Aku pernah tertanya-tanya, apakah yang mungkin akan terjadi jika Ratu Isabella I dan raja-raja Sepanyol sebelum beliau gagal menjarah Bumi Andalusia? Apakah implikasinya terhadap Nusantara? Dengan izin Allah, artikel ini bakal menjawab persoalan ini…

Kejatuhan Kota Alhambra, Granada yang merupakan kejatuhan Andalusia secara total ke tangan Ratu Isabella I dari Castile dan Raja Ferdinand II dari Aragon ditangisi oleh umat Islam hingga ke hari ini. Bagiku, kecewa, sedih dan marah lebih terasa apabila melihat tinggalan sejarah berseni indah di Cordoba, Toledo dan Granada.

Tahukah anda bahawa gabungan Ratu Isabella I dan Raja Ferdinand II bukan sahaja menamatkan era gemilang Kerajaan Islam di Andalusia tetapi juga telah menyebabkan huru hara di Asia Selatan dan Nusantara dek kerana rempah ratus dan kekayaannya yang amat bernilai. Dalam erti kata yang lain, disebabkan mereka berdualah Belanda dan Inggeris belayar ke Timur Jauh.

Namun, apa kaitan Ratu Isabella I yang menakluk kota terakhir Andalusia iaitu Granada pada tahun 1492 Masihi, dengan kejatuhan Kota Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641 Masihi? Apa yang berlaku di dalam period 150 tahun di antara kedua-dua peristiwa tersebut? Untuk merungkai persoalan ini, aku perlu bermula dengan implikasi perkahwinan Ratu Isabella I dan Raja Ferdinand II.

Zaman kejatuhan Andalusia bermula apabila tempoh yang dikenali sebagai Period Taifa bermula. Kerajaan-kerajaan kecil Islam di Andalusia yang sering bertelagah tentang soal kawasan jajahan dan juga pertelingkahan yang sering terjadi di antara masyarakat Islam Iberia, Arab dan Berber telah menyebabkan institusi kerajaan Islam ini melemah. Raja-raja kecil ini sering mendapatkan bantuan tentera Kristian Iberia untuk menjatuhkan sesama mereka. Sebagai contoh, Raja Islam Toledo telah membayar upah yang tinggi kepada Raja Navarre (Kristian) untuk menyerang Kerajaan Islam Zaragoza. Raja Islam Zaragoza pula membayar upah yang tinggi kepada Raja Castile (Kristian) untuk menyerang kembali Toledo. Inilah permainannya di zaman itu.

Semakin lama, Kerajaan Kristian Iberia seperti Castile, Navarre, Leon dan lain-lain semakin kuat. Dipendekkan cerita, kota Islam terakhir iaitu Alhambra, Granada akhirnya jatuh ke tangan Ratu Isabella I dan menamatkan sekaligus pemerintahan raja Islam terakhir iaitu Sultan Muhammad XII.

Penyatuan Wilayah Castile dan Aragon melalui perkahwinan Ratu Isabella I dan Raja Ferdinand II ini akhirnya melahirkan Negara Sepanyol di bawah kekuasaan ‘House of Habsburg’ yang disatukan oleh cucunya Raja Charles I. Agak kompleks untuk menerangkan peranan ‘Keluarga Di Raja’ yang di panggil ‘House’ ini di Eropah. Aku sarankan bacaan lanjutan dibuat untuk memahami konsep ‘House’ ini.

Cicit Ratu Isabella I, iaitu Raja Philip I kemudiannya menakluk Portugal pada tahun 1581 Masihi. Maka bermulalah penyatuan Empayar Sepanyol-Portugis di seluruh dunia. Bagi Orang Portugis, mereka tidak dapat menerima hakikat negara mereka ditakluk dan sering berlakunya penentangan terhadap ‘penjajah’ Sepanyol. Perlu diingat, pada waktu ini Melaka sudah berada di tangan Portugis. Moral tentera Portugis di India dan Nusantara juga terjejas. Tuan besar Kota Melaka sebenarnya ialah Sepanyol, bukan Portugis lagi.

Adakah anda tahu bahawa peperangan di antara Belanda/Inggeris dengan Sepanyol-Portugis bermula kerana kapal perang Inggeris telah merampas kapal dagang Portugis yang bernama Madre de Deus pada tahun 1592 Masihi? Kapal ini sarat dengan bahan dagangan yang nilainya sepertiga daripada kekayaan perbendaharaan Inggeris ketika itu. Kejadian inilah yang menyebabkan Belanda/Inggeris menyedari akan kekayaan Nusantara dan rempah ratusnya.

Dinasti Habsburg tidak mahu berkongsi kekayaan ini dengan Inggeris/Belanda dan memaksa Belanda/Inggeris mencari jalan sendiri ke Timur Jauh. Pada tahun 1595, Jan Huyghen van Linschoten menerbitkan penulisannya tentang pelayaran ke Timur Jauh. Maka bermulalah ekspedisi ketenteraan Inggeris/Belanda pada tahun 1602 Masihi ditunjangi oleh VOC (Syarikat Hindia Timur Belanda) dan EIC (Syarikat Hindia Timur Inggeris).

Belanda mula berdagang di Aceh dan bercita-cita untuk menduduki Kepulauan Jawa dan juga Melaka. Modus operandi mereka mudah, di mana ada Portugis atau Sepanyol, di situlah mereka perlu pergi, sama ada untuk menjarah tanah itu atau berdagang. Setelah mengambil alih Jayakarta dan membina kubu mereka di sana, pada tahun 1606 Masihi, Belanda melakukan serangan ke atas Sepanyol-Portugis di Melaka yang diketuai oleh Cornelis Matelief de Jonge. Beliau dibantu oleh tentera Melayu Kesultanan Johor di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah 3. Serangan ini gagal, namun memberi tamparan yang hebat terhadap Portugis.

Namun, serangan terakhir bermula pada tahun 1640 Masihi telah membuahkan hasil. Apakah yang terjadi di belakang tabir sehingga jatuhnya Kota Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641 Masihi ini?

Nun jauh beribu batu di Portugal, telah meletusnya peperangan yang dinamakan ‘Portugese Restoration War’ yang bermaksud ‘Peperangan Mengembalikan Hak Portugis’. Peperangan jauh di Eropah ini melemahkan posisi Sepanyol-Portugis di Nusantara kerana bantuan dari Lisboa dan Goa semakin berkurangan.

Tentera Portugis pula tidak lagi bermotivasi untuk mempertahankan kubu dek kerana peperangan menentang Dinasti Habsburg di kampung halaman. Sebenarnya, Kota A Famosa itu amat ranum sekali untuk ditawan oleh kuasa-kuasa di sekelilingnya. Namun, Belanda yang berhasil menakluknya.

Begitulah secara ringkasnya hubungan di antara Ratu Isabella I, Dinasti Habsburg dan juga kedatangan Belanda/Inggeris ke Nusantara. Tidakkah anda berasa hairan mengapa Pulau Semenanjung dan Kepulauan Indonesia bertukar tangan antara Inggeris dan Belanda bagaikan menukar baju? Ya, mereka adalah sekutu menentang gandingan Portugis-Sepanyol di Eropah dan serata alam.

Ratu Isabella I bukan sahaja melenyapkan Kerajaan Islam Andalusia tetapi legasinya juga tanpa sedar menyebabkan terpisahnya Nusantara menjadi Semenanjung Tanah Melayu dan Gugusan Kepulauan Indonesia hasil daripada Perjanjian London 1824.

Perlukah aku nyatakan legasi Ratu Isabella I ini dengan kisah pemurtadan umat Islam di Kepulauan Filipina dan juga pembantaian Kaum Mayan semasa kempen ‘Conquistador’ (Penaklukan) di Amerika Selatan?

Konklusi besar yang boleh aku simpulkan ialah, “jika Kerajaan Islam itu bersatu padu dan kuat, tiadalah Ratu Isabella dan penaklukannya, maka tiadalah kisah penaklukan Habsburg ke atas Portugal, maka mungkin penjelajahan Belanda/Inggeris ke Timur Jauh keterlewatan puluhan malah mungkin juga ratusan tahun, maka Kota Melaka itu masih terisolasi di tangan Portugis.

Apakah peluang Kesultanan Melayu yang ada untuk merampas kembali Kota Melaka yang terisolasi ini daripada cengkaman Portugis tanpa kelibat Belanda? Apakah bentuk kerajaan moden di Nusantara tanpa Perjanjian London 1824 di antara Belanda dan Inggeris?”

Ketika Sultan Muhammad XII menunggang kuda meninggalkan Kota Alhambra, beliau menangis teresak-esak sambil berpaling melihat kota yang indah ini buat kali yang terakhir. Ibunya menghampiri dan berkata…

“Janganlah kau menangis seperti seorang wanita untuk apa yang engkau tidak dapat pertahankan seperti seorang lelaki”

Implikasi daripada kebodohan dan kesilapan lampau akhirnya terbawa ke Nusantara. Sejarah itu mengajar, bukan sekadar untuk bernostalgia. Janganlah suatu hari nanti aku dan anak cucuku menangis seperti anak kecil.

Sekian

-AY-


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada

1 Comment

Reply To amirul Cancel Reply