Rencana Komunis Mencetus Darurat

4680
views

Keputusan pihak komunis melancarkan peperangan pada zaman darurat dulu bukanlah berlaku semalaman. Perancangannya sudah lama, iaitu sebelum mereka Perang Dunia kedua lagi. Namun, tindakan licik mereka memperdaya British kononnya hendak membantu memerangi Jepun telah memberikan kelebihan kepada mereka. Segala bekalan makanan, ubatan, senjata malah kewangan yang diperolehi daripada British, disembunyikan jauh di kem-kem mereka yang berada di hutan tebal. Ada juga yang ditanam dan bakal digunakan bila tiba masanya.

Maka, sebaik Perang Dunia Kedua tamat, meloncatlah pihak komunis ini kerana peluang bagai terhidang di depan mata. Sesiapa saja yang hidup di zaman itu takkan mampu melupakan apa yang berlaku sepanjang tempoh 14 hari kekosongan yang wujud pada tampuk pemerintahan Tanah Melayu setelah Jepun menyerah diri dan meninggalkan negara ini, sementara menunggu pentadbiran British kembali.

Keadaannya, kalau hendak diibaratkan, kita tengoklah filem Batman Returns (yang ada watak Bane tu). Begitulah lebih kurang keadaannya – mereka yang dikatakan penyokong British atau tali barut Jepun diseksa sehabisnya. Kangaroo Court diwujudkan, dengan undang-undang digunakan sesuka mereka. Kalau Jepun menebas kepala mereka yang dianggap penderhaka atau musuh, komunis lebihlah lagi. Tidak ada yang selamat ketika itu – Melayu, Cina, India, Asli, malah mereka yang selama ini menyokong komunis itu sendiri sekalipun. Huru-hara keadaannya dengan darah melimpah di mana-mana, sehinggalah pentadbiran British kembali.

Bukan kerana British itu sendiri bagus sangat menguruskan keadaan, tetapi kerana mereka mempunyai kelengkapan dan tenaga kerja yang dilancarkan untuk menghalau kembali komunis yang bermaharajalela itu. Itu pun, ada di antara mereka yang diberi muka untuk bersama-sama dalam perarakan Victory Parade di England.

Kurang dua minggu sebelum kejadian pembunuhan peladang Eropah di Sg. Siput dan tempat-tempat lain, satu mesyuarat sulit Politburo Parti Komunis Malaya telah diadakan di hutan Pahang. Ianya merupakan kemuncak persiapan mereka bagi melancarkan perang ke atas Tanah Melayu ketika itu. Pahang dipilih kerana ia terletak di antara Thailand dan Singapura, menjadikannya laluan yang strategik bagi pergerakan mereka. Ia juga disebabkan hutan Pahang ketika itu sangat tebal dan tersorok tanpa gangguan.

Hampir 50 orang pemimpin PKM tiba di sebuah kem besar yang tersembunyi di antara pekan Bentong dan Raub. Ada yang berjalan, ada yang berbasikal dan ada pula yang menaiki bas. Mereka disambut di batu tanda ketujuh oleh sentri berpakaian dan berkelakuan sebagai penoreh getah. Antara yang hadir adalah Osman Cina, yang dilahirkan dalam keluarga Cina tapi kemudiannya dijadikan anak angkat Melayu. Orangnya agak kacak, dan merupakan seorang intelek yang baru saja lulus peperiksaan Senior Cambridge di Singapura. Bersamanya dikepil sebuah buku lusuh drama-drama Shakespeare.

Seorang sentri yang berlakon sebagai penoreh itu membawa Osman Cina ke hujung ladang getah tersebut sampai ke pinggir hutan. Sebuah lorong telah ditebas, membawa kepada perjalanan sepanjang 3 batu ke arah kem tersebut. Sepanjang laluan itu, ada saja sentri yang berkawal, memerhatikan dengan tajam lelaki-lelaki yang berjalan sejauh 2 jam perjalanan itu. Semakin lama berjalan, semakin terhad penglihatannya, sehingga mencecah sekadar 15 ela. Osman terus berjalan, sehinggalah tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran dua orang lelaki bersenjata hanya 2 ela di hadapannya.

Sentri pertama membawanya kembali menuju ke arah jalan utama, sementara seorang sentri lain menyambung perjalanannya ke kem. Sebaik sampai, apa yang dilihat Osman menyebabkan dia terpana sebentar. Di hadapannya bukanlah hammock yang didirikan dalam keadaan kelam-kabut. Sebaliknya, yang bercacak adalah pondok-pondok teguh mengelilingi sebuah tapak perhimpunan, dengan bendera China melayah lesu daripada sebatang kayu tercacak.

Di satu hujung adalah pejabat pentadbiran, tandas, dapur serta sebuah pos kawalan. Daripada pos itu, menjalar wayar-wayar tebal berselirat di atas tanah. Gunanya wayar-wayar itu adalah untuk ditarik oleh sentri yang berada suku batu dari situ untuk amaran sekiranya terdapat ancaman.

Beberapa orang berpangkat tinggi dalam PKM sudah pun sampai. Antaranya adalah Chin Peng yang merupakan setiausaha agungnya, yang ketika itu berusia 26 tahun. Anak kelahiran Sitiawan itu, ayahnya punya sebuah kedai membaiki basikal. Berketinggian lebih kurang 5 kaki 7 inci, dia berjalan sedikit tempang. Orangnya bersuara lunak, dan mampu bertutur dalam 6 bahasa termasuk Bahasa Inggeris.

Dia menyertai parti itu ketika berumur 18 tahun, dengan tugas memotong stensil untuk bahagian propaganda parti. Pada hari itu, Chin Peng memakai kemeja putih dan seluar pendek khaki berwarna coklat. Kepada Osman Cina, dia menegaskan, kalau komunis boleh berjaya di Greece dan China di mana mereka menghadapi tentangan besar, pasti di Malaya tiada masalah memandangkan ramai penduduk Cina bersimpati dengan mereka.

Seorang demi seorang mereka sampai. Antaranya adalah Ah Kuk yang juga dipanggil Kuk Pendek kerana ketinggiannya hanya 4 kaki 9 inci yang pernah bersama-sama Force 136. Kemudian ada Hor Lung, seorang komunis tegar berusia 32 tahun. Ada juga Lau Yew, yang menyertai Victory Parade di England dulu.

Apa yang berlaku pada mesyuarat itu tidaklah diketahui sepenuhnya butirannya. Namun, yang pasti, Chin Peng mahu menubuhkan sebuah kerajaan republik di Tanah Melayu, dan dia sudah pun menerangkan tentang rancangannya. Komunis-komunis tegar dan pensimpati mereka yang tidak semuanya mempunyai kad pengenalan diri telah dipecahkan kepada 2 kumpulan yang berbeza peranan mereka.

Satu kumpulan yang kecil saiznya akan menjadi kumpulan penyerang yang beroperasi dari pengkalan-pengkalan tersembunyi di dalam hutan. Satu lagi kumpulan yang lebih besar pula – yang berterabur kedudukannya dan keahliannya terdiri daripada rakyat biasa, akan bertanggungjawab membekalkan kumpulan penyerang dengan wang, makanan dan maklumat.

Kumpulan penyerang tidak menghadapi sebarang masalah. 5,000 anggota MPAJA yang pernah bekerja dengan Force 136, akan berubah peranannya dengan hanya pertukaran satu perkataan di dalam nama kumpulan mereka. Malayan Peoples’ Anti-Japanese Army bertukar kepada Malayan Peoples’ Anti British Army.

Senjata mereka banyak tersembunyi di dalam hutan, masih terbungkus rapi di dalam bekas-bekas asalnya sepertimana ia diterjunkan dengan menggunakan payung semasa penaklukan Jepun sebelum ini – tanpa pihak British yang membekalkannya sendiri mengetahuinya. Setiap anggota kumpulan penyerang ini akan diberi gaji $30 sebulan, yang akan diperas daripada penduduk awam – sama ada mereka mahu memberi atau tidak.

Markas-markas lama Force 136 akan digunakan semula, sepertimana tambahan markas-markas baru yang dibina, yang mampu memuatkan sehingga 500 orang. Sesetengahnya pula dibina khusus untuk “unit pembunuh” yang terdiri daripada enam anggota, yang beroperasi secara bebas apabila diperlukan, setelah mendapat arahan politik daripada Chin Peng melalui utusannya.

Antara wajah-wajah paling dikehendaki sepanjang zaman Darurat

Objektif utama mereka adalah bersandarkan kepada diktum yang telah dikeluarkan oleh Lenin beberapa tahun sebelum itu – bahawa sesebuah negara mampu dikuasai oleh satu kumpulan minoriti atau kecil melalui keganasan yang tersusun. Pasukan askar PKM itu akan memakai uniform berwarna khaki, beroperasi dari pengkalan hutan rahsia mereka di dalam lapan rejimen yang dipusatkan kepada beberapa lokasi strategik di seluruh negara.

Dari kedudukan mereka, mereka akan mengembangkan kegiatan mereka melalui gerakan peperangan gerila yang mengikut corak klasik pemikiran Mao Tse Tung. Pemikiran Lenin meletakkan fokus serangan pada kawasan bandar, dengan rampasan kedudukan utama seperti stesen radio atau bangunan penting (urban revolution). Mao pula menyasarkan kawasan desa, iaitu tekanan ke atas kawasan desa atau pinggiran yang aman sebelum ini, yang mengelilingi sesebuah bandar, sehingga bandar yang terletak di tengah akan terasa tekanannya (rural revolution).

Visi Chin Peng meletakkan pasukan penyerangnya dalam keadaan di mana mereka akan menyerang secara mengejut melalui kaedah pembunuhan dan penimbulan ketakutan, kemudian menghilangkan diri dengan cepat ke kawasan hutan sebelum polis tiba di lokasi kejadian. Ini agak mudah dilakukan, kerana pasukan polis tidak dapat melindungi semua kawasan pada masa yang sama, terutama kawasan-kawasan estet, ladang dan kampung yang terletak berjauhan antara satu sama lain, pada waktu malam.

Doktrin 3-fasa Peperangan Gerila Mao

Kumpulan kedua yang berada dalam kedudukan bertaburan pula adalah berbeza daripada kumpulan penyerang. Mereka tidak akan memakai uniform atau menerima gaji. Digelar sebagai “Min Yuen” atau Gerakan Besar-besaran, ia terdiri daripada penduduk awam yang tidak disangka-sangka, yang akan memberikan sokongan kepada pasukan askar PKM.

Malah, mereka ini sebenarnya sudah tersedia bersembunyi di khalayak ramai. Ada yang bekerja sebagai pelayan di kelab-kelab British, kerani di pejabat kerajaan, guru dan malah wartawan. Yang lain pula mengambil kedudukan sebagai penoreh getah di estet di kawasan pinggiran bandar. Beroperasi separuh masa, mereka membekalkan pasukan askar mereka dengan makanan, wang dan maklumat yang disaring terutamanya jika ada sesuatu yang bakal menimbulkan bahaya kepada pasukan askar mereka.

Chin Peng begitu yakin bahawa kejayaannya semakin bercambah, dan ramai penduduk Cina terutamanya mereka daripada kalangan bawahan, akan menyokong satu pemberontakan, dan mereka akan bersemangat untuk menyertai pasukan mereka sebagai utusan, perisik, pensabotaj atau malah sebagai penyerang sendiri.

Kedua-dua cabang ini digabungkan oleh parti itu sendiri, yang telah disusun rapi melalui Badan Eksekutif Pusat, dihubungkan kepada unit paling kecil sekalipun melalui satu jaringan pemerintahan. Organisasi mereka diwujudkan secara membawah. Ia tidak mengikut formasi rejimen atau platun. Sebaliknya, ia bermula dengan Jawatankuasa Negeri, Jawatankuasa Daerah dan kemudian sel-sel kecil – yang serupa dengan sebuah unit kecil hutan.

Pada hari keempat mesyuarat itu, Chin Peng mengemukakan rancangan tiga fasanya, yang dimaksudkan untuk menawan Tanah Melayu. Fasa pertama adalah serangan ke atas estet dan lombong terpencil di pekan-pekan dan kampung-kampung kecil, yang akan memaksa pihak British memindahkan penduduk dan asetnya ke bandar-bandar yang lebih besar. Ia merupakan pendekatan klasik Mao.

Fasa kedua melibatkan kawasan yang dikosongkan oleh British akan dinamakan semula sebagai Kawasan yang Telah Dibebaskan dan digunakan untuk menempatkan kem-kem gerila. Pasukan askar akan dikembangkan dan rekrut Min Yuen akan dilatih di situ sebagai persediaan Fasa Ketiga.

Fasa ini akan menjadi klimaksnya, di mana penguasaan akan berpusat di kawasan-kawasan terbebas ini, menyerak ke seluruh negara, dengan pasukan askar menyerang pekan-pekan dan landasan kereta api sementara pasukan Min Yuen memusnahkan ekonomi dan keselamatan. Kemudian, pasukan gerila akan berdepan dengan pihak British, disokong oleh negara China jika perlu, dan kekuatan moral daripada Soviet.

Tidak ada sesiapa, sepanjang mesyuarat itu, mencabar teori dan idea yang dilontarkan. Tidak ada di antara mereka yang ada ketika itu terfikir, atau terlintas bahawa ketika mereka sedang merencanakan “pembebasan” Tanah Melayu melalui satu gerakan bersenjata, British sudah pun menjanjikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, dan proses itu sudah pun berlangsung.

Mereka juga tidak terfikir, tentang tentangan yang akan mereka hadapi oleh pihak British sendiri, penduduk Tanah Melayu sendiri, dan juga sebilangan penduduk Cina sendiri yang sudah mula menyayangi tanah ini sebagai tanah naungan mereka. Keterujaan yang membawa kepada ketidakperasanan ini mungkin yang membawa mereka kepada kekalahan sepanjang era Darurat itu. Ada sesuatu yang anda pelajari? Pasti ada, jika anda benar-benar memerhatikan. Dan sesungguhnya sesiapa yang tidak belajar daripada sejarah itu, pasti akan mengulangi kesalahan yang sama..=