Risiko Memakai Kanta Lekap Pada Waktu Yang Lama

481

Dalam dunia fesyen dan trending baru-baru ini, penggunaan kanta lekap (contact lens) merupakan salah satu pemakaian yang agak popular. Rata-rata orang yang memakai kanta lekap ini adalah sebagai cara untuk memudahkan mereka agar tidak perlu memakai cermin mata, terutama sekali bagi pihak yang mempunyai masalah rabun jauh.

Selain itu, terdapat juga beberapa orang yang memakai kanta lekap ini tanpa power dengan tujuan suka-suka, mahupun sebagai satu trend yang diikuti oleh orang ramai.

Dalam artikel saya kali ini, saya akan mendedahkan risiko memakai kanta lekap pada masa yang terlalu lama. Dalam beberapa kes pesakit yang sering dijumpai oleh pegawai perubatan mahupun pakar mata, terdapat segelintir daripada pesakit ini mempunyai masalah dan penyakit yang timbul akibat sifat ambil mudah dan tidak menanggalkan kanta lekap sewaktu mereka tidur.

Gambar – National Eye Institute

Sebelum kita mengetahui apa risikonya, kita perlu mengetahui bahawa setiap bahagian dan organ yang terdapat di badan kita memerlukan nutrisi untuk hidup. Bekalan oksigen serta glukosa merupakan salah satu keperluan paling asas untuk memastikannya berfungsi dengan normal. Kebanyakkan nutrisi ini dihantar melalui darah, iaitu sel darah merah yang seperti kita tahu akan membawa bekalan oksigen kepada organ-organ ini.

Namun, bahagian kornea ini perlu kekal lutsinar supaya dapat membenarkan cahaya untuk masuk ke dalam mata dan mengenai photoreceptors yang terletak di retina. Untuk pengetahuan anda, bahagian ini bertanggungjawab untuk memfokuskan cahaya di mana peranannya merangkumi 60 – 75% pemfokusan cahaya. Justeru, bahagian ini merupakan bahagian yang tiada salur darah, atau dalam bahasa lainnya adalah ‘avascular structure”.

Gambar – Biology Discussion

Kornea mendapat bekalan nutrisi daripada cecair yang terletak di antara bahagian kornea itu sendiri dengan bahagian kanta mata, yang dinamakan sebagai aqueous humor yang terletak di dalam aqueous chamber. Selain itu, bahagian ini juga mendapat nutrisi daripada air mata kita sendiri. Berdasarkan gambar di bawah, anda akan dapati bahawa lapisan air mata kita, yang disebarkan setiap kali seseorang itu mengelip mata mempunyai 3 lapisan, dan struktur yang menghasilkannya.

Gambar – National Eye Institute

Untuk mendapatkan bekalan oksigen, bahagian ini perlu mengambilnya daripada oksigen yang terkandung di dalam lapisan air mata ini. Jika anda lihat dalam gambar di atas, anda akan dapati struktur lapisan air mata iaitu lapisan yang paling luar ini mengandungi lipid (lemak) untuk mengelakkan daripada penyejatan air mata yang terlalu cepat.

Gambar – Premier Eye Care

Jadi, cuba anda bayangkan sekarang terdapat satu lapisan yang ditutup oleh kanta lekap ini, yang menjadi halangan di antara bahagian kornea anda dengan lapisan air mata anda. Semasa mula -mula memakai, terdapat pengumpulan cecair di precorneal fluid reservoir, dan cecair simpanan ini akan bertindak sebagai pemberian nutrisi pada kornea anda. Namun, lama-kelamaan, cecair ini akan mulai hilang nutrisi yang terdapat di dalamnya setelah digunakan oleh kornea. Jadi, anda boleh fikirkan apa yang berlaku

Gambar – Eagle Eyes UK

Kornea anda akan mulai rosak akibat kekurangan oksigen, dalam keadaan yang dipanggil corneal hypoxia. Badan kita, dengan tujuan untuk membekalkan nutrisi dan mengelakkannya daripada mati akan membina salur darah ke arah bahagian kornea. Terminologi yang kita gunakan adalah corneal neovascularization, dan pembentukkan salur darah ini akan menyebabkan pandangan mata anda menjadi kabur serta mempunyai risiko untuk kehilangan penglihatan selama-lamanya.

Gambar – Merck Manual

Kanta lekap ini juga akan bertindak sebagai satu bendasing. Di dalam badan kita, mana-mana bendasing akan menyebabkan pengumpulan bakteria yang akan merosakkan bahagian mata yang sensitif ini. Disebabkan oleh kerosakkan sebegini, ulser akan mudah terbentuk di atas lapisan kornea tersebut. Dalam gambar di atas, warna hijau tersebut adalah disebabkan oleh fluorescein, iaitu pewarna untuk melihat bahagian ulser dengan lebih jelas.

Jika anda lihat gambar di bawahnya, anda akan mendapati terdapat struktur bewarna putih, yang kita namakan sebagai hypopyon. Hypopyon ini adalah pengumpulan nanah (sel darah putih) dan bakteria, yang sememangnya akan menghalang penglihatan seseorang itu. Antibiotik perlu diberikan untuk pesakit sebegini. Suka saya ingatkan di sini bahawa lapisan kornea ini amat susah untuk diperbaiki jikalau sudah rosak dan untuk sesetengah orang yang sememangnya bahagian kornea mereka sudah rosak, mereka memerlukan transplantation untuk memperbaiki penglihatan mereka.

Gambar – American Optometric Association

Jadi, buat mereka yang suka memakai kanta lekap, sama ada dengan tujuan untuk menambah baik penglihatan mereka atau sekadar fesyen, saya nasihatkan kepada anda supaya tidak lupa untuk menanggalkannya mengikut pada saranan yang diberikan.

Kini, terdapat ‘extended wear contact lenses” yang membolehkan si pemakai untuk menggunakannya dalam masa yang lama, tetapi harganya amat mahal. Senang cerita, jika anda tahu anda tidak boleh berdisiplin untuk membukanya setiap malam, saya sarankan anda menggunakan kaca mata sahajalah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.