Apabila Adolf Hitler menjawat jawatan sebagai Kanselor Jerman pada tahun 1934, ini memberi peluang kepada Parti Nazi untuk bangkit dan duduk di kemuncak kuasa. Dari situ, mereka mempergunakan semua institusi terutama institusi kehakiman bagi memastikan semuanya memihak kepada mereka. Ini termasuklah penubuhan mahkamah kanggaru iaitu Mahkamah Rakyat diketuai oleh Roland Freisler. Siapa sebenarnya Freisler dan mengapa institusi ini digelar mahkamah kanggaru?

Semasa mudanya, Freisler sudah menunjukkan semangat patriotik yang tinggi dan tidak ketinggalan mendaftarkan diri semasa Perang Dunia Pertama (WWI). Atas sebab itulah, semasa menjadi sebahagian daripada Divisyen Ke-22, Askar Diraja Jerman, beliau dianugerahkan pingat Iron Cross Kelas Pertama dan Kelas Kedua semasa perang meletus. Pada tempoh yang sama, Freisler ditahan tentera Rusia dan dipenjarakan di sebuah kem pada tahun 1918. Di situ, beliau mempelajari Bahasa Rusia dan dikatakan dilantik sebagai komisar yang bertugas menguruskan bekalan makanan kem. Walaupun ini sekadar khabar angin, ia menghantui karier politik dan kehakiman Freisler.

Selepas perang berakhir, Freisler kembali menyambung pengajiannya dalam jurusan undang-undang di Universiti Jena dan diberi anugerah doktor kehormat pada tahun 1922. Pada tahun 1924, Freisler berkhidmat sebagai peguam dan ahli majis perbandaran untuk bandar Kassel, Jerman. Pada tahun 1925, beliau menyertai parti Nazi dan bertanggungjawab mempertahankan ahli-ahli parti apabila mereka berhadapan dengan tindakan mahkamah.

Walaupun dianggap tidak layak menjadi sebahagian daripada kepimpinan parti berikutan khabar angin tentang tempohnya di kem tahanan Rusia pada WWI, keupayaan Freisler tetap dipandang tinggi oleh mereka. Terima kasih kepada keupayaannya membela ahli Nazi di mahkamah, Freisler dilantik sebagai Pengarah Kementerian Keadilan Prussia (1933), Setiausaha Negara bagi Kementerian Keadilan Prussia (1933-1934) dan Menteri Keadilan Jerman (1934-1942). Semasa berkhidmat sebagai hakim, pengetahuannya dalam undang-undang dan taktik agresif menyerang defendan (tertuduh) menjadikannya amat digeruni. Berdasarkan rekod, beliau tidak pernah memberi kebenaran seorang tertuduh memakai tali pinggang dan tidak pernah berfikir panjang menghukum mati pesalah kanak-kanak.

Kekejaman beliau dalam kamar mahkamah bagaimanapun tidak membantunya mendapat lebih banyak kuasa dalam pentadbiran. Ini kerana pertama, Freisler tidak mempunyai sebarang sekutu dalam parti dan kedua, masa silam dan pertaliannya dengan adik lelaki merangkap peguam, Oswald Freisler. Oswald banyak menentang kes rejim di mahkamah tatkala mereka cuba mengukuhkan cengkaman mereka pada semua institusi kerajaan dan suka memakai lencana parti semasa melakukannya. Menteri Propaganda, Joseph Goebbels segera melaporkan tindakan Oswald kepada Hitler dan berikutan itu, Oswald dipecat keanggotaannya dari parti tersebut. Pada tahun 1939, Oswald Freisler mati dalam keadaan misteri di mana punca kematiannya ialah bunuh diri tetapi itu tidak menghalang ramai berspekulasi Oswald berkemungkinan dibunuh. Apapun, ini membantutkan usaha abangnya untuk memajukan karier politiknya. Sehinggakan apabila Goebbels mencadangkan nama Freisler sebagai pengganti kepada Menteri Keadilan Reich, Franz Gurtner, Hitler membalas, “Bolshevik itu? Tidak!”

Namun, itu bukan penghalang kepada perlantikan beliau sebagai Presiden Mahkamah Rakyat menggantikan Otto Georg Thierrack yang mengambil alih jawatan Menteri Keadilan Reich pada 20 Ogos 1942. Mahkamah Rakyat ini ditubuhkan berasingan daripada pentadbiran kehakiman sedia ada dan mempunyai kuasa ke atas semua jenis kesalahan politik seperti pasaran gelap dan pendirian mengaku kalah. Sesiapa saja yang dihantar ke mahkamah ini dianggap sudah dijatuhkan hukuman mati. Buktinya, 90% kes yang dibawa ke mahkamah ini akan dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup. Dan mahkamah ini tidak segan-silu menyebelahi pihak pendakwaraya sekaligus ia menjadi satu lagi cabang eksekutif kerajaan dan alat terbaik untuk menakutkan populasi Jerman. Dan satu lagi fakta menakutkan berkenaan mahkamah kanggaru ini ialah Freisler juga mendapat kehormatan menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah juvana dalam sejarah Jerman.

Antara tahun 1942 hingga 1945, 5,000 pesalah dijatuhkan hukuman mati dengan 2,600 daripadanya dilakukan di kamar mahkamahnya. Dalam tempoh tersebut, bilangan pesalah yang dihukum mati lebih banyak berbanding jumlah pesalah yang dihukum mati sepanjang tempoh penubuhan Mahkamah Rakyat (1934-1945). Kejamnya Freisler terhadap mangsanya sehinggakan pada satu ketika, beliau pernah menghantar bil gilotin kepada keluarga Joseph Muller, seorang paderi Roman Katolik yang lantang menentang rejim Nazi. Dan atas sebab yang sama juga, Reinhard Heydrich turut menghantar surat jemputan kepada beliau untuk menghadiri Persidangan Wannsee pada tahun 1942.

Semasa di kamarnya, Freisler tidak segan-silu menjerit dan bercakap kasar terhadap mana-mana pesalah. Dan bagi setiap dakwaan yang dikemukakan, beliau juga tidak menyembunyikan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap rejim. Dan sekiranya pesalah melakukan kesalahan menentang rejim, maka bersiaplah mendengar jeritan dan sumpahan histeria Freisler terhadap mereka. Taktik ini dipelajari beliau daripada persembahan Ketua Pendakwaraya Mahkamah Soviet, Andrei Vyshinsky dan Freisler sendiri pernah menghadiri salah satu perbicaraan Vyshinsky pada tahun 1938.

Berikutan statusnya sebagai Presiden Mahkamah Rakyat, Freisler bertanggungjawab menguruskan kes-kes berprofil tinggi. Dan bagi kes-kes sebegini, ia selalunya berakhir dengan kematian, kadang-kadang dua jam selepas penghakiman telah diberi. Pada tahun 1943, beberapa ahli termasuk ketua kumpulan penentang White Rose dihukum mati dengan gilotin. Setahun kemudian, apabila ahli-ahli konspirasi 20 Julai dibicarakan, jentera propaganda Goebbels merakam prosiding tersebut sebagai propaganda terutama gelagat Freisler mengecam semua defendan. Pada satu ketika apabila Field Marshall Erwin von Witzleben cuba menahan seluarnya kerana diberi sehelai seluar lama yang besar, beliau menjerit kepada Witzleben, “Orang tua pengotor, kenapa kamu cuba menahan seluar tersebut?”

Ironinya, Mahkamah Rakyat juga menjadi tempat Freisler menemui ajalnya. Pada 3 Februari 1945, semasa mengendalikan satu prosiding, pesawat-pesawat pengebom Amerika Syarikat mengebom bangunan-bangunan kerajaan termasuk bangunan mahkamah. Mendengar bunyi siren serangan udara, beliau menangguhkan sesi secara tergesa-gesa dan mengarahkan semua menuju ke tempat perlindungan. Tatkala sibuk mengambil fail mahkamah, sebutir bom mengenai mahkamah menyebabkan sebahagian daripada bangunan tersebut roboh dan menghempap Freisler. Dan bila khabar kematiannya tersebar luas, tiada siapapun merasa sedih mendengarnya. Semasa mayatnya dibawa ke Hospital Lutzow, seorang pekerja hospital memberi komen, “Inilah ketentuan Tuhan.” Mayatnya dikebumikan di Perkuburan Waldfriedhorf Dahlem di Berlin dengan batu nisan tidak bertanda.

SUMBER:

Hughes, Russell. (2016). War History Online. Roland Freisler – Hitler’s Screaming Nazi Judge. https://www.warhistoryonline.com/world-war-ii/roland-freisler-hitlers-screaming-nazi-judge.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply