Malam Isra’ dan Mikraj adalah sebuah pengembaraan luar biasa yang dilalui oleh Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam. Al-Quran merakamkan peristiwa ini dalam ayat pertama surah ke 17 (al-Isra’) :

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami telah berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ketika ramai bercerita tentang kepentingan malam Isra’ dan Mikraj, peristiwa-peristiwa di dalamnya dan bagaimana pensyariatan solat bermula, saya percaya peristiwa Isra’ Mikraj juga menawarkan hikmah dan inspirasi kepada golongan berkelainan upaya, ibu bapa mereka dan golongan yang sentiasa memberikan sokongan kepada mereka.

Sebagai bapa kepada anak Autisme, tidak ada peristiwa bersejarah dalam Islam yang lebih terkesan di jiwa saya selain peristiwa Israk dan Mikraj.

Berhadapan Dengan Rasa Penolakan

Cuba tanyakan soalan ini kepada ibu bapa yang memiliki anak-anak istimewa – apakah cabaran dan dugaan terhebat yang mereka lalui? Mungkin ramai menganggap cabaran terhebat ialah pada beban menanggung anak tersebut dari sudut kewangan, atau pada banyaknya waktu yang dikorbankan untuk mengurus keperluan anak-anak ini.

Jawapan yang akan diberikan ibu bapa ini adalah sebaliknya. Cabaran terbesar yang dilalui mereka ialah terpaksa berhadapan dengan perasaan tidak dapat menerima – tidak dapat menerima anak mereka menghidap penyakit, tidak dapat menerima penyakit itu benar-benar wujud, tidak dapat menerima anak mereka tidak ‘normal’, tidak dapat menerima tanggapan masyarakat – mungkin ibu bapa itu ada melakukan kesilapan, maka mereka dihukum sedemikian rupa.

Segala cabaran ini bertambah sukar untuk dihadapi jika mereka kehilangan sokongan.

Berdamai dengan takdir bahawa kita memiliki anak istimewa sangat sukar. Lebih sukar daripada menerima hakikat orang yang kita percaya akan bersama kita disaat susah dan senang, sebaliknya mengabaikan kita disaat kita paling memerlukan sokongannya.

Dorongan terkuat yang saya perolehi untuk berhadapan dengan rasa ini ialah mengetahui Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam juga melalui fasa yang hampir sama dalam hayat Baginda. Ini dapat dilihat menerusi peristiwa yang dinamakan Tahun Kesedihan.

Fasa ini diakui sendiri sebagai tempoh paling sukar dilalui oleh Baginda Sallallah Alaihi Wasallam menjelang peristiwa Israk Mikraj. Tahun Kesedihan menyaksikan Baginda Sallallah Alaihi Wasallam telah ditimpa beberapa ujian :

  • Pemulauan ke atas Bani Hashim ke sebuah kawasan yang dikenali sebagai Lembah Abu Talib. Ahli Mekah dilarang berjual beli dengan mereka hingga membawa kepada kebuluran dan kekurangan bekalan keperluan untuk hidup.
  • Kewafatan Khadijah RA, wanita pertama memeluk Islam dan sering menjadi sandaran Baginda Sallallah Alaihi Wasallam.
  • Tak lama kemudian bapa saudara Baginda pula Abu Talib, wafat menemui Penciptanya. Sebelum itu Abu Taliblah yang menawarkan perlindungan ke atas Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam daripada ancaman kaumnya sendiri.

Selepas peristiwa-peristiwa menyedihkan ini, Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam berhadapan pula dengan penolakan penduduk Ta’if. Malah Baginda telah dilontar batu sehingga darah luka membasahi kasut di kaki Baginda yang mulia. Jibril lalu turun mendatangi Baginda bersama Malaikat yang bertugas menjaga gunung dan berkata sekiranya Baginda berkehendak, gunung akan dtimpakan ke atas penduduk Ta’if.

Tetapi Baginda Sallallah Alaihi Wasallam membalas dengan doa berikut :

“Ya Allah! Kepada-Mu aku mengadu tentang kelemahan diriku, kekuranganku dan kerendahanku di hadapan manusia. Ya Allah yang Maha Pengasih! Engkaulah Tuhan bagi mereka yang lemah dan Tuhan bagiku. Kepada siapa Kau serahkan nasibku kelak? Adakah kepada orang yang akan menyalahiku? Atau kepada musuh yang Kau berikan mereka kuasa ke atasku? Jika Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak lagi peduli apa pun yang kelak menimpaku. Hanya nikmat kurnia-Mu yang aku harapkan. Aku berlindung dalam cahaya-Mu daripada kegelapan yang meliputi, dan daripada urusan dunia akhirat yang telah ditentukan. Aku hanya ingin memuaskan hati-Mu sehingga Engkau redha kepadaku. Tiada daya yang mampu menyelamatkan kecuali Engkau ya Allah.”

Semakin waktu berjalan saya semakin sedar, tugas sebenar saya bukanlah memaksa masyarakat awam untuk menerima kewujudan Autisme atau memaksa mereka menerima anak saya. Usaha tersebut bukan sahaja sia-sia, malah membazirkan masa dan tenaga.

Tugas sebenar saya juga bukan hanya memberikan sokongan kepada anak saya yang Autisme, tetapi membantu semua anak-anak saya menjadi manusia terbaik yang mereka mampu, sesuai dengan kebolehan mereka yang paling maksima.

Hanya dengan cara ini, kita dapat membuktikan bahawa Autisme bukanlah satu beban, tetapi peluang untuk mengatakan – tak kira apa pun kelemahan yang dimiliki anak-anak ini, bahawa kita tetap tidak berputus asa dengan mereka. Matlamat sebenar bukanlah menjadikan mereka bersaing siapa lebih hebat, tetapi menjadi lebih baik daripada apa yang mereka mampu dan dengan melakukan ini, kita dapat menghapuskan stigma masyarakat kepada anak-anak Autisme.

Kelemahan dan kekurangan hanya dapat ditewaskan oleh kesungguhan kita.

Titik Perubahan Pada Perspektif

Ketika berhadapan dengan momen penuh ujian, Nabi Muhammad (SAW) telah dibawa merentasi perjalanan yang penuh barakah ini. Sebahagian ulama telah menggariskan beberapa sebab mengapa perjalanan Nabi Muhammad bermula di rumah Ummu Hani, dan bukan rumah Baginda sendiri.

Pertama, kerana rumah tersebut lebih hampir dengan Kaabah.

Kedua, Nabi Muhammad (SAW) berlindung di rumah Ummu Hani selepas peristiwa Taif bagi mengelakkan kecederaan Baginda diketahui keluarga terdekat.

Sebab kedua ini menurut saya telah mencerminkan betapa ramai ibu bapa kepada anak-anak istimewa ini yang sering tampil di khalayak dengan wajah teguh dan sabar. Walhal hati mereka dipenuhi rasa bimbang pada masa depan, dan apa akan berlaku kepada si anak apabila mereka tiada nanti.

Kebimbangan ini meskipun lumrah untuk dirasakan, tetapi harus beransur-ansur digerakkan menjadi pelan tindakan. Pertama, cara terbaik untuk mempersiapkan masa depan adalah dengan membinanya. Kedua, kita tidak tahu berapa lama lagi hayat kita berbaki, jadi berbuatlah sebaik-baiknya pada setiap detik bermula daripada sekarang.

Semakin kurang masa diluangkan untuk kita rimas mendengar pendapat, pemikiran  dan sikap orang lain, bermakna kita mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan sesuatu yang membina.

Haruman Mereka Yang Tidak Berputus Asa

Antara momen dalam Isra’ dan Mikraj yang sering dikongsikan adalah kisah berikut :

Semasa dalam perjalanan Isra’, Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam terhidu bau yang sangat harum. Baginda bertanya kepada Jibril mengenai bau tersebut dan Jibril memaklumkan bau yang harum ini datang dari kubur wanita yang bertugas sebagai tukang sikat rambut kepada anak perempuan Firaun. Wanita tersebut seorang wanita solehah dan beriman.

Suatu hari ketika dia menyikat rambut anak perempuan Firaun, sikat itu terlepas daripada tangannya. Saat ini pun dia berkata, ‘Bismillah’. Anak perempuan Firaun lalu bertanya, “Adakah anda mempunyai Tuhan selain ayahku?” Wanita itu menjawab, “Ya. Tuhanku dan Tuhan bapamu adalah Allah.”

Anak perempuan Firaun memberitahu ayahnya apa yang berlaku. Lalu Firaun menuntut wanita ini murtad dan meninggalkan agama Tauhid, tetapi dia menolak. Maka Firaun mengancam untuk membunuh anak-anaknya.

Firaun mendatangkan sekawah air dan membakar api yang besar di bawahnya. Setelah mendidih, Firaun membawa anak-anak wanita itu dan mula melontar mereka satu persatu.

Namun sepanjang semua itu wanita tersebut tetap teguh akidahnya. Sehingga akhirnya Firaun mencapai anaknya yang termuda – seorang bayi lelaki yang masih menyusu – maka timbul dalam hati wanita itu perasaan kasihan.

Dengan kuasa Allah, bayi ini berkata kepada ibunya, “Wahai Ibu, bersabarlah. Seksaan di akhirat jauh lebih dahsyat daripada seksaan di atas dunia. Usah khuatir kerana Ibu berada dalam kebenaran.”

Wanita itu pun meminta Firaun mengumpulkan tulangnya dan tulang anak-anaknya dalam kubur yang sama. Firaun berjanji dan kemudian menjatuhkannya ke dalam air mendidih itu. Dia mati sebagai seorang syahid. Bau harum yang dicium Nabi itu berasal dari kubur wanita tersebut sebagai petunjuk kedudukannya yang tinggi di sisi Allah.

Adaptasi dari : http://www.islamawareness.net/Isra/miracle.html

Kanak-kanak istimewa merupakan anak-anak Syurga, meskipun ada yang berpendapat kata-kata ini agak keterlaluan. Tetapi apabila anda bertemu sendiri dengan kanak-kanak yang tidak dapat bercakap atau tidak dapat menzahirkan fikirannya, mungkin lidahnya saat itu dilindungi daripada mengucapkan dosa. Kanak-kanak yang berbeza daripada orang lain, tidak mampu mempamerkan rasa tidak hormatnya secara lisan atau mengucapkan bahasa yang tidak sopan walaupun dia telah mempelajarinya.

Ternyata ini memang anak-anak syurga. Persoalan yang tinggal hanyalah – adakah kita akan menjadikan mereka kunci yang bakal membawa kita turut sama memasuki syurga?

Perjalanan Yang Tak Pernah Terlintas Di Fikiran

Antara kisah lain dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj ialah pertemuan Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam dengan para Nabi yang lain serta tingkat-tingkat berbeza di dalam Syurga.

Sejak Raa’id didiagnosis dengan Autisme, segalanya menjadi seperti sebuah rollercoaster emosi. Mencari sekolah untuknya, membawanya ke rawatan terapi dan lain-lain lagi.

Satu soalan yang kadang-kadang saya fikirkan : Bagaimana agaknya kehidupan kami sekeluarga, jika Raa’id tidak didiagnosis dengan Autisme?

Antara jawapannya :

  • Kami mungkin tidak bertemu dengan ibu bapa luar biasa yang juga mempunyai anak-anak istimewa.
  • Kami mungkin tidak akan meluangkan waktu malam untuk menghadiri grup sokongan dan belajar daripada pengalaman orang lain.
  • Kami mungkin tidak dijemput oleh University of Cape Town untuk menyenaraikan Raa’id ke dalam program perintis yang mahu dilancarkan mereka – sebuah program yang akan memberi manfaat kepada beratus-ratus kanak-kanak lain.
  • Kami mungkin tidak pernah begitu ghairah untuk menambah pengetahuan tentang apa-apa bentuk penyakit seperti sekarang.

Hari-hari terawal amat menakutkan. Namun tetap mengagumkan apabila kami bertemu ibu bapa lain yang turut memiliki anak-anak dengan autisme. Kami melihat diri kami yang lama; mereka baru memulakan perjalanan yang kami tempuhi beberapa tahun lalu. Sebuah perjalanan yang tidak pernah dibayangkan akan kami tempuhi.

Ayat Istimewa Yang Hanya Boleh Dikongsi Secara Istimewa

Semasa Mikraj atau perjalanan syurga, Nabi Muhammad (SAW) telah menerima sebahagian ayat Al-Quran yang sering saya renungi setiap hari. Selain hubungan peribadi saya dengannya, ayat Al-Quran ini mempunyai ciri tertentu yang tidak ada pada ayat Al-Quran yang lain :

Pertama, ini adalah satu-satunya ayat Al-Quran yang tidak diturunkan di Bumi.

Kedua, ini adalah satu-satunya ayat Al-Quran yang tidak diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam melalui perantaraan Malaikat Jibril. Sebaliknya ayat itu terus diturunkan kepada Baginda pada malam Mikraj.

Jika ada orang bertanya sekiranya ayat-ayat ini sangat istimewa, apakah makna yang dapat kita hubungkan di dalamnya? Adakah ayat ini merujuk kepada Keagungan kerajaan Allah Yang Maha Kuasa? Atau ayat ini merujuk kepada Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wasallam perihal perjalanan Mikraj yang mulia ini.

Ayat Al-Quran yang turun dengan cara istimewa pada malam istimewa ini merujuk kepada keupayaan luar biasa yang dimiliki oleh manusia. Ayat yang diwahyukan ini lalu membentuk ayat-ayat terakhir Surah Baqarah dan yang terakhir berbunyi begini :

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata) : “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang Engkau telah bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap golongan Kafir.”

Membesarkan anak-anak istimewa adalah tanggungjawab besar, yang hanya dapat diringankan dengan kesedaran bahawa ini adalah kehendak Allah Yang Maha Kuasa. Dia hanya memberikan ujian ini kepada orang yang mempunyai keupayaan luar biasa, meski mereka mungkin tidak menyedarinya.

Penutup

Berada di tahun 2014, beberapa minggu selepas memasuki bulan April sebagai Bulan Kesedaran Autisme, umat Islam meraikan malam yang mengagumkan, Isra’ dan Mikraj. Dalam beberapa tahun mendatang, tarikh ini akan bertindih antara satu sama lain, kerana kalendar Islam lebih pendek daripada kalender Gregorian.

Malam ini apabila orang ramai memenuhi masjid, anda mungkin melihat kanak-kanak kecil berkelakuan tidak sesuai dengan kesucian masjid. Kanak-kanak itu mungkin kanak-kanak Autisme atau mungkin juga tidak. Yang pastinya anak itu bukan Raa’id.

Raa’id kerana autismenya, tidak dapat bertahan dalam suasana yang ramai dan ruang yang terhad. Dia baru berumur enam tahun, jadi kami sentiasa memikirkan sama ada suatu hari nanti dia dapat menyertai Solat Jumaat.

Hakikatnya semakin hari semakin ramai ibu bapa bakal memikirkan tentang ini.

Tahun 1970, bilangan Autisme adalah 1 dalam 10,000.

Tahun 1975, 1 dalam 5,000.

Tahun 1985, 1 dalam 2,500.

Tahun 1995, 1 dalam 500.

Tahun 2001, 1 dalam 250.

Tahun 2004, 1 pada 166.

Tahun 2009, 1 dalam 110.

Tahun 2012, 1 dalam 88.

Tahun lepas 2013, 1 dalam 50.

Pautan Artikel Asal

http://www.tohir.co.za/2014/05/26/lessons-from-the-isra-and-miraj-from-the-perspective-of-a-parent-with-a-child-with-autism/

Ini merupakan terjemahan kepada sebuah artikel tulisan Brother Tohir Solomons di laman web beliau www.tohir.co.za. Selepas memberi keizinan kepada saya untuk menterjemah artikel ini, beliau memberitahu hajatnya untuk mendapatkan DVD filem Redha (2016) melalui pembelian atas talian. Jika ada dalam kalangan pembaca yang mengetahui caranya, boleh hubungi saya melalui emel haikalfansuri@gmail.com atau FB Haikal Fansuri. Terima kasih.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.