Rugal Bernstein – Ideologi Pemusnah

0
451
views

Rugal Bernstein merupakan supervillain di dalam permainan The King Of Fighters (KOF) 94’ , 95’ , 98’ dan juga 2002. Watak ini antara watak supervillain yang agak kejam di dalam siri KOF. Suatu masa dulu penulis pernah bermain KOF ini, tewas apabila bertembung dengan Rugal lalu mengamuk akibat watak ini menghasilkan damage yang tak masuk akal.

Rugal Bernstein merupakan seorang yang sangat kejam dan sesiapa yang cuba menghalangnya, pasti akan dimusnahkan serta merta tanpa belas kasihan. Rugal Bernstein pernah membunuh seluruh keluarga pahlawan Heidern akibat tewas ditangannya. Motifnya untuk menjadi supervillain ialah kuasa. Mata kanannya buta akibat dia ditewaskan oleh paderi Goenitz. Dari situ, Goenitz memberinya kuasa Orochi untuk digunakan oleh Rugal.

Sebagai hos KOF 94’ dan juga KOF 95’, Rugal memberikan surat jemputan pertandingan KOF kepada semua pahlawan yang layak di seluruh dunia. Jika seseorang pahlawan itu tewas di tangannya, maka pahlawan itu akan dijadikan trofi untuk dipamerkan di kapalnya, Black Noah. Itu menunjukkan bahawa dirinya sudah mencapai satu tahap yang hebat.

Dia percaya dirinya Tuhan seluruh manusia dengan kekuatan yang dimilikinya. Dengan sikap sombong yang dilmiliki oleh seorang Rugal Bernstein, dia akan membunuh dirinya bersama musuh yang menewaskannya kerana tidak dapat menerima hakikat. Biasanya di dalam siri KOF, Rugal akan meletupkan dirinya bersama Black Noah.

Sifat gila kuasa ini juga akhirnya memakan diri Rugal Bernstein. Di dalam KOF 95, jasad Rugal Bernstein tidak mampu menampung kuasa Orochi di dalam badannya. Akhirnya dia mengalami kuasa makan diri. Iori Yagami – pengguna kuasa Orochi sendiri mengatakan hanya yang mempunyai darah Orochi sahaja yang mampu mengawal kuasa tersebut.

Jika dilihat dari perspektif Rugal Bernstein, dia hanya mahukan kepuasan dalam berlawan. Jika mahukan kepuasan, sudah tentu dia memerlukan lebih kuasa. Kuasa Orochi antara yang paling kuat setakat ini di dalam siri KOF. Bagi Rugal sendiri, menewaskan lawan itu adalah kepuasan hidupnya. Ideologi yang digunakan oleh Rugal Bernstein sendiri adalah sifat jahat yang benar-benar terserlah. Bukan lagi terselindung. Sehinggalah kepuasan ini memudaratkan orang lain.

Bila difikirkan semula, apakah kepuasan diri anda akan memudaratkan orang lain? Dalam hidup yang penuh dengan pancaroba ini, sudah pasti ramai orang terpaksa membuang empati semata-mata untuk kepuasan diri sendiri. Empati yang telah dibuang, apa bezanya kita dan haiwan? Maka, sentiasa muhasabah diri jika anda rasa kepuasan diri anda akan memudaratkan orang lain.

Sumber:

The King of Fighters 94’,95’,98’, 2002