Reuben George Walker Brooke: Keturunan Brooke Yang Hilang

1,331

ANDAI kita menggodek sejarah keluarga Dinasti Brooke di Sarawak sudah tentu kita akan menemui beberapa hal yang agak bertentangan dengan cerita sebenar Brooke terutama sekali tuan rajah pertama Sarawak yakni Sir James Brooke yang memerintah Sarawak dari tahun 18 Ogos 1842 hingga 11 Jun 1864. 

Yang didodoikan kepada kita adalah Sir James Brooke itu mandul akibat daripada kecederaan parahnya sewaktu berperang di India. Dek kerana itu, beliau dikatakan tidak meninggalkan waris sehingga membenarkan anak saudaranya iaitu Sir Charles Brooke sanggup menukar marga nama keluarga daripada ”Johnson” kepada “Brooke” semata-mata untuk menjadi tuan rajah kedua Sarawak.

Itu adalah satu kenyataan yang ditulis di dalam sejarah berdasarkan dokumentasi yang sedia ada.  Namun begitu jika benar-benar menggali sejarah hidup Sir James Brooke itu sendiri sebenarnya mempunyai seorang waris yang sengaja disembunyikan kerana kewujudan anak tersebut itu menentang norma baik-baik beliau sebagai Tuan Rajah Sarawak. 

Yang amat menarik mengenai waris tuan rajah Sarawak yang tidak diiktiraf ini adalah kerana beliau yang bernama Reuben George Walker Brooke adalah anak luar nikah Sir James Brooke dengan seorang wanita yang tidak diketahui identiti sehingga sekarang. Jika kita menggodek geneologi Reuben pula dicatatkan sebagai tahun kelahiran beliau adalah pada 1834 atau 1836 di Sarawak. 

Dari situ kita godek sejarah Sarawak pula yang mana James Brooke mula mendatangi Sarawak yakni Kuching pada tahun 1838 sebagai wakil Kerajaan British untuk menghantar buah tangan kepada Pengiran Bendahara Muda Hashim yang telah membantu beberapa orang saudagar Inggeris yang terdampar di muara Sungai Sarawak akibat daripada kapal mereka dirompak oleh lanun pada ketika itu.

Dan kedatangan kedua adalah pada tahun 1839 iaitu persinggahan JB sebelum pulang ke tanahairnya yang akhirnya membantu Pengiran Bendahara Muda Hashim untuk menyelesaikan pemberontakan di Sarawak pada ketika itu. Berdasarkan kepada tahun kelahiran itu sahaja sudah ada percanggahan kerana tidak disabit dek akal JB mempunyai hubungan dengan mana-mana wanita di Sarawak sebelum dia menjejakkan kaki ke Sarawak lagi. 

Kemudian turut dicatatkan bahawa ibu kepada Rueben adalah seorang wanita Sarawak yang bekerja sebagai pengasuh kepada keluarga seorang pastor di Sarawak.  Seorang pastor atau mubaligh kristian jika diikutkan di dalam sejarah kedatangan kristianiti di Sarawak adalah pada tahun 1848 iaitu dimulai oleh Francis Thomas McDougall atas jemputan Sir James Brooke sendiri pada masa itu.

Hanya selepas mendapat perkenan dari JB baharulah mubaligh-mubaligh kristian mula bergerak menyebarkan agama kristian kepada penduduk tempatan yang masih berpegang teguh pada pagan dan animisme untuk dikristiankan agar mereka mempunyai satu agama yang utuh.  Jadi siapakah pula pastor yang disebutkan berdasarkan kepada tahun 1834 atau 1836 sedangkan kristianiti pada masa itu belum lagi wujud di Sarawak?

Tidaklah diketahui bagaimana seorang individu yang dikatakan dilahirkan di Sarawak boleh sampai ke Brighton, United Kingdom dan dibesarkan oleh satu keluarga angkat bernama Francis Walker.  Beliau sewaktu di Brighton bekerja sebagai Pengurus ladang kuda milik Lord Ward yang akhirnya pada tahun 1854 berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang tentera Britain yang kemudian bertugas di Tasmania, Australia. 

JB pula sewaktu kali pertama “anaknya” itu memasuki bidang ketenteraan dikatakan telah menerima sepucuk surat daripada keluarga Rueben di UK yang cuba memberikan bayangan kepada JB untuk segera menutup hal perkaitan Rueben dengan dirinya kerana takut ia akan menjejaskan reputasi JB sebagai tuan rajah Sarawak. 

Natijahnya dikatakan JB telah cuba melakukan sebaik mungkin untuk mendekati Rueben melalui kenalan dari golongan aristokrat Britain dan pegawai kanan tentera. Berdasarkan kepada satu surat JB kepada seorang individu bernama Brooke Brooke menyatakan JB cuba menutup malu dengan meminta Brooke Brooke untuk mencari seorang bekas pembantu peribadinya di England.  Brooke Brooke telah membuat kerja yang sebaik mungkin dengan membuat maklumbalas pada JB bahawa Rueben bertugas sebagai anggota tentera British di Gibraltar pada tahun 1857. 

Soal hidup mati Rueben itu berjaya membuka ceritera lain apabila dikatakan James Brooke mengaku bahawa keprihatinannya selama tempohmasa pencarian adalah kerana Rueben adalah anak kandungnya sendiri.  Ada cubaan untuk Brooke membawa Rueben kembali ke Sarawak namun niatnya dibatalkan saat akhir setelah mendapat bantahan daripada Francis MacDougall dan isterinya Harriet MacDougal. 

Ini kerana menurut kenyataan MacDougall mereka bertemu dengan Rueben di stesen keretapi England pada tahun 1861 dan kedua-duanya tidak menyenangi keberadaan Rueben yang dikatakan cuba menyebarkan dakyah kristian yang berlainan dan rupa wajahnya tidak sama dengan James Brooke yang mereka kenali. 

Mungkin terpengaruh dengan kenyataan MacDougall akhirnya JB meminta Brooke Brooke untuk menyampaikan berita bahawasanya Rueben tidak dibenarkan untuk kembali ke Sarawak melainkan beliau secara bermurah hati memberikan £5,000 kepada Rueben George Walker Brooke dengan catatan terakhir suratnya “Let Rueben George fall into his proper place, which will not be a high one…”

Rueben terus kekal sebagai cerita gelap di dalam penghidupan James Brooke dan hilang dimamah waktu tatkala Rueben sendiri terkorban di dalam satu nahas kapal tentera yang tenggelam pada tanggal 23hb Mei 1874 di Teluk Tasmania, Australia.  Kuburnya sehingga kini dipelihara di Plumtree St Mary Church yang turut mencatatkan bahawa Rueben George Walker Brooke itu adalah anak kepada Sir James Brooke, tuan rajah pertama Sarawak. 

Ketiadaan kelibat ceritera Rueben di dalam dokumentasi sejarah Brooke di Sarawak mungkin sengaja digelapkan atas sebab-sebab yang tertentu. Yang pasti setiap sejarah itu ada sisi gelap dan terangnya dan ceritera Rueben George Walker Brooke adalah salah satu sisi gelap dinasti Brooke di Sarawak. 

-HB-

#kameksayangSarawakBah!

RUJUKAN:

  1. Buku Bertajuk: White Rajah: A Biography of Sir James Brooke by Nigel Barley
  2. Plumtree St Mary Church http://southwellchurches.nottingham.ac.uk/plumtree/hchyard.php
  3. https://www.myheritage.com/search-records?action=person&siteId=153151472&indId=1000001&origin=profile
  4. https://www.thestar.com.my/opinion/columnists/so-aunty-so-what/2016/09/21/no-sex-please-hes-theres-a-reason-why-for-decades-filmmakers-could-not-make-a-movie-on-sarawaks-firs/
  5. https://dawlishchronicles.com/james-brooke-the-first-white-rajah-of-sarawak/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.