Rumah Melayu Di Kaherah

17505
views

1. Selepas berbincang serius hal Menteri Agama, tentang kehebatan ayahandanya sendiri, Tuan Guru Yusof Rawa dengan ayah aku sekejap tadi ni, banyaklah kesimpulan yang dapat kami simpulkan secara intelek.

2. Perbualan kemudian berkisar pula tentang keadaan Krismas di Kaherah, tempat ayah aku belajar di Al-Azhar dan sejarah kewujudan Rumah Melayu di Kaherah.

3. Katanya, semasa tinggal di Rumah Melayu atau dalam bahasa Arab ‘Bait al-Talabah Malayuwiah’ yang menempatkan pelajar-pelajar dari Malaya yang belajar di Universiti Al-Azhar, khutbah ‘Yaum al-Milad’ atau Krismas di Kaherah itu boleh didengari dengan jelas dari sebuah gereja di Tahrir, Kaherah.

4. Malaya adalah satu-satunya negara di dalam dunia yang dibenarkan memiliki tanah Mesir untuk membina asrama pelajar Al-Azhar mereka.

5. Apa yang menarik, bagaimana asrama Malaya ini dibenarkan untuk dibina dengan kebenaran kerajaan Mesir.

6. Ceritanya, selepas Perang Dunia Kedua, Terusan Suez dikuasai tiga kuasa besar dunia ketika itu iaitu Perancis, Britain dan Israel.

7. Dengan penggulingan Raja Farouk, Presiden Gamal Abdul Naseer menjadi Presiden pertama Mesir, gerakan nasionalisasi kebangsaan digerakkan, bersandarkan semangat nasionalisme Arab yang digerakkan oleh beliau. Objektif beliau antaranya mendapatkan semula Terusan Suez dari tiga kuasa dunia ini.

8. Pada 26 Julai 1956, Terusan Suez telah dirampas semula untuk dijadikan hak milik Mesir dari tangan Perancis, Britain dan Israel. Ia satu rampasan bersenjata dan tindakan mempertahankan apa yang disifatkan oleh Gamal Naseer suatu tindakan mengajar kuasa neo-kolonialisme yang masih cuba mencengkam Mesir merdeka pasca Perang Dunia Kedua.

9. Harapannya dalam Krisis Suez atau Perang Tiga Kuasa ini diletakkan di atas bahu Jeneral Mohammed Naguib, seorang pemimpin tentera Mesir yang prolifik dan berkarisma. Ini adalah konflik dalam siri Perang Arab-Israel, tempoh panjang yang menjadikan rantau Arab kacau bilau dek usaha Israel meluaskan tanah mereka.

10. Seperti yang telah dinyatakan, gerakan nasionalisasi Mesir ini mencetuskan revolusi kebangkitan semula Tanah Arab, yang tidak dapat tidak menarik perhatian dan sokongan banyak negara Islam, termasuklah Malaya.

11. Seorang anak Melayu dari Malaya, pelajar Al-Azhar di Kaherah bernama Wan Abdul Kadir bin Ismail yang juga merupakan Ketua Badan Pelajaran, Persekutuan Melayu Mesir bersama rakan-rakan pelajar Melayu dari Malaya seramai 46 orang telah menyumbang masa dan tenaga bertugas sebagai tentera sukarelawan Mesir ketika konflik 1956 itu berlaku.

12. Anak-anak Melayu ini telah mengangkat senjata untuk berkorban nyawa demi menjayakan usaha Gamal Naseer melawan kuasa neo-kolonialisme mendapatkan semula Terusan Suez untuk kembali kepada Mesir.

13. Sumbangan 47 orang anak Melayu ini mendapat perhatian Presiden itu yang amat merasa terharu dan terhutang budi kepada anak-anak Melayu ini.

14. Sekalipun ia adalah inisiatif peribadi yang digerakkan Wan Kadir tanpa pengetahuan kerajaan Malaya (kalau tak memang kena panggil baliklah) usaha beliau sampai juga ke pengetahuan Tunku Abdul Rahman, bakal Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

15. Sumbangan Wan Kadir bersama rakan-rakannya telah menjadi aset oleh Tunku Abdul Rahman untuk memujuk dan meyakinkan kerajaan Mesir pimpinan Gamal Naseer untuk menganugerahkan sebidang tanah Mesir di Kaherah kepada kerajaan Malaya sekitar 1956 untuk dibina Rumah Melayu khusus untuk semua pelajar Malaya yang belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir.

16. Rumah Melayu dirasmikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman selepas Malaya merdeka 1957. Ia hadiah tanda persahabatan dan terima kasih kerajaan Mesir ketika itu kepada Malaya yang merdeka.

17. Untuk rekod, ketika itu (mungkin sehingga sekarang), tidak ada negara lain yang mendapat keistimewaan seumpamanya. Kuwait misalnya pernah menawarkan sejumlah wang yang besar untuk memiliki sebidang tanah atas alasan sama dengan Malaysia, tetapi ditolak kerajaan Mesir.

18. Diceritakan juga, dek reputasi anak Melayu tersebut, Akademi Tentera Mesir, akademi seumpamanya yang terkenal dan disegani di benua Afrika sehingga hari ini ketika itu juga mengalu-alukan kemasukan pelajar-pelajar Melayu dari Malaya dan kemudiannya Malaysia. Bukan sedikit pegawai-pegawai tentera Malaysia ketika zamannya merupakan lepasan akademi tersebut.

19. Wan Kadir kemudian pulang ke Malaya usai belajar dalam bidang Syariah di Al-Azhar. Beliau kemudian menyertai UMNO dipilih menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu selepas PRU 1969, dan kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Perhubungan Malaysia sekitar 70-an.

20. Usaha Datuk Haji Wan Abdul Kadir Bin Ismail ini, sumbangan beliau kepada mahasiswa Malaysia di Mesir, juga perjuangannya memartabatkan guru agama di Malaysia, juga dalam politik tanah air ini diabadikan dengan nama satu jalan di TTDI, Kuala Lumpur hari ini.

21. Rupanya, kisah pahlawan Melayu ke Tanah Mesir ini bukanlah berakhir dengan Hang Tuah sahaja.

Gambar pertama.

22. Gambar pertama adalah Terusan Suez dari Bur-Said (Port Said), 1890. Walaupun secara rasminya ia dibuka pada 17 November 1869, namun sejarah kewujudan lembangan yang padanya dibina Terusan Suez ini menganjur sejak zaman Firaun di Mesir lagi.

23. Ia asalnya satu laluan semulajadi, gabungan kawasan lembah dan tanah rendah, menyambungkan beberapa lanskap semulajadi seperti tasik dan cabang sungai Nil, juga laluan terusan purba Firaun. Ia kemudiannya disambung, dikembang, dilurus dan diluaskan kemudiannya menjadi Terusan Suez seperti yang dikenali hari ini.

24. Siapa tahu, mungkin Hang Tuah sendiri pernah belayar melaluinya masuk dari Laut Merah terus ke Laut Mediterranian di utara, kerana Hang Tuah ada diceritakan telah sampai ke Rom di Turki, kemudian patah semula pulang ke Melaka melalui jalan laut yang sama.

25. Gambar kedua baru pula merupakan Rumah Melayu yang hari ini dikenali sebagai Dewan Malaysia Abassiah Kaherah (DMAK). Dibina atas tanah seluas lebih 2000 meter persegi, kini turut menempatkan EM Egypt. Besar kan?