisu baldu yang ditanggalkan dari tanduknya, sebagai satu cara untuk mendapatkan nutrisi tambahan.

Seterusnya, apabila tiba musim sejuk, tanduk itu akan ditanggalkan oleh rusa. Dan kitaran untuk menghasilkan tanduk baru akan terus dimulakan sejurus selepas itu.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.