Ratu Isabella: Individu Yang Bertanggungjawab Atas Kejatuhan Islam Di Sepanyol

7,599

Isabella I merupakan Ratu Castile dan Leon yang hidup pada pertengahan kurun ke-15 hingga awal kurun ke-16. Pemerintahannya dicirikan menerusi beberapa buah peristiwa, termasuklah penyempurnaan Rec0nquista, perlaksanaan Inkuisisi Sepanyol dan penerokaan Christopher Columbus pada tahun 1492.

PERGELUTAN TAKHTA

Isabella I dilahirkan pada tahun 1451 Masihi. Bapanya ialah John of Castile manakala ibunya pula bernama Isabella of Portugal. Ketika bapanya meninggal dunia pada tahun 1454, saudara tiri Isabella yang bernama Hnery IV ditabalkan sebagai raja baru Castile. Henry mencalonkan puterinya, Joannya, sebagai pewaris beliau. Namun, beliau didesak oleh golongan bangsawan agar menggugurkan pencalonan ini dan melantik Alfonso, adik Isabella, sebagai calon pewaris.

Walau bagaimanapun, putera muda itu meninggal dunia pada tahun 1468 akibat diracun atau dis3rang wabak. Isabella dinamakan oleh Alfonso sebagai pewarisnya, dan para bangsawan – yang menentang Henry – menggesa agar mahkota diserahkan kepada Isabella. Desakan yang diberikan oleh bangsawan ke atas Henry mendorong beliau untuk menamakan saudara-tirinya itu sebagai pewaris takhta.

Isabella I of Castile, digambarkan dalam lukisan Virgen de la mosca di gereja Santa Maria la Mayor

Pada tahun 1469, Isabella berkahwin dengan Ferdinand yang kelak menjadi Raja Aragon. Perkahwinan ini kelak membawa kepada penyatuan Sepanyol secara fizikal mahupun spiritual.

Perkahwinan ini menubuhkan dasar penyatuan politik Sepanyol di bawah pemerintahan Charles V, salah seorang cucu Isabella dan Ferdinand. Namun, lantaran perkahwinan ini berlangsung tanpa mendapat restu raja, pencalonan Isabella sebagai pewaris takhta Castile digugurkan oleh Henry dan Joanna sekali lagi dinamakan sebagai pengganti Henry.


Potret perkahwinan Ferdinand dan Isabella, c. 1469

Pada tahun 1474, Henry meninggal dunia dan p3rang saudara di antara Isabella dan Joanna berlangsung. Isabella memenangi pergelutan ini pada tahun 1479 dan diperakui sebagai Ratu Castile yang baru.

MEMPERKUKUH KEDUDUKAN SEBAGAI RATU – INKUISISI

Pemerintahan Henry menjadi bukti betapa kekuasaan yang dimiliki oleh kelas bangsawan merupakan ancaman yang besar buat pemerintah. Justeru, salah satu langkah pertama yang diambil oleh Isabella dan Ferdinand bagi menjamin takhta adalah dengan memulakan reformasi yang bertujuan meningkatkan kuasa monarki dan mengurangkan kuasa golongan bangsawan.

Selain membendung pengaruh kelas bangsawan, pasangan pemerintah ini juga melihat kepatuhan agama sebagai satu lagi jalan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka. Pada waktu itu, Sepanyol bukan hanya menaungi agama Kristian, tetapi turut mempunyai komuniti Yahudi dan Muslim yang signifikan.

Isabella dan Ferdinand memandang rakyat bukan-Kristian ini sebagai ancaman terhadap kerajaan Kristian, justeru mereka berusaha untuk menyikapi kedaaan ini. Pada tahun 1480, Inkuisisi Sepanyol dilaksanakan. Hal ini menumpukan matlamatnya pada golongan Yahudi dan Muslim yang telah memeluk agama Kristian, namun masih mengamalkan kepercayaan lama secara rahsia. Dengan menghapuskan individu-individu sebegini, Inkuisisi Sepanyol berusaha untuk ‘mensucikan’ agama Kristian dari sebarang elemen penderhakaan.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia
Isabella I of Castile, Ratu Castile dan Leon, bersama suaminya Ferdinand II of Aragon

MENANGANI ANCAMAN LUAR DAN PENEROKAAN DUNIA BARU

Selain musuh-musuh dalam kerajaan, Isabella dan Ferdinand juga menangani ancaman daripada luas. Reconquista, yang sudah pun berlangsung sejak kurun ke-8 Masihi, diselesaikan pada era pemerintahan mereka. Menjelang kurun ke-15, satu-satunya negara Muslim di Iberia adalah Emiriyah Granada yang terletak di bahagian selatan semenanjung. Pada tahun 1492, Granada tumbang ke tangan tentera Isabella dan Ferdinand.

Pada tahun itu juga, Dekri Alhambra (juga dikenali sebagai Titah Pengusiran) dikeluarkan oleh pasangan pemerintah itu. Dekri ini memberikan kesan yang signifikan terhadap populasi Yahudi di kerajaan itu. Mereka diberikan pilihan, sama ada untuk memeluk agama Kristian atau diusir.

Satu lagi peristiwa penting yang berlaku pada tahun itu ialah penerokaan pertama Christopher Columbus ke Dunia Baru. Peneroka dari Genoa itu berjaya memujuk Isabella dan Ferdinand agar membiayai pengembaraannya itu. Hal ini kelak membawa kepada pendominasian Sepanyol di Amerika Selatan.

Columbus Menghadap Ratu (1843) oleh Emanuel Leutze

BERAKHIRNYA PEMERINTAHAN RATU ISABELLA

Usaha-usaha yang dilakukan oleh Isabella dan Ferdinand untuk membersihkan agama Kristian di tanah kekuasaan mereka diperakui oleh Paus Alexander VI, dan mereka dikurniakan gelaran ‘Monarki Katolik’. Ratu Isabella disifatkan sebagai seorang yang tidak ragu-ragu untuk melancarkan p3rang atau memperjuangkan kepercayaannya, tanpa mengira sama ada tindakannya itu akan dilihat sebagai baik ataupun buruk.

Isabella meninggal dunia pada 26 November 1504. Jasadnya kelak disemadikan di Biara Diraja Granada. Puterinya yang bernama Joanna ditabalkan sebagai ratu yang baru, sementara Ferdinand pula berperanan sebagai pemangku pemerintah sehingga meninggal dunia 12 tahun kemudian. Pembawaan keagamaan Joanna lebih keras berbanding kedua orang tuanya, dan keadaan mentalnya bahkan pernah dipersoalkan oleh ayahnya sendiri ketika Ferdinand memperjuangkan haknya untuk memerintah secara tunggal dan memenjarakan puterinya itu demi memenuhi cita-cita tersebut.

Isabella dan Ferdinand bersama puteri mereka, Joanna, c. 1482

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (12 November 2019). Queen Isabella of Castile: Drama, Inquisition, and Exploration. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/queen-isabella-i-castile-what-drastic-measures-did-she-take-keep-her-power-021366

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.