1. “Melayu juga pendatang, kamu datang dari Indonesia!”

2. Ini adalah ungkapan yang biasa kita dengar, satu justifikasi dangkal tentang keberadaan orang Melayu di Nusantara atau apa yang seringkali pengkaji dan pakar antropologi gelarkan sebagai Alam Melayu.

3. Hujah dangkal ini boleh sahaja dibidas terus dengan menyatakan bahawa sempadan antarabangsa dan garis had politik Indonesia dan Malaysia hanya wujud sekitar 1945, iaitu tahun Indonesia merdeka, ataupun selepas Persekutuan Tanah Melayu wujud pada 1948, Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dan selepas kewujudan Malaysia pada 1963.

4. Jadi hujah simplistik itu hanya terpakai sejak tempoh ini sahaja, sedangkan orang Melayu telah wujud beribu tahun lampau di tanahnya ini. Tamadun purba Melayu misalnya yang direkodkan setakat ini mendapati kewujudan kerajaan Melayu sejak awal abad pertama lagi.

5. Sebelum semua peristiwa berlaku, sempadan antarabangsa sangat kabur dan kelabu, dipisahkan cuma secara lokaliti pentadbir tempatan atau empayar kuasa-kuasa besar dunia. Namun apa yang perlu diketahui, Indonesia moden hari ini, sejak dahulu juga masih masih berada di dalam lingkungan Alam Melayu atau Nusantara, bahkan lama wujud sebgai sebahagian dari Alam Melayu sebelum nama negaranya wujud seperti yang kita ketahui hari ini.

6. Sebagai bangsa pelayar, Melayu adalah antara bangsa paling awal membelah lautan dan meneroka kepulauan di sekitar Nusantara, bahkan menganjur sehingga luar sempadan Alam Melayu itu sendiri.

7. Ini adalah hasil binaan kapal-kapal yang memiliki keupayaan tinggi membelah lautan dengan draft yang kecil, namun cukup luas menampung ramai anak kapal malah tahan lasak pula mengharungi lautan luas dan ganas.

8. Dengan menyatakan bahawa Melayu adalah pendatang dari Indonesia ke Tanah Melayu atau Malaysia hari ini, samalah seperti mempersoalkan tuan rumah yang bergerak di dalam rumahnya sendiri. Ia bagai pemilik rumah tersebut keluar dari satu bilik lain untuk duduk pula di bilik sebelah dalam rumah yang sama.

9. Baik itu selesai. Malah selesai sejak lama apanama dahulu lagi.

10. Namun, apakah yang dikatakan sebenarnya maksud Alam Melayu? Apakah sempadan Nusantara? Bagaimana para sejarahwan, ahli arkeologi atau pakar antropologi menentukan apa yang mereka gelar sebagai Wilayah Malayo-Polynesia atau mutakhir ini namanya Austronesia?


Peta 1: Teori Wallace Line. Sebelah kiri ialah Alam Melayu, dan di sebelah kanan garisan Wallace lebih cenderung kepada benua Australia.

Peta 2: Wilayah Alam Melayu berdasarkan Teori Pentas Sunda.

11. Ada tiga teori popular yang diaplikasikan oleh pengkaji untuk dihujahkan sebagai penentu wilayah Alam Melayu.

12. Pertama, teori berdasarkan kepelbagaian bio. Teori ini dinamakan Teori Wallace Line telah menggunakan hasil kajian Alfred Russel Wallace terhadap kepelbagaian spesis flora dan fauna di Nusantara.

13. Beliau merupakan seorang pengkaji British yang pernah menetap di Asia Tenggara sekitar kurun ke-19. Kajiannya mendapati terdapat perbezaan spesis flora dan fauna yang jelas yang dipisahkan pada satu garisan halimunan yang digelar sebagai dinamakan sebagai Wallace Line. Garisan ini digariskan pada 1859, yang memisahkan kawasan seperti di dalam peta (peta 1) di bawah.

14. Garisan ini menunjukkan bahawa spesis flora dan fauna antara Jawa dan Bali (Alam Melayu) tidak sama dengan flora dan fauna di Lombok dan Sumbawa. Perbezaan ketara antara spesis juga terdapat di habitat Borneo (Alam Melayu) tidak sama dengan Sulawesi malah haiwan dan tumbuhan di kepulauan Filipina (Alam Melayu) juga amat berbeza dengan haiwan dan tumbuhan yang hidup di habitat di Irian Jaya.

15. Teori kedua yang digunakan para pengkaji untuk menentukan kawasan Alam Melayu ialah teori berasaskan geografi atau Teori Pentas Sunda (peta 2), digunakan oleh Anthony Reid untuk menentukan kawasan geografi Alam Melayu.

16. Teori ini menggunakan rujukan plat tektonik atau struktur geografi yang berada di dalam Pentas Sunda sebagai Alam Melayu. Selain Reid, kajian Prof. Oppenheimer sendiri pernah mengesahkan perkara ini semasa syarahannya di USM suatu ketika dahulu.

17. Hujah menggunakan Teori Linguistik (peta 3) pula menyatakan bahawa liputan Alam Melayu yang lebih meluas. Teori ketiga ini menentukan keberadaan dan liputan kawasan Alam Melayu adalah menggunakan indikator bahasa yang digunakan.

18. Di segenap Alam Melayu, teori ini yang digemari oleh pakar dan pengkaji linguistik mendapati bahawa sebanyak 1200 varian bahasa Malayo-Polynesia digunakan di segenap kawasan Malayo-Polynesia atau Austronesia ini.

Peta 3: Teori Linguistik menentukan bahawa Alam Melayu atau Nusantara menganjur dari Kepulauan Easter hingga ke Madagascar.

19. Berdasarkan teori ini, ia menunjukkan bahawa Alam Melayu menganjur sejauh Kepulauan Easter di sebelah Timur. Orang Melayu kemudiannya berlayar menggunakan kapal-kapal mereka yang mampu mengawal amarah Lautan Hindi yang terkenal dengan bahayanya untuk mengembangkan Alam Melayu sejauh hingga ke Madagascar di sebelah Barat.

20. Jika ada yang menyatakan bahawa orang Melayu berasal dari Indonesia, atau ada yang menyatakan bahawa orang Melayu tidak ada tanahnya sendiri maka terangkanlah.

21. Bantulah sahabat itu untuk faham akan wujudnya teori dan kajian sebegini yang menentukan wilayah Nusantara atau Alam Melayu, keberadaan, pergerakan dan kewujudan orang Melayu di tanahnya sendiri.

22. Melayu, rumahnya di sini. Walau jauh kami berkelana, membina hidup, atau menjadi kaya satu dunia, di dalam rumah asal kami inilah kami lahir dan belajar untuk hidup.

23. Kami kongsikan rumah kami ini bersama kamu dengan syarat kamu juga mahu bersetia kami dibawah bumbung SPBYDPA dan dilindungi juga dengan pagar Perlembagaan Persekutuan.

23. Ketahuilah juga oleh kau, bahawa demi rumah ini juga, ramai juga yang mati mempertahankannya. Malah ramai lagi sanggup berkorban untuknya.

RUJUKAN:
1. Catatan pembentangan oleh Prof Dr. Supyan Hussin ketika mukadimah Wacana Cendekiawan ATMA: Kependudukan & Pergerakan Etnik di kepulauan Melayu dari Segi Perspektif Arkeologi, Budaya & Sejarah, 14 November 2018

2. Evolution, Biogeography, and Maps: An Early History of Wallace’s Line, Jane R. Camerini, 1993


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.