Riwayat Kumpulan Garnet Crow

1,143

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Muzik menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah bermaksud “gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan”. Jika zaman sekarang ataupun sekurangnya-kurangnya pada saat artikel ini ditulis, wabak muzik Pop Korea Selatan (K-pop) sedang melanda dunia dari Wanna One, Bangtan Sonyeondan (BTS), Neo Culture Technology (NCT) hinggalah ke EXO. Tanyalah majoriti anak muda pada masa kini, pasti mereka akan mengenali sekurang-kurangnya satu kumpulan. Segenap sudut daripada muzik, pakaian, makanan dan malah program-program keagamaan juga pasti mengandungi unsur-unsur dari negara kimchi dan pembedahan plastik itu.

Sedikit sebanyak, wabak yang mula melanda dunia seawal tahun 1990an telah menenggelamkan banyak genre muzik. Genre sezamannya seperti Pop Jepun (J-pop) dan Rock Jepun (J-Rock) agak kurang dikenali ramai pihak walaupun mempunyai komuniti peminatnya yang tersendiri. Antara kumpulan pemuzik bergenre J-Pop dan J-Rock yang lahir sekitar zaman wabak K-Pop adalah Garnet Crow. Persoalannya, siapakah mereka?

Nama kumpulan tersebut berasal daripada “Garnet” dan “Scarlet Crow”. Secara kimianya, “Garnet” adalah sejenis batu galian yang mengandungi unsur X3Y2(Sio4)3 di mana “X” sama ada Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), Ferrous Ion (Fe2+) ataupun Ion Mangan (II) manakala “Y” sama ada Aluminium (Al), Ion Ferric (Fe3+), Ion Mangan (III), Ion Vanadium (III) ataupun Kromium (III). Perkataan “Crow” adalah bermaksud “Burung Gagak”. Justeru, nama “Garnet Crow” dipilih untuk melambangkan betapa ganas dan seramnya burung gagak yang berwarna merah Garnet.

Kumpulan Garnet Crow terdiri daripada dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Ahli kumpulan tersebut adalah Nakamura Yuri (中村由利), Azuki Nana (AZUKI七), Furui Hirohito (古井弘人) dan Okamoto Hitoshi (岡本仁志). Nakamura adalah penyanyinya, Okamoto adalah seorang pemain gitar serta Azuki dan Furui pemain keyboard. Untuk pengetahuan semua, Furui adalah ketua kepada kumpulan pemuzik yang wujud pada tahun 1999 selepas berpisah daripada kolaborasi bersama seorang penyanyi bernama Kuraki Mai. Ahli kumpulan tersebut pada masa artikel ini ditulis adalah berusia daripada umur 43 hingga 52 tahun.

Sesiapa yang mengikuti animasi Jepun (Anime) seperti Detektif Conan, Marchen Awaken Romance (MAR) dan sebagainya, pasti anda pernah mendengar lagu daripada kumpulan itu. Sebahagian daripada lagu mereka telah dijadikan sama ada sebagai lagu pembukaan, penutup ataupun filem berkenaan. Contoh lagu yang pernah dimainkan dalam Detektif Conan adalah Yume Mita Ato De, Mysterious Eyes, Overdrive, Misty Mystery dan banyak lagi. Malah, sebahagian lagu pernah dijadikan sebagai nada dering dan mesej telefon bimbit penulis pada suatu masa dahulu.

Antara lagu yang penulis artikel ini gemari adalah Yume Mita Ato De, Nora dengan Smiley Nation. Tajuk “Yume Mita Ato De (夢みたあとで)” dan “Nora (野良)” masing-masing secara harfiahnya bermaksud “Setelah Aku Bermimpi” dan “Liar”. Yang paling menarik lagu “Smiley Nation” yang bermaksud “Senyuman Bangsa”. Secara kasarnya, lagu “Smiley Nation” mengisahkan tentang permintaan untuk dibawa ke tempat yang lebih baik setelah mengalami kesukaran ataupun masalah di tempat asal.

Setiap kumpulan pemuzik tanpa mengira genre bagi penulis mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Salah satu kelebihan yang terdapat dalam Garnet Crow terletak pada penyanyi bernama Nakamura Yuri. Jika diamati, suara beliau agak berbeza daripada penyanyi wanita lain. Yuri bersuara agak ke dalam berbanding yang lain secara umumnya lunak lagikan mendayu-dayu. Sejujurnya, keunikan suara Nakamura memberi markah lebih tinggi kepada kumpulan itu.

Di sebalik kedudukannya di atas puncak, keberadaan kumpulan Garner Crow di dalam dunia hiburan tidak dapat bertahan lama. Persembahan mereka di Tokyo Dome Hall pada hari Sabtu bertarikh 30 Mac 2013 iaitu lebih setahun sebelum penulis mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi saksi kepada persembahan “GARNET CROW livescope 2013 ~Terminus~” dan pengumuman untuk membubarkan kumpulan tersebut.

Mereka akhirnya berpecah secara rasmi selepas konsert “GARNET CROW livescope ~FINAL~” pada 24 Jun di Tokyo serta 8 hingga 9 Jun tamat pada tahun yang sama. Menurut khabar angin, peristiwa yang berlaku di Yokohama pada tahun 2009 dipercayai menjadi penyebab kepada pembubaran Garnet Crow apabila persahabatan antara dua orang perempuan iaitu Nakamura Yuri dan Azuki Nana lenyap.

Akhir kalam, itulah riwayat kumpulan Garnet Crow secara ringkas. Kumpulan pemuzik pop dan rock Jepun yang wujud pada tahun 1999 itu akhirnya terbubar pada tahun 2013. Keberadaan Nakamura Yuri dan Azuki Nana masing-masing tidak dapat diketahui selepas tahun 2013 dan 2018 manakala Furui Hirohito dan Okamoto Hitoshi masih lagi aktif dalam dunia hiburan masing-masing sehingga sekarang. Penulis mengakhiri artikel ini dengan pepatah yang berbunyi “Kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari”.

RUJUKAN:

What is Garnet? Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://geology.com/minerals/garnet.shtml

Garnet Crow announces their disbandment. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://turtle-yurippe.livejournal.com/196311.html

Musical Terms Worldwide: A Companion for the Musical Explorer . Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://books.google.com.my/books?id=KmMx0FA86QcC&pg=PA15&dq=k+pop+korean+popular+music&redir_esc=y&hl=ms#v=onepage&q=k%20pop%20korean%20popular%20music&f=false

Garnet Crow Smiley Nation. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada http://j-lyric.net/artist/a0009c6/l025686.html

Top 10 trend fashion terbaru dari Seoul Fashion Week 2020. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://kepoper.com/top-10-trend-fashion-terbaru-dari-seoul-fashion-week-2020/

Garnet Crow Interview. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada http://www.hotexpress.co.jp/index.html

Garnet Crow to disband. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://www.tokyohive.com/article/2013/03/garnet-crow-announces-their-disbandment

Hukum Menyukai K-Pop dalam Islam. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://www.google.com/amp/s/dalamislam.com/hukum-islam/hukum-menyukai-kpop-dalam-islam/amp

10 most popular k-pop boy groups .Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://spinditty.com/genres/top-10-most-popular-k-pop-boy-groups

Garnet Crow. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada https://www.detectiveconanworld.com/wiki/GARNET_CROW

Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka: Muzik. Dicapai pada 14 Januari 2020 daripada http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=muzik

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.