Filem Rock Oo merupakan salah satu karya yang terdapat di dalam trilogi Rock. Filem ini diarahkan oleh Mamat Khalid dan ditayangkan pada tahun 2012. Beliau mengangkat genre komedi sebagai unsur utama dalam pembikinan filem ini. Menurut Oring (2003), pendekatan lucu dalam konteks ini adalah usaha atau pengalaman seseorang individu untuk membawa pedekatan lucu dalam interaksi sosial, keadaan sosial serta sejarah yang diterapkan dengan elemen lucu.

Sebagai contoh, Senario: Lang Buana merupakan salah satu filem Mamat Khalid yang menerapkan unsur komedi dalam filem yang bertemakan sejarah. Beliau berjaya menyampaikan komedi yang bersifat moral berbanding komedi kosong pelawak-pelawak era kini . Oleh sebab itu , filem-filem beliau diangkat sebagai mahakarya seperti filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Sebagai contoh dalam filem Rock Oo, dialog yang dilontarkan oleh Jijo Alfonso Pariera kepada Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim) berkaitan dengan tiga perkara yang menjatuhkan sesebuah negara memang kelihatan agak lucu. Namun begitu terdapat maksud tersirat disebaliknya kerana lontaran dialog oleh Jijo Alfonso Pariera sudah terbukti kebenarannya.

Terdapat banyak empayar yang telah jatuh disebabkan oleh perempuan seperti Dinasti Tang dan Dinasti Ching . Bukan itu sahaja, dialog Jijo Alfonso Pariera kepada Amy Mat Piah dan Black (Norazmi Bahron) berkenaan penyakit gout dan tabiat meminum arak ketika babak berjalan di kaki lima merupakan simbolik kepada masalah peribadi mampu menjejaskan potensi diri seseorang.

Kita dapat melihat bagaimana Mamat Khalid mengambarkan realiti yang telah dan sedang berlaku dalam bentuk sinis yang mungkin tidak difahami oleh sesetengah orang . Itulah kekuatan ataupun kelebihan beliau dalam setiap filem yang diarahkannya . Filem Rock Oo! Ini juga merupakan madah untuk Mamat Khalid menyampaikan kritikan sosial kepada masyarakat.

Aliran muzik rock pada ketika itu seringkali dianggap sebagai sesat dan mampu merosakan pemikiran anak muda. Oleh itu, beliau telah menerapkan unsur kritikan kepada tanggapan buruk masyarakat terhadap muzik rock.

Lontaran dialog serta falsafah hidup watak Amy Mat Piah iaitu “pantang anak petani moden mengundur kalah” telah menjawab tanggapan buruk terhadap dunia seni rock tanah air. Watak Amy Mat Piah itu sendiri digambarkan sebagai pemuda yang mahu bangkit daripada kegagalan setelah disingkirkan oleh kumpulan Rimba Bara.

Amy Mat Piah sedaya upaya cuba membangunkan kembali semangat anggota Rimba Bara yang lain untuk terus berkarya walaupun dirinya sendiri kurang dari segi vokal dan nyanyian. Kita dapat melihat elemen positif serta prinsip hidup dalam mengejar sesuatu impian. Itulah gambaran sebenar kebanyakan kumpulan rock yang mahu terus hidup dan berkarya di ibu kota Kuala Lumpur. Sebagai contoh adalah kumpulan Teras yang popular dengan lagu Ku Kehilangan Diana yang hanya mampu hidup sebentar sahaja dalam dunia seni rock tanah air.

Beliau juga menyampaikan kritikan sosial dalam bentuk sebuah lagu. Rangkap pertama lagu kumpulan SYJ – Orang Timur iaitu “Jepun pandang ke barat untuk kemajuan, apa nak jadi dengan Malaysia” sebenarnya memaparkan realiti yang sedang berlaku pada zaman itu dan era kini. Pada era 90an dahulu, pelbagai fahaman serta ideologi yang berasal daripada barat berjaya masuk hingga menyebabkan pertambahan masalah sosial di Malaysia.

Kemasukan aliran-aliran muzik seperti skin head, metal dan punk telah mempengaruhi remaja untuk terlibat dengan masalah sosial. Aliran muzik seperti itu tidak salah tetapi cara kita mengaplikasikannya menjadi sebuah masalah besar. Kita boleh sahaja ambil perkara baik daripada subgenre rock tersebut untuk disesuaikan dengan budaya timur tetapi kelihatan seperti barat itu mungkin lebih tampak menarik. Ketika era milenium ini , kita sendiri tidak terlepas daripada dipengaruhi fahaman-fahaman asing. Kemasukkan fahaman teori konspirasi yang dipopularkan oleh orang Barat telah mengwujudkan masyarakat yang terlalu taksub membuta tuli.

Bukan itu sahaja, Mamat Khalid juga memaparkan Tugu Negara serta bangunan Dayabumi sebagai lambang kemegahan identiti Kuala Lumpur melalui lagu nyanyian Dato’ Malik Rezduan bertajuk Kuala Lumpur. Beliau mengambarkan Kuala Lumpur sebagai kotaraya penyeri hidup bagi kumpulan Rimba Bara tetapi sebenarnya membawa kepada kesengsaraan.

Situasi tersebut bertepatan dengan gambaran yang terjadi ketika era 90-an dahulu. Kebangkitan bandar perindustrian baru seperti Shah Alam, Bayan Lepas dan Pasir Gudang telah mendorong masyarakat luar bandar mencuba nasib dengan harapan mereka berjaya mendapat pekerjaan tetap. Namun begitu ramai diantara mereka mengalah ekoran tidak mampu untuk menjalani hidup ditempat asing.

Mamat Khalid juga mengunakan kosmologi Melayu melalui adegan Zul Kapan bersilat apabila terlalu lapar untuk mengambarkan keadaan masyarakat yang tersepit dengan sistem kapitalisma yang kejam. Sebagai contoh, golongan pekerja selalu ditekan oleh majikannya agar sentiasa menampilkan prestasi kerja yang memuaskan bagi memenuhi pentunjuk prestasi orang atasan.

Perkara seumpama ini sering terjadi kepada golongan guru apabila terpaksa melaksanakan sistem sekolah amanah yang langsung tidak memberikan kesan kepada pelajar melainkan sebagai syarat kepada orang atasan. Oleh itu, Mamat Khalid berjaya memaparkan kritikan sosial terhadap masyarakat dengan cara yang santai, lucu dan mudah difahami oleh penonton.

Filem Rock Oo! ini juga mengambil sejarah sebenar sebagai latar utama. Kebangkitan muzik rock era 80-an serta 90-an merupakan salah satu sejarah kepada industri muzik tempatan. Menurut Hassan Mutalib (2012), sejarah menjadi guru kepada kita semua. Apakah kejujuran, persaudaraan dan keakraban yang terdapat pada anggota kumpulan Rimba Bara dapat dicontohi oleh anak seni industri hiburan tempatan?

Rock Oo memaparkan realiti kemunculan muzik rock hinggalah ke pengakhiran muzik rock disebabkan kematangan sebuah kehidupan. Kenyataan tersebut bertepatan dengan lontaran dialog Amy Mat Piah iaitu “dunia kembali berputar, namun demam rock yang melanda semakin sayup ditelan kematangan kehidupan kami”. Oleh itu, Mamat sebenarnya mahu membawa penonton menyelami sendiri apa itu muzik rock serta keindahannya.

Menurut Hassan Mutalib (2012), Mamat Khalid adalah karyawan paling sesuai untuk mengambarkannya kerana beliau sendiri pernah terlibat di dalam era muzik rock tanah air sebagai salah seorang anggota kumpulan rock bernama Drop Out yang terdiri daripada pemuda-pemuda yang “drop out” dalam segala hal pada masa itu.

Malahan watak Jijo Alfonso Pareira yang dilakonkan oleh Khir Rahman berinspirasikan daripada sahabat beliau dalam kumpulan Drop Out. Oleh itu, kita dapat melihat Mamat Khalid cuba memaparkan sejarah serta realiti sebenar dunia seni rock tanah air kepada penonton dengan berinspirasikan kisah benar.

Secara keseluruhan filem ini bukan sekadar lawak jenaka yang sia-sia sahaja malahan boleh dianggap sebagai salah satu mahakarya daripada saudara Mamat Khalid. Pelbagai teguran yang sangat sinis berjaya disampaikan beliau walaupun kurang disedari oleh penonton.

Mamat Khalid telah berjaya menyampaikan kritikan sosial dalam bentuk yang santai. Beliau berpendapat jika ada yang sudah menonton tetapi masih tidak faham maksud kritikan sosial yang disampaikan  beliau tidak kisah kerana beliau sedar bukan semua orang melihat filem untuk berfikir sebaliknya hanya untuk berhibur.

RUJUKAN

Hassan Abd Muthalib (2012). Yang tersurat dan yang tersirat di dalam filem-filem arahan Mamat Khalid. Diambil daripada academia.com.

Hassan Abd Muthalib (2013). Rock Oo arahan Mamat Khalid: Sejarah, kenangan dan kejujuran. Diambil daripada academia.com.

Oring, E (2003). Engaging Humor. Chicago: University of Illinois Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Comments are closed.