Rick And Morty: Mengapa Masyarakat Bencikan Orang Cerdik

910

https://bit.ky/kombowww

Banyak yang cuba diketengahkan dalam siri kartun Rick & Morty selama 4 musim ini. Namun, mesej utama yang ingin disampaikan ialah menjadi seorang yang cerdik itu tidak berbaloi, terutamanya dalam dunia sekarang. Dalam siri kartun ini, watak Rick digambarkan sebagai seorang saintis yang pintar, licik, tahu tipu muslihat dan pandai putar belit. Namun orang sepertinya perlu mengalah dengan orang yang dungu macam menantunya Jerry. Bak kata Rick,

“You win, Jerry. No amount of genius can stop your dumb mediocre roots from digging everyone and everything around you and draining them any ability to fend you off.” – Musim ketiga

Dialog ini menceritakan bahawa sebenarnya masyarakat tidak suka orang dungu. Namun apabila mereka cuba menghindar dan menjauhkan diri daripada mereka, orang-orang sebegini akan menarik masyarakat supaya menyebelahi mereka kerana pendekatan psikologi yang dipanggil ‘Bandwagon Effect,’ iaitu kecenderungan untuk masyarakat mengikut majoriti dan menghindari pendapat minoriti.

Antara sebabnya, mengikut psikologis Robert Cialdini, masyarakat tidak suka bazirkan masa mereka dengan mengkaji dan mencari sendiri ilmu setiap perkara yang diutarakan. Jadi, mereka lebih bergantung kepada isyarat populariti, yakni kalau ramai orang Melayu pergi makan kedai itu contohnya, mesti kedai itu halal, walaupun sijil halal tidak ada lagi. Kalau ramai orang terlibat, benda itu berbaloi untuk perhatian kita [1].

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa untuk berjaya dalam hidup, kecerdikan adalah satu perkara penting. Namun, Rick & Morty mengetengahkan soal kecerdikan yang lebih mendalam dan lebih besar. Kecerdikan ini melampaui matlamat untuk mencapai kekayaan dan kejayaan.

Kecerdikan ini selalu diibaratkan sebagai gila, tidak waras dan kurang siuman. Walaubagaimanapun, kecerdikan ini sebenarnya berpandukan perspektif yang lebih kosmik, gambaran hidup yang lebih besar dan tidak boleh diringkaskan dengan kata-kata. Kejujuran, ketelusan dan pandangan kompleks terhadap alam dan masyarakat yang terlalu mendalam (dan terlalu betul) kadang-kadang tidak boleh diterima masyarakat.

Syarikat korporat juga tidak terlepas daripada pandangan sebegini. Majikan tidak akan menggaji orang yang lebih cerdik daripada mereka bukan kerana tergugat kedudukan, tetapi orang cerdik tidak suka kerja yang berulang. Kebanyakan syarikat menggaji mereka yang dikatakan ‘pakar’, iaitu mereka yang buat kerja sama setiap hari, dan dianggap mereka pakar dalam bidang itu kerana mereka tidak lagi buat silap.

Orang cerdik mengalu-alukan kesilapan dan kekhilafan, kerana daripada situ mereka belajar. Jadi syarikat selalunya ‘play safe’ kerana kalau mereka silap, mereka boleh kerugian duit [2]. Watak Rick itu sendiri pun, dalam sitkom tersebut walaupun beliau seorang yang cerdik, tapi beliau tinggal di bawah garaj anaknya dan tidak bekerja.

Selain itu, orang cerdik ini selalunya berfikir banyak sangat, dan ‘overthinking’ boleh membawa kepada kemurungan. Mengikut kajian, kaitan antara ‘overthinking’ dan kemurungan ini umpama persoalan ‘ayam-telur’, kita tidak tahu mana satu yang dahulu, tapi kedua-duanya berkait rapat [3] [4]. Jadi, masyarakat akan cuba sedaya upaya untuk mengelak dari terkena kemurungan, termasuklah melepak dengan orang yang murung. Maka, menjadi orang cerdik ini dipaparkan dalam sitkom Rick & Morty sebagai satu rahmat dan sumpahan dalam masa yang sama.

Masyarakat menganggapnya sumpahan, tapi mengikut kata Dovstoyesky, penulis novel Rusia ‘The Idiot’, adalah lebih baik berduka tapi tahu baik dan buruk, daripada gembira dalam syurga kebodohan. Kata-kata tadi dijadikan sandaran perbandingan watak antara Rick dan Jerry. Rick genius, dengan kebolehan sains beliau boleh lakukan apa saja, namun beliau sengsara, mudah marah, sugul. Berbanding dengan Jerry yang dungu, tapi beliau sentiasa gembira, walaupun kadang-kadang terpaksa minta duit anak sendiri buat belanja. Jerry berfungsi lebih baik jika beliau tidak berfikir panjang, kerana jika beliau fikir panjang, masalah akan timbul.

Stereotaip orang cerdik yang sengsara ini banyak ditonjolkan dalam filem, seperti Ironman, dan dunia realiti mereka yang genius dan cerdik dilanda kemurungan seperti Imam Ghazali, Isaac Newton, Charles Darwin dan ramai lagi. Kajian juga menyokong premis bahawa terdapat kaitan jelas antara genius dan ketidakwarasan [5], seperti Nikola Tesla yang genius, jatuh cinta dengan seekor burung merpati, dan mengikut dirinya burung merpati tu pun suka kat dia [6].

Tambahan pula, kajian mendapati orang cerdik dan kreatif lebih cenderung untuk mengalami sakit mental, kemurungan, alkoholisma dan cubaan bvnuh diri [7]. Tapi bukan semua, ada juga yang hidup normal macam orang lain, seperti Neil DeGrasse Tyson, George R.R. Martin, Carl Sagan. Jadi stereotaip kekal stereotaip dan boleh bukan takdir orang cerdik untuk sengsara, sebaliknya masyarakat yang tentukan sebegitu. Kalau boleh lawan pesepsi masyarakat, tidak ada masalah.

Secerdik mana pun seseorang itu, tidak boleh dinafikan cinta dan kasih sayang memainkan peranan dalam hidup mereka. Semua orang berhak disayangi dan mahu disayangi, walaupun kadang-kadang tidak rasional perlakuan mereka.

RUJUKAN

[1] R. Henderson, “The Science Behind Why People Follow the Crowd,” psychologytoday.com, 24 May 2017. [Online]. Available: https://www.psychologytoday.com/us/blog/after-service/201705/the-science-behind-why-people-follow-the-crowd. [Accessed September 2020].
[2] D. Logan, “Why companies hate geniuses,” cbsnews.com, 27 June 2013. [Online]. Available: https://www.cbsnews.com/news/why-companies-hate-geniuses/. [Accessed September 2020].
[3] L. Andrews, “Overthinking? It Could Be Depressing You,” everydayhealth.com, 14 November 2017. [Online]. Available: https://www.everydayhealth.com/emotional-health/depression/overthinking-it-could-depressing-you/. [Accessed September 2020].
[4] A. Morin, “10 Signs You’re an OverthinkerThere’s a big difference between ruminating and problem-solving.,” inc.com, 7 January 2019. [Online]. Available: https://www.inc.com/amy-morin/10-signs-you-think-too-much-and-what-you-can-do-about-it.html. [Accessed September 2020].
[5] R. Alleyne, “Fine Line between Genius and Madness, Scientists Find,” telegraph.co.uk, 30 September 2009. [Online]. Available: https://www.telegraph.co.uk/news/science/science-news/6243747/Fine-line-between-genius-and-madness-scientists-find.html.
[6] T. Lewis, “The fascinating life of Nikola Tesla, the man who electrified our world and fell in love with a pigeon,” businessinsider.com, 10 October 2015. [Online]. Available: https://www.businessinsider.com/the-secret-life-of-nikola-tesla-2015-10. [Accessed September 2020].
[7] D. Simonton, “Are Genius and Madness Related? Contemporary Answers to an Ancient Question,” psychiatrictimes.com, 31 May 2005. [Online]. Available: https://www.psychiatrictimes.com/view/are-genius-and-madness-related-contemporary-answers-ancient-question. [Accessed September 2020].

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.