Romulus Dan Remus: Mitologi Berdirinya Tamadun Rom

1,053

Lihat pada logo kelab bola sepak AS Roma. Ada rahsia pada kelab bola sepak yang berpangkalan di Itali itu. Dari mana datangnya lambang seekor serigala bersama dengan dua orang bayi kecil yang sedang menyusu dirinya? Tentunya, ia dapat dijejak sehingga 2700 tahun yang lalu, tentang legenda sepasang kembar yang dibuang oleh seorang raja kejam yang bernama Amulius. Tarikh yang lebih tepat adalah sekitar 770 SM, sebuah legenda pasangan kembar dibesarkan serigala yang mengasaskan salah sebuah tamadun paling agung dalam sejarah.

Logo kelab AS ROMA.

Amulius merupakan seorang raja yang menaiki takhta selepas menggulingkan Nimitor daripada takhta sebuah negara kota bernama Alba Longa. Selepas berjaya melaksanakannya, Amulius telah menghapuskan keturunan lelaki Nimitor bagi mengelakkan sebarang usaha untuk menjatuhkannya, manakala anak gadis Nimitor yang masih dara dihantar menjadi Perawan Vestal, seorang pendeta wanita untuk penyembahan Dewi Vista dan bertanggungjawab memastikan api suci dikuil Vista masih lagi bernyala. Namun, syarat utama untuk menjadi Vesta Virgins, seperti namanya juga, harus mengangkat sumpah untuk tidak terlibat dengan perkahwinan atau hubungan seks.

Namun, dipendekkan cerita anak gadis Nimitor iaitu Rhea Silvia telah didapati mengandung. Ada pelbagai kisah disebalik mengandungnya puteri raja ini. Antaranya ialah kisah bagaimana dia dirogol oleh orang asing, atau bagaimana dia ditiduri oleh Dewa Perang rom bernama Mars, atau juga Dewa Hercules yang telah membuntingkannya. Anak yang sedang hidup dalam perut ibu baru itu rupa-rupanya pasangan kembar yang akan diberi nama Romulus dan Remus. Khabar angin mengenai nyawa baru yang sedang hidup dalam rahim Rhea Silvia ini telah mengundang murka Amulius.

Romulus dan Remus yang masih menyusu susu badan ibunya itu diarahkan untuk dilontarkan ke dalam Sungai Tiberius sebelum diselamatkan oleh serigala jadian. Kembar bayi ini sempat disusukan manakala diberi makanan oleh seekor Burung Raja Udang. Akhirnya, mereka berdua ditemui oleh pasangan pengembala kambing, Faustulus dan isterinya Acca Larentia, yang kemudiannya membesarkan pasangan kembar itu sehingga dewasa. Pekerjaan Romulus dan Remus adalah bermula sebagai seorang pengembala kambing, mewarisi pekerjaan ayah angkat mereka.  

Diceritakan pada suatu hari, ketika mereka sedang kusyuk menjaga kambing-kambing mereka, mereka tersempak dengan para pengembala Raja Amulius. Pergaduhan tercetus antara mereka yang berhasil dengan Remus ditangkap dan dibawa menghadap Raja Amulius. Raja zalim ini tidak mengetahui bahawa Remus dan Romulus ialah anak Rhea Silvia yang telah dijatuhkan hukuman mati di Sungai Tiberius suatu masa dahulu. Dalam kepalanya, pasangan kembar itu sudah lama mati. Romulus pula telah mengumpulkan rakan-rakan pengembalanya yang lain, lalu mengetuai misi menyelamatkan adik lelakinya yang juga berakhir dengan kematian Raja Amulius. Pada waktu itu, penduduk Alba Longa telah menjemput Romulius dan Remus menjadi raja baru mereka, namun permintaan itu ditolak oleh pasangan kembar ini. Sebaliknya, mereka telah menabalkan Nimitor semula menjadi raja.

Pasangan kembar ini sebenarnya memasang impian untuk membina kota mereka tersendiri. Lokasi sasaran mereka ialah tempat mereka ditemukan oleh serigala jadian pada ketika mereka masih bayi. Disinilah pasangan kembar ini mula bertengkar antara mereka tentang lokasi yang paling sesuai untuk membuka kota mereka. Romulus mengimpikan untuk membina kota di atas puncak Bukit Palatine manakala Remus pula memilih Bukit Aventine. Persengketaan mereka berakhir dengan Romulus telah membunuh Remus. Kematian Remus telah disusuli dengan tertubuhnya Kota Rom pada sekitar 753 SM.

Untuk menarik orang menjadi sebahagian daripada populasi, Rom telah menjadi tempat kepada para buangan untuk tinggal dan membangunkan kota baru itu bersama-sama. Namun, selepas beberapa ketika penubuhan Kota Rom, mereka mendapati bahawa Rom kekurangan wargakota wanita. Untuk mengisi kekosongan itu, wanita di kota yang berhampiran mereka iaitu Sabine menjadi sasaran utama. Namun, permintaan Rom kepada perempuan Sabine ini ditolak mentah-mentah, memaksa Rom merencanakan sebuah rancangan licik.

Romulus telah mengadakan pesta jamuan di Rom. Yang dijemputnya ketika itu ialah seluruh penduduk Sabine untuk bergembira dengan tarian, arak dan makanan. Pada ketika laki-laki Sabine sedang ralit bergembira dengan pesta, pada ketika itulah wanita-wanita Sabine diculik oleh lelaki Rom, lantas dirogol dengan rakusnya. Peristiwa ini digelar sebagai Perogolan Beramai-Ramai Wanita Sabine. Apa yang berlaku telah membuatkan para lelaki Sabine pula marah, lantas tercetusnya perang antara dua negara kota ini, dengan Romulus sendiri memimpin angkatan tentera. Kemenangan Romulus ini dicatatkan sebagai kemenangan pertama diantara kejayaan demi kejayaan yang agung dalam peperangan yang bakal dicapai oleh Rom pada masa hadapan.

Walaupun kalah pada pertempuran pertama, raja Sabine iaitu Titus Tatius tidak terus menyerah kalah. Baginda telah mengerahkan tentera Sabine mengepung kota rom di atas Bukit Capitoline, salah satu daripada 7 buah bukit dalam Rom sendiri. Disinilah kisah pengkhianat pertama Rom yang pertama terukir. Seorang Perawan Vestal yang merupakan anak salah seorang komander terkenal Rom telah menawarkan untuk membuka sendiri pintu ke dalam kota Rom untuk ditukarkan dengan “apa yang dipakai oleh tentera Sabine di tangan kiri mereka.” Apa yang dimaksudkan oleh Tarpeia ialah gelang-gelang emas yang disarungkan, namun tentera Sabine telah melemparkan Tarpeia dengan perisai yang dibawa oleh tangan kiri mereka sehingga mengundang kematian si gadis itu. Tubuh pengkhianat itu ditolak dari tebing tinggi di Bukit Capitoline, yang kemudian akan menjadi tradisi untuk mana-mana penjenayah Rom dihukum bunuh di tempat yang dinamakan Tarpeian Rock. Tarpeia kemudian akan sinonim dengan gelaran untuk mana-mana pengkhianat Rom.

Dalam masa yang sama, Rom hampir kalah kerana pengkhianatan Tarpeia ini, sehinggalah diselamatkan oleh Dewi Jupiter yang telah mendatangkan air panah yang mendidih lalu dituangkan ke atas bala tentera Sabine. Kegagalan Sabine untuk menakluk Rom telah membawa kepada perjanjian keamanan yang termeterai antara Rom dan Sabine, sambil kedua-dua rajanya memerintah bersama Rom dan Sabine. Sepanjang lima tahun pemerintahan itu, kedua-dua tamadun ini berkongsi antara mereka kebudayaan, kekayaan sehinggalah ke pengetahuan seperti startegi dan taktikal ketenteraan berbeza yang dimiliki oleh mereka berdua.

Namun, kerjasama ini tamat kerana perbuatan Titus sendiri yang ditangkap memberikan perlindungan kepada musuh yang telah menjarah negara kota sekutu mereka. Titus telah dibunuh oleh Romulus, sekaligus membuatkan Romulus menjadi satu-satunya raja Rom. Romulus dikatakan menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar 717 SM pada usia 53 tahun, dipercayai kerana dibunuh oleh para senator Rom yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Ada pula yang mendakwa bahawa Romulus menghilangkan dirinya dengan naik ke syurga, lalu menabalkan dirinya sebagai salah seorang dewa Rom. Mungkin sebab itu terdapat maharaja Rom yang membina kuil khas untuk Romulus dalam sejarah.

Rujukan:

Garcia, B. (2018). Romulus and Remus. Ancient History Encyclopedia.

Moore, M. (2007). The Legend Of Romulus And Remus. The Telegraph.

Morford, M, Lenardon, R. (1999). Classical Mythology. Oxford University

PressSanders, H. (1904). Roman Historical Sources And Institutions. Macmillan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.