Refeeding Syndrome: Kematian Yang Menyapa Mangsa Kem Tahanan

711

Pernahkah anda mendengar perkataan holocaust? Daripada segi terminologinya, holocaust adalah pembunuhan beramai-ramai yang dilaksanakan oleh Nazi Jerman di mana mereka mengurung sebelum membunuh kebanyakkan orang Yahudi. Secara keseluruhannya, mereka membunuh lebih kurang 6 juta rakyat yahudi yang menetap di Eropah. Angka tersebut merangkumi 2 per 3 daripada jumlah rakyat Yahudi yang menetap di Eropah pada ketika itu.

Pembunuhan sistematik ini dijalankan sepanjang perang dunia kedua. Mereka mengurung warga Yahudi, tawanan perang dan warga Poland di dalam satu kem yang sama yang digelar sebagai concentration camp. Kemudiannya mereka membunuh dengan pelbagai cara seperti menembak, menggunakan gas beracun, membakar dan ada yang dipaksa bekerja sehingga mati kepenatan dan kebuluran.

Walaupun mereka berada di dalam kem-kem tahanan dan terkurung tanpa apa-apa makanan dan minuman, serta dikerah untuk membuat kerja-kerja buruh kasar sehingga mereka mati, kebanyakkan daripada mereka masih boleh hidup.

Amat menyedihkan melihat tawanan-tawanan ini melalui video yang disiarkan di dalam beberapa laman web, yang mana mereka memeluk askar daripada Amerika Syarikat saat mereka dibebaskan dan menganggap askar Amerika tersebut sebagai tuhan atau nabi yang berjaya menyelamatkan mereka.

Askar-askar yang menyelamatkan mereka semasa tamatnya perang dunia kedua terus memberi mereka makanan kerana sangat mereka berasa sangat kasihan melihatkan rata-rata banduan ini terlalu kurus kering. Namun, niat mereka untuk memberi makanan dan memberi rasa kekenyangan pada banduan tersebut bertukar menjadi tragedi apabila kebanyakkan daripada mereka maut dalam tempoh 4-5 hari selepas diberikan makanan.

Mereka mengalami komplikasi kegagalan jantung dan pada awalnya, ada sekumpulan orang percaya mereka maut akibat ketiadaan tenaga untuk mencernakan makanan, dan apabila makanan mulai masuk ke dalam badan mereka, tenaga yang tinggal sisa-sisa dalam tubuh mereka terus habis dan menyebabkan mereka mati.

Kini, apabila kemajuan dan perkembangan sains dan teknologi serta bidang perubatan berkembang pesat, para doktor dan penyelidik mulai menyelidik punca-punca kematian untuk mana-mana pesakit yang sudah lama kebuluran dan maut apabila mereka mulai mendapat makanan, yang mana jangkaan mereka terhadap penggunaan tenaga yang perlu untuk menghadam makanan boleh dikatakan betul, cuma tidak tepat.

Setelah beberapa kajian dibuat beserta dengan ujian darah yang dilaksanakan kepada mereka, kini kita boleh memahami dengan lebih mendalam mengenai sebab mengapa mereka yang kebuluran ini mati setelah diberikan makanan.

Keadaan ini kita panggil sebagai Refeeding Syndrome. Untuk pengetahuan anda, refeeding secara dasarnya bolehlah diterjemahkan sebagai ‘makan semula’ dan perkataan sindrom pula bermaksud kumpulan gejala-gejala (signs and symptoms), petunjuk klinikal serta keputusan ujian darah.

Secara tidak langsung, maksud refeeding synrome ini adalah keadaan pesakit yang boleh dilihat serta keputusan ujian darah mereka kesan daripada pemberian makanan semula setelah mereka mengalami kebuluran dalam jangka masa yang lama.

Untuk seseorang yang kebuluran atau tidak cukup makan untuk satu jangka masa yang lama, badan mereka akan mengalami beberapa perubahan dari segi fisiologinya. Beberapa perubahan ini adalah

  • Jantung mereka menjadi kecil (atrophy) dan kadar degupan jantung berkurangan sehingga 35 – 40 degupan per minit (normal 60 – 100 degupan per minit) iaitu bradycardia.
  • Otot-otot yang kita boleh kawal iaitu skeletal muscle akan mengecut
  • Otot-otot yang terdapat di saluran usus kita yang bernama smooth muscle untuk tindakan peristalsis juga akan menegecut.
  • Insulin, iaitu salah satu hormon untuk membolehkan sel-sel dalam badan kita untuk menggunakan glukosa sebagai tenaga akan menjadi rendah.
  • Garam mineral serta beberapa jenis vitamin yang perlu diambil dengan pemakanan menjadi rendah dan cukup-cukup sahaja untuk menampung kehidupan mereka.

Jadi, di dalam kes tawanan yang diletakkan di concentration camp ini, mereka mempunyai kekurangan zat dari segi vitamin, garam galian, protein, karbohidrat dan lemak. Mereka dikurung dalam satu tempoh masa yang sangat panjang, yang mana taktala mereka dibebaskan dan diberi makanan, ada yang mati. Mereka yang mati ini adalah golongan yang terlalu rakus dan makan terlalu banyak selepas dibebaskan.

Selepas mereka mula memakan makanan yang tinggi karbohidrat dan glukosa, bahagian pankreas mereka yang sebelum ini tidak aktif akan jadi terlalu sensitif dengan kehadiran karbohidrat yang terlalu banyak. Ini menyebabkan pembebasan insulin yang terlalu tinggi, kerana dalam kes kebuluran yang panjang, β-cell (beta-cells) yang terdapat pada organ pankreas akan menghasilkan insulin dengan banyak kerana kadar glukosa yang meningkat di dalam darah secara tiba-tiba.

Insulin yang tinggi ini yang akan mengikat insulin receptor dalam sel dan akan menyebabkan setiap sel dalam badan membentuk lebih banyak glucose channel, membenarkan glukosa masuk ke dalam sel-sel badan seperti otot, hati dan banyak organ-organ lain yang memerlukan glukosa untuk berfungsi.

Jika seseorang itu normal, kadar insulin di dalam badan akan dikeluarkan mengikut kepada jumlah makanan yang kita makan. Akan tetapi, dalam kes kebuluran yang berpanjangan, kadar insulin yang dikeluarkan terlalu tinggi, dan apabila insulin terlalu tinggi, kesemua sel di dalam badan akan menghasilkan glucose channel yang terlalu banyak, secara tidak langsung akan menyebabkan hypoglycaemia (gula terlalu rendah dalam darah).

Keadaan ini agak paradoks kan? Semakin banyak makanan yang dimakan, semakin tinggilah insulin di dalam badan, dan akhirnya semakin rendahlah glukosa di dalam darah kerana badan pesakit mengambil glukosa terlalu cepat. Satu lagi masalah yang timbul adalah bukan hanya glukosa sahaja yang diserap, malah garam galian lain iaitu kalium (potassium), magnesium dan phosphate juga diserap masuk ke dalam sel terlalu cepat.

Hal ini akan menyebabkan pesakit mengalami kekurangan garam kalium (hypokalaemia), magnesium (hypomagnesaemia) dan phopspate (hypophosphataemia) di dalam darah. Phosphate merupakan satu garam mineral yang amat penting dalam penghasilan tenaga. Untuk pengetahuan anda, organ-organ di dalam badan memerlukan tenaga dalam bentuk Adenosine Triphosphate (ATP) di dalam badan untuk berfungsi.

Akibat phosphate terlalu rendah, badan pesakit tidak akan dapat menghasilkan tenaga iaitu dalam bentuk ATP ini, yang anda boleh lihat berdasarkan namanya, iaitu Adenosine Triphosphatemempunyai nama phosphate dihujungnya. Keadaan ini akan menyebabkan kegagalan jantung dan ditambah pula dengan komplikasi-komplikasi lain iaitu hypokalaemia (kadangkala ada pesakit bernasib baik kerana rhabdomyolysis, iaitu kerosakkan pada otot akibat tidak mempunyi tenaga dalam bentuk phosphate akan melepaskan ion-ion potassium ke dalam darah setelah otot-otot ini mati – sila baca rhabdomyolysis untuk memahami dengan lebih lanjut) dan hypoglycaemia, menjadikannya punca kematian dalam refeeding syndrome.

Di zaman moden ini, kes-kes sebegini masih ada terutama dalam golongan pesakit Anorexia Nervosa, kanser (yang berkaitan dengan dysphagia iaitu kesusahan untuk menelan) dan pesakit yang baru sahaja menjalani pembedahan major. Keadaan ini amat sukar dirawat terutama sekali apabila pesakit tidak boleh makan, yang mana para doktor perlu memberi phosphate melalui intravena.

Pemberian melalui intravena ini sangat berbahaya kerana ion phosphate akan terikat dengan ion kalsium di dalam badan membentuk kristal yang amat berbahaya kerana kristal ini boleh menyumbat salur darah disamping pengurangan kalsium di dalam darah pula (hypocalcaemia). Jadi, untuk kes-kes kebuluran pada masa yang panjang, saya syorkan kepada mana-mana petugas kesihatan untuk mengenalpasti pesakit-pesakit yang terlalu kurus dan poor oral intake kerana rawatan yang paling baik untuk pesakit sebegini adalah melalui cara pencegahan.

Ingat, sekiranya anda berada dalam keadaan kebuluran, anda harus menahan diri sedikit daripada makan terlalu banyak secara sekaligus. Bersabar dan makan sedikit demi sedikit adalah yang terbaik 🙂

Semoga bermanfaat.

RUJUKAN:

  1. “Nutrition support for adults”National Institute for Health and Care Excellence. 22 February 2006. p. 37–38.
  2.  Mehanna HM, Moledina J, Travis J (June 2008). “Refeeding syndrome: what it is, and how to prevent and treat it”. BMJ. 336 (7659): 1495–8. doi:10.1136/bmj.a301PMC 2440847PMID 18583681.
  3. Doig, GS; Simpson, F; Heighes; Bellomo, R; Chesher, D; Caterson, ID; Reade, MC; Harrigan, PWJ (2015-12-01). “Restricted versus continued standard caloric intake during the management of refeeding syndrome in critically ill adults: a randomised, parallel-group, multicentre, single-blind controlled trial”. The Lancet Respiratory Medicine. 3 (12): 943–952. doi:10.1016/S2213-2600(15)00418-XISSN 2213-2619PMID 26597128.
  4. Pubmed – https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC390152/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.