Richard The Lionheart: Antara Fakta & Mitos

0
932
views

Nama Richard I atau Richard the Lionheart (1157-1199) tidak dapat lari dari dua perkara ini, Perang Salib dan kisah rakyat Robin Hood. Kita sedia maklum pertembungan baginda dengan pengasas Dinasti Ayubiyah, Salahuddin Yusuf al-Ayubi semasa Perang Salib. Dan dalam cerita Robin Hood, Richard I digambarkan sebagai seorang yang baik dan sama sekali berbeza dengan adindanya, Putera/Raja John dalam pelbagai versi penceritaan. Tetapi siapa sebenarnya lelaki yang menjadi duri dalam daging bukan saja kepada Salahuddin tetapi juga dalam kalangan sekutu Eropahnya sendiri?

1. Lahir di England tetapi tidak bertutur Bahasa Inggeris

Richard I dilahirkan pada September 1157 Masihi di sebuah tempat dikenali sebagai The King’s Houses. The King’s Houses merupakan sebuah istana yang dibina oleh moyang baginda Henry I di luar pintu gerbang bandar Oxford. Henry I berbuat demikian kerana mahu berhampiran dengan menara memburunya di Woodstock. Istana tersebut kemudiannya dirobohkan bagi membolehkan Kolej Worcester dibina tetapi bagi mengenang kewujudannya, sebuah plak peringatan diletakkan di utara Beaumont Street. Bagaimanapun, Richard I tidak banyak menghabiskan masa di England dan tidak berpeluang belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, Richard I hanya menghabiskan masa enam bulan di England.

2. Perbezaan taraf sosial di England

Semasa pemerintahan baginda, separuh dari negara Britain dikuasai oleh 200 anggota rangkaian bangsawan Anglo-Norman. Sementara bakinya dikuasai oleh Raja England dan gereja. Keadaan ini berlaku berikutan tindakan pengikut William the Bastard dan orang selepasnya berkahwin dengan perempuan berdarah bangsawan Anglo-Saxon bagi mewujudkan aristokrasi baru berbahasa Perancis. Keadaan ini berlaku satu abad selepas kempen penawanan England oleh orang Norman. Kekayaan dan makanan mereka dibekalkan oleh hamba mereka berdarah Anglo-Saxon, sesetengah daripada mereka mengukir nama di kemudian hari.

Kesan dasar perkauman dan pembahagian kelas ini masih wujud hingga hari ini dalam bentuk perkataan dalam Bahasa Inggeris. Contoh bagi binatang ternakan yang diternak, diperah susunya dan disembelih oleh orang tempatan, kita menggunakan perkataan cow, sheep, calf dan swine. Sementara bagi hidangan daging yang dimasak dan dihidangkan di atas meja, perkataan yang dipengaruhi Bahasa Perancis digunakan iaitu mutton, veal, beef dan pork. Mengapa keadaan ini berlaku? Pada ketika itu, hidangan sebegini hanya dinikmati oleh golongan bangsawan berdarah Perancis.

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan pergi ke hutan untuk memburu binatang liar, mencari makanan atau mengumpul kayu api sebagai persediaan untuk musim sejuk. Contoh mudah, sebuah tempat bernama Cannock Chase di Staffordshire. Ia dinamakan sedemikian kerana perkataan chase itu datang dari perkataan Perancis chasse yang bermaksud memburu. Pada asalnya, ia merupakan satu kawasan khas bagi golongan bangsawan keluar memburu. Jika ada petani yang melanggar arahan, individu tersebut berhadapan hukuman penjara atau lebih teruk hukuman mati.

3. Ditunangkan pada usia sembilan tahun

Semasa Richard I berusia sembilan tahun, baginda ditunangkan dengan puteri Raja Louis VII dari Perancis, Puteri Alais. Tetapi tanpa pengetahuan kedua-duanya, Alais sebenarnya hanya buah catur dalam soal perebutan kuasa membabitkan Dinasti Plantagenet yang memerintah England dan sebahagian kawasan di Perancis dengan Dinasti Capetian di Paris. Ayahanda Richard I, Henry II turut memegang gelaran Count of Anjou dan Duke of Normandy, kedua-duanya diwarisi baginda selepas kemangkatan Henry II. Sementara bondanya Eleanor memegang gelaran Duchess of Aquitaine. Ini menjadikan kedua-duanya pelindung Louis VII bagi kawasan Perancis yang dikuasai England.

Janji Henry II untuk mengahwinkan Richard I dengan Alais bila mencapai usia ditetapkan hanya sekadar menanam tebu di tepi bibir. Ini kerana itu hanya helah baginda untuk menekan Raja Louis VII yang lemah. Buktinya, Alais dijadikan tahanan selama 25 tahun di England di mana baginda dijadikan gundik Henry II untuk beberapa ketika.

4. Enggan berkahwin dan mendapatkan zuriat

Waqaf Saham

Selepas menaiki takhta pada usia 31 tahun pada tahun 1189, menjadi kewajipan kepada raja untuk berkahwin dan mendapatkan zuriat. Ini bertujuan menjamin kelangsungan dinasti dan mengelak situasi kacau-bilau sekiranya raja mangkat tanpa meninggalkan waris. Tetapi masalahnya, Richard I langsung tidak menunjukkan minat berkahwin walaupun ramai perempuan yang sama taraf dengan baginda menunjukkan minat terhadapnya. Ini memaksa Permaisuri Eleanor mengisi peranan sebagai permaisuri pada hari pertabalan baginda, satu-satunya wanita di mana Richard I menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang.

5.Richard I dan Robin Hood

Kita tidak tahu sama ada wujud pertemuan antara Richard I dengan Robin Hood berlaku atau tidak. Tetapi ramai menggelar baginda Richard of the Last Reel kerana sentiasa muncul pada akhir cerita dan berjaya merampas takhta daripada adindanya, Putera John dan menghukum kezaliman Sherif Nottingham. Dalam filem Robin Hood (2010) arahan Sir Ridley Scott menunjukkan Robin Hood atau nama sebenarnya Robin Longstride pernah berkhidmat sebagai pemanah Richard I semasa kempen baginda di Perancis.

Hakikatnya, kisah tersebut sebenarnya hanyalah satu lagi propaganda untuk memujuk orang ramai menyumbang wang untuk membayar tebusan baginda. Ini kerana semasa Perang Salib, Richard I bukan saja menghina bahkan menyebabkan sekutu-sekutu Eropahnya menjauhkan diri. Ada yang berdendam bersumpah akan menangkap baginda kerana pembabitannya dalam beberapa insiden berprofil tinggi. Ini memaksa Richard I kembali ke Eropah secara sembunyi-sembunyi. Namun, nasib tidak menyebelahi baginda apabila ditahan oleh Duke of Austria, Leopold V beberapa hari sebelum Krismas 1192. Leopold V bertindak demikian kerana berang dengan pembabitan Richard I yang dikatakan terlibat dalam pembunuhan sepupunya Conrad of Montferrat.

Selepas beberapa lama dalam tahanan Leopold V, baginda dijadikan tawanan oleh Maharaja Rom Suci, Henry VI. Baginda meminta sejumlah besar wang tebusan untuk pembebasan Richard I untuk dijadikan dana membina kekuatan tentera untuk menuntut wilayah di selatan Itali. Selepas ditahan selama dua tahun, baginda dibebaskan selepas bayaran tebusan sebanyak 150,000 marks diserahkan kepada Henry VI.

6. Benarkah pertarungan ksatria terhormat?

Kejohanan-kejohanan membabitkan ksatria semasa era pemerintahan baginda tidaklah terhormat seperti digambarkan dalam filem-filem klasik. Ini kerana pertarungan sebegini membabitkan dua pasukan yang memakai perisai dan senjata berat. Dari situ, mereka akan bertarung menggunakan semua jenis senjata yang mereka suka tanpa sebarang peraturan. Pertarungan sebegini boleh dianggap pelopor kepada sukan gusti berpasangan.

Lukisan pada perisai mereka itu sebenarnya membantu ksatria mengenali siapa rakan sepasukan mereka semasa pertarungan berlangsung. Malah, ini juga merupakan asal-usul nama Plantagenet kerana tabiat nendanya Count Geoffrey of Anjou meletakkan bunga broom berwarna kuning pada topi besinya. Selalunya, pertembungan dua sateria terutama bila mereka menggunakan tombak kayu akan merosakkan tombak mereka dan serpihannya akan terbang melepasi penutup mata topi besi dan membutakan mereka.

Dalam kebanyakan pertarungan, mana-mana  ksatria yang tidak menunggang kuda berisiko dipijak kuda sampai mati. Keadaan ini pernah berlaku kepada adinda Richard I, Geoffrey II. Dan sekiranya mereka ditawan, wang tebusan akan dikira berdasarkan pangkat dan kekayaan mereka. Pada baginda, ini sesuatu yang tidak salah bagi rakyat membayar cukai membebankan untuk membayar wang tebusan bagi individu-individu berprofil tinggi seperti raja. Keadaan ini hampir menyebabkan England muflis semasa tempoh pemerintahan keduanya yang berakhir pada tahun 1199.

7. Perang

Jadi mengapa pandangan dunia Richard I begitu kejam sekali? Seperti kebanyakan sateria berdarah bangsawan lain, kebanyakan masa baginda dihabiskan di kancah peperangan. Sementara idea kehormatan dan melindungi petani miskin tidak wujud sama sekali pada abad ke-12 Masihi. Ini kerana bagi menonjolkan kekuatan dan melemahkan kekuatan musuh, mereka membunuh golongan petani, membakar rumah dan hasil tanaman kelompok tersebut. Strategi ini merupakan perang sepenuhnya dan gagal disekat oleh gereja walaupun mereka menolak bentuk kekejaman sebegini.

8. Chef dapat gelaran

Pada abad ke-12, isu kebersihan bukanlah satu keutamaan bagi masyarakat Eropah ketika itu. Tetapi mereka tetap menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan makanan terutama yang dihasilkan oleh tukang masak. Silap haribulan, masakan yang disediakan boleh saja mengancam kesihatan bangsawan atau raja. Mungkin atas sebab itulah, selepas berpuas hati dengan jamuan yang disediakan oleh tukang masaknya, Richard I menganugerahkan gelaran bangsawan kepada lelaki itu. Tukang masak tersebut digelar bangsawan bagi kawasan dapur Counts of Poitou.

SUMBER

Boyd, Douglas. (2018). HistoryExtra. 8 facts about Richard the Lionheart. https://historyextra.production.wcp.imdserve.com/period/medieval/8-things-you-probably-didnt-know-about-richard-the-lionheart/

 

Previous articlePengharaman Straw: Antara Polisi Dan ‘Polusi’
Next articleMax Planck Dan Jasad Hitam
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE