RM 8.8 Trilion: Pakej Rangsangan Terbesar Dalam Sejarah US Melawan Covid-19

3,870

Ahli politik US dari kedua-dua Parti Republican dan Democrat baru saja bersetuju untuk memperkenalkan pakej rangsangan (“stimulus”) di mana kerajaan US akan berbelanja sebanyak $ 2 trilion (RM 8.8 trilion) untuk menyelamatkan ekonomi US yang bakal merudum akibat wabak COVID-19.

Ini juga merupakan pakej perbelanjaan ke-3 yang dilancarkan oleh US yang berkaitan dengan COVID-19, selepas “Coronavirus Preparedness and Response Supplemental Appropriations Act” (6 Mac) yang guna $ 8.3 bilion untuk membangunkan vaksin, dan “Families First Coronavirus Response Act” (18 Mac) yang guna $ 104 bilion untuk memberi saringan percuma dan cuti bergaji selama 10 hari.

COVID-19 menyebabkan banyak negeri di US berada dalam keadaan “lockdown” (negeri US boleh isytiharkan lockdown sendiri tanpa tunggu arahan kerajaan pusat). Bisnes tak dapat nak beroperasi, tak ada pendapatan. Bila bisnes tak ada pendapatan, tak dapat nak bayar gaji kepada pekerja atau terpaksa berhentikan pekerja. Orang tak ada gaji tak dapat nak berbelanja dan bayar hutang, yang rugi bank dan bisnes. Jadi kerajaan kena buat sesuatu untuk pastikan ekonomi tak lumpuh.

Mula-mula Trump cadangkan $ 850 bilion saja, tapi lepas nego punya nego jadi 2 trilion. Pelosi siap minta dinaikkan jadi 2.5 trilion. Itulah persaingan politik yang sihat, berlumba-lumba ke arah kebaikan negara.

2 trilion tu banyak gila kot. 2,000,000,000,000. Skrin ATM pun tak muat rasanya. Kalau beli kapal terbang model Airbus A320 (yang Airasia selalu pakai tu, sebiji $ 100 juta) boleh dapat 20,000 biji.

Pakej 2 trilion ni merangkumi 500 bilion yang akan diguna untuk buat bayaran ala BSH atau BR1A (Bantuan Rakyat 1Amerika) kepada setiap rakyat US yang berpendapatan $ 75,000 setahun ke bawah. Dewasa dapat $ 1,200 (RM 5,000 weh gila), kanak-kanak dapat $500 (of course parents lah yang akan tolong belanjakan).

350 bilion lagi akan bagi kat perniagaan kecil dan sederhana (SME) untuk terus membayar gaji kepada pekerja yang duduk rumah. 250 bilion untuk insuran pengangguran. 130 bilion kepada hospital. 500 bilion sebagai pinjaman kepada perniagaan, termasuk 61 bilion kepada syarikat penerbangan.

Ini merupakan perbelanjaan ekonomi terbesar dalam sejarah US. Lagi besar daripada $ 787 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan Obama pada tahun 2009 yang juga bertujuan untuk menyelamatkan ekonomi US yang ketika itu dilanda oleh krisis pasaran subprime mortgage.

Masa Obama memperkenalkan pakej $ 787 bilion, ahli Republican semua bantah, kata ia akan menambahkan hutang negara. Dan hutang kerajaan US pada zaman Obama memang naik dari $10 trilion kepada $20 trilion. Jadi Republican waktu tu memang hari-hari duk ratib negara bankrap negara bankrap.

Pakej kali ni pun tentu akan menambah lagi hutang negara US yang kini berjumlah $ 23 trilion. Bajet kerajaan US pun mengalami defisit. Untuk tahun 2019, defisit bajet US adalah sebanyak $ 984 bilion, perbelanjaan (4.4 trilion) melebihi pendapatan (3.5 trilion). Kali terakhir US ada surplus (lebihan) bajet adalah tahun 2001.

Tapi dalam keadaan krisis, tak ada siapa nak peduli lagi pasal defisit dan hutang. Kalau masalah tak diatasi dengan segera, defisit ke surplus tak ada makna. Bisnes akan lingkup dan berjuta-juta orang akan hilang pekerjaan.

Promosi Buku DTT

Ekonomi US dan dunia semasa tahun 2009 pun dalam krisis juga. Ekonomi US akan jatuh lagi teruk kalau Obama tak memperkenalkan pakej rangsangan. Tapi Republican waktu itu jumud dengan ideologi “neoliberal” diorang yang anti-defisit dan anti-hutang.

Neoliberal ialah gagasan ekonomi yang nak kurangkan peranan kerajaan dalam ekonomi. Pendukung gagasan neoliberal anggap saiz kerajaan yang besar akan membantutkan ekonomi. Kalau kerajaan besar, kakitangan awam ramai, banyak pembangunan, perbelanjaan kerajaan pun akan jadi banyak. Jadi pendukung neoliberal anggap kerajaan akan memindahkan beban perbelanjaan kepada rakyat dalam bentuk cukai yang zalim dan membebankan.

Untuk elakkan cukai, pendukung neoliberal sarankan supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan seboleh-bolehnya. Projek pembangunan tak perlu, membazir. Saiz perkhidmatan awam dikecilkan. Perkhidmatan air, elektrik semua boleh diswastakan sebab swasta lebih cekap. Sounds familiar kan?

Tapi dalam realiti, cukai bukan untuk dibayar hutang kerajaan. Defisit dan hutang pun tak akan buat kerajaan bankrap terus. Hutang kerajaan tu yang sebenarnya akan suntik duit tambahan ke dalam sistem ekonomi. Nak explain jadi panjang pulak nanti.

Pendukung neoliberal ni selalunya ada kepentingan sendiri. Diorang rapat dengan taikun-taikun korporat dan mahu membantu diorang untuk kurangkan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.

Walaupun nama “liberal”, pendukung ekonomi neoliberal tak semestinya seorang “liberal”. Republican ni kebanyakannya konservatif, dan ideologi ekonomi neoliberal sesuai dengan ideologi diorang yang mahu pertahankan (“conserve”) tradisi kerajaan kecil di US.

Sebelum zaman Great Depression (1929-1939), kerajaan US tak campur tangan dalam ekonomi. Tapi untuk menyelamatkan ekonomi yang hampir hancur, Presiden Franklin Roosevelt (seorang Democrat, seorang “liberal”) memakai teori ekonomi John Maynard Keynes untuk merangsang ekonomi dengan perbelanjaan defisit.

Dengan itu, ekonomi Keynesian menjadi arus utama sehingga 1970-an. Ekonomi liberal kemudian kembali dominan dalam bentuk “neoliberal” dan menyebar ke seluruh dunia melalui institusi yang didominasi oleh US iaitu Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Kalau dari segi geopolitik, COVID-19 sedang “membunuh” idea globalisasi yang telah mendominasi dunia selama 30 tahun yang lepas, maka dari segi ekonomi, COVID-19 juga sedang membunuh gagasan ekonomi neoliberal yang diangkat menjadi ortodoks selama 40 tahun yang lepas.

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108