Acapkali kita terdengar berita-berita sensasi di luar sana yang banyak bertebaran di media sosial bergosip mengenai artis atau selebriti terkenal yang dikhabarkan oleh pihak media sedang melalui proses penceraian atau konflik yang hebat dalam perkahwinan mereka. Sehinggakan perkara sebegini dianggap biasa sahaja kerana kerap kali berlaku. Boleh dikatakan berita sensasi sebegini jadi bahan santapan harian untuk digosipkan walhal perkara yang melibatkan konflik dalam rumah tangga perlu kita anggap serius sebab kesannya bukan hanya pada pasangan semata-mata bahkan terpalit juga pada institusi masyarakat seperti anak-anak yang terabai keperluan asasi mereka dari sudut kasih sayang.

Kasih Sayang Terhadap Anak Membentuk Peribadinya

Bila mereka dahagakan kasih sayang yang sepatutnya mereka cerna sejak kecil maka mereka akan mencari-cari kepuasan di luar dari rumah tanpa panduan yang jelas. Kerana ibu bapa sibuk berkonflik sudah tentu tiada masa untuk mendidik batas-batas moral dan etika. Tiada masa untuk mendidik apa itu erti cinta, apa itu kasih sayang dan kebaikan-kebaikan. Anak-anak adalah generasi harapan di setiap negara dalam dunia. Tiada satu pun negara yang pernah memandang remeh terhadap perkembangan anak dari aspek pendidikan dan kesihatan kerana merekalah nanti yang bakal mewarisi negara dan masyarakat di sesuatu tempat. Bagi Islam sudah tentulah mendidik anak-anak amat mustahak kerana perjuangan meneruskan legasi risalah Islam perlu diteruskan dari hari ke hari. Ini pernah disebut oleh al-Imam Syahid Hasan al-Banna sebagai “Ta’winu Baitul Muslim” (Membina Keluarga Muslim Yang Cemerlang) dalam cabang maratib amal yang diajarkan oleh beliau dalam usul dakwah gerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan beliau dahulu.

Maka amat penting kita dalam memandang serius soal isu-isu perhubungan yang bila kita abaikan boleh menjerumuskan lagi ke dalam kehancuran dan kesesatan. Khususnya tentang bagaimana hendak menjaga kelesetarian hubungan dalam perkahwinan, apabila perkahwinan dalam sesebuah masyarakat itu cantik teratur kemas maka seluruh negara hidup dalam aman sentosa dan berkuranglah masalah keruncingan akhlak dan sosial. Bila kurang masalah sosial maka kuranglah tekanan pihak kerajaan untuk mengendalikan masalah-masalah yang lebih besar seperti kes penderaan, kes abaikan nafkah, kes ketidakadilan dalam menjaga anak, kes penipuan dan sebagainya.

Resepi Kejayaan Dalam Perhubungan

Melihat kepada banyak permasalahan sosial yang berlaku dalam kalangan anak muda remaja akan dapati kebanyakannya berpunca dari rumah iaitu keluarga yang tidak bahagia. Sebab itulah Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya tersohor iaitu Tarbiyatul Aulad fi al-Islam pernah membahaskan akar kepada permasalahan ini berpunca dari tahap yang pertama sekali iaitu mencari pasangan yang tepat (the right person). Mencari pasangan yang tepat adalah punca paling asas sekali untuk menilai sejauh mana bertahannya suatu perhubungan itu. Kerana apabila kita bertemu dengan pasangan yang tepat kita akan mudah untuk bertoleransi, bekerjasama, memahami dan mencapai satu kata sepakat untuk membina sebuah mahligai rumah tangga yang bahagia. Bila jumpa pasangan yang salah pula, kita sukar untuk mencapai kata sepakat dan ini akan meleret sampai satu tahap hingga pasangan sudah tidak mampu bertahan lagi dan akhirnya berkecai juga sekalipun anak sudah berderet banyaknya.

Akibat pendam dan pendam akhirnya akan meletus juga, ibarat gunung berapi yang mencetuskan lava api yang membara.

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

(Surah ar-Rum: 21)

 

بِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

“Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji pula. Wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik pula.”

(Surah an-Nur: 26)

 

Dalam ayat di atas ada menyebut tentang frasa ayat “supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya” yang menjadi nilai ukur atau penanda aras paling asas dalam mencapai kebahagiaan dan kejayaan dalam perhubungan. Semestinya soal sekufu, disebut sebagai istilah dalam munakahat seperti al-Kafa’ah iaitu menurut kamus bahasa arab Ibn Munzir Lisanul Arab sebagai keserasian dalam banyak aspek. Secara majoritinya para ulamak sepakat yang dikatakan serasi semestinya dari sudut fikrah (pemikiran) kerana harta benda dan pangkat sifatnya sementara sedangkan karakter dan karisma seseorang berpanjangan hingga akhir hayat.

 

Dr Helen Fisher dan Idea Beliau

Saya tertarik dengan falsafah resepi kejayaan dalam perhubungan yang dikongsikan oleh Dr Helen Fisher dalam satu bual bicara anjuran Ted Talk di Youtube yang bertajuk The Brain In Love iaitu ada 3 konsep paling asas bagaimana hendak mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan. Beliau pakar dalam bidang Biologi Antropologi iaitu ilmu tentang mengkaji fizikal dan tingkah laku manusia secara santifik. Hasil pengkajiannya beliau syarahkan dalam video tersebut bahawa ada tiga prinsip utama yang perlu dititik beratkan iaitu:


1. Kedua-dua pasangan ada karakter empati antara satu sama lain

Empati bermaksud sifat suka meletakkan diri kita ke dalam situasi unik orang lain untuk memahami keadaan atau situasi yang sedang berlaku pada orang lain yang sedang berkomunikasi dengan kita. Ianya perlu dilalui menerusi komunikasi yang jelas antara dua hala, kejujuran dan suka ambil berat secara spesifik dan perhatian sepenuhnya.

2. Mampu uruskan emosi saat berlaku sesuatu yang paling negatif (kawal sikap buruk)

Berkemampuan untuk kawal amarah dalam situasi yang genting seperti kemerosotan ekonomi, konflik komunikasi, stress tentang kerja dan seumpamanya. Ramai orang cuma menilai seseorang itu bagus pada situasi romantik yang tidak mencabar. Waktu itu dia mungkin sedang gembira, manakala kurangnya yang menilai dalam situasi yang sukar. Sebab itu dalam Islam amat menitik beratkan soal agama dan akhlak kerana inilah yang menjamin keutuhan sikap suka semai keharmonian walau apa sahaja cabaran mendatang.

Allah Ta’ala memuji mereka dengan sifat ini dalam firman-Nya

 

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

“Orang-orang yang bertakwa adalah mereka yang menafkahkan (harta mereka) baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”

(Surah Ali Imran: 134)

 

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

“Bukanlah orang kuat (yang sebenarnya) dengan (selalu mengalahkan lawannya dalam) pergaduhan, tetapi tidak lain orang kuat (yang sebenarnya) adalah yang mampu mengendalikan dirinya ketika marah”

(Riwayat Bukhari)

3. Sentiasa Bercakap Tentang Perkara Positif Dengan Pasangan

Setiap hari kita akan lalui hari-hari biasa seperti pergi ke tempat kerja, bekerja, memasak, mengurus rumah, mengurus anak. Kadangkala ada waktu tertentu kita tiada mood sehingga fikiran negatif mula datang menjengah, waktu ini mulalah kita merungut soal komitmen hidup. Ini biasa tetapi jangan kita biasakan mulut kita berzikir atau bermentera tentang perkara-perkara negatif sehingga kita lupa bahawa banyak lagi impian atau matlamat yang boleh kita bayangkan secara positif.

Ajaklah pasangan berbicara soal impian hidup, soal bagaimana hendak menjaga kesihatan, buat jadual rutin yang membahagiakan seperti sediakan menu makanan yang sihat (eat clean). Rancang jadual bersenam untuk membantu merembeskan hormon dephamine (keseronokan). Bincang tentang apa yang kita baca dalam buku, buku apa yang sedang kita telaah. Isu semasa apa yang menarik untuk dibahaskan supaya kita mencapai kepuasan berfikir dan mencari solusi secara matang dan berdisiplin. Kata Helen Fisher ada sebanyak 1,867,843 lagu mengenai cinta seluruh dunia sebab membuat lagu atau cerita berkenaan cinta memang mudah namun bekerja keras untuk menjaga cinta dan mencapai kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan memang payah.

Kita perlukan tenaga fizikal dan mental yang kuat seperti pelaburan masa, emosi, kesihatan, kewangan dan sebagainya. Bukan setakat itu, pelaburan juga mesti dimainkan oleh pelabur yang ‘work hard’ tak kenal erti putus asa. Pernahkah kita lihat jiwa seorang pelabur seperti Warrant Buffet lemah kerana akalnya sentiasa cerdas mencari teknik yang berkesan untuk kurangkan kerugian dalam pelaburan sahamnya. Lalu bagaimana dengan kita sebagai pelabur dalam perhubungan? Mudah menyerah kalah atau gemarkan kerja kuat secara berpasangan.

Artikel disumbangkan oleh Saif untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.