Di sebuah daerah Erzincan yang terletak di sebelah timur negara Turki, terdapat sebuah reban ayam telah siap dibina pada tahun 2018. Reban ayam yang dibina ini merupakan sebahagian daripada master plan untuk projek ‘Palanga Art and Architecture Farm’ di daerah itu.

Daerah tersebut mula diasaskan pada tahun 1888 dan terbengkalai sekitar tahun 50an apabila berlakunya era modenisasi yang menyebabkan penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar.

Reban ayam yang diberi nama ‘House of Chickens’ merupakan struktur bangunan yang pertama disiapkan dalam projek besar ini dengan keluasan kasar lantai 60meter persegi dan direka bentuk oleh sebuah firma arkitek yang berpangkalan di Istanbul, SO?.

Projek ‘Palanga Art and Architecture Farm’ ini merupakan sebuah projek ladang yang dijalankan oleh seorang artis antarabangsa yang terkenal, Kutlug Ataman untuk tujuan menghidupkan balik daerah itu. Idea konsep ladang tersebut bertemakan “healthy soil, healthy animals, healthy people” yang mana ini menunjukkan projek ini dibina untuk mempromosikan bahawa dengan sihatnya alam dan haiwan ternakan akan menatijahkan masyarakat yang sihat.

Berdasarkan prinsip holistik dan pertanian jana semula (regenerative agriculture), sebuah projek pemulihan alam telah dimulakan dengan pembinaan sebuah ladang yang mengandungi sebuah ‘Bird Groove’ berkeluasan 15000meter persegi untuk pemulihan burung-burung liar dan juga kempen penanaman semula dengan menanam 5000 pokok setiap tahun untuk kesuburan tanah yang telah gersang.

Reban ayam yang merupakan sebahagian daripada master plan projek ini juga akan mengandungi beberapa buah bangsal, rumah hijau, ‘feedlots’, dapur separuh-terbuka, kandang angsa dan sebagainya, yang mana semua ini akan diberikan kepada arkitek dan pereka terkenal. Projek ini telah menggariskan satu hubungan kebergantungan dengan alam dan melihat tindak balas di dalam memberikan perlindungan untuk haiwan.

Projek reban ayam ini telah dibina dengan struktur kayu yang diletakkan di atas tanah yang subur. Setelah siap dibina, reban ayam dilihat sebagai sebuah struktur yang mampu memberikan perlindungan kepada ayam daripada keadaan iklim yang teruk.

Persoalan pertama untuk tujuan projek ini ialah “Adakah reka bentuk mempunyai kesan transformasi ke atas persekitaran luar bandar tanpa mendominasi alam?”. Sejak abad ke-20 lagi, reka bentuk menjadi satu medium untuk pelaksanaan modenisasi dalam setiap aspek untuk sesebuah bandar.

Namun hari ini, perbezaan yang ketara di antara bandar dan luar bandar mula dikurangkan dan menyuburkan kembali nilai-nilai luar bandar yang telah diabaikan sebelum ini. Ini disebabkan masyarakat hari ini mula melihat bahawa kehidupan luar bandar menjadi pilihan buat sesetengah masyarakat yang telah bersara untuk menikmati saki baki kehidupan mereka.

Antara pencapaian teknikal di dalam pembinaan reban ayam ini ialah apabila menggunakan kaedah pembinaan yang mudah tanpa mengganggu alam, kualiti ruang di dalam reban ayam ini dapat dicapai dengan baik. Kualiti ruang perlu untuk penghuni sesebuah bangunan yang mana di dalam reban ayam ini, penghuninya semestinya adalah ayam ternakan.

Kualiti ruang reban ayam. (Sumber: Archdaily.com)
Penternak boleh mengambil telur ayam dari luar. (Sumber: Archdaily.com)

Aspek reka bentuk yang utama di dalam mereka bentuk reban ayam ini mengambil kira kebergantungan antara manusia dan haiwan yang terlibat dalam menggunakan reban ayam ini. Reban ayam ini telah direka bentuk untuk memudahkan penternak ayam menuai telur-telur ayam daripada reban ayam tanpa perlu memasuki ke dalam reban ayam dan mengganggu ayam. Penternak ayam hanya perlu mengutip telur-telur ayam daripada luar reban sahaja. Reban ayam ini berfungsi sebagai tempat berteduh untuk ayam tidur dan mengeram telurnya.

Gambar 4 Pembinaan struktur “House of Chickens”. (Sumber: Archdialy.com)

Di dalam bahagian inovasi projek ini ialah penggunaan bahan untuk struktur binaan kayu yang merupakan inspirasi daripada pembinaan reban ayam tradisional yang banyak menggunakan bahan kayu sebagai bahan utama di dalam membina reban ayam dan ianya telah diintepretasi dalam reka bentuk kontemporari.

Gambar 5 Pendekatan reka bentuk “House of Chickens”. (Sumber: Archdaily.com)
Gambar 6 Keratan rentas “House of Chickens”. (Sumber: Archdaily.com)

Mereka bentuk untuk pengguna, di mana dalam projek ini ialah mereka bentuk untuk ayam, merupakan satu cabaran buat arkitek kerana sekiranya reka bentuk reban ayam itu tidak sesuai dengan ayam ternakan tersebut, ayam itu tidak akan tinggal di dalamnya sekaligus menidakkan fungsi reban ayam itu.

Oleh itu, proses mereka bentuk reban ayam ini didorong oleh beberapa fakta yang mana setiap prinsip reka bentuk adalah berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku ayam tersebut dan pengalaman penternak ayam. Reban ayam itu direka bentuk dengan membenarkan pengudaraan silang (cross ventilation) secara semula jadi dan pencahayaan semula jadi secara tidak langsung (indirect daylighting) ke dalam ruang dalaman, ditutupi dengan papan lapis (plywood) dan papan dinding magnesium oksida (magnesium oxide wallboards).

Tangga reban ayam yang diperbuat daripada kayu (timber roosting bars) dengan darjah kecerunan yang khusus untuk memudahkan kuku ayam dapat mencengkamnya merupakan antara prinsip utama dalam mengaplikasikan reka bentuk dalam pembinaan reban ayam ini. Kotak sarang telur ayam pula dibina pada 3 tingkat dan ianya dapat diakses dari luar tanpa menganggu ayam di dalam reban.

Penggunaan bahan-bahan yang ringkas dengan kaedah pembinaan yang ringkas ini dipilih adalah disebabkan mudah untuk penyelenggaraan memandangkan kedudukan tapak yang terletak jauh dari bandar.

Penggunaan kayu di dalam struktur reban ayam ini yang merupakan bahan utama dipilih kerana untuk meniru persekitaran semula jadi habitat ayam ternakan dan juga mengambil kira keadaan iklim yang panas dan kering di kawasan itu apabila musim panas.

Bumbung reban ayam direka bentuk supaya dapat memberikan teduhan buat ayam di dalam reban ayam tersebut. Reban ayam ini adalah berbentuk modular yang mana reka bentuknya mudah untuk ditambah pada masa akan dating sekiranya perlu. Buat masa sekarang, reban ayam ini dapat memuatkan sekitar 800 ekor ayam dalam satu-satu masa.

Projek ‘House of Chicken’ ini memberikan kita satu perspektif baharu terutama para arkitek di dalam mereka bentuk sesebuah struktur yang penggunanya bukan manusia. Bagi penulis, ‘House of Chicken’ ini boleh dikatakan sebagai Seni Bina untuk Haiwan atau ‘Architecture for Animals’ yang memberi konotasi bahawa seni bina untuk haiwan juga perlu di dalam memastikan kebajikan haiwan dijaga dengan baik.

Bahan-bahan yang digunakan di dalam pembinaan “House of Chickens”. (Sumber: Archdaily.com)

Ini juga bertepatan dengan agama Islam yang amat menitik beratkan berkenaan menjaga hubungan manusia dan ekosistem dengan baik serta berkasih sayang terhadap haiwan. Semoga projek ini menjadi inspirasi buat semua untuk memberikan penjagaan yang terbaik kepada haiwan ternakan.

RUJUKAN:

1. HOUSE OF CHICKENS. (2018). Retrieved from https://www.soistanbul.com/house-of-chickens
2. Block, I. (2019). SO? builds modular House of Chickens on a farm in Turkey. Retrieved from https://www.dezeen.com/2019/02/26/so-architecture-house-of-chickens-coop-turkey/
3. Pintos, P. (2019). House of Chickens / SO? Architecture and Ideas. Retrieved from https://www.archdaily.com/912475/house-of-chickens-so-architecture-and-ideas


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan graduan Sarjana Seni Bina daripada UiTM Puncak Alam (LAM and RIBA Part II). Mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang agama, seni bina dan sains telah menjadikan bidang penulisan sebagai medium menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Comments are closed.