Rumusan Inkues Adib – Hari Keenam (18/2/2019)

747
views

1. 2 Orang lagi saksi dipanggil dalam sesi Inkues Allahyarham Adib semalam di Mahkahmah Shah Alam.

2. Mereka adalah terdiri daripada:

Saksi ke-9.

Saksi 9 (Saksi Awam) – Narresh Rajandran, 30 tahun, Teknikal Kru. *dipanggil semula.

Saksi ke-10.

Saksi 10 (Saksi Awam) – Hafizan Nordin, 33 tahun, pegawai peribadi, bekas pembantu perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

3. Ada Kesan lebam pada rusuk kanan Adib

Selepas saksi 9 dan beberapa orang awam mengangkat Muhammad Adib ke dalam kenderaan jenis Mitsubishi Storm di bahagian belakang (bucket) milik seorang lelaki, dia memeriksa keadaan Adib dan mendapati bahawa ada kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba itu.

Saksi 9 yang merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam menjelaskan, ketika tersandar di kereta, baju celoreng dan t-shirt Adib telah ditanggalkan dan ketika di atas kenderaan pacuan empat roda itu, dia ternampak kesan tapak kasut berikutan kulit mangsa yang putih.

Saksi 9 berkata, kesan itu jelas dilihat pada bahagian luar rusuk kanan anggota bomba itu kerana berwarna merah.

“Bila tengok merah, saya ingat ada pendarahan dan saya terus bersiap sedia dengan mengambil baju anggota bomba untuk diikat pada badannya.

“Bagaimanapun, muka dan tangannya cedera tetapi tiada pendarahan pada telinga serta hidung mangsa,” katanya.

“Ketika itu, saya bersama seorang lagi menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm membawa anggota bomba ke hospital.

“Pada masa ini, saya mendekatkan muka di badannya dan ternampak pasir dan kesan kotoran pada rusuk kanannya bersaiz sejengkal. Saya telah mengelapnya dan kesan tersebut hilang selain fokus kepadanya dengan meneruskan komunikasi bersamanya walaupun dia tidak sedarkan diri,” katanya.

Pada masa sama, dia memberitahu, keadaan nadi anggota bomba itu turun naik sambil matanya sudah tertutup.

“Sepanjang perjalanan menghantarnya ke hospital, dia juga tidak memberikan sebarang respon tetapi saya terus memberinya sokongan moral,” ujarnya. 
.

4. Hanya mahu selamatkan Adib.

Saksi 9 berkata, dia pada ketika itu hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa arwah Adib walaupun orang ramai hanya memandangnya dan mengambil gambar menggunakan telefon bimbit.

“Pada awalnya, saya telah berlari dalam jarak 120 meter untuk mencari kereta membawa anggota bomba ke hospital namun tiada siapa membantunya. Selepas itu, saya telah berpatah balik kepada anggota bomba dan meminta orang ramai mengangkatnya dan mengikutnya dari belakang.

“Jarak saya dengan mereka kira-kira 10 langkah dan pada masa ini ternampak kereta Mutsubisihi Storm sedang mengundur. Saya telah meminta bantuan untuk menghantarnya ke hospital berdekatan,” ujarnya.
.

5. Peguam Keluarga Adib ucap terima kasih kepada Saksi 9

Peguam keluarga arwah Adib, Ahmad Taufiq Baharom atas pertolongannya membantu dan menghantar anggota bomba ke hospital selepas cedera dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.

“Terima kasih,” katanya.

Sambil mengangguk, saksi 9 yang juga anggota sukarelawan Pertahanan Awam berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan arwah Adib.

“Bomba datang nak tolong orang awam, tetapi apabila jadi seperti ini, siapa nak bantu dia,” katanya.
.

6. Tak sempat jumpa arwah Adib.

Saksi 9 berkata, dia sangat mengharapkan Muhammad Adib kembali sihat seperti sediakala.

“Saya harap dia sihat dan jumpa saya tetapi dia pergi (meninggal dunia).

“Pada hari dia meninggal, saya naik bas dan tren dari Klang untuk ke kampung Muhammad Adib, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, namun apabila sampai semuanya sudah selesai,” katanya dalam keadaan sebak.

Saksi 9 juga berkongsi bahawa dia kesal mengenai komen rakyat terhadapnya di dalam media sosial.

“Saya menerima ancaman menerusi perkataan daripada mereka dan sangat sedih,” katanya.

Menurutnya, sebagai saksi dia tidak memburukkan dan memihak kepada mana-mana pihak.

“Sehingga sekarang ada yang menghubungi saya.

“Saya baru saksi kesembilan, ada ramai lagi…Tolong jangan cakap benda bukan- bukan,” katanya.
.

7. Saksi 10 syak kesan lebam kerana dipijak kasut keras.

Saksi 10 percaya kesan merah dan lebam pada kecederaan arwah Adib adalah dipercayai disebabkan oleh objek tumpul.

Ia adalah berdasarkan andaiannya yang sebelum ini bertugas sebagai pembantu perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bukan kayu. Rasanya seperti tangan atau tapak kasut keras,” katanya.

Menurutnya, dia nampak kecederaan Muhammad Adib ketika membantu mengusung anggota bomba itu ke kabin (bucket) belakang Mitsubishi Storm miliknya untuk dibawa ke hospital.

“Saya nampak kecederaan bermula di bahagian bawah ketiak sehingga kawasan pinggang Muhammad Adib kerana ketika itu dia hanya berseluar celoreng,” katanya.
.

8. Dinasihatkan tidak turun daripada kereta.

Saksi 10 juga berkata, dia berada di Jalan Usaha berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman untuk ke Kota Kemuning.

“Saya tak tahu di situ ada kuil sebab saya menggunakan aplikasi Waze.

“Apabila tiba saya nampak ada orang menjerit meminta tolong kepada kereta di hadapan namun kereta itu tidak menurunkan cermin,” katanya.

Saksi 10 kemudiannya menurunkan cermin dan membuka pintu untuk turun daripada kenderaannya.

“Ketika menurunkan cermin, ada seorang perempuan India menjerit kepada saya: Dik, dik jangan turun nanti kena pukul.

“Tetapi saya sudah turun dan pergi ke arah mereka yang mengusung anggota bomba dan bawa ke kabin belakang,” katanya.

Menurutnya, dia bertanyakan dengan salah seorang kumpulan itu hospital mana yang terdekat sebelum memutuskan untuk ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)

“Perjalanan memakan masa 10 hingga 15 minit dengan kelajuan 80 hingga 100 km/j,” katanya
.

9. Prosiding pada hari keenam ini ditangguhkan dan bersambung…