Moving Forward As One

Rupa-Rupanya Wujud Penguin Kuning

789

Selalunya bila melihat penguin sama ada di zoo atau rakaman dokumentari, kita selalu melihat warnanya hitam dan putih. Tetapi bagi seorang jurugambar hidupan liar, dia bertuah kerana berpeluang melihat seekor penguin mempunyai warna yang cukup unik iaitu kuning dan putih.

Mungkin ada menggaru kepala menyangka ini sesuatu yang mustahil. Tetapi itulah perasaan sama dialami jurugambar Belgium, Yves Adams semasa mengambil gambar penguin di sebuah pulau di South Georgia pada Disember 2019. Semasa mengambil gambar ratusan ribu penguin di pulau tersebut, dia perasan wujud anomali dalam bentuk seekor penguin berwarna kuning dan putih.

Sebaik melihat penguin unik tersebut, ramai ahli ekspedisi menghentikan semua kerja mereka dan mengambil gambar haiwan tersebut. Mereka bernasib baik semasa gambar diambil, tiada gangguan daripada haiwan-haiwan laut besar ketika itu. Jika tidak, usaha mengambil gambar haiwan tersebut akan menjadi sukar.

Adams percaya penguin tersebut mengalami satu keadaan yang dipanggil ‘leucism’. Ia bermaksud satu keadaan di mana haiwan mengalami kehilangan sebahagian daripada pigmennya yang mengakibatkan warna bahagian terjejas bertukar menjadi putih. Dan ramai saintis percaya menerusi gambar tersebut, ia mewakili penemuan baru berkenaan pigmen bulu.

Sembilan tahun lepas, seekor penguin berwarna putih ditemui di sebuah koloni penguin chinstrap di Antartika. Mereka percaya warna tersebut terhasil daripada mutasi genetik mencairkan pigmen dalam bulu penguin tersebut. Penyelidik Daniel Thomas mendedahkan pigmen sebegini sebagai unik dan berbeza daripada lima kelas pempigmenan burung serta mewakili kelas keenam untuk pigmen bulu burung.

RUJUKAN:

Dalton, J. (2021). Yellow penguin sighted for ‘first time ever’ in South Atlantic. The Independent.

Ruangan komen telah ditutup.