Rombongan Parameswara ke China

982

Selepas Parameswara  (China : Ba Li Mi Su La ) membuka Sungai Bertam sebagai sebuah negeri baharu yang dikenali sebagai Melaka, baginda terpaksa menghadapi ancaman daripada Majapahit dan juga Siam bahkan Melaka pada waktu itu, terpaksa membayar ufti sebanyak 40 tahil emas setahun kepada Siam.

Ufti ini dihantar bagi mengelakkan gangguan Siam terhadap Melaka yang  baharu didirikan itu. Pada waktu ini, menurut rekod China, Parameswara hanyalah bertindak sebagai pentadbir Pulau Lima (China merujuk Melaka sebagai Pulau Lima) bukannya sebagai raja.

Nama “Melaka” hanya baharu digunapakai oleh China selepas Laksamana Yin Qing membawa watikah pengisytiharan kepada Melaka. Selepas menjalinkan hubungan dengan China sekitar tahun 1403 itu, baharulah nama Man La Jia digunakan oleh China untuk merujuk kepada Melaka.

Bahkan ada waktu inilah menurut catatan China, Melaka telah menjadi sebuah negeri bebas dan Parameswara mula diangkat menjadi Raja Melaka yang sah bukannya sebagai seorang pentadbir lagi. China memang diakui sebagai kuasa besar dunia bahkan sejak zaman berzaman kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara ini akan menghantar ufti kepada China sebagai tanda persahabatan dan juga untuk melindungi kerajaan mereka daripada diserang oleh mana-mana kuasa lain. Bahkan Siam dan Majapahit juga turut menghantar ufti kepada China. Masakan tidak China menjadi kuasa besar dunia kerana pada tahun 1400, penduduk China sudah pun berjumlah 65,000,000 orang.!

Pada tahun 1411, Parameswara bersama rombongannya seramai 540 orang telah menumpang kapal Laksamana Cheng Ho ke China. Cheng Ho pada waktu itu berlayar pulang ke China dalam misi pelayaran ketiga beliau.

Menurut rekod China, sepanjang pemerintahan Parameswara, baginda telah menghantar sebanyak 5 kali utusan mengadap ke China iaitu pada tahun 1405,1407,1409,1412,1413 dan satu lagi ialah rombongan yang diketuai baginda sendiri pada tahun 1411.

Rombongan Melaka ke China pada tahun 1409 diketuai oleh Abdullah Kasim manakala rombongan pada tahun 1412 diketuai oleh Seri Semalan Jaya iaitu anak saudara Parameswara. Pada tahun 1413 pula, rombongan Melaka ini diketuai oleh anak Parameswara sendiri iaitu Seri Diraja.

Catatan Parameswara di China :

– 4 Ogos 1411

Sida Hai Shou dan Pengarah Kementerian Istiadat Huang Shang telah mengalukan kedatangan rombongan Parameswara dengan Majlis Jamuan Istimewa.

– 14 Ogos 1411

Baginda bersama dengan rombongannya tiba di istana. Parameswara sekali lagi dijamu oleh Maharaja China di Gerbang Fengtian manakala jamuan untuk permaisuri Melaka dan pegawainya di tempat lain. Balai Keraian Tetamu telah diarahkan oleh Maharaja China supaya membekalkan rombongan Melaka dengan daging dan wain diraja.

Ada beberapa perdebatan mengenai status Islam pada Parameswara, iaitu menurut catatan China dan Portugis, Parameswara tidak memeluk Islam manakala catatan “Melayu” pula mengatakan Parameswara telah memeluk Islam sekitar tahun 1413 iaitu tidak lama sebelum baginda mangkat pada tahun 1414.

Bahkan dalam sumber Melayu ( Sejarah Melayu ), nama Parameswara tidak wujud sama sekali kerana baginda ( Parameswara ) dikenali sebagai Raja Iskandar Syah. Jadi ini bermakna semasa rombongan baginda di China ini, baginda masih berstatus bukan Islam.

Selain wain dan daging, baginda juga telah dianugerahkan dengan :

  1. 2 pasang pakaian emas
  2. 1 Set jubah bercorak Qilin ( haiwan mistik Cina – berbadan kuda, bersisik ikan dan berkeala naga )
  3. Perkakas dapur emas dan perak
  4. Cadar kerudung hiasan
  5. Cadar katil mewah.

Untuk permaisuri dan ahli rombongan lainnya, mereka diberikan kain sutera dan pakaian mewah.

Selain itu, Parameswara juga telah memberikan Maharaja China berupa tanduk badak sumbu, penyu karah, tengkorak bangau, pokok karang, cincin emas, beruang hitam, kijang putih, Saqalat (kain), kain zafaran, kain dari lautan barat, air mawar, gading gajah, manik akik, tengkorak bangau merah betina, pokok getih, burung kakak tua, monyet hitam, pakaian berbutang, kain kapur, kain salasi, kain sutera nipis, bunga kacapiring, pes kachu hitam, kapur, al-luban, kayu cendana, pokok harum, resin morhabsyi, buah kusta, kayu secang, garam, minyak styrax, kayu gaharu, kayu laka, binga cengkih, bunga mawar, herba asafetida, kayu arang, tin imort dan hamba.

– 17 Ogos 1411

Santapan disediakan di Balai Bahasa Negara-Negara Asing

20 Ogos 1411

– Parameswara dianugerahkan dengan tali pinggang emas dan jed, alat kebesaran dan seekor kuda bersama pelana.

– Permaisuri pula diberikan hiasan kepala dan jubah mewah

18 September 1411

– Jamuan khas kepada Parameswara, duta Bengal dan Calicut, serta penguasa tentera Mubang dan Pengawasan Kedamaian Masyarakat bahagian Yunnan dan lain-lain kawasan di Bangunan Gerbang Selatan.

2 Oktober 1411

– Parameswara dijamu di Bangunan Gerbang Fengtian. Parameswara pula dikurniakan dengan 1 utas tali pinggan emas dan jed, alat kebesaran, 2 ekor kuda lengkap berpelana, 100 tahil emas (3780g), 500 tahil perak (18900g ), 400,000 untai wang kertas (1 untai bersamaan 1000 wang syiling ), 2,600 untai wang syiling tembaga, 300 gulung kain sutera dewangga, 1000 gulung kain sutera, 2 potong kain sutera emas campuran dan 2 pasang jubah bersulam benang emas,

Untuk Permaisuri pula, baginda telah dihadiahkan dengan perhiasan kepala, 1 set jubah, 200 tahil perak, 5000 untai wang kertas, 60 gulung kain sutera dewangga, kain kasa sutera dan sutera nipis, 4 set pakaian sutera.

Putera raja pula dikurniakan toi dan tali inggang diraja. Menteri pula dikurniakan perak, wang kertas, syiling tembaga dan kain sutera dewangga,

5 Oktober 1411

– Menteri istiadat mengadakan jamuan santapan untuk Parameswara, Duta Benggal dan Calicut di Balai Singgah Longjiang. Selepas itu mereka menghadiri jamuan di Balai Singgah Longtan.

Hubungan akrab antara China dengan Melaka sebenarnya dalam situasi menang-menang dimana Melaka mendapat perlindungan China dari ancaman negara lain manakala China pula mendapat barangan eksotik dan barangan sukar dijumpai dari Melaka.

RUJUKAN:

Ahmad Jelani Halimi. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publication and Distributor sdn bhd.

  1. Samad Ahmad, ( penyelenggara ).2013. Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chong Kok Hoong, Muhammad Suhail Ahmad dan Abdul Hakim Shahbuddin. 2019. Laksamana Zheng He : Teladan Merentasi Zaman. Kuala Lumpur : GPTD

Ruangan komen telah ditutup.