Retorik – Kerana Kurangnya Pathos Dalam Diri Dr Kamarul

934
views

Sambung cerita pasal retorik. Sudah sudah, jangan bergaduh pasal forum tu lagi. Ni teman nak ambil kesempatan berkongsi ilmu pasal retorik.

Bukan teman perasan, tapi “feedback” yang selalu teman dapat ialah “kenapa tulisan Ayman sedap dibaca? Selain bahasanya yang mudah, gaya penulisannya juga buat orang ketagihan”.

Sebenarnya tiada apa rahsia pun, tapi macam teman kata, teman pernah mendalami ilmu retorik, jadi sampai sekarang pun teman banyak menerapkan “rhetorical devices” (alat retorik) dalam penulisan dan pengucapan.

Alat-alat retorik ni umpama perisa. Ia adalah untuk “menyedapkan” penulisan dan lebih penting mewujudkan “Pathos”. Ya, siakap stim tanpa perisa pun boleh dimakan juga, tapi macam mana pun tak boleh lawan siakap tiga rasa. Tanpa alat-alat retorik, penulisan kita sekadar persembahan fakta dan hujjah yang “plain”, “dry” dan “boring”. Ada Logos, ada Ethos, tapi tiada Pathos. Kalau tulis tesis tak apa lah setakat Logos, tapi kalau tulis untuk tatapan orang awam, ketiadaan Pathos akan menyebabkan orang ramai kurang berminat dengan tulisan kita.

Alat-alat retorik ni banyak. Ada “hyperbole”, “understatement”, “litotes”, “antithesis”, “hypophora”, “rhetorical question”, “procatalepsis”, “distinctio”, “simile”, “metaphor” dan banyak lagi. Nama pelik-pelik semua sebab ilmu retorik berasal dari Yunani (Greece) dan Rom. Nak cerita satu-satu memang tak sempat lah. Boleh cari buku-buku pasal retorik seperti “Writing with Clarity and Style: A Guide to Rhetorical Devices for Contemporary Writers” (Robert A. Harris) dan “Rhetorical Devices: A Handbook and Activities for Student Writers” (Brendan McGuigan).

Cuba kome perhatikan post-post teman. Ada alat-alat retorik tertentu yang teman suka guna. Antaranya “hypophora” (sendiri tanya, sendiri jawab). Dalam post teman pasal krisis Korea Utara yang tular dulu, teman menulis “Adakah Malaysia berhak untuk mengisytiharkan Duta Korea sebagai persona non grata? Ada.” Kenapa teman sendiri tanya sendiri jawab? Sebabnya untuk “reinforce” (menguatkan) point teman, supaya benda itu melekat kat otak khalayak. Itulah fungsi retorik. Ia lebih membangkitkan Pathos berbanding point yang “straightforward”.

Pastu dalam satu lagi post teman menulis “Tidak perlu kepercayaan mistik. Tidak perlu Nostradamus”. Kenapa teman tak straightforward je tulis “tidak perlu kepercayaan mistik dan Nostradamus”? Sebab itu merupakan alat retorik “parallelism” atau “repetition”. Ni yang ahli politik paling suka guna. Dalam ucapan Winston Churchill ada: “WE SHALL go to the end, WE SHALL fight on the beaches … WE SHALL fight in the hills, WE SHALL never surrender.” John F. Kennedy pun pernah pakai: “we shall pay ANY price, bear ANY burden, meet ANY hardship, support ANY friend, oppose ANY foe, in order to assure the survival and the success of liberty”.

Malcolm X pun guna taktik tersebut dalam ucapan “The Ballot or the Bullet” (1964). Beliau memerli seterunya, Martin Luther King yang melancarkan kempen protes “sit-in”: “It’s not so good to refer to what you’re going to do as a sit-in. An old woman CAN SIT. An old man CAN SIT. A chump CAN SIT. A coward CAN SIT. Anything CAN SIT. You and I been sitting long enough and it is time for us to start standing”. Obama pun guna dalam ucapan pelantikannya: “FOR US, they packed up their few worldly possessions… FOR US, they toiled in sweatshops… FOR US, they fought and died…” Masa mengucap tu kena memberi penekanan kepada pengulangan terakhir perkataan tersebut, baru rasa “punch” tu sampai.

Kalau lihat pada cara penyampaian Dr. Kamarul, beliau kurang memberi perhatian kepada aspek retorik, ini menyebabkan orang tak minat langsung dengan hujah beliau. “Facts and figures” yang melambak sedikit mengganggu keupayaan orang ramai untuk “menangkap” mesej beliau, menjadikan orang ramai lebih memberi perhatian kepada perkara-perkara trivia seperti cara beliau duduk, cara beliau tunduk, gimik kehadiran subjek perbincangan (kehadiran sosok yang dibincang sebenarnya sedikit pun tidak “disprove” atau “refute” hujah-hujah beliau) dan sebagainya.

Kalau dibandingkan, Dr. Muhammed Abdul Khalid lebih mantap dari segi retorik. Dalam wawancara Dr. MAK yang tular dahulu, cara beliau menyampaikan sesuatu adalah sebegini: “Kejatuhan harga ringgit. Against Thailand kita jatuh. Against Filipina kita jatuh. Against Bangladesh kita jatuh”. Kenapa tak terus buat ayat “Against Thailand, Filipina dan Bangladesh kita jatuh”? Sebab ayat yang straightforward tak akan mampu mencipta “resonance” di kalangan khalayak. Itulah beza orang yang tahu retorik dan tak tahu retorik.

Satu lagi yang teman suka ialah apabila Dr. MAK berkata “Sikap? Sikap nak ubah macam mana lagi? Siang kerja, malam bawa Uber. Keluaq tak ada kerja, juai nasi lemak. Sikap bagus ke sikap tak bagus?” Di sini ada unsur “rhetorical question” (tanya soalan yang tak memerlukan jawapan daripada khalayak) dan “parallelism and contrast” (memperbandingkan seorang yang kerja siang bawa Uber dan seorang yang tak kerja tapi jual nasi lemak untuk menggambarkan point yang sama). Melalui gabungan Logos, Ethos dan Pathos, mesej Dr. MAK menjadi lebih “powerful” dan “resonant” pada indera khalayak kerana ia mewujudkan “gambaran” dalam minda khalayak.

Jadi di era lambakan maklumat ini, ilmu retorik akan membantu kita membina gaya (“style”) yang tersendiri supaya orang dengar kita cakap. Tapi kita kena memastikan ada keseimbangan antara ketiga-tiga Logos, Ethos dan Pathos. Kalau terlalu fokus pada Pathos saja akan jadi “loyar buruk”, “kaki debat” dan “populis”. Kita tak mau jadi macam itu. Kita mau jadi orang yang boleh memberi pencerahan kepada orang awam, boleh meningkatkan pemahaman masyarakat dan sebagainya.

(Tengok, teman bagi ilmu free je, tak ada pun buat kelas rahsia bapak menular atau bengkel menulis dengan keras)