Berketurunan yang dipercayai mulia, berparas rupa jelita dan bijaksana pula peribadinya, Nefertari ialah gadis pertama yang berjaya menambat hati Ramses II sekaligus menjadi ratu pertama dan kesayangan Firaun ke-3 dalam Dinasti ke-19 itu (memerintah sekitar tahun 1290 – 1224 Sebelum Masihi).

Nama penuhnya iaitu Nefertari Meritmut membawa maksud yang agak indah. Nefertari bermaksud ‘teman hidup yang jelita’ sementara Meritmut pula membawa erti ‘orang yang dikasihi oleh dewi Mut’. Oleh kerana namanya yang hampir sama, seringkali Nefertari ini saling disalah anggap sebagai Nefertiti, atau nama penuhnya Neferneferuaten Nefertiti yang pada hakikatnya hidup pada Dinasti yang lebih awal berbanding Nefertari. Sebagai kepilan nota, Nefertiti merupakan ratu yang memerintah bersama suaminya, Firaun Akhenaten pada pertengahan abad ke-14 Sebelum Masihi.

Sebagai ratu yang sangat dikasihi oleh Ramses II serta banyak membantu terutama dalam urusan diplomatik, Nefertari Meritmut diletakkan sebaris dengan ratu-ratu Mesir yang terkenal seperti Hatshepsut, Cleopatra dan Nefertiti. Hal ini ditambahkan lagi apabila Ramses II mendedikasikan beberapa buah binaan agung seperti Kuil Kecil di Abu Simbel, Nubia serta makam QV66 di Valley of Queens untuk ratu kesayangannya itu. Tinggalan ini membuatkan nama Nefertari Meritmut terus hidup merentas peredaran zaman yang menjangkau lebih 3000 tahun lamanya.

KEHIDUPAN AWAL NEFERTARI

Walaupun sebagai seorang ratu kepada firaun yang bergelar Ramses yang Agung, tidak begitu banyak maklumat tentang kehidupan Nefertari Meritmut. Latar belakangnya juga masih samar-samar – siapakah orang tuanya dan di manakah beliau dilahirkan masih menjadi tanda-tanya. Namun, cartouche (tablet atau inskripsi) milik Firaun Ay (memerintah 1323-1319 SM) yang ditemukan di dalam makam Nefertari membuatkan ramai ahli arkeologi dan sejarawan mengaitkan sosok firaun tersebut dengan Nefertari. Pun begitu, tidak terdapat bukti yang boleh mengaitkan Nefertari dengan keluarga diraja dari Dinasti ke-18. Justeru, latar belakang Nefertari masih belum dapat dipastikan dengan jelas.

Lukisan di dalam makam Nefertari Meritmut

Walau bagaimanapun, sosok perwatakan dan peribadi Nefertari dapat diduga menerusi gambaran dan catatan yang ditinggalkan. Nefertari dikatakan merupakan seorang wanita yang bijaksana, mampu membaca dan menulis hieroglif – satu kemahiran yang jarang dikuasai pada masa itu. Malah, pengetahuan dan kemahirannya dalam susun atur urusan diplomatik juga membenarkannya memainkan peranan yang dianggap penting semasa pentadbiran suaminya, terutama semasa rundingan damai dua hala antara kerajaan Mesir dan kerajaan Hittites.

PERKAHWINAN ANTARA NEFERTARI DAN RAMSES II

Nefertari berkahwin dengan Ramses II sejak sebelum menjadi firaun lagi. Dikatakan mereka berkahwin semasa Nefertari berusia 13 tahun dan Ramses II pula 15 tahun. Seperti kelaziman, berkemungkinan perkahwinan mereka diaturkan atas dasar kepentingan politik bagi mengukuhkan lagi kedudukan Ramses II sebelum menduduki kerusi kepimpinan.

Walau bagaimanapun, hubungan cinta antara Ramses II dan Nefertari berjalin mesra sehingga dianggap antara yang paling romantik dalam sejarah Mesir Purba. Ramses II mempamerkan kasih sayang dan penghargaannya terhadap Ratu Nefertari melalui sejumlah hasi lukisan, ukiran patung dan binaan kuil. Malah, patung-patung Nefertari sering diletakkan bersebelahan dengan patung-patungnya sendiri dan dalam beberapa keadaan, patung mereka berdua dibina dalam saiznya yang sama – menunjukkan betapa dekatnya kedudukan Nefertari dalam hati Ramses II sedangkan firaun tersebut mempunyai ramai ratu setelah pemergian Nefertari.

Gambaran Ratu Nefertari (kiri) bersama Hathor di dinding makamnya

Sebagai ratu kesayangan Ramses II, Nefertari diberikan banyak gelaran. Antara yang sering disebutkan adalah Sweet of Love, Bride of God, Lady of the Two Lands, Lady of all Lands, dan Mistress of Upper and Lower Egypt.

Hasil perkahwinan antara mereka berdua mengurniakan Nefertari 4 orang putera dan 2 orang puteri. Putera-putera Nefertari ialah Amun-her-khepeshef (putera sulung merangkap Putera Mahkota dan Ketua Panglima Tentera), Pareherwenemef (kelak berkhidmat dalam pasukan tentera), Meryatum (Paderi Tinggi Re di Heliopolis) dan Meryre. Sementara puterinya pula bernama Meritamen dan Henwttawy. Terdapat dakwaan yang mengatakan jumlah anak Nefertari lebih dari itu, namun tidak ada bukti kuat yang boleh mengesahkan perkara tersebut.

NEFERTARI DALAM PEMERINTAHAN RAMSES II

Ramses II memerintah Mesir selama 67 tahun dan memiliki 7 orang ratu. Nefertari merupakan ratu yang pertama. Walaupun tidak begitu banyak naratif yang menceritakan tentang penglibatan Nefertari dalam pemerintahan Ramses II, namun setiap sumber yang dirujuk bersepakat mengatakan bahawa beliau memainkan peranan yang agak penting sejak 3 tahun pertama pemerintahan Ramses II.

Hal ini dapat dibuktikan menerusi rekod-rekod rasmi pentadbiran yang menyebutkan nama Nefertari sejak tahun pertama lagi. Sebagai contoh, di makam Nebwenenef, Ratu Nefertari digambarkan hadir di belakang suaminya semasa Ramses II mengangkat kedudukan Nebwenenef menjadi Paderi Tinggi Amun dalam lawatannya ke Abydos pada tahun pertama pentadbirannya.

Walau bagaimanapun, nama Nefertari menjadi samar selama 18 tahun selepas itu sebelum kemudian muncul semula melalui penglibatannya dalam urusan diplomatik. Semasa pemerintahannya, Ramses II berperang dengan kerajaan Hittites. Namun, satu perjanjian damai berjaya dimeterai, juga semasa pemerintahannya. Tablet-tablet cuneiform dari Hattusas, kota kerajaan Hittite (kini Boghazkoy, Turki) dapat membuktikan peranan penting yang dimainkan oleh Ratu Nefertari semasa cuba membuat rundingan damai dengan Raja Hattusili III dan ratunya, Puduhepa. Dalam tablet tersebut, Nefertari dikatakan mengutus surat kepada pemimpin kerajaan tersebut dan memberikan pelbagai hadiah kepada Puduhepa termasuklah seutas kalung emas.

Namun malang buat Ramses II, Ratu Nefertari hanya diizinkan untuk hidup bersama dengannya selama tidak lebih dari 1/3 tempoh pemerintahannya – sekitar 24 hingga 30 tahun dari 90 tahun keseluruhan tempoh hayatnya Ramses II. Dengan meninggalkan 6 orang cahaya mata buat suaminya, Ratu Nefertari Meritmut meninggal dunia sekitar tahun 1250 SM pada usia antara 40-50 tahun. Kedudukan beliau sebagai ratu firaun digantikan oleh salah seorang isteri Ramses II yang bernama Iset-Nofret. Melalui Iset-Nofret, Ramses II dikurniakan Merenptah yang merupakan pewaris pemerintahannya. Firaun yang bergelar Ramses yang Agung itu berpeluang hidup selama lebih dari 90 tahun.

JEJAK PENINGGALAN RATU NEFERTARI DI MAKAM QV66, VALLEY OF THE QUEENS

Ramses II mendirikan sebuah makam yang indah untuk isteri kesayangannya itu di Valley of The Queens, berhampiran Thebes. Makam tersebut kini dikenali sebagai QV66 dan merupakan makam yang paling besar dan indah di lembah tersebut.

Pelan binaan makam QV66 Ratu Nefertari

Makam Ratu Nefertari yang berkeluasan sekitar 520 meter persegi ini ditemui oleh Ernesto Schiaparelli dan rakan-rakannya pada tahun 1904. Makam ini terkenal kerana lukisan-lukisan di dindingnya yang indah dan terpelihara. Dalam lukisan-lukisan tersebut, Nefertari sering digambarkan bersama dengan dewi-dewi seperti Isis dan Hathor. Bahagian syiling makam tersebut pula dihiasi warna biru dan lukisan bintang-bintang, membuatkannya kelihatan seperti langit malam yang dihiasi bintang. Ukiran-ukiran dan lukisan-lukisan pada makam tersebut kebanyakannya merupakan petikan rangkap dari Book of the Deads, sebuah buku Mesir Purba yang terkenal.

Tidak diketahui pada waktu bila, tetapi makam tersebut pernah diceroboh dan dirompak sehingga mengakibatkan banyak barangan hilang dan rosak – termasuklah keranda dan jasadnya yang telah dimumiakan. Antara barang yang dapat dijumpai adalah gelang emas, patung-patung shabti dan anting-anting. Barang-barang tersebut ditempatkan di Boston Museum of Fine Arts dan Egyptian Museum of Cairo.

Selain itu, turut ditemukan tiga bahagian kaki manusia yang telah dimumiakan. Seperti yang disebutkan tadi, makam Nefertari ini pernah diceroboh dan oleh kerana itu jasad yang tersimpan di dalamnya turut dirosakkan oleh malaun-malaun yang tidak mengenal betapa pentingnya pemeliharaan tinggalan sejarah.

Bahagian-bahagian kaki yang ditemukan itu dipercayai milik Ratu Nefertari. Sebelum tahun 2016, penemuan tersebut tidak pernah dikaji dan makanya tidak dapat disahkan milik siapakah tinggalan tersebut. Untuk merungkai misteri tersebut, Joan Fletcher, Frank Ruhli dan beberapa pakar lain dari University of Zurich di Switzerland, University of Adelaide di Australia serta tenaga pakar dari muzium Mesir melakukan penelitian ke atas bahagian-bahagian kaki yang dianggarkan berusia lebih dari 3200 tahun itu.

Sebahagian anggota kaki milik mumia yang dipercayai
Nefertari Meritmut, di Museo Egizio, Turin, Itali.

Hasil kajian yang dilaporkan dalam jurnal sains PLOS ONE yang diterbitkan pada 30 November 2016 cenderung menyimpulkan bahawa ia milik Nefertari berdasarkan struktur tulang dan usia kematian pemilik kaki tersebut. Menurut mereka, pemilik kaki ini mungkin meninggal dunia semasa berusia 40-60 tahun yang sesuai dengan usia kematian Nefertari iaitu 40-50 tahun. Dari hasil penelitian ini turut menganggarkan pemiliknya memiliki ketinggian sekitar 5 kaki 5 inci (165 cm) hingga 5 kaki 6 inci (168 cm). Bahagian-bahagian kaki mumia ini kini berada di Museo Egizio di Turin, Itali.

JEJAK PENINGGALAN RATU NEFERTARI DI KUIL ABU SIMBEL

Abu Simbel merupakan sebuah lokasi di Nubia yang menempatkan dua buah kuil batu yang dibina oleh Ramses II; iaitu Kuil Besar dan Kuil Kecil. Kuil Besar didedikasikan untuk beberapa dewa Mesir dan dirinya sendiri. Di kuil tersebut, terdapat juga imej Ratu Nefertari dan beberapa orang anaknya.

Kuil Kecil Abu Simbel yang menempatkan dua buah patung Nefertari di gerbang kuil

Sementara itu, Kuil Kecil pula dibina khas untuk Nefertari dan dewi Hathor. Pada kuil tersebut, didirikan dua buah patung besar Nefertari yang berada bersebelahan dengan 4 buah patung Ramses II yang dibina dalam saiz yang sama – menunjukkan kedudukan Nefertari yang dekat dan tinggi di hati Ramses II. Di samping patung-patung tersebut, terdapat pula patung-patung kecil yang mewakili anak-anak mereka. Di bahagian dalam kuil ini, Nefertari muncul dalam pelbagai lukisan bersama beberapa dewi seperti Hathor, Khnum, Satis, Anuket dan Mut.

Pembinaan Kuil Abu Simbel ini dipercayai bermula pada tahun ke-24 pemerintahan Ramses II yang mana Ratu Nefertari meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Selain binaan-binaan indah yang menghidupkan nama Nefertari Meritmut dalam lipatan sejarah, ratu kepada Ramses II ini juga terus diingati oleh masyarakat di zaman moden menerusi budaya pop. Dalam karya fiksyen apakah para pembaca pernah mendengar nama Nefertari ini?

SUMBER BACAAN

Ancient Egypt Online. (n.d.). Nefertari. https://www.ancient-egypt-online.com/nefertari.html

Ellen Lloyd. (Januari 2019). Queen Nefertari – Favorite Wife of Ramses II The Great and Her Lavishly Decorated Tomb in the Valley of the Queens. Ancient Pages.

Rana Atef. (Januari 2018). Ancient Egyptian Queens: Nefertari: King Ramses II’s Wife. Egypt Today.http://www.egypttoday.com/Article/4/40805/Ancient-Egyptian-Queens-Nefertari-King-Ramses-II-s-Wife

Sarah Pruitt. (Disember 2016). Archaelogists Identify Mummified Legs as Queen Nefertari’s. History. https://www.history.com/news/archaeologists-identify-mummified-legs-as-queen-nefertaris

Stephanie Pappas. (Disember 2016). Mystery Mummy Legs Belonged to Egyptian Queen Nefertari. Live Science. https://www.livescience.com/57054-mummy-legs-of-queen-nefertari-identified.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.