Ratusan Mumia Ditemui Di Piramid

928

Dalam kerja-kerja penyelidikan yang dilakukan pada September yang lalu, sekumpulan ahli arkeologi Poland dari Jabatan Kaji Purba Mesir, Fakulti Pengkajian Oriental di Universiti Warsaw menemukan beberapa dozen atau bahkan ratusan mumia di sekitar Piramid Djoser – piramid tertua di dunia yang turut dikenali sebagai Piramid Bertingkat Djoser di Saqqara, Mesir.

Menyingkap serba sedikit sejarah berkenaan piramid berkenaan, disebutkan bahawa Piramid Djoser ini direka oleh Imhotep dan dibina sekitar abad ke-27SM. Para sejarahwan mengatakan bahawa Firaun Djoser (2650–c. 2575SM) merupakan pewaris kepada firaun terakhir dalam Dinasti Kedua Mesir.

Menurut laman web Ancient History Encyclopedia, nama Firaun Djoser disebut dengan penuh penghormatan pada Famine Stele (Batu Bersurat Kebuluran), relik dari Dinasti Ptolemaic (332-30SM). Djoser dianggap sebagai firaun yang bertanggungjawab menyelamatkan Mesir dari kebuluran menerusi tindakannya membina semula kuil Khnum. Khnum adalah dewa pelindung Sungai Nil. Diceritakan bahawa sebaik sahaja Firaun Djoser selesai membaik-pulih kul berkenaan, masalah kebuluran pun berakhir.

RAHSIA DI TAPAK ARKEOLOGI PIRAMID DJOSER DISINGKAP SELAMA HAMPIR 20 TAHUN

Tapak arkeologi tempat mumia-mumia ini ditemui dipercayai merupakan necropolis (permakaman) bagi para penduduk kota Memphis. Portal dan laman media yang membuat liputan mengenai penemuan ini pada hujung bulan Jun yang lalu kesemuanya menyebutkan bahawa mumia-mumia yang dianggarkan berusia sekitar 2000 tahun lalu ini ditemukan dalam keadaan yang amat sederhana – jauh berbeza dengan mumia para firaun dan bangsawan Mesir Purba.

“Kebanyakan mumia yang kami temui ini berada dalam keadaan yang sangat sederhana. Mereka hanya diminyakkan dengan balsam secara ala kadar sahaja, sebelum dibalut dan diletakkan terus di ruang kosong yang telah digali,” ujar Dr. Kamil Kuraszkiewicz dari Jabatan Kaji Purba Mesir di Fakulti Penyelidikan Oriental, Universiti Warsaw yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan.

“Keadaan sebegini amat kontra dengan pengebumian golongan elit yang penuh terperinci. Hal ini mengisyaratkan bahawa mumia-mumia yang bersemadi di tapak ini berkemungkinan datang dari kelas sosial yang rendah,” ujar Ed Whelan dalam portal Ancient Origins.

Kebanyakan mumia yang ditemui berkeadaan kurang terpelihara dan kerandanya pula mereput – berbeza dengan mumia golongan elit. Kredit: First News

Selain keadaan mumia-mumia itu yang amat sederhana, kayu-kayu keranda juga terkopak-kapik dan barangan organik yang terdapat di dalam permakaman itu juga telah mereput.

Ahli-ahli arkeologi telah pun melakukan usaha penyelidikan di tapak ini selama 20 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, sejumlah penemuan penting berjaya diraih. Antaranya seperti penemuan permakaman bangsawan bertarikh sekitar abad ke-24 hingga abad ke-21SM, bertepatan dengan masa pemerintahan Dinasti ke-6 Mesir.

Dalam penyelidikan kali ini, selain menemukan sejumlah mumia, pasukan yang diketuai oleh Dr. Kuraszkiewicz ini turut menemukan dua buah necropolis di bahagian barat kompleks permakaman Piramid Djoser. Turut ditemukan kepingan lukisan “Anubis Biru” yang dipercayai sebagai simbol perlindungan bagi permakaman ini.

Anubis Biru, dipercayai sebagai pelindung permakanan, ditemui di tapak permakaman. Kredit: Ancient Origins

Tapak arkeologi ini, atau lebih sesuai disebut sebagai necropolis, berupa parit kering yang digali agak dalam, berlokasi di sekeliling Piramid Djoser. Menurut ahli kaji purba Mesir, parit-parit ini menggambarkan kepercayaan masyarakat Mesir Purba berkenaan kehidupan selepas mati.

“Parit kering ini mungkin merupakan gambaran kepada laluan yang akan dilalui oleh firaun (yang dikebumikan di sesebuah permakaman piramid) untuk sampai ke kehidupan yang abadi,” ujar Dr. Kuraszkiewicz.

“Untuk bersiap-sedia bagi menghadapi alam yang seterusnya, mereka mendirikan kuil untuk para dewa dan turut membina permakaman (berbentuk) piramid bagi diri mereka sendiri – piramid tersebut kemudiannya dipenuhi dengan segala barangan yang dikira diperlukan oleh mereka di alam sana,” jelasnya lagi.

Parit di sekeliling Piramid Djoser dipercayai sebagai “jalan menuju alam selepas kematian”. Kredit: First News

Selain penemuan-penemuan yang disebutkan di atas, Dr. Kuraszkiewicz turut berasa tertarik terhadap dekorasi di salah sebuah keranda kayu yang memaparkan ukiran mirip tulisan hieroglif. Namun sebenarnya, ukiran tersebut merupakan satu lukisan.

“Artisan yang melukis dekorasi ini nampak gayanya tidak pandai membaca. Oleh kerana itu, dia cuba menggambarkan semula apa yang pernah dia lihat sebelum ini dengan lukisan. Apapun, keseluruhan dekorasi ini tidak menghasilkan mesej yang saling bercantum,” terangnya.

Ketua ekskavasi, Dr Kamil Kuraszkiewicz bergambar bersama dekorasi di dinding permakaman yang mungkin menyimpan maklumat berkenaan kepercayaan masyarakat Mesir terhadap kehidupan selepas mati. Kredit: First News

SIGNIFIKASI PENEMUAN INI BAGI PARA PENYELIDIK

Penemuan ini membolehkan para penyelidik memahami dengan lebih lanjut perihal amalan pengebumian dalam kalangan masyarakat Mesir di samping kepercayaan mereka terhadap kehidupan selepas mati. Keadaan mumia-mumia ini turut mengisyaratkan bahawa golongan kelas bawahan juga banyak berkongsi amalan pengebumian yang sama seperti golongan elit – hanya saja ia dipersembahkan dengan lebih sederhana dan daif.

Mural tentang penyediaan mumia di Rosicrucian Egyptian Museum. Kredit: Ancient Origins

*Nota bagi gambar tajuk:
Ahli arkeologi menemukan 17 mumia baru dari Mesir Purba. Kredit IB Times.

SUMBER

Anne Chatham. (28 Jun 2019). Dozens of mummies dating back 2000 years found next to world’s oldest pyramid. The First News.
https://www.thefirstnews.com/article/dozens-of-mummies-dating-back-2000-years-found-next-to-worlds-oldest-pyramid-6545

Ed Whelan. (29 Jun 2019). Hundreds of Mummies Found Buried Around the World’s Oldest Pyramid. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/saqqara-mummies-0012213

Nandika Chand. (1 Julai 2019). Hundreds of Mummies Found Around The World’s Oldest Pyramid. IB Times.
https://www.ibtimes.com/hundreds-mummies-found-around-worlds-oldest-pyramid-2803921

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.