Gambar 1: Illustrasi Kota Melaka di bawah jajahan Belanda.
Sumber: ‘Oud en Nieuw Oost-Indiën’, François Valentijn (1724)

Berdasarkan catatan Belanda dalam ‘Oud en Nieuw Oost-Indiën‘ (Old and New East India) (1724) oleh François Valentijn (1666-1727), penubuhan Melaka sebagai sebuah kerajaan maritim ‘thalassocracy’ dikatakan bermula pada tahun 1160 dan berpusat di Singapura (Gambar 2). Ini adalah 242 tahun lebih awal dari tarikh penubuhan kerajaan Melaka yang diketahui umum.  Valentijn menyatakan bahawa kerajaan ini kemudian berpindah ke kota Melaka pada tahun 1252, dan kemudian ke Johor bermula tahun 1511 iaitu setelah kota Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Gambar 2: Catatan senarai 22 Raja dan Sultan Melaka dari 1160 sehingga 1708.
Sumber: ‘Oud en Nieuw Oost-Indiën’, François Valentijn (1724).

Seperti kerajaan-kerajaan maritim sebelumnya, pusat pentadbiran dan ibu negerinya sentiasa berpindah-pindah. Jadi, setakat tahun 1708 iaitu semasa catatan tersebut dibuat, Valentjin (Gambar 3) merumuskan bahawa usia kumulatif kerajaan berdaulat dibawah pemerintahan Raja-Raja Kesultanan Melaka adalah 547 tahun 11 bulan (dan berterusan).

Gambar 3: Gambar 1: Lakaran François Valentijn (1666-1727).
Sumber: ‘Oud en Nieuw Oost-Indiën’, François Valentijn (1724).

Mungkin berdasarkan lojik ini sesetengah negara barat seperti Belanda, Perancis dan Turki menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai “Melaka” sehingga abad ke-19 (Lihat Peta Semenanjung Tanah Melayu tahun 1803 oleh Turki dalam Gambar 4). Pada mereka, entiti Melaka sebagai sebuah kerajaan berdaulat adalah berterusan selagi ianya diperintah kerajaan yang berkesinambungan pemerintahannya dengan Raja-Raja dari Kesultanan Melaka.

Gambar 4: Cedid Atlas (1803) iaitu Peta Kerajaan Turki Uthmaniyyah dibawah Sultan Selim III, yang dibuat dan diterjemah oleh Mahmud Raif Efendi berasaskan peta William Faden.

Bagi Belanda, walaupun mereka menjajah dan menjarah hasil bumi di Semenanjung Tanah Melayu, serangan awal ke atas kapal Portugis dan penaklukan yang dilakukan terhadap Portugis di kota Melaka adalah di atas justifikasi mengembalikan kota Melaka tersebut kepada waris sebenar Kesultanan Melaka (Lihat Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden). Bagi British pula, walaupun mereka mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu melalui sistem residen, ianya dilakukan atas “persetujuan” yang diberikan oleh Raja-Raja Melayu itu sendiri. Pada kesemua masa yang material, walaupun kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu dihadkan, ianya tidak pernah terbatal secara keseluruhan.

Gambar 4: Tajuk bagi catatan berkenaan Melaka.
Sumber: ‘Oud en Nieuw Oost-Indiën’, François Valentijn (1724).

Walaubagaimanpun, seperti kita maklum rekod Portugis menyatakan tarikh-tarikh yang berbeza. Melaka dikatakan ditubuhkan putera Srivijaya iaitu Parameswara pada tahun 1402. Rekod Portugis ini adalah lebih probatif kerana ianya selari dengan rekod Cina. Melalui rekod hal ehwal Dinasti Ming (Ming Shi-lu), lawatan terakhir Srivijaya (San Fo Qi) ke Cina adalah pada 30.11.1377. 

Manakala lawatan terakhir Majapahit (Java) adalah pada 3.10.1402. Terbukti bahawa tiada catatan berkenaan Melaka sebelum itu. Sekiranya dikaji, catatan Belanda ini lebih kurang sama dengan tarikh dalam 29 versi Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menyatakan Melaka diasaskan pada 1262. Catatan Belanda ini mempunyai dua fakta tambahan iaitu ianya menyatakan perpindahan dari Singapura ke Melaka berlaku pada 1252, dan Raja-nya memeluk Islam pada 1276.

Rekod berkenaan Melaka di Cina hanya wujud bermula pada 28.10.1403 iaitu rekod tentang Yi Qing yang dihantar sebagai utusan ke Melaka. Apa yang menarik adalah rekod Cina ada mencatat nama-nama Raja dan Sultan Melaka dan juga tarikh lawatan yang dibuat. Secara ringkasnya, rekod Ming Shi-lu tersebut mencatat bahawa terdapat 4 Raja-Raja Melaka berikut telah tiba di Kota Larangan:-

  1. Bai-li-mi-su-la (拜里迷蘇剌) (Parameswara) pada tahun 1405 dan 1411;
  2. Mu-wo Sa-yu-di-er Sha / Mu-gan Sa-yu(gan)-di-er Sha (Megat Iskandar Shah) pada tahun 1414;
  3. Xi-li Ma-ha-la-zhe (西哩麻哈剌者) (Sri Maharaja / Sultan Muhammad Shah) pada tahun 1424, 1433 & 1434; dan
  4. Su-dan Mang-su Sha (蘇丹茫速沙)(Sultan Mansur Shah) pada tahun 1459.

Tarikh-tarikh lawatan Raja-Raja Melaka ke Cina ini selari dengan rekod dan susunan tarikh pemerintahan rasmi Raja-Raja Melaka tersebut yang diketahui umum. Ianya juga ternyata bercanggah dengan tarikh pemerintahan dalam catatan Belanda dan Sejarah Melayu.  Dengan itu, boleh dirumuskan bahawa catatan Belanda tersebut adalah tidak berapa tepat dan mungkin dibuat oleh Valentijn berdasarkan teks-teks awal Sejarah Melayu.

RUJUKAN:

  1. ‘Oud en Nieuw Oost-Indiën’ (Old and New East India), Vol. 5, oleh François Valentijn (1724).
  2. Peranan Johor Dalam Membentuk Undang-Undang Antarabangsa Moden. 10 Mei 2020. History Buff. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2020/05/peranan-johor-dalam-membentuk-undang.html
  3. Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles).
  4. Suma Oriental que trata do Mar Roxo até aos Chins (Summa of the East, from the Red Sea up to the Chinese), Tome Pires, 1512-1515.
  5. The Ming Shi-lu (veritable records of the Ming Dynasty) as a source for Southeast Asian history, 14th to 17th centuries, Geoffrey Wade (1994).

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang graduan Sarjana Muda Undang-Undang dan berbekalkan ijazah Barrister-at-law dari England, beliau juga memiliki ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari Wales. Walaupun tugasan hakikinya sebagai peguam, beliau amat meminati Sejarah Nusantara. Ianya berputik semenjak beliau berpindah ke Scotland pada tahun 1989 iaitu sejurus tamat Tingkatan 3. Terputus hubungan dan rindu pembelajaran subjek Sejarah tanahair, beliau berazam untuk belajar sendiri dan mengkajinya dari pelbagai sumber. Beliau aktif sebagai blogger Sejarah semenjak tahun 2018.

Comments are closed.