Rothschild: Keluarga Yahudi Terkaya Dunia?

2,336

Antara nama keluarga yang seringkali dikaitkan dengan teori-teori konspirasi adalah keluarga Rothschild. Pelbagai kisah, malahan tuduhan dilemparkan ke atas nama keluarga ini. Konon dunia hari ini dikawal melalui hujung jari mereka. Mereka dikatakan mempunyai kekayaan yang amat besar. Wang kekayaan mereka dikatakan berjumlah 500 trillion USD, yang kononnya merangkumi 80 peratus wang kertas dunia.

Justeru, artikel kali ini ditulis untuk membedah sejarah mengenai keluarga Rothschild yang nama mereka digemparkan melalui penulisan-penulisan teori konspirasi. Kita akan mengembara melalui sejarah, dari Rothschild yang pertama membina kekayaan sehinggalah kepada Rothschild yang hidup pada dewasa ini.

Kepada yang tidak mengetahui, keluarga Rothschild merupakan sebuah keluarga berketurunan Yahudi, yang sejarahnya dapat dijejak pada abad ke-18 Jerman disekitar kota Frankfurt. Sudah tentu, empayar perniagaan yang dibanggakan itu bermula daripada seorang lelaki pada sekitar 1760-an dahulu iaitu Amschel Rothschild (1744–1812) yang permulaan kisah hidupnya adalah bermula di setinggan Yahudi di sekitar Frankfurt.

Mayer Amschel Rothschild

Pada zaman itu, seorang yang berbangsa Yahudi adalah dilarang sama sekali untuk tinggal bersama dengan Kristian. Jadi, mereka akan dipisahkan dengan pelbagai cara seperti dilarang meninggalkan perkampung pada waktu malam, pada hari ahad atau juga pada hari cuti pengganut Kristian itu sendiri.

Apabila tinggal di kawasan setinggan, Rothschild tidak memiliki kualiti kehidupan yang dimiliki oleh kebanyakan orang pada zaman itu. Dia terpaksa tinggal dalam sebuah rumah yang turut dihuni oleh 30 orang ahli keluarganya. Tak cukup dengan itu, pada usianya 12 tahun, dia kehilangan kedua-dua orang tuanya kerana wabak smallpox yang melanda Jerman ketika.

Harapan orang tuanya, Rothschild akan menjadi seorang rabbai tidak kesampaian. Sebaliknya, Rothschild lebih berminat dalam bidang kewangan. Lantas pada usia 13 tahun, dia menjadi perantis di sebuah bank di Hannover. Dari situ, Rothschild belajar selok belok ilmu kewangan daripada bankers-bankers yang lebih berpengalaman daripadanya. Banker yang menjadi guru kepada Rothschild ini bukanlah calang-calang orang. Ada antara mereka yang merupakan seorang “court Jews”, satu jawatan atau kedudukan untuk para bankers yang menjadi penasihat kepada para bangsawan dalam urusan berkaitan dengan kewangan dan perbankan.

Kebanyakan orang Yahudi yang dilantik dalam urusan perbankan ini ialah kerana pada waktu itu, agama Kristian melarang sebarang bentuk urusan pinjaman duit yang menganiaya peminjam. Jadi, urusan-urusan seperti itu banyak dilakukan oleh orang Yahudi. Sebagai timbal balik, para bangsawan Kristian akan memberi ganjaran seperti berupa status bangsawan. Dalam erti kata lain, pinjaman berbentuk riba juga dilarang oleh agama Kristian.

Pada usia 19 tahun, selepas puas “bersanad” dengan guru-gurunya yang merupakan para banker yang lebih tua daripada Rothschild, maka dia pun pulang ke kampung halaman di Frankfurt. Bersama dengan adik beradik lelakinya, Rothschild menyambung perniagaan ayahnya sebelum ini dalam bidang komoditi dan perniagaan perdagangan wang, termasuklah menjual syiling-syiling berharga dan jarang ketika itu. Melalui perniagaan ini, Rothschild berkenalan dengan Wilhelm IX yang merupakan orang terkaya di benua Eropah ketika itu. Maka bermulalah episod baru dalam hidup Rothschild berkhidmat untuk Wilhelm IX dan beberapa bangsawan lain ketika itu.

Pada ketika era Rothschild sedang memanjat tangga kekayaan, maka tercetuslah Revolusi Perancis yang terkenal itu. Sebagai seorang kapitalis yang berjaya, Rothschild mengambil manfaat daripada apa yang terjadi ketika itu dengan menjana untung melalui menjadi pembekal utama bekalan gandung, kuda, uniform, bekalan persenjataan dan juga menjaga transaksi kewangan untuk tentera upahan seperti Hessian. Lantas, model perniagaan seperti ini menjadi asas kepada kekayaan keluarga Rotschild.

Pada tahun 1769, akhirnya titik peluh Rothschild terbayar juga apabila dia dianugerahkan kedudukan “court Jew” seperti mana para mentornya terlebih dahulu. Setahun kemudian pula, Rothschild mendirikan rumah tangga. Melalui perkahwinan ini, dia dianugerahkan 10 orang anak, 5 daripadanya ialah anak lelaki dan 5 lagi anak perempuan.  

Dan kepada yang tidak mengetahuinya, betapa nanti pada masa hadapan Rothschild sangat menggalakkan perkahwinan sesama ahli keluarganya dan melarang hartanya diwarisi kepada anak-anak perempuannya. Anak lelakinya akan dikahwinkan dengan sepupu-sepupu mereka. Bahkan perkahwinan antara anak saudara dan pakcik, atau sesama sendiri juga berlaku dalam keluarga Rothschild. Ini dibuat demi menjaga harta kekayaan, memastikan semua itu hanya berlegar dalam keluarga Rothschild.

Setiap anak lelakinya dihantar oleh Rothschild untuk mengembara ke kota-kota di Eropah, membina asas rangkaian perniagaan dan perbankan. Contohnya anak sulung Amschel Rothschild iaitu Salomon Mayer Rothschild (1773–1855) dihantarkan ke Vienna, Austria. Anak bongsunya pula seperti Jakob Mayer Rothschild (1792–1868) dihantar ke Paris dan Calmann Mayer Rothschild (1788–1855) iaitu anak keempat Amschel dihantarkan ke Naples. Italy.

Kelima-lima anak Rothschild ini dianugerahkan gelaran bangsawan oleh Maharaja Francis I dari Austria, dengan gelaran Freiherr (baron). Bagi keluarga Rothschild di England pula, mereka diberi gelaran dan dinobatkan sebagai bangsawan oleh Ratu Victoria sehinggakan keluarga Rothschild mendapat gelaran “baron.” Tentunya yang paling berjaya tidak lain dan tidak bukan ialah anak ketiganya iaitu Nathan Mayer Rothschild (1777–1836) yang dihantarkan ke London.

Nathan Mayer Rothschild (1777–1836)

Nathan ketika berpindah ke London telah mengasaskan perniagaan tekstil dengan modal sebanyak £20,000 persamaan dengan £2 juta hari ini. Nathan juga bermula melabur dalam London Stock Exchange pada waktu itu dan hasil daripadanya, dia telah mengasaskan sebuah bank yang dikenali sebagai N M Rothschild & Sons Ltd yang masih lagi bertahan pada hari ini dengan pendapatan pada tahun 2015 dikatakan berjumlah £51.558 juta. Lebih mengagumkan, firma ini masih lagi diuruskan oleh keturunan Rothschild sehingga hari ini.

Nathan ketika di England juga dikenali sebagai insan yang bertanggungjawab menjana dan membantu kerajaan Britain ketika itu dalam Perang Napoleon dengan aktiviti seperti memberi bantuan kewangan, subsidi, pinjaman kepada kerajaan Britain dan juga para sekutu-sekutunya.

Episod-episod seterusnya menyaksikan betapa kesetiaan Nathan di England ini membuahkan hasil apabila keluarga Rothschild untuk menerima projek besar dalam dasar imperialism England seperti pembukaan Terusan Suez. Bahkan bukan sahaja menjana perang sahaja, Nathan juga membantu pembinaan negara bangsa baru seperti Belgium dengan memberi bantuan kewangan. Nathan juga diberi hak untuk melombong mekuri di Sepanyol, yang dimana bahan kimia ini digunakan dalam penghasilan Emas dan Perak.

Jadi persoalan yang bermain dalam fikiran kita semua… bagaimana kedudukan keluarga Rothschild pada abad ke-21 ini? Apakah mereka berkuasa seperti mana zaman silam mereka? Apakah benar dakwaan teori konspirasi bahawa keluarga ini memiliki 500 trillion wang seperti mana yang didakwakan? Malangnya, perkembangan zaman memberitahukita bahawa keluarga ini tidaklah berkuasa seperti yang digempar-gempurkan.

Cawangan bank Rothschild di Naples Itali telahpun ditutup pada tahun 1863. Kekurangan waris lelaki telah membuatkan cawangan mereka di Frankfurt ditutup pada tahun 1901. Cawangan di Vienna bergegar apabila serangan Nazi pada tahun 1938. Kerajaan tungangan Nazi di Perancis ketika Perang Dunia Kedua telah merampas harta kekayaan Rothschild Bordeaux manakala jutaan dollar lagi dirampas oleh Nazi di Austria.

Pada tahun 1970, hanya tinggal tiga cawangan bank Rothschild sahaja yang masih bernyawa. London, Paris dan Switzerland (yang diasaskan oleh keturunan Rothschild yang lain yang bernama Baron Edmond Adolphe de Rothschild (1926–1977). Pada tahun 1982, kerajaan sosialis di Perancis ketika itu yang diketuai oleh Francois Mitterrand telah menamakan semula bank milik Rothschild, menasionalisasikannya lalu menamakan semula dengan nama Compagnie Européenne de Banque.

Baron David René de Rothschild terpaksa dibantu oleh saudaranya dari Swiss, untuk sama-sama membuka cawangan bank baru di Perancis pada tahun 1986 yang dinamakan sebagai Rothschild & Cie Banque. Ia kemudiannya berkembang menjadi antara bank terbesar di Perancis. Cawangan bank di England dan Perancis ini kemudian disatukan pada tahun 2003, manakala pada tahun 2008 pula menyaksikan bagaimana ketiga-tiga bank ini yang dulu terpisah, akhirnya berada di bawah satu entiti.

Hari ini, 5 bank terbesar di dunia bukan lagi milik Rothschild lagi tetapi milik milik China (ICBC, CCB, Agricultural Bank of China, BOC) dan Jepun (Mitsubishi UFJ). Bank Rothschild di England dan Perancis hari ini hanya entiti kecil dalam dunia kewangan. Jadi, persoalan seperti harta 500 trillion yang disebarkan oleh ahli konspirasi tegar itu, bolehlah dipersoalkan kerana mereka bukanlah lagi pemain utama pentas utama dunia kewangan.

Kedua, jumlah syiling dan wang kertas atas muka bumi hanya bernilai $5 trilion. Kalau dimasukkan dengan nilai emas (US$ 7.8 trilion) pun tidak sampai 500 trillion. Kalau diambil kira “Narrow Money” (28.6 trilion) dan “Broad Money” (80.9 trilion) bersama dengan angka-angka lain, maka angka 500 trillion yang digembar-gemburkan adalah seperti sangat mustahil untuk dicapai. Kekayaan-kekayaan seluruh dunia termasuklah asset, harta dan seumpama dengannya kalau dikumpulkan baru mencecah $250 trillion separuh dari angka yang disebarkan.

Ahli keluarga Rothschild yang paling berjaya hari ini iaitu Benjamin de Rothschild setakat ini pun dilaporkan mempunyai kekayaan berjumlah $1.8B, menduduki tangga ke 1349 orang terkaya di dunia pada tahun 2019 seperti yang dilaporkan oleh Forbes. Untuk rekod, keluarga Walton iaitu pemilik kepada rangkaian perniagaan Walmart memiliki harta kekayaan sebanyak $175 Billion merupakan keluarga terkaya di dunia, diikuti oleh keluarga Koch dengan kekayaan berjumlah $120 billion. Keluarga Rothschild hari ini? Jauh ketinggalan dengan kelahiran keluarga-keluarga jutawan di seluruh dunia era baru. Zaman mereka dah lama berlalu…

RUJUKAN:

Jennifer Cook. (2019). A History of the Rothschild Family. Investopodia. https://www.investopedia.com/updates/history-rothschild-family/

Ibn Jawi & Ayman Rashdan Wong. (2018). Mencabar Teori Konspirasi. Patriots Publication.

Dan Evon. (2016). Rothschild Family Wealth. Snopes. https://www.snopes.com/fact-check/rothschild-family-wealth/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.