Richard Sorge – James Bond Versi Soviet

1995
views

“Hitler merupakan seorang penjenayah. Tapi Stalin akan ajar dia cukup-cukup. Kita akan tunggu dan lihat!” Itulah luahan Richard Sorge kepada rakan-rakannya di sebuah bar di Tokyo bila berita Operasi Barbarossa dilancarkan pada musim panas 1941. Dan semasa berbual dengan rakan merangkap duta Nazi Jerman ke Jepun, Eugen Ott di telefon, beliau menambah, “Kita akan kalah!” Pada sesiapa yang mendengar keluhan sebegini, pasti menyangka Sorge hanyalah seorang lagi pegawai Nazi. Hakikatnya, lelaki inilah yang menjadi salah satu inspirasi Sir Ian Fleming untuk watak perisik British James Bond kerana berkhidmat sebagai perisik Soviet.

Siapa sebenarnya lelaki yang dianggap perisik paling hebat oleh Fleming semasa Perang Dunia Kedua (WWII) ini? Yang pasti jika melihat latar belakangnya, lelaki ini memang dilahirkan sebagai perisik. Sorge yang lahir di selatan Rusia pada tahun 1851 merupakan anak kepada seorang jurutera Jerman dan seorang wanita Rusia. Tak lama selepas itu, mereka sekeluarga berpindah ke Jerman di mana beliau dibesarkan dalam persekitaran kelas pertengahan atasan.

Semasa Perang Dunia Pertama tercetus, Sorge berada di medan perang dan tidak bernasib baik kerana terkena serpihan peluru artileri yang dilancarkan pihak musuh. Kecederaan yang dialaminya menyebabkan beliau terpaksa berjalan tempang sepanjang hayat. Tetapi pada masa itu juga, Sorge turut diperkenalkan dengan komunisme dan Marxisme terima kasih kepada hubungannya dengan seorang jururawat yang merawatnya ketika itu.

Dan untuk baki perang, beliau menghabiskan masa mempelajari ekonomi dan berjaya mendapat Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi dari Universiti Hamburg pada tahun 1919. Pada masa itu juga, perangai hidung belang Sorge terserlah bila menjalin hubungan sulit dengan isteri pensyarahnya, Christiane Gerlach dan berjaya menyakinkan pensyarahnya untuk menceraikan Christiane. Kedua-duanya berkahwin pada tahun 1921 tetapi berpisah pada tahun 1929.

Selepas tamat perang, semua parti politik di Jerman secara agresif mempromosikan agenda parti mereka termasuk Parti Komunis Jerman. Dan ini mendorong Sorge memanifestasikan kepercayaannya secara rasmi dengan menyertai parti berkenaan. Tetapi aktiviti komunismenya itu menarik perhatian pihak berkuasa dan memaksa beliau melarikan diri ke Rusia.

Di situlah, Sorge berkhidmat di bawah Jawatankuasa Komunis Antarabangsa (Comintern) sebagai pegawai perantara dengan parti-parti komunis luar negara. Selepas lima tahun berada di Rusia, unit perisikan Rusia GRU merekrutnya sebagai perisik dan menugaskannya di China. Arahan mereka mudah saja, kaji peranan politik dan ketenteraan yang berkait dengan kedudukannya serta mempelajari asas-asas perisikan itu sendiri. Dengan rupa yang tampan bak bintang filem, Sorge berjaya menarik perhatian seorang pelajar drama bernama Katya Maximova dan selepas beberapa tahun di China, mereka berkahwin pada tahun 1933.

Selepas berjaya menguasai Manchuria dan menabalkan Maharaja Pu Yi sebagai pemerintah proksi mereka, langkah Jepun itu nyata merungsingkan Moscow kerana bimbang sasaran seterusnya ialah kawasan Soviet di Timur Jauh. Justeru, tugasan Sorge seterusnya ialah menubuhkan sebuah rangkaian perisikan Soviet di Jepun dan mengintip sebarang maklumat yang berkait dengan Soviet. Untuk mengelakkan samarannya diketahui oleh pihak berkuasa terutama Kempeitai, Sorge menggunakan samaran sebagai wartawan. Dan bagi membina kredibilitinya sebagai individu yang boleh dipercayai Nazi Jerman, beliau kembali ke Jerman dan mereka satu cerita yang menarik perhatian seorang editor akhbar. Dari situ, editor berkenaan menghantar surat pengenalan kepada bakal duta Jerman ke Jepun, Kolonel Eugen Ott yang berkhidmat sebagai atase tentera di Tokyo.

Figure 1: Mejar Jeneral Eugen Ott

Selepas tiba di Jepun pada September 1933, Sorge membina kredibilitinya sebagai pakar hal ehwal Jepun dengan artikel-artikel yang bersifat tuntas dan padat. Dan bila menjadi ahli parti, beliau mempunyai akses kepada kedutaan Jerman terutama pegawai diplomat seperti duta Jerman ketika itu, Herbert von Dieken yang menghargai nasihat dan kepakarannya itu.

Di sebalik samaran itu, Sorge bukanlah seorang penyokong Nazi sejati dan secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap sesetengah dasar dan kebodohan pemimpin parti tersebut. Jika anda merasakan itu boleh menimbulkan syak wasangka, jawapannya salah. Sebaliknya, pandangan Sorge dianggap sebagai seorang cendekiawan dan patriot yang tahu apa yang dikatakannya itu. Dan samarannya turut dibantu dengan perangai kaki botol dan kaki perempuannya, yang mencipta persepsi mustahil lelaki sebegini seorang perisik.

Pada Oktober 1934, Ott menjemput Sorge untuk menemaninya semasa mengadakan lawatan ke Manchuria. Beliau menulis laporan lawatan berkenaan di mana ia diserahkan kepada Berlin. Laporan tersebut mendapat pujian di sana dan sekaligus menjadikan Sorge sebagai penasihat Ott yang paling dipercayai berkenaan isu politik Jepun. Tetapi beliau hampir-hampir menjahanamkan hubungannya dengan Ott apabila mengadakan hubungan sulit dengan isteri rakan baiknya itu.

Bagi orang normal, ini sudah pasti mendatangkan amarah yang tidak boleh ditahan. Tetapi entah bagaimana, hubungan mereka berdua kekal terpelihara di sebalik skandal berkenaan dan Ott sendiri menggelar Sorge ‘der Unwiderstehliche’ (Yang tidak boleh ditolak). Alasan paling logik di sebalik tindakannya itu ialah kepakaran Sorge amat diperlukan rejim dalam soal hubungan luar dengan Jepun walaupun itu bermakna terpaksa memendam rasa dengan kerenah orang yang dianggap rakan baiknya itu.

Rangkaian perisikan Sorge di Tokyo disokong dua individu iaitu Branko Vukelic dan Max Clausen. Vukelic, seorang anggota komunis dari Yugoslavia menyamar sebagai wartawan Perancis dan menguruskan maklumat berkaitan mikrofilem. Sementara Clausen pula merupakan operator radio mereka dengan menghantar maklumat dalam bentuk kod. Pihak berkuasa Jepun mengetahui transmisi maklumat yang dihantar tetapi gagal mengesan lokasi transmisi atau menyahsulit kod yang digunakan mereka. Selain Ott sebagai pemberi maklumat tidak sengaja Sorge, satu lagi sumber datang daripada Hotsumi Ozaki. Ozaki yang pernah berkhidmat bersama akhbar Asahi Shimbun mempunyai ramai kenalan politik termasuk ketua setiausaha Perdana Menteri ketika itu, Fumimaro Konoye. Selapas dilantik sebagai perunding kabinet, Ozaki mampu mengakses banyak maklumat dari pihak kabinet dan menyalurkan kembali kepada Sorge. Selain dijadikan asas laporannya ke Moscow, beliau menjadikan maklumat Ozaki datang dari dirinya bagi menambah kredibiliti sebagai pakar bila bermesyuarat dengan diplomat-diplomat Jerman.

Figure 2: Hotsumi Ozaki

Selain reputasinya sebagai pakar politik dan polisi Jepun, Sorge turut bertindak berani dengan tinggal di sebuah rumah sewa kecil berhampiran dengan balai polis. Dan dengan reputasinya sebagai kaki perempuan dan kaki botol, tiada siapa mengesyaki perilakunya sebagai perisik. Pada musim panas 1936, Sorge berjaya memenangi hati seorang pelayan bernama Hanako Iishi dan tidak lama selepas itu, dia berpindah ke rumahnya. Inilah hubungan Sorge yang paling lama sehinggalah ke akhir hayatnya.

Tak lama selepas bertapak di Jepun, maklumat yang dibekalkan Sorge mula mendatangkan hasil. Misalnya pada tahun 1936, beliau memintas maklumat pakatan anti-komunis membabitkan Jerman dan Jepun yang dikenali sebagai Pakatan Anti-Comintern. Rundingan tersebut diadakan di Berlin dan kedutaan Jerman di Tokyo langsung tidak tahu-menahu tentang perkara tersebut. Yang tahu tentang perkara ini hanyalah Ott, von Dieken dan Sorge. Maklumat sebegini membolehkan pihak Rusia terus mengakses maklumat rundingan dari semasa ke semasa.

Selepas dinaikkan pangkat sebagai Mejar Jeneral pada tahun 1938, Ott turut dilantik sebagai pengganti von Dieken di Tokyo. Dari situ, ia menambah lagi kedudukan Sorge di kedutaan sehinggakan semua kabel diplomatik yang dihantar akan dirujuk terlebih dahulu dengannya sebelum dihantar. Pada Jun tahun sama, Jeneral Genrikh Lyushkov yang juga ketua polis rahsia Soviet NKVD berjaya menyeberangi sempadan ke Manchuria dan mendapatkan suaka politik untuk mengelak tempoh yang dikenali sebagai The Great Terror. Moscow yang terdesak mahukan maklumat yang dibocorkan Lyushkov kepada Tokyo. Berdasarkan kabel yang dihantar Sorge, Lyushkov mendedahkan wujud penentangan hebat terhadap Josef Stalin dan jika Jepun menyerang dari sebelah timur, Tentera Merah pasti akan tumbang dalam sehari.

Enam minggu selepas itu, kedua-dua pihak bertempur di sempadan Jepun-Soviet di mana Soviet mahu mengetatkan kawalan sempadan. Berdasarkan maklumat Ozaki, Jepun yang masih sibuk berperang di China tidak mahu memanjangkan lagi konflik dengan Moscow. Selepas bertempur selama dua minggu di Tasik Khassan, Jepun bersetuju dengan terma yang dinyatakan Soviet. Peristiwa sama turut berulang di sempadan Manchuria-Mongolia yang berakhir dengan kesudahan sama. Perang Khalkhin-Gol merupakan kemuncak konflik Soviet dengan Jepun di mana pertempuran tersebut memberi idea kepada kepimpinan kedua-dua negara untuk berhenti berperang sesama mereka. Ini yang membawa kepada perjanjian damai antara kedua-dua negara yang dimeterai beberapa minggu sebelum Operasi Barbarossa dilancarkan.

Maklumat yang dibekalkan Sorge turut menyumbang kepada keputusan Stalin memeterai Perjanjian Molotov-Ribbontropp, satu perjanjian yang membolehkan kedua-dua pihak fokus kepada musuh masing-masing. Dengan hanya satu tandatangan, Rusia tidak terjebak dalam fasa awal WWII di Eropah dan pada masa sama, boleh memerhati sebarang tindak balas Jepun tanpa sebarang kerisauan. Tetapi sayang, dengan pemeteraian perjanjian itu juga, ia menjadikan Stalin leka dan apa saja maklumat yang dibekalkan Sorge membabitkan sekutu baru mereka itu dipandang sepi oleh Moscow.

Pada akhir tahun 1940, Sorge mula mendapat maklumat perancangan rahsia Nazi Jerman untuk menyerang Kesatuan Soviet. Pada awal bulan Mei, beliau semakin yakin perang akan pecah antara kedua-dua negara. Ini berdasarkan maklumat yang berbunyi, “Kemungkinan berlaku perang pada bila-bila masa amat tinggi… Jeneral-jeneral Jerman menganggarkan kemampuan perang Soviet amat rendah… Jentera perang Soviet boleh musnah dalam tempoh beberapa minggu.”

Masalahnya, di sebalik semua mesej ini, Stalin sukar menerima kenyataan tersebut. Melihat kepada logiknya, mustahil bagi Hitler melanggar perjanjian yang dimeterai beberapa tahun lalu dan masih berharap dapat berkongsi Eropah dengan diktator Jerman itu. Dan itu yang membawa kepada tempoh lima bulan yang dianggap bencana kepada Motherland pada tahun 1941.

Pada masa sama, wujud dilema dalam kalangan pemimpin Jepun. Mereka sedang sibuk berperang di China tetapi kesudahannya masih belum kelihatan. Dengan situasi di Eropah membuka peluang baru, kejayaan Berlin sebenarnya membuka ruang kepada Jepun mara ke Asia Tenggara yang kaya dengan pelbagai sumber asli. Tetapi dengan serangan ke atas Soviet, ia turut menggoda Jepun untuk masuk ke Siberia dan menduduki wilayah Timur Jauh Soviet. Setiap pilihan amat berisiko dan dengan Jepun masih terperangkap di China, mereka harus memilih sama ada Soviet atau Asia Tenggara. Ott mendesak Jepun menyerang Soviet dari sebelah timur tetapi keinginan rejim ditolak Konoye yang memilih Asia Tenggara.

Berdasarkan maklumat yang dihantar Ozaki, Jepun hanya akan melanggar perjanjian mereka dengan Soviet dengan syarat Moscow jatuh ke tangan Berlin, bilangan tentera Kwantung tiga kali ganda lebih besar berbanding tentera Rusia dan kemungkinan perang saudara di Rusia.

Maklumat-maklumat yang dihantar Sorge kali ini tidak lagi dipandang enteng Stalin. Buktinya, pada akhir setiap dokumen mengandungi maklumatnya, tertera tandatangan Stalin. Keyakinan mereka terhadap Sorge juga semakin bertambah selepas Jepun dikenakan sekatan minyak oleh Amerika Syarikat, Britain dan sekutu-sekutu mereka.

Tindakan sekatan itu memaksa Jepun memfokuskan usaha ke Asia Tenggara dan tidak lagi memikirkan Soviet berdasarkan kabel Ogos 1941. Menerusi kabel berkenaan, Ozaki mengesahkan Jepun tidak akan melancarkan kempen ke atas Soviet pada tahun berkenaan. Ini disokong satu lagi kabel pada September 1941 di mana sebarang kemungkinan Jepun menyerang Soviet sudah hilang sepenuhnya.

Maklumat-maklumat sebegini memberi keyakinan kepada Stalin untuk memindahkan sebahagian besar pasukan simpanannya di Timur Jauh ke teater perang di Rusia. Untuk tempoh dua bulan seterusnya, 15 divisyen infantri, tiga divisyen tentera berkuda, 1,700 kereta kebal dan 1,500 pesawat dipindahkan ke Moscow. Unit-unit ini bertanggungjawab mematahkan harapan perang kilat Nazi yang mahu menguasai Moscow pada minggu pertama Disember 1941. Walaupun ia dianggap kemuncak kepada kejayaan rangkaian perisikan Sorge, Kempeitai semakin menghampiri kedudukan mereka.

Pada Oktober tahun sama, seorang pendandan rambut yang juga aset kepada ejen Ozaki, Yotoku Miyagi ditahan Kempeitai. Pendandan rambut tersebut mendedahkan nama Miyagi dan ini mengakibatkan ejen itu cuba melompat dari bangunan tinggi untuk membunuh diri. Bagaimanapun, cubaan tersebut gagal dan selepas diseksa oleh Kempeitai, Miyagi akhirnya mendedahkan nama Ozaki dan Sorge. Pada 18 Oktober, Sorge ditahan dan didedahkan sebagai ejen komunis, satu kenyataan yang menimbulkan kemarahan Ott. Selepas seminggu ditahan, beliau bersedia bekerjasama dengan syarat tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Iishi dan isteri-isteri rakan-rakannya yang dianggap tidak bersalah.

Semasa dalam tahanan di Penjara Sugamo selama tiga tahun, Jepun bersedia mengadakan pertukaran tahanan dengan Moscow dengan Sorge ditukarkan dengan perisik mereka dalam tahanan. Tetapi sehingga ke akhir hayat, Stalin menafikan bahawa perisik itu merupakan warga Rusia. Dan pada 7 November 1944, Sorge dihukum gantung sampai mati di penjara sama tanpa mengetahui isterinya, Katya mati di kem buruh Siberia setahun sebelumnya. Katya ditahan NKVD pada September 1942 atas tuduhan mengintip bagi pihak Nazi tetapi satu-satunya kesalahan dia ialah menjadi isteri Sorge.

Jadi kenapa Stalin enggan mengiktiraf Sorge? Amalan biasa bagi mana-mana negara untuk tidak mengiktiraf sesiapa yang dikatakan menjadi perisik bagi pihak mereka. Tetapi dalam kes Sorge, motifnya lebih dari itu. Sorge mengingatkan Stalin akan kegagalannya mendengar nasihat yang diberi pada bulan-bulan sebelum berlakunya Operasi Barbarossa. Sekiranya perisik itu dibiarkan hidup, sudah pasti ia akan memalukan Stalin untuk jangka masa panjang. Atas sebab itu, Sorge perlu dibunuh dan sebarang kaitan dengannya perlu dipadamkan dengan segera.

Memandangkan Sorge menunjukkan kerjasama baik kepada pihak Jepun semasa dalam tahanan, pihak Jepun menghormati perjanjian yang dibuat dan membiarkan Iishi dan balu-balu rakan konspirasinya. Selepas tamat perang, mayat Sorge dipindahkan dari perkuburan penjara ke Perkuburan Tama di mana mayatnya dibakar sebelum abunya disimpan di situ. Iishi menjaga kubur kekasihnya itu sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 2000 dan dikebumikan di tempat sama bersama Sorge. Pada tahun 1964, kerajaan Soviet memberi anugerah Hero Kesatuan Soviet kepada Sorge dan Iishi mendapat pencen dari Moscow sehinggalah meninggal dunia pada tahun 2000.

SUMBER

Goldman, Stuart D. (2010). HistoryNet. The Spy Who Saved the Soviets. http://www.historynet.com/the-spy-who-saved-the-soviets.htm

 

Previous articleOrang Asli – Minoriti Yang Dipinggirkan
Next articleSejarah 13 District Panem Dalam The Hunger Games
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE