Resipi Untuk Membuat Bahasa Tiruan

1,233

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, “bahasa” ditakrifkan sebagai “sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran manakala “tiruan” menurut Kamus Dewan Bahasa Keempat bermaksud “hasil daripada usaha membuat sesuatu yang sama atau hampir sama dengan yang asli”. Justeru, “Bahasa Tiruan” secara harfiahnya bermaksud “Sistem lambang bunyi suara yang hampir sama dengan yang asli digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran”.

Menurut Merriam Webster, Bahasa Tiruan ataupun dalam Bahasa Inggeris “Conlang” (Constructed Language) adalah bahasa ciptaan manusia yang mempunyai bunyi, tatabahasa dan sistem yang terancang. Contoh bahasa tiruan yang wujud pada hari ini adalah Esperanto, Bahasa F, Bahasa G, Klingon, Interlingua, Toki Pona dan sebagainya. Kepada sesiapa yang berminat untuk membina Bahasa Tiruan, artikel ini barangkali antara yang sesuai untuk anda.

Langkah pertama untuk membina Bahasa Tiruan adalah tujuan. Kita perlu tahu tujuan untuk membuat bahasa tersebut. Ada yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai latar belakang, ada yang digunakan untuk permainan video, ada yang digunakan untuk filem dan animasi serta banyak lagi. Setelah langkah pertama selesai, kita beralih kepada Langkah Kedua.

Langkah Kedua untuk membina bahasa tiruan adalah fonologi. Fonologi menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud “pengetahuan tentang sistem bunyi dalam bahasa”. Kita perlulah tahu tentang sistem bunyi sekurang-sekurangnya pada peringkat asas. Kemahiran dalam penggunaan Abjad Fonetik Antarabangsa (IPA) membantu orang ramai untuk mempelajari bahasa tiruan kita. Untuk pengetahuan semua, IPA bagi penulis adalah gerbang untuk mendalami kefahaman akan bagaimana organ pertuturan manusia berfungsi.

Langkah Ketiga untuk membina bahasa tiruan adalah tatabahasa. Tatabahasa menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua adalah pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan kata dan penyu­sunannya dalam ayat. Bahasa tiruan perlulah menpunyai sistem tatabahasa yang mudah tanpa adanya pengecualian. Pada pendapat penulis, tatabahasa yang mudah lagi teratur akan menarik orang ramai mempelajari bahasa tiruan kita.

Langkah Keempat untuk membina bahasa tiruan adalah ortografi. Ortografi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sistem ejaan. Walaupun telah membuat keputusan untuk mencipta sistem ejaan sendiri, kita tetap tertakluk kepada jenis-jenis sistem ejaan. Jenis tersebut adalah alfabetik, logografi, suku kata, abjad dan abugida. Jika kesemua perkataan dalam bahasa tiruan anda berakhir dengan vokal ataupun konsonan, sistem suku kata mungkin pilihan yang terbaik untuk anda. Jika menggunakan konsep seperi gambar matahari yang membawa maksud “tuhan”, “panas”, “nyawa” dan seumpamanya, logografi pilihan yang terbaik. Jika bahasa tiruan anda menggunakan konsonan untuk membawa konsep asas manakala vokal untuk penerangan, sistem abjad adalah pilihannya.

Langkah terakhir dalam membina bahasa tiruan adalah contoh. Kita perlulah menjadi contoh kepada orang ramai dalam bahasa tiruan kita. Cubalah sedaya-upaya dalam memperkenalkan dan menggunakannya kepada orang ramai. Komitmen kita akan dapat menarik orang ramai mengenali bahasa tiruan itu. Mungkin akan ada nilainya pada masa akan datang.

Kesimpulannya, itu adalah serba ringkas tentang resipi Bahasa Tiruan. Sejujurnya penulis artikel ini mempunyai dua bahasa tiruan iaitu Sematene [səma.tənə] yang merupakan inovasi Proto-Austronesia yang dipermudahkan (Simplified Proto-Austronesian) dan Beka Melayu yang merupakan inovasi Melayu sekiranya tiada perkataan. Pada pendapat anda, apakah yang penulis ini terlupa tentang resepi bahasa tiruan? Sila berikan ulasan anda dengan sopan di ruangan komen di bawah.

RUJUKAN:

Twitter: @amrandika. Dicapai pada 12 Januari 2021 dari twitter.com/amrandika

Twitter: Beka Melayu. Dicapai pada 12 Januari 2022 dari twitter.com/bekamelayu

Gerakan Memurnikan Bahasa: Perihal Bahasa Melayu VS Beka Melayu. Dicapai pada 12 Januari 2022 dari https://www.thepatriots.asia/gerakan-memurnikan-bahasa-perihal-bahasa-melayu-vs-beka-melayu/

Bahasa Tiruan Di Seluruh Dunia. Dicapai pada 12 Januari 2022 dari https://www.thepatriots.asia/bahasa-tiruan-di-seluruh-dunia/

Omniglot: Type of Writing System. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari https://www.omniglot.com/writing/types.htm

Dewan Bahasa dan Pustaka: Ortografi. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Ortografi

Dewan Bahasa Dan Pustaka: Tatabahasa. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Tatabahasa

The IPA Alphabet: How and Why You Should Learn the International Phonetic Alphabet (With Charts). Dicapai pada 12 Januari 2020 dari https://www.fluentin3months.com/ipa-alphabet/

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=fonologi

Omniglot: Conlang. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari https://www.omniglot.com/links/conlangs.htm#other

Merriam Webster: Conlang. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari https://www.merriam-webster.com/dictionary/conlang

Dewan Bahasa Dan Pustaka: Bahasa. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Bahasa

Dewan Bahasa Dan Pustaka: Tiruan. Dicapai pada 12 Januari 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tiruan

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.