Plaza Rana. Sebuah bangunan dibandar Savar Upazila. Savar ialah sebuah bandar berdekatan Dhaka, Bangladesh. Bangunan ini dimiliki oleh ahli perniagaan bernama Sohel Rana.

Bangunan ini pada asalnya ialah sebuah bangunan yang bertujuan untuk aktiviti komersial, gerai jualan dan aktiviti perniagaan. Tetapi kemudian ditukar dan digunakan untuk industri pakaian. Bangunan ini turut menempat bank, beberapa buah kedai dan sebagai tempat tinggal. Dianggarkan lebih 5000 orang bekerja dalam bangunan ini.

Tapak bangunan ini didirikan pada asalnya ialah kolam yang ditambak dan dijadikan asas bangunan. Berdasarkan laporan, pengubahsuaian dan penambahan empat tingkat atas tidak mendapat kelulusan yang sah daripada pihak berwajib.
Bangunan ini sepatutnya cuma mempunyai enam tingkat pada rancangan awal tetapi semasa hari kejadian bangunan ini mempunyai lapan tingkat dan tingkat kesembilan masih dalam proses pembinaan.

Rekaan bangunan ini juga tidak mampu menanggung bebanan jentera berat yang ditempatkan di tingkat paling atas bangunan.

Sehari Sebelum Runtuhan

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh CNN, retakan panjang pada bahagian sisi bangunan telah didapati sehari sebelum kejadian runtuhan yang menggadai nyawa ini.

Semua penghuni bangunan mengosongkan bangunan selepas retakan pada bangunan itu kelihatan. Kedai-kedai dan bank yang berada ditingkat bawah ditutup.

Akan tetapi, pada hari yang sama juga, Sohel Rana selaku pemilik bangunan ini membuat pengumuman bahawa bangunan ini masih selamat untuk diduduki. Kesan retakan yang muncul tidak membahayakan penghuni dan akan diperbaiki. Dia juga meminta semua pekerja untuk kembali bekerja pada keesokan harinya.

Dilaporkan seorang jurutera telah dipanggil untuk memeriksa bangunan selepas retakan itu timbul. Jurutera itu juga telah memaklumkan kepada pemilik bangunan dan pengurusan bangunan itu tidak selamat untuk diduduki dan perlu diperbaiki. Tetapi pemilik dan pengurusan tidak mengendahkan amaran itu.

Runtuhan 24 April 2013.

Pada awal pagi, pekerja mula datang bekerja seperti biasa. Diesel generators yang ditempatkan ditingkat paling atas(lapan) dihidupkan untuk penjanaan tenaga.

Presiden Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian mengesahkan bahawa 3,122 pekerja berada di bangunan semasa kejadian itu.

Runtuhan berlaku pada jam 8.57 pagi waktu tempatan. Saksi kejadian yang berada berhampiran bangunan itu mendakwa gegaran runtuhan itu seperti gegaran gempa bumi.

Satu laman rasmi pengurusan kilang ini turut melaporkan sebahagian daripada mangsa ialah kanak-kanak memandangkan terdapat tempat penjagaan anak dalam bangunan ini bagi pekerja yang membawa anak ke tempat kerja.

Pencarian dan Menyelamat.

Persatuan Bangsa Bersepadu(PBB) menawarkan bantuan pakar untuk dihantar membantu proses pencarian mangsa tetapi ditolak oleh Kerajaan Bangladesh atas alasan mereka masih mampu mengawal keadaan.

Menteri yang terlibat telah mengarahkan pihak bomba, polis dan tentera untuk membantu dalam proses pencarian dan menyelamatkan mangsa. Sukarelawan yang terdiri dari keluarga mangsa turut terlibat dalam pencarian.

Seramai 2347 mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan.
Menurut laporan BBC, sebanyak 1127 mayat mangsa yang terperangkap dikeluarkan dan sebahagian kecil tidak dapat dikenalpasti kerana tiada pengenalan diri.

Pampasan Kepada Keluarga Mangsa.

Dalam keadaan mangsa dan keluarga mangsa yang kehilangan mata pencarian, pampasan telah diberikan sebanyak 200 dollar sekiranya mereka berjaya membuktikan mayat mangsa ialah keluarga mereka. US membantu keluarga mangsa dengan membekalkan kit DNA untuk kegunaan membuktikan hubungan dengan mangsa. International Labour Organisation (ILO) turut membantu dengan membuat tabung dana bantuan pampasan kepada mangsa dan keluarga yang terlibat, turut disertai oleh beberapa syarikat pakaian yang mempunyai hubungan perniagaan dengan pengurusan bangunan ini.

Namun, terdapat juga keluarga mangsa yang gagal membuktikan mangsa mempunyai hubungan saudara akibat kekurangan dokumen berkaitan.

Siasatan Punca Kejadian Kemalangan.

Antara penyebab utama bangunan ini runtuh ialah:

1. Bangunan ini didirikan diatas tambakan kolam. Tambakan tidak kukuh untuk menyokong tapak bangunan ini.

2. Penukaran kegunaan komersial, pusat jualan kepada industri perkilangan pakaian. Struktur bangunan ini tidak direka untuk menampung beban jentera berat seperti generator dan mesin proses pembuatan pakaian.

3. Penambahan 4 tingkat atas adalah tidak mendapat kelulusan pihak berwajib.

4. Berdasarkan siasatan bencana, bahan yang digunakan dalam pembinaan bangunan ini tidak mencukupi dan tidak berkualiti. Sebagai contoh, besi bar sokongan dalam tiang utama kecil dan tidak mengikut piawaian yang betul untuk pembinaan bangunan enam tingkat.

5. Gegaran berterusan daripada jentera dibahagian atas bangunan turut memberi impak kepada struktur bangunan menyebabkan bangunan retak dan seterusnya runtuh.

Kesimpulan.

Kejadian runtuhan ini membawa kepada penahanan pemilik bangunan, Sohel Rana atas kesalahan gagal menyediakan tempat yang selamat untuk bekerja, memalsukan dokumen dan rasuah untuk kelulusan bangunan. Beberapa orang bahagian pengurusan bangunan ini turut ditahan termasuk jurutera yang terlibat semasa proses penambahan empat tingkat atas.

Orang awam turut mempertikaikan mengapa bangunan ini boleh beroperasi sedangkan tingkat paling atas masih dalam proses pembinaan struktur.

“Kontraktor dan yang terlibat dalam pembinaan bangunan termasuk kuli tanpa gaji, ikhlaslah dalam pekerjaan.
Yang kau bina tu bangunan untuk manusia, bukan reban ayam.”

Rujukan.

1. Jim Yardley (2013) Report on Deadly Factory Collapse in Bangladesh Finds Widespread Blame. New York Times.
https://mobile.nytimes.com/…/report-on-bangladesh-building-…

2. Ker Than (2013) Bangladesh Building Collapse Due to Shoddy Construction. National Geographics Channel.
https://news.nationalgeographic.com/…/130425-bangladesh-dh…/

3. BBC News (2013) Bangladesh building collapse death toll over 800.
http://www.bbc.com/news/world-asia-22450419

4. Md Rezwanul Islam, Md Waliur Rahman, Fahad Ali Gul (2017) Savar Building Collapsed, The Dark History of Dhaka.
ISSN: 2455-6114

*Gambar dari BBC News


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Diploma Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Ranaco Education & Training Institute (RETI). Bidang penulisan sebagai pengisian masa lapang. Minat dalam bidang psikologi pekerjaan dan teknologi bangunan. "Hidup tak pernah adil. Tindak balas kita berbeza." - Azam Abu Bakar, 2019

Comments are closed.