Roti Paling Tua Di Dunia Ditemui!

1,025

Roti paling tua di dunia telah ditemukan oleh ahli-ahli arkeologis di Jordan (pada tahun 2018). Serdak roti yang hangus itu dijumpai pada batu pendiangan di sebuah tapak yang terletak di Gurun Hitam, Jordan dan dijangka berusia kira-kira 14 400 tahun yang lalu.

Roti leper yang mirip seperti roti pita yang kita kenali pada hari ini diperbuat daripada bijirin-bijirin yang dikisar menjadi tepung. Antara bijirin tersebut adalah gandum einkorn, oat dan barli serta ubibolboschoenus glaucus. Roti tersebut dimasak di sebuah pendiangan berbentuk bulat yang dibina di tanah bersama batu-batuan basalt yang rata.

Amaia Arranz-Otaegui, seorang penyelidik arkeobotani dari Universiti Copenhagen bersama rakan-rakannya mempercayai bahawa roti tersebut dibuat oleh kaum Natufia. Kaum Natufia merupakan pemburu dan pengumpul hasil semula jadi di Levant yang mengamalkan gaya hidup tetap.

Arranz-Otaegui memaklumkan kepada Euronews bahawa “kami sememangnya mengetahui bahawa Natufia ini merupakan suatu kaum yang kompleks – mereka membina bangunan dengan batu-bata dan menghasilkan gambaran seni. Pembuatan roti malah menambah senarai tersebut – mereka membuat banyak perkara yang menjadi permulaan kepada hampir segalanya.”

Para penyelidik berjaya menghasilkan semula roti tersebut dengan bahan yang sama dan mengatakan bahawa rasa roti itu agak lazat, masin dan sedikit manis.

Sebelum roti di Jordan ini ditemukan, roti tertua yang pernah ditemui berasal dari sebuah tapak di Turki yang dipercayai berusia 9100 tahun. Selain memperbaharui tarikh penghasilan roti yang ternyata telah dibuat jauh lebih awal, penemuan ini turut menunjukkan bahawa manusia telah pun mula membuat roti sebelum membangunkan agrikultur – dan asal-usul roti tidak seharusnya dikaitkan dengan masyarakat-masyarakat petani awal.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Sumaya El-Zahe. (2018). Did You Know That The World’s Oldest Bread Has Been Found in Jordan? Mvslim.
https://mvslim.com/did-you-know-that-the-worlds-eldest-bread-has-been-found-in-jordan/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.