Rehat – Ubat Memori Paling Mudah!

1242
views

Kita ada cara tersendiri dalam mengingat sesuatu perkara. Ada yang suka menghafal berulang kali sehingga ia sudah ada dalam bank otak kepala. Ada pula yang menggunakan teknik istimewa untuk membantu mengingat seperti teknik istana memori yang dipaparkan drama bersiri BBC Sherlock. Tetapi tanpa kita sedar, berehat seketika semasa proses mengingat dijalankan sebenarnya membantu kita mengekalkan memori lebih lama dan ia amat membantu sesiapa saja dari pelajar hinggalah penyakit Alzheimer.

Semasa kita hendak menghafal sesuatu tak kira sama ada ayat-ayat Al-Quran, nota syarahan atau ucapan penting, ambil sedikit masa untuk berehat dan tak lakukan apa. Ya, saya ulangi rehat dan tak perlu lakukan apa-apa. Maksudnya di sini, elakkan buat perkara yang boleh mengganggu tumpuan kita semasa hendak mengingat seperti menyemak emel, berbual dengan rakan menerusi aplikasi mesej atau menonton televisyen. Masa sebegini sebenarnya memberi peluang kepada otak mengecas semula dengan memori-memori baru tanpa sebarang gangguan. Mungkin pada sesetengah, ini peluang bagi kita bermalas-malasan tetapi ia sebenarnya amat membantu pesakit-pesakit yang mengalami masalah amnesia atau dementia. Ini sekaligus membuka peluang baru kepada mereka untuk mempelajari perkara baru dan mengingatinya.

Kajian ini dibuat seawal tahun 1900 lagi oleh seorang pakar psikologi Jerman bernama Georg Elias Muller dan pelajarnya Alfons Pilzecker. Dalam salah satu eksperimen mereka bagi menguji keupayaan subjek mengekalkan memori mereka, mereka meminta peserta-peserta mengambil satu senarai perkataan yang tiada makna dan mempelajarinya. Selepas belajar secara seketika, separuh daripada mereka diberi senarai kedua untuk mempelajarinya sementara separuh lagi diberi rehat selama enam minit. Selepas itu, kedua-dua kumpulan diuji kemampuan mengingat memori mereka. Hasilnya, kumpulan yang diberi rehat sebentar mampu mengingat hampir 50% sementara kumpulan yang mempelajari dua senarai hanya dapat mengingat dengan purata sebanyak 28%.

Walaupun kajian ini ada dibangkitkan sekali-sekala untuk tahun-tahun mendatang, impak kajian hanya dapat dilihat dari konteks lebih besar pada awal dekad 2000 seperti ditunjukkan dalam kajian Sergio Della Sala dari Universiti Edinburgh dan Nelson Cowan dari Universiti Missouri. Pasukan kajian ini menggunakan teknik sama digunakan Muller dan Pilzecker, cuma di sini mereka ingin melihat bolehkan teknik sama membantu pesakit-pesakit yang mengalami masalah amnesia. Peserta-peserta diberi senarai 15 perkataan dan diuji selepas 10 minit. Antara tempoh berkenaan, ada yang sibuk melakukan ujian kognitif biasa sementara separuh lagi ditempatkan dalam satu bilik gelap dan cuba untuk tidak tidur.

Hasilnya, walaupun dua peserta tidak menunjukkan perubahan, pesakit-pesakit lain menunjukkan perubahan ketara dari segi mengingat memori dengan kadar antara 14-49%, kadar sama yang dinikmati mana-mana individu yang tidak mengalami masalah neurologi. Untuk satu ujian lain, mereka diminta mendengar beberapa cerita dan menjawab soalan-soalan yang ada kaitan dengan cerita-cerita itu beberapa jam kemudian. Tanpa sebarang rehat, kumpulan pertama hanya dapat mengingat fakta sebanyak 7% sahaja. Manakala bakinya dapat mengingat sebanyak 79%. Kesan sama turut dirasai peserta-peserta yang sihat dengan kadar antara 10-30%. Kaedah ini banyak membantu manusia mengingat memori ruangan terutama dalam hal mengenali penanda pada sesebuah bandar atau bangunan.

Namun pada masa sama, usah pula jadikan masa rehat itu peluang berangan-angan walaupun sebentar. Ini kerana tanpa disedari, perbuatan tersebut sebenarnya menyukarkan seseorang itu mengingat apa yang mahu diingatinya. Menerusi satu kajian yang dibuat Della Sala, Michael Craig dan Michaela T. Dewar mendedahkan perbuatan angan-angan mengurangkan keupayaan peserta mengingati memori baru. Waktu rehat sama ada waktu tidur atau rehat seketika sebenarnya menambah komunikasi antara hipokampus dengan ruang korteks visual, sekaligus menambah keupayaan individu mengingati sebarang tugas atau perkara yang diingatinya. Rehat sebegini dilihat amat penting kepada pesakit-pesakit yang mengalami masalah neurologi termasuk Alzheimer.

Dalam dunia di mana maklumat diberi kepada orang ramai secara berlebihan, kita harus ingat bukan alatan elektronik saja yang memerlukan baterinya dicas. Tanpa kita sedar, minda kita juga memerlukan masa untuk berehat dan memulihkan semula tenaga. Kerana dari situ, ia dapat menjana idea-idea yang lebih hebat atau membantu kita mengingati memori lebih lama.

SUMBER

Robson, David. (2018). BBC. An effortless way to improve your memory. http://www.bbc.com/future/story/20180208-an-effortless-way-to-strengthen-your-memory

Previous articleSikap Perkauman Ke Atas Lisa Blackpink?
Next articleSumpahan Supirak, Asal Kapal Menjadi Batu
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE