Remaja Bunuh Diri Selepas Buat Undian Di Instagram

1,903

Baru-baru ini, tular di laman berita Astro Awani apabila seorang remaja perempuan membunuh diri dengan cara terjun daripada rumah kedainya yang berada di tingkat 3. Sebelum perbuatan tersebut, mangsa dikatakan telah memuat naik satu pol undian, di mana akhirnya, 69 peratus daripada pengundi bersetuju untuk dia membunuh diri.

Penyiasatan mendapati remaja ini berada dalam kemurungan sejak daripada perkahwinan bapanya di mana setelah bapa tirinya berkahwin dan jarang balik ke rumahnya yang terletak di Kuching, Sarawak. Jadi, apakah yang boleh kita pelajari daripada kejadian sebegini?

Kita sedia maklum bahawa kes Major Depressive Disorder (MDD) sedang meningkat dari hari ke hari. Dalam satu kajian yang dibuat oleh Dr Philip George, iaitu seorang pakar psikiatri dari International Medical University (IMU), 40% daripada rakyat Malaysia akan terdedah kepada salah satu jenis penyakit mental dalam hayat mereka. Angka ini amat memeranjatkan kerana mengikut statistik yang dibuat di Amerika Syarikat, 20% daripada rakyatnya menghidapi MDD.

Balik kepada berita asal, selain daripada MDD, kita juga dapati ada satu lagi golongan baru yang muncul beberapa tahun lepas, iaitu seseorang yang berpura-pura sakit mental di mana, golongan ini berpura-pura bagi mendapatkan perhatian orang ramai (Attention-Seeker). Kehadiran golongan ini meningkatkan rasa benci dan stigma terhadap mereka, yang mana pesakit MDD juga turut merasai tempiasnya.

Muncul satu persoalan yang sering ditanyakan kepada saya menerusi messenger, iaitu “Bagaimanakah kita nak membezakan sama ada seseorang itu attention-seeker atau betul-betul mengalami MDD?”. Soalan ini amat payah untuk saya berikan jawapan kerana terdapat satu garisan halus membezakan kedua-dua golongan ini. Ada yang berkata terminologi MDD ini terlalu sering digunakan (overuse) sehingga ke tahap terlalu ramai orang mengaku mengalami masalah MDD ini.

Dulu, terdapat satu kertas kajian yang membincangkan mengenai perkara ini, di mana mengikut mereka, pesakit MDD ini sendiri akan mengalami turun-naik berat badan yang mendadak, tidak produktif dalam pekerjaan mereka serta kebanyakkan daripada mereka mempunyai kecenderungan untuk bersendiri serta tidak menghantar apa-apa di media sosial khususnya mengenai keadaan mereka yang sedang depress. Tambahan, pesakit MDD tidak akan mendedahkan sewenang-wenangnya tentang masalah mereka ini.

Pesakit MDD secara keseluruhannya berasa malu, rendah diri serta tidak mahu orang lain tahu mengenai penyakitnya kerana mereka takutkan stigma dan tuduhan daripada orang lain, manakala mereka dari golongan attention-seeker ini pula kalau boleh inginkan semua orang tahu terhadap dirinya yang kononnya mengalami MDD. Bukan itu sahaja, pesakit MDD biasanya tahu mereka mempunyai masalah mental ini setelah didiagnos oleh pakar psikiatri manakala attention-seeker ini tidak pernah berjumpa dengan mana-mana doktor psikiatri, sebaliknya mendiagnos diri mereka sendiri.

Faktor-faktor di atas merupakan beberapa faktor yang membezakan pesakit MDD dengan mereka yang dahagakan perhatian. Namun, kes ini menjadi lebih rumit dan kerana ada beberapa kes yang kebanyakkan daripada kita menyangka bahawa si dia ini hanya mahukan perhatian, sebaliknya, si dia akhirnya maut akibat perbuatan membunuh diri, sama seperti kes melibatkan remaja ini.

Dalam kajian terbaru, yang disiarkan di beberapa journal terkemuka mendedahkan bahawa penyakit MDD ini amat rumit dan menjadi sesuatu yang mustahil bagi kita membezakannya. Ini kerana, kajian terbaru mendapati bahawa sifat attention-seeker ini (attention seeking behaviour) merupakan tanda-tanda awal seseorang itu untuk mendapat MDD.

Sebelum ini, apabila seseorang remaja, mahupun mereka yang berada di golongan persekolahan mahupun universiti mengatakan bahawa mereka sedang depress, dan ingin mati, kebanyakkan masyarakat hanya memandang remeh kepada mereka. Masyarakat selalu bertanggapan bahawa apabila mereka ini menghantar atau memuatnaik penulisan di internet tentang keadaan mereka yang sedang depress dan mahu membunuh diri, perbuatan ini hanyalah bertujuan untuk membuat lawak jenaka mahupun inginkan perhatian.

Walhal, si pemuat naik status itu betul-betul berada di dalam keadaan yang terdesak dan mahukan pertolongan, cuma mereka tidak tahu bagaimana caranya untuk mendapatkan pertolongan daripada orang ramai. Sebenarnya, kes bunuh diri melalui media sosial dan yang lebih teruk, membunuh diri sambil memuat naik video live terutama di negara-negara lain sudah banyak kali berlaku. Kesemua kes ini didorong oleh komen-komen dan undian orang ramai yang ingin melihat mereka betul-betul bunuh diri.

Zalim kan? Tetapi tidak. Perbuatan orang ramai ini hanyalah kerana persepsi dan pemahaman mereka yang selalu bertanggapan bahawa ini hanyalah jenaka semata-mata. Orang ramai kurang pendedahan serta kurang membaca dan mempercayai bahawa isu MDD yang mengakibatkan bunuh diri ini tidak serius. Ditambah lagi dengan masyarakat kita yang mana kebanyakkannya islam, dan beragama, di mana saya kira mana-mana agama sekalipun tidak membenarkan penganutnya membunuh diri.

Kesimpulannya, jika timbul kes-kes sebegini, kita seharusnya mendorong si pelaku untuk tidak melakukan perkara sedemikian. Dan yang kedua, dari mata kita dan pengalaman kita sendiri, kita tidak akan mampu membezakan kedua-dua golongan ini. Untuk berada di tempat yang lebih selamat, kita seharusnya menganggap mana-mana individu yang mula memuat naik perkara-perkara mengenai bunuh diri ini adalah serius. Sekiranya kita mengenali mangsa yang pada suatu hari memuat naik undian, penulisan atau video, kita boleh menghubungi talian kecemasan bagi mengelakkan berlakunya kes-kes sebegini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.