China, mempunyai sejarah yang sangat panjang dan bersifat bersambungan. Tamadun China bermula dengan kewujudan peradaban Huang He (atau Huang Ho mengikut ejaan Wade-Giles, dalam artikel ini, semua ejaan dieja mengikut ejaan Hanyu-Pinyin). Terbinanya Dinasti China yang pertama iaitu Dinasti Xia yang wujud kira-kira pada tahun 2070 sebelum masihi. Manakala Empayar China yang bersatu bermula semasa era Dinasti Qin pada tahun 221 Sebelum Masihi, penyatuan oleh Maharaja China yang pertama iaitu Qin Shihuang (Shihuang Di). Menurut rekod, asal usul perkataan China juga dipercayai berasal daripada Dinasti Qin (ejaan Wade-Giles ialah Chin).

Rakyat negara China tidak menyebut negara mereka “China” sebaliknya menyebut dengan perkataan Zhongguo yang bermaksud “Middle Kingdom” seperti orang India yang menyebut negara mereka sebagai “Bharat”. Berbalik kepada China, sejarah negara mereka melalui perjalanan yang sangat panjang, jatuh bangun sesebuah dinasti, kemudian beberapa kali di takluk oleh bangsa asing sebelum bangkit semula dengan terbinanya Dinasti Ming, kemudian di jajah semula oleh bangsa asing iaitu orang Manchu yang membina Dinasti Qing (1636-1912). Dinasti Qing merupakan dinasti beraja terakhir di China sebelum tumbang di tangan puak Revolusi Xinhai (juga dikenali sebagai Revolusi 1911) pimpinan Dr Sun Yat Sen.

Sebelum itu, penulis ingin meringkaskan sedikit mengenai sejarah Dinasti Qing. Dinasti Qing yang dulunya dikenali sebagai Dinasti Jin Akhir diasaskan oleh Nurhaci pada tahun 1616. Nurhaci merupakan seorang khan dari puak Jurchen. Puak Jurchen merupakan puak gasar yang berasal dari Asia Tengah, iaitu kawasan geografi yang sememangnya terkenal dengan kelahiran bangsa-bangsa nomad yang ganas. Antara tahun 1635-1636, Maharaja Hong Taiji bertanggungjawab menukarkan nama Jurchen kepada Manchu, dan nama Dinasti Jin Akhir kepada Qing. Dinasti Qing menguasai negara China selepas mengalahkan puak pemberontak pimpinan Li Zicheng yang menguasai Beijing yang sebelum di perintah oleh Dinasti Ming. Selepas menguasai Utara China, Dinasti Qing pimpinan Maharaja Kangxi menguasai Selatan China yang ketika itu dikuasai oleh Revolusi Tiga Feudatori pimpinan Wu Sangui, dan seterusnya tentera Qing berjaya menawan Taiwan daripada Kerajaan Tungming pimpinan Koxinga pada tahun 1683.

Menjelang abad ke-19, Dinasti Qing semakin jauh ketinggalan dari segi sains dan teknologi kepada kuasa Barat. Ketika pemerintahan Maharaja Daoguang dan Xianfeng antara tahun 1821-1861 di kenali sebagai “zaman bala bencana dalaman dan luaran China”. Kekalahan memalukan dalam Perang Candu Pertama 1839-1842 dan Perang Candu Kedua 1856-1860 kepada kuasa Barat, pemberontakan dalaman, dan bencana alam menyebabkan Dinasti Qing semakin lemah dan tenat. Bercerita mengenai pemberontakan yang dahsyat yang pernah disaksikan dunia, di bawah, penulis menceritakan secara ringkas beberapa pemberontakan yang melanda negara China pada pertengahan abad ke-19.

1. PEMBERONTAKAN TAIPING (1851-1864)

Pemberontakan Taiping merupakan antara gerakan revolusi terbesar di dunia yang dipelopori oleh Hong Xiuquan pada tahun 1851 yang bertujuan untuk menentang Dinasti Qing. Beliau dilahirkan dalam keluarga miskin dari puak Hakka dalam wilayah Guangdong, Selatan China. Beliau mula mendalami ajaran Kristian dengan Liang Fa ketika merantau ke Guangzhou, dan kemudiannya menubuhkan Persatuan Penyembah Tuhan (God Worshipping Society) pada tahun 1847, dan mendakwa dirinya sebagai saudara kepada Jesus Christ.

Beliau yang petah berbicara dan mempunyai kemahiran pidato yang baik berjaya mempengaruhi ramai petani yang miskin untuk bersama-sama beliau di dalam persatuan tersebut. Akhirnya, pada awal tahun 1851, beliau dan pengikutnya melancarkan pemberontakan menentang kerajaan Dinasti Qing yang dikenali sebagai Pemberontakan Jintian yang berjaya dimenangi oleh Hong. Kemudian beliau menamakan kerajaan pimpinannya sebagai Kerajaan Perdamaian Syurga atau Taiping Tianguo dan menggelarkan dirinya sebagai Raja Kayangan.

Gambar 1: Takhta Kerajaan Perdamaian Syurga
Sumber: http://www.kingscalendar.com/bible_dates_research/Research_bible_dates_viewnews_id_613.html

Kemudian, Hong merancang untuk menakluk Nanjing. Dalam perjalanan menuju ke Nanjing, tentera beliau banyak memenangi peperangan, menguasai bandar, dan berjaya mengumpul ramai bala tentera hingga mencecah 550,000 orang ketika berjaya menguasai Nanjing daripada pihak kerajaan pada tahun 1853.

Beliau menukar nama Nanjing kepada Tianjing yang bermaksud Ibu Kota Kayangan. Kemudian, antara tahun 1853-1855, beliau melancarkan Ekspedisi Ke Utara pimpinan Li Kaifang dan Lin Fenxiang yang bertujuan untuk menakluk Beijing iaitu ibu negara Dinasti Qing tetapi tidak berjaya. Seramai kira-kira 70,000-80,000 tentera di kerah ke Beijing tetapi menemui kegagalan. Jutaan nyawa rakyat terkorban dalam ekspedisi tersebut. Kemudian pada tahun 1856, tentera Taiping seramai 460,000 berjaya mengalahkan 80,000 tentera Green Standard Army dari Qing dalam Pertempuran Jiangnan.

Antara tahun 1856-1860, dalam pertempuran-pertempuran antara puak pemberontak dengan tentera kerajaan banyak di menangi oleh pemberontak, hingga kegagalan pemberontak menakluk Shanghai pada tahun 1861 membawa kepada kejatuhan Kerajaan Perdamaian Syurga sehingga berjaya ditakluk oleh tentera Qing pada tahun 1864 yang melancarkan serangan besar-besaran dengan memobilisasi kira-kira 500,000 tentera pimpinan Zeng Guofan. Tentera Qing juga mendapat bantuan daripada kuasa Barat menentang lebih 370,000 tentera pemberontak. Puak pemberontak juga semakin lemah akibat berlakunya masalah dalaman yang bermula sejak Insiden Tianjing pada tahun 1856 yang menyebabkan beberapa orang ketua pemberontak terkorban.

Gambar 2: Penaklukan tentera Dinasti Qing ke atas Nanjing iaitu Ibu Kota Kerajaan Perdamaian Syurga
Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/File:Regaining_Jinling.jpg

Sepanjang tempoh pemberontakan Taiping antara 1851-1864 berlaku kerosakan dan kemusnahan yang dahsyat kepada China. Ramai nyawa yang terkorban akibat peperangan dan kebuluran. Kebanyakan sejawaran berpendapat jumlah korban akibat pemberontakan kira-kira antara 20,000,000-30,000,000 orang. Satu jumlah yang sangat besar. Pemberontakan Taiping juga menyebabkan rakyat China mula bangkit menentang Dinasti Qing melalui gerakan-gerakan lain kerana Qing bersifat diskriminasi terhadap kaum Cina dan pribumi yang lain, dan rakyat Cina beranggapan mereka sudah kehilangan mandat dari syurga kerana berlaku banyak masalah dalaman, luaran dan bencana alam.

2. PEMBERONTAKAN UMAT ISLAM (1856-1877)

Selain daripada pemberontakan Taiping yang memakan nyawa yang ramai, terdapat satu lagi pemberontakan besar-besaran di China yang turut memakan korban nyawa manusia kira-kira 20-30 juta orang. Pemberontakan tersebut penulis menggelarkan sebagai Pemberontakan Umat Islam iaitu gabungan tiga pemberontakan yang di cetuskan oleh umat Islam di kawasan yang berbeza iaitu Pemberontakan Muslim di Yunnan, Pemberontakan Muslim di Barat Laut China, dan Pemberontakan Muslim di Xinjiang. Pemberontakan tersebut menyebabkan kira-kira 12 juta nyawa umat Islam terkorban, antara jumlah korban umat Islam terbesar dalam sejarah dunia.

2.1 Pemberontakan Muslim Yunnan (1856-1873)

Pemberontakan Muslim Yunnan juga di kenali sebagai Pemberontakan Panthay tercetus di wilayah Yunnan yang di ketuai oleh Du Wenxiu. Perkataan “Panthay” ialah gelaran oleh orang Burma kepada orang Cina Muslim. Sekadar maklumat tambahan, orang Cina yang beragama Islam di China di panggil sebagai Hui bagi membezakan dengan etnik Cina non-muslim iaitu Han. Berbalik kepada isu di atas, Du Wenxiu atau nama sebenarnya Yang Xiu dilahirkan di Yongcheng, Yunnan pada tahun 1823 dalam keluarga Cina Han yang memeluk Islam. Beliau bertindak balas ke atas kekejaman kerajaan Manchu dan orang Cina Han ke atas pembunuhan beramai-ramai ke atas pelombong etnik Cina Hui. Tetapi beliau tidak menyalahkan 100% ke atas orang Cina Han, sebaliknya menyalahkan kepada orang Manchu ke atas apa yang terjadi. Beliau juga berjaya mempengaruhi orang Han dan penduduk asli Yunnan untuk sama-sama bangkit menentang Manchu dengan slogannya:

“Berdamai dengan Han, jatuhkan Qing.”

Dan..

“Untuk menyatukan Han dan Hui sebagai sebuah kesatuan, untuk menegakkan bendera pemberontakan, untuk menghalau Manchu yang tidak  bertamadun, untuk membangkitkan semula China, untuk mengurangkan korupsi, untuk menyelamatkan rakyat dari api dan air. ”

Slogan tersebut berjaya menyemarakkan api nasionalisme dalam kalangan penduduk Yunnan untuk bangkit menentang bangsa penjajahan iaitu Manchu. Du Wenxiu bersama pengikutnya berjaya menakluk kota Dali dari tangan tentera kerajaan. Di kota tersebut Du Wenxiu menubuhkan kerajaannya Islam pertama di China yang di gelar Kerajaan Keamanan Selatan atau Pingnan Guo. Beliau memakai gelaran Sultan Sulayman iaitu sebagai penaung kepada kaum muslimin di Yunnan. Beliau juga melaksanakan sistem politik Islam dengan mengharamkan arak, babi, judi, dan lain-lain. Beliau berjaya mengumpul ramai tentera untuk proses penaklukan Kota Kunming iaitu ibu kota wilayah Yunnan tetapi menemui kegagalan. Orang kanan Du Wenxiu iaitu Ma Rulong yang sama-sama menakluk Kota Kunming berjaya di tangkap oleh tentera kerajaan, akhirnya beliau berpaling tadah dengan menyokong kerajaan dan menentang pemberontak.

Gambar 3: Bendera Kerajaan Pingnan Guo
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=BGyqGT4uxvg

Du Wenxiu dan anaknya iaitu Hassan berusaha untuk mendapatkan pertolongan daripada British serta meminta British untuk mengiktiraf kemerdekaan mereka daripada Dinasti Qing. Belum sempat proses rundingan selesai, tentera imperial dengan bantuan meriam daripada Perancis, berjaya menawan satu persatu kota milik pemberontak dan akhirnya berjaya menakluk Kota Dali. Du Wenxiu juga di pancung oleh tentera kerajaan. Dengan itu, berakhirnya pemerintahan Islam pertama China yang memerintah selama 17 tahun.

Gambar 4: Tentera kerajaan Qing menawan semula bandar Dali, iaitu ibu kota Kerajaan Pingnan Guo
Sumber: https://worldhistory.us/chinese-history/the-panthay-rebellion.php

Ulama China terkenal iaitu Yusuf Ma Dexin yang hidup sezaman ketika Zaman Pemberontakan tidak berapa setuju dengan kaedah pemberontakan oleh Du Wenxiu, walaupun beliau tidak menyokong pemberontak, tetapi beliau turut di tuduh menyokong pemberontak, dan akhirnya beliau dikenakan hukuman bunuh oleh pemerintah Qing pada tahun 1874. Al-fatihah untuk Yusuf Ma Dexin yang banyak jasa dan sumbangan kepada umat Islam di China.

2.2 Pemberontakan Muslim di Barat Laut China (1862-1873)

Pemberontakan Muslim di Barat Laut China merupakan gerakan pemberontakan berskala besar yang mengorbankan jutaan nyawa penduduk di kawasan terbabit. Sejarawan berpendapat kira-kira 20,000,000 penduduk di wilayah Shaanxi dan Gansu berkurang disebabkan oleh penghijrahan, dan kematian yang berlaku akibat pemberontakan.

Pemberontakan ini tercetus akibat daripada gerakan Pemberontakan Taiping yang ingin membebaskan diri daripada Dinasti Qing yang mula sampai ke wilayah Shaanxi. Umat Islam yang di gelar Hui membentuk gerakan militan tersendiri pimpinan Ma Hualong ekoran daripada wujudnya gerakan bersenjata daripada orang Han yang menyokong kerajaan. Kebimbangan orang Hui terhadap gerakan bersenjata orang Han tercetus kerana sebelum itu terdapat beberapa isu kecil yang melibatkan pergaduhan antara orang Hui dengan Han yang semakin merebak akibat pembunuhan beramai-ramai orang Hui oleh orang Han. Orang Han juga bimbang kerana terdapat khabar angin mendakwa gerakan militia orang Hui akan bergabung dengan pemberontakan Taiping untuk menggulingkan Manchu dan menyerang orang Han yang menyokong Manchu. Akibat daripada situasi tersebut, orang Hui mula memberontak melawan kerajaan dan penyokong kerajaan di Sungai Wei akibat beberapa siri pembunuhan yang dikenakan ke atas orang Hui dalam beberapa isu perniagaan yang melibatkan orang Han dan Hui.

Tentera Qing mengambil tindak balas dengan menyerang pemberontak Hui menyebabkan api pemberontakan merebak hingga ke keseluruhan wilayah Shaanxi, Gansu, dan Qinghai untuk menentang kerajaan Qing. Di Gansu, orang Hui menubuhkan 18 Batalion Besar, dan antara tahun 1864-1865, wilayah Shaanxi dan Gansu berjaya dikuasai sepenuhnya oleh pemberontak Hui menyebabkan pemberontak Hui membalas dendam ke atas orang Han dan Manchu yang sebelum ini bertindak kejam ke atas orang Hui. Tindak balas tersebut mengakibatkan jutaan nyawa orang Han terkorban akibat pembunuhan balas dan kelaparan.

Gambar 5: lukisan Pertempuran Sungai Wei antara pemberontak dengan kerajaan Sumber: https://ynjblog.wordpress.com/2017/06/01/dungan-revolt/

Pada tahun 1867, pihak kerajaan Manchu menghantar komander perang antara yang terhebat yang pernah mengalahkan angkatan Pemberontakan Taiping iaitu Zuo Zongtang bersama kira-kira 120,000 orang tentera Hunan Army untuk menakluk semula wilayah Shaanxi dan Gansu. Pihak kerajaan mengalami kesukaran untuk menguasai wilayah tersebut kerana Ma Hualong menguasai semua aspek darisegi perniagaan, logistik, dan benteng pertahanan. Akhirnya, dengan bantuan tentera yang ramai, teknologi artileri, dan beberapa pimpinan pemberontak yang berpaling tadah seperi Ma Zhan’ao, Ma Anliang, Ma Qianling, dan beberapa jeneral pemberontak yang lain, Zuo Zongtang berjaya menguasai semula wilayah Shaanxi dan Gansu daripada puak pemberontak pada tahun 1873, dan Ma Hualong menyerah kalah kepada pihak kerajaan. Walaupun beliau menyerah kalah, beliau tetap dihukum bunuh oleh kerajaan. Zuo Zongtang hanya menjatuhkan hukuman bunuh kepada pemberontak yang berfahaman baru iaitu Jahriyya (yang berkaitan dengan fahaman Wahabi) walaupun mereka menyerah kalah, berbanding fahaman lama Khafiya dan Gedimu. Zuo mendakwa fahaman baru Jahriyya memecahbelahkan masyarakat dan menjadikan masyarakat Muslim lebih ekstrem berbanding fahaman lama. Sebab itu Zuo Zongtang tidak menjatuhkan hukuman bunuh kepada Ma Zhan’ao, Ma Anliang dan lain-lain kerana mereka dari Muslim yang berfahaman lama. Bagi meredakan situasi yang tegang antara orang Han dan Hui, Zuo berkata “satu-satunya perbezaan antara orang Han dan Hui ialah mereka yang baik dengan mereka yang memberontak, tidak ada perbezaan antara mereka”.

Antara faktor kegagalan pemberontakan muslim di Barat Laut ialah mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas, mereka saling bertempur sesama sendiri antara Han dan Hui, tidak seperti pemberontakan muslim di Yunnan, dan juga Pemberontakan Taiping yang mempunyai matlamat yang jelas, berjaya membentuk pemerintahan sendiri dan bersatu di bawah satu bumbung perjuangan untuk bangkit menentang orang Manchu.

Sasaran Zuo Zongtang seterusnya ialah menakluk Xinjiang yang ketika itu di kuasai oleh pemberontak bangsa Turki iaitu Yakub Beg.

2.2 Pemberontakan Muslim di Xinjiang (1863-1877)

Wilayah ini dikuasai oleh Qing pada pertengahan abad ke-18 selepas kemenangan Qing dalam Perang Qing-Dzungaria (1755-1759) pimpinan Maharaja Qianlong. Pada tahun 1826, pemimpin puak Turki iaitu Afaqi Khoja dari negeri Kokand Khan (negeri berjiran dengan wilayah Xinjiang) melancarkan invasi untuk menakluk Kota Kashgar yang berada di dalam wilayah Xinjiang menyebabkan kerajaan Qing mula memberi tindak balas di wilayah berkenaan dengan menempatkan ramai tentera sebagai langkah berjaga-jaga.

Akibat daripada tekanan ekonomi kerajaan Qing ketika berhadapan dengan tentera Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Muslim di Yunnan, Gansu dan Shaanxi, dan Gerakan Menguatkan Diri (gerakan pembaharuan atau modenisai yang di lakukan oleh pihak kerajaan Qing), pegawai kerajaan di Xinjiang terpaksa menaikkan cukai yang sedia ada, dan memperkenalkan cukai yang baru menyebabkan timbulnya ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk Xinjiang. Wilayah Xinjiang terdiri daripada pelbagai etnik Turki seperti Uyghur, Kazakh, Kyrgyz, Taranchi, dan juga dihuni oleh Cina Hui, Han, dan Mongol.

Rakyat Xinjiang yang sudah muak dengan bentuk penindasan yang dilakukan oleh pihak kerajaan akhirnya bangkit menentang kerajaan. Pada Mac 1863, kira-kira 200 orang Hui bertindak menyerang bandar Tarchi akibat daripada khabar angin mendakwa kerajaan Qing akan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Hui sebagai tindak balas ke atas pemberontakan orang Hui di wilayah Shaanxi dan Gansu. Pemberontakan orang Hui yang pada asalnya hanyalah berskala kecil merebak ke keseluruhan wilayah menjadi pemberontakan besar-besaran apabila orang Turki turut memberi sokongan ke atas orang Islam Hui. Antara 1864-1865, banyak bandar-bandar di wilayah Xinjiang di tawan oleh pemberontak dan ramai orang-orang Manchu, serta orang Han dan Mongol yang kebanyakannya menyokong kerajaan di bunuh oleh puak pemberontak. Pemberontak semakin kuat apabila berjaya merampas banyak peralatan tentera kerajaan di bandar-bandar yang di tawan oleh pemberontak. Pemberontak juga berusaha meminta bantuan dengan Empayar Rusia tetapi tidak berhasil kerana St. Petersburg ingin menjaga hubungan dengan Beijing, Rusia juga bimbang api pemberontakan merebak ke dalam wilayah Rusia kerana kawasan Rusia juga ramai dihuni bangsa Turki.

Pemberontak Hui dan Turki (puak Uyghur dan Kyrgyz) menyedari bahawa kerajaan Qing akan bertindak balas ke atas mereka, dengan itu, mereka meminta bantuan daripada negeri jiran iaitu negeri Kekhanan Kokand, sebuah pemerintahan bangsa Turki Uzbek. Pemimpin muda dari Kokand iaitu Yakub Beg yang berbangsa Parsi dari puak Tajik bersama ramai tenteranya tiba di Kashgar. Kedudukan beliau semakin kukuh dengan kehadiran ramai tentera Kokand yang melarikan diri daripada di bunuh oleh Rusia selepas kekalahan Kokand ketika mempertahankan Tashkent, kemudian beliau mendapat sokongan daripada orang Afghan yang datang beramai-ramai membantu beliau. Angkatan tentera Yakub Beg di kenali sebagai Andijani. Yakub Beg mula mengisytiharkan dirinya sebagai Amir di Kashgar menyebabkan mereka tidak disenangi oleh orang Hui dan Turki. Yakub Beg dan tenteranya diibarat sebagai pendatang yang di sambut dengan baik oleh orang tempatan tetapi di balas dengan kejam oleh Yakub Beg, bagaikan kacang lupakan kulit, masuk mulut harimau keluar mulut buaya. Begitulah perumpamaan yang sesuai di gunakan mengenai nasib orang Hui dan Turki di Kashgar yang kemudiannya menjadi mangsa kekejaman Yakub Beg.

Lain pula di utara Xinjiang, orang Hui yang sudah tidak mempercayai Yakub Beg mula membina kerajaan sendiri hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Turki puak Taranchi yang sebelum ini menyokong orang Hui memberontak melawan kerajaan Qing. Situasi menjadi semakin tidak stabil apabila orang Turki Taranchi pula bertindak menyerang orang Hui. Yakub Beg yang menyedari ketidakstabilan politik di utara Xinjiang mengambil kesempatan untuk menguasai keseluruhan wilayah Xinjiang dengan melancarkan serangan ke atas orang Hui yang diketuai oleh Du Ming (juga dikenali sebagai Daud Khalifa). Yakub Beg yang berjaya mempengaruhi orang Han yang di ketuai oleh Xu Xuegong (orang Han sememangnya tidak berpuas hati dengan orang Hui kerana sebelum itu orang Hui bertindak membunuh orang Han yang menyokong Dinasti Qing) untuk bersama beliau dalam Pertempuran Urumqi 1870 dan di menangi oleh Yakub Beg.

Bagi mengukuhkan kedudukannya, Yakub Beg mula melaksanakan polisi luar negara dengan berbaik-baik dengan Rusia, British, dan Uthmaniyyah.  Kedudukan beliau diiktiraf oleh Uthmaniyyah dan British. Hasilnya, ribuan senjata moden berjaya di bekalkan oleh kuasa luar kepada beliau bagi menguatkan lagi kerajaannya.

Pada tahun 1876, jeneral Qing yang bertanggungjawab menghapuskan gerakan pemberontakan Muslim di Gansu dan Shaanxi iaitu Zuo Zongtang kembali menyusun strategi untuk menakluk kembali wilayah Xinjiang yang di kuasai oleh Yakub Beg. Zuo bersama kira-kira 50,000 orang tentera mara menuju ke Xinjiang setelah menempuh padang pasir yang panjang akhirnya tiba di Xinjiang dan berhadapan dengan lebih 30,000 tentera Yakub Beg yang lengkap dengan senjata moden. Tentera Qing pimpinan Zuo menemui kemenangan demi kemenangan walaupun berdepan kesukaran kerana puak pemberontak memiliki senjata moden. Pada tahun 1877, mereka berjaya menakluk kota Kashgar daripada Yakub Beg, manakala kematian Yakub Beg kekal misteri hingga sekarang.

Gambar 7: ribuan tentera Dinasti Qing bersedia menggempur kubu Yakub Beg Sumber: https://ipfs.io/ipfs/QmXoypizjW3WknFiJnKLwHCnL72vedxjQkDDP1mXWo6uco/wiki/Dungan_revolt_(1862%E2%80%931877).html
  1. LAIN-LAIN PEMBERONTAKAN

Selain daripada Pemberontakan Taiping dan Pemberontakan umat Islam yang memakan korban jutaan nyawa manusia, terdapat beberapa lagi pemberontakan lain tercetus akibat rasa tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Dinasti Qing.

3.1 Pemberontakan Nian (1851-1868)

Pemberontakan yang berlaku di utara China ini di ketuai oleh Zhang Lexing. Faktor-faktor berlakunya pemberontakan Nian sama seperti pemberontakan Taiping tetapi bezanya pemberontakan Nian tidak mempunyai matlamat yang jelas. Mereka berperang lebih kepada kaedah gerila. Pemberontakan Nian mempunyai saiz tentera agak ramai kira-kira 200,000. Perjuangan mereka seiring dengan pemberontakan Taiping, saling tolong menolong. Sejak kejatuhan Taiping pada tahun 1864, pemberontakan Nian semakin lemah dan berpecah kepada dua bahagian iaitu Tentera Timur dan Tentera Barat. Akibat matlamat yang tidak jelas, dan pada tahun 1868, pemberontakan berjaya di padam oleh kerajaan Qing pmpinan Zeng Guofan dan Zuo Zongtang.

3.2 Pemberontakan Miao (1854-1873)

Pemberontakan yang di cetuskan oleh etnik Miao di wilayah Guzhou. Etnik ini merupakan penduduk majoriti di wilayah tersebut. Pemberontakan berpunca daripada isu ketegangan kaum antara etnik Miao dengan Han hingga membawa campur tangan kerajaan Qing. Mereka juga bangkit akibat penindasan kerajaan melalui cukai yang tinggi oleh kerajaan bagi menampung perbelanjaan menentang pemberontakan Taiping dan Gerakan Menguatkan Diri kerajaan pusat. Jutaan nyawa terkorban dalam pemberontakan ini.

3.3 Pemberontakan Red Turban (1854-1856)

Pemberontakan kecil yang di cetuskan oleh ahli pertubuhan Persatuan Syurga dan Bumi di wilayah Guangdong, Selatan China bertujuan untuk menakluk Guangzhou tetapi tidak berjaya. Salah seorang ketua mereka iaitu Ling Shiba yang kemudiannya menganggotai Persatuan Penyembah Tuhan yang kemudiannya menyertai Pemberontakan Taiping.

3.4 Perang Puak Kantonis-Hakka (1855-1867)

Perang Puak Kantonis-Hakka lebih kepada peperangan antara dua puak Cina iaitu puak Kantonis dan Hakka yang berlaku di wilayah Guangdong, selatan China. puak Kantonis merupakan orang asal bagi kawasan Delta Sungai Zhujiang (juga dikenali Pearl River), manakala orang Hakka pula ialah kaum pendatang yang datang berhijrah ke bandar Guangzhou, dan bandar-bandar sekitar. Kekacauan berlaku ketika pemberontakan Red Turban dan pemberontakan Taiping apabila ramai puak Hakka bertindak menyokong tentera kerajaan dan menyerang kampung puak Kantonis yang menyokong pemberontak. Hal ini menyebabkan puak Kantonis bertindak balas menyerang kampung-kampung puak Hakka. Ramai dalam kalangan puak Hakka yang tewas menyertai Persatuan Penyembah Tuhan. Sekitar tahun 1867, peperangan dapat di redakan oleh kerajaan dan kerajaan Qing memperkenalkan polisi menempatan semula puak Hakka yang letakkan di kawasan yang lebih selamat.

KESIMPULAN

Zaman Pemberontakan China (1851-1877) meninggalkan kemusnahan yang dahsyat kepada negara China, anggaran kematian yang sangat tinggi iaitu kira-kira 80 juta nyawa penduduk China terkorban dalam tempoh tersebut yang disebabkan oleh peperangan, kelaparan, penyakit, bencana alam dan sebagainya. Penduduk negara China yang berjumlah 430 juta orang pada tahun 1850 berkurang kepada kira-kira 358 juta orang pada tahun 1870, iaitu pengurangan hampir 80 juta orang dalam masa 20 tahun.

Dari segi politik, pemberontakan tersebut menyebabkan timbulnya kesedaran dalam kalangan pegawai China untuk memodenkan negara China mengikut acuan Barat. Dengan itu, lahirnya Gerakan Menguatkan Diri yang ideanya dipelopori oleh Zeng Guofan, dan kemudiannya oleh Li Hongzhang. Kerajaan Qing juga telah mula menjalankan hubungan dengan negara luar dengan tertubuhnya Zongli Yamen iaitu Kementerian Luar Negeri. Pemodenan di China tidak seberjaya pemodenan Jepun kerana tidak mendapat sokongan yang penuh daripada pembesar. Akhirnya kerajaan menjadi makin lemah menjelang abad ke-20, di tambah lagi dengan kegagalan Revolusi Boxer di tangan kuasa-kuasa Barat menyebabkan kerugian yang besar kepada China. Sesuatu yang menarik ialah, ramai orang Cina Islam Hui mula berkhidmat sebagai jeneral dalam kerajaan Qing seperti Ma Zhan’ao, Ma Anliang, Ma Guoliang, dan Ma Qianling.

Pemberontakan tersebut juga mengubah sosio-ekonomi rakyat China apabila ramai orang-orang Cina mula berhijrah ke luar negara untuk mencari kehidupan yang lebih sempurna. Ramai orang Cina berhijrah ke Asia Tenggara, manakala orang Cina Hui pula berhijrah ke Asia Tengah, dan Myanmar. Di Asia Tengah, Cina Hui dikenali sebagai Dungan.

Gambar 8: Situasi negara China ketika era Pemberontakan
Sumber: https://www.pinterest.com/pin/15692298681112032/

RUJUKAN

The Editors of Encyclopædia Britannica. “Qing dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 12 March 2018.

(2001), The Manchu Way: The Eight Banners and Ethnic Identity in Late Imperial China, Stanford University Press, ISBN 978-0-8047-4684-7.

Brine, Lindesay, The Taeping rebellion in China (London: J. Murray, 1862)

Spence, Jonathan D. (1996). God’s Chinese Son: The Taiping Heavenly Kingdom of Hong Xiuquan. New York: W.W. Norton. ISBN 0393038440.

Keith Schoppa (2002). Revolution and its past: identities and change in modern Chinese history. Prentice Hall. p. 79. ISBN 0-13-022407-3. Retrieved 2018-03-12.

David G. Atwill (2005). The Chinese sultanate: Islam, ethnicity, and the Panthay Rebellion in southwest China, 1856-1873. Stanford University Press. p. 139. ISBN 0-8047-5159-5. Retrieved 2018-03-12.

Lipman, Jonathan Neaman (1998). Familiar strangers: a history of Muslims in Northwest China. University of Washington Press. p. 54. ISBN 0295800550. Retrieved 12 March 2018.

Robert Michell (1870). Eastern Turkestan and Dzungaria, and the rebellion of the Tungans and Taranchis, 1862 to 1866. Calcutta : Office of Superintendent of Government Printing. p. 50


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.