Roxelane: Suri Terindah Empayar Uthmaniyah

2,318

Semua sedia maklum semasa era Sultan Suleiman al-Qanuni, Empayar Turki Uthmaniyyah berada di puncak kegemilangannya. Manakan tidak, empayarnya meliputi dari Belgrade di Eropah hingga ke Makkah di selatan dengan Baghdad di sebelah timur hinggalah Algeria di sebelah barat.

Era pemerintahan baginda turut menyaksikan pelbagai bentuk reformasi perundangan, ekonomi dan sosial sehingga baginda digelar Magnificent atau Mengagumkan oleh pihak Barat. Tetapi kejayaan ini tidak akan hadir tanpa kelibat wanita yang menjadi tulang belakang kejayaannya, Hurrem Sultan.

Haseki Hurrem Sultan atau nama sebenarnya Aleksandra Lisowska sebenarnya seorang wanita berbangsa Ukraine dan dilahirkan di Ruthenia, barat Ukraine pada tahun 1505 semasa wilayah tersebut masih diperintah kerajaan Poland. Selain dikenali sebagai Hurrem Sultan, baginda juga dikenali dengan nama Roxelane/Roxalana yang bermaksud ‘Wanita dari Ruthenia’. Sementara nama Turkinya bermaksud wanita yang periang/suka ketawa. Pada usia 12 tahun, baginda ditangkap oleh tentera berkuda Crimea dan dibawa ke Islambul untuk dijual sebagai hamba.

Ada dua versi bagaimana baginda boleh sampai di istana. Pertama, satu versi menyatakan baginda dijadikan hadiah oleh rakan baik Suleiman, Ibrahim Pasha kepada baginda. Sementara satu lagi versi merujuknya sebagai penenun kain di bahagian basuhan istana di mana ketika menenun, Hurrem akan menyanyi lagu rakyat negara asalnya. Pada satu hari, Suleiman melalui tempat basuhan apabila baginda mendengar seseorang menyanyi dan melagukan lagu-lagu Ukraine.

Baginda yang berkebolehan berbahasa Slavik berhenti untuk berbual dengannya dan terus jatuh cinta dengan Hurrem. Memang benar lelaki dan wanita Ukraine mempunyai wajah yang rupawan tetapi Hurrem memiliki paras rupa biasa-biasa sahaja. Namun, itu ditampung dengan kebijaksanaannya menangani pelbagai masalah yang datang termasuk isu politik istana. Ramai sejarawan menyifatkan baginda sebagai salah satu faktor kejayaan yang berlaku semasa era Suleiman al-Qanuni.

Sebelum bergelar isteri kepada Suleiman, Hurrem masih lagi berstatus haseki (ibu kepada putera sultan) walaupun selepas melahirkan anak pertamanya dengan baginda, Mehmed. Justeru sebelum berkahwin, Hurrem meminta agar dirinya dimerdekakan terlebih dahulu, satu keinginan yang segera dipenuhi Suleiman. Apabila syarat tersebut dipenuhi dan kedua-duanya disatukan, ia menjadikan Hurrem sebagai haseki pertama yang berkahwin dengan seorang pemerintah Uthmaniyyah.

Baginda juga turut memecah tradisi satu isteri, satu anak dengan mempunyai enam cahaya mata bersama Suleiman dan juga haseki pertama yang tidak mengikut anaknya, Mehmed yang ditugaskan menjadi pentadbir di Manisa. Ini kerana mengikut tradisi Uthmaniyyah, putera-putera Uthmaniyyah bersama bonda mereka dihantar ke daerah-daerah di luar Islambul bukan saja untuk menimba ilmu bahkan untuk menimba pengalaman sebagai pentadbir. Namun, itu tidak berlaku kepada Hurrem yang memilih untuk kekal di Islambul berikutan keinginan Suleiman yang mahukannya di sisi bukan saja sebagai isteri tetapi juga sebagai penasihat baginda.

Selepas satu kebakaran memusnahkan istana lama, satu istana baru yang menghadap lautan dibina iaitu Istana Topkapi. Istana ini bukan sekadar kediaman sultan tetapi juga sebagai pusat pentadbiran Empayar Turki Uthmaniyyah. Dan mengikut tradisi Uthmaniyyah yang bermula semasa era Mehmed II, tiada wanita dibenarkan tinggal di istana yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan. Namun, semua itu berubah semasa era Suleiman di mana baginda membenarkan Hurrem tinggal bersamanya dan membenarkan harem istana lama dipindahkan ke Topkapi.

Bila bonda Suleiman, Hafsa Sultan mangkat pada tahun 1534 dan isteri pertama baginda, Mahidevran memilih mengikut puteranya Mustafa, ini meninggalkan Hurrem sebagai satu-satunya wanita paling berkuasa dalam istana. Apabila Suleiman berangkat ke perbatasan untuk mengikuti operasi-operasi ketenteraan, baginda kekal di istana sebagai mata dan telinga suaminya yang tercinta.

Hurrem selalu berutus surat dengan Suleiman di mana kebanyakan surat bukan sekadar luahan perasaan romantis antara mereka tetapi juga berkenaan soal hal ehwal negara seperti perkembangan terbaru di Islambul dan isi perbincangan Hurrem dengan penasihat-penasihat Suleiman.

Salah satu aspek penting yang disumbangkan ialah mengeratkan lagi hubungan Empayar Turki Uthmaniyyah dengan kerajaan Poland semasa era pemerintahan Raja Sigismund II Augustus yang memerintah dari 1548 hingga 1572. Namun, tempohnya sebagai penasihat turut diselubungi kontroversi apabila dikatakan terlibat dalam pembunuhan Perdana Menteri, Pargali Ibrahim Pasha (1536) dan pembunuhan putera sulung Suleiman merangkap anak tiri Hurrem, Mustafa (1553). Bagaimanapun, usah percaya bulat-bulat kisah-kisah ini kerana kebanyakan kisah yang direkodkan berdasarkan testimoni orang luar dan intepretasinya berdasarkan kefahaman sesiapa yang mendengarnya.

Contohnya dalam pembunuhan Mustafa, kisah yang dibawa oleh Paolo Giovio dan Luidgi Bassano diambil dari sumber khabar angin. Namun, itu tidak bermakna Mustafa seharusnya layak menduduki takhta. Ini kerana berdasarkan keterangan sejarawan, baginda juga seorang yang cuai dan kurang sabar, dua ciri yang mengecualikannya sebagai calon baru sultan. Suleiman juga tidak teragak-agak menghukum putera Hurrem sendiri iaitu Bayezid kerana melancarkan pemberontakan terhadap Suleiman dan cuba menyingkirkan ayahandanya daripada takhta.

Walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar kerana ia  mengingatkan baginda terhadap cinta sejatinya itu, tetapi demi kebaikan dan perpaduan jangka panjang empayar, ia perlu dilakukan. Justeru, ini membawa kepada hukuman mati ke atas Bayezid dan empat puteranya di ibu negara kerajaan Safavid, Qazvin pada tahun 1561. Perkara ini terhasil melalui ikrar Suleiman terhadap pemerintah Safavid, Shah Tahmasp I untuk mengukuhkan kembali Perjanjian Amasya dan mengembalikan semula hubungan kedua-dua kerajaan. Ini membuka ruang kepada Selim II menaiki takhta pada tahun 1566.

Di sebalik semua ini, itu tidak menghalangnya menyumbang kepada pembangunan sekitar empayar dengan meniru model sumbangan isteri Khalifah Harun ar-Rashid dari kerajaan Bani Abbasiyyah, Zubaidah binti Jaafar. Seperti Zubaidah, baginda turut melaksanakan projek berorientasikan kebajikan dari Makkah hingga Baitulmaqdis seperti dapur Menara Haseki Sultan (Baitulmaqdis), dapur Menara Haseki Hurrem (Makkah), Kompleks Haseki Sultan di Istanbul yang terdiri daripada sebuah masjid, madrasah, sebuah pancuran air dan sebuah hospital wanita serta dua buah kompleks masjid di Adrianopole dan Ankara. Kebanyakan seni bina bangunan ini dibuat oleh ketua arkitek diraja, Mimar Sinan.

Pada tahun 1558, Hurrem Sultan kembali ke hadrat Penciptanya dan dimakamkan di kawasan laman Masjid Suleymaniye, masjid sama yang mendapat sentuhan Mimar. Berdasarkan satu legenda, selepas kemangkatan Hurrem, Suleiman merasa terlalu sedih hingga merasa tidak selesa menikmati kehidupan. Pada tahun 1586, baginda mangkat selepas terlibat dalam Pertempuran Szigetvar sebagai sebahagian daripada usahanya menakluk Vienna.

Dengan kemangkatan Suleiman, takhta Empayar Turki Uthmaniyyah diisi oleh Selim II dan baginda dimakamkan bersebelahan makam Hurrem di Masjid Suleymaniye. Legasi Hurrem masih dirasai sehingga hari ini dari Turki hingga Ukraine. Pada tahun 2007, komuniti Muslim di Mariupol, Ukraine menamakan sebuah masjid sempena namanya. Sementara di kaca televisyen, watak Hurrem dibawa oleh Gulben Ergen (minisiri Hurrem Sultan/2003), Meryem Uzerli dan Vahide Percin (Magnificent Century/2011-2014).

RUJUKAN:

1. Bugra Ekinci, Ekrem. (2015). Hürrem Sultan: A beloved wife or master manipulator?. Daily Sabah. https://www.dailysabah.com/feature/2015/01/09/hurrem-sultan-a-beloved-wife-or-master-manipulator

2. Verde, Tom. (2016). Malika IV: Hürrem Sultan (Roxolana). AramcoWorld.com. https://www.aramcoworld.com/Articles/September-2016/Malika-III-Shajarat-al-Durr

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.