Rasullulah Berdakwah Melalui Sukan Gusti

958

Antara sifat yang jarang diceritakan oleh sebahagian pendakwah ialah keperkasaan Rasulullah ﷺ yang sanggup bergusti dengan para ahli gusti Arab dalam usaha dakwah Baginda kepada mereka.Rasulullah ﷺ berberapa kali bergusti dengan berberapa orang, antaranya dengan Rukanah bin Yazid bin Hashim bin Abd Mutalib bin Abd Manaf. Pada suatu hari Rasulullah ﷺ bertembung dengan Rukanah di sebuah jalan di Makkah, lalu Baginda bersabda kepadanya:

“Tidakkah kamu wahai Rukanah takut kepada Allah dan ingin menerima seruanku (kepada Islam) ?”

Maka dijawab dengan sombong oleh Rukanah:

“Jika aku ketahui apa yang engkau serukan itu adalah benar nescaya aku akan menerima seruanmu!”

Maka Rasulullah ﷺ kemudian bersabda:
“Bagaimana menurutmu,jika aku berjaya mengalahkanmu dalam gusti,apakah engkau akan beriman?”

Rukanah yang terkenal dengan keperkasaannya merasa sedikit tercabar lantas terus sahaja bersetuju. Maka Rukanah terus bangkit dan menerkam Rasulullah ﷺ lalu dijatuhkan oleh Baginda dengan mudah sehingga Baginda duduk di atas dadanya.

Rukanah kebingungan lalu meminta agar Baginda mengulangi perlawanana buat kali kedua.Sekali lagi dia dijatuhkan dan Nabi duduk dekat dengan bahagian hulu hatinya sehingga akhirnya dia meminta agar diulangi lagi perlawanan buat kali yang ketiga.

Sekali lagi dia dijatuhkan dan ditumpaskan oleh Baginda dengan mudah.Lalu Rasulullah ﷺ mempelawanya untuk masuk Islam,lantas Rukanah bertanya; “Apakah ada sesiapa di sini yang dapat memberikan persaksian tentang kenabianmu?” Maka berhampiran mereka ketika itu ada sebatang pokok, bersabdalah Rasulullah ﷺ kepadanya: “Hai pokok, kemarilah kamu dengan izin Allah!”. Maka pokok tersebut berjalan sehingga menghampiri Baginda dan Rukanah lalu mengucapkan syahadah,kemudian pokok itu kembali ke tempat asalnya.

Pada peristiwa yang lain pula, anak kepada Rukanah juga mencabar Rasulullah ﷺ untuk bergusti dengan menawarkan hadiah sebanyak 100 ekor kambing sekiranya Baginda berhasil menewaskannya. Sama seperti ayahnya, beliau tewas sehingga kali yang ketiga, dengan 300 ekor kambingnya menjadi milik Rasulullah, namun pada saat kekalahannya kali ketiga, dia berujar:

“Wahai Muhammad, tidak ada seorangpun sebelummu yang dapat menghempaskan belakangku ke tanah,dan tidaklah aku sebelum ini merasa marah melainkan terhadapmu, tetapi ketika ini, saksikanlah, bahawa tiada sembahan yang layak disembah melainkan Alllah dan engkau adalah pesuruhnya!” Rasulullah menerima pengislamannya dengan senang hati lalu memulangkan semula kambing-kambingnya.

Demikian juga yang berlaku kepada Abu Al-Aswad Al-Jumahiy,seorang ahli gusti Quraisy yang sangat terkenal dengan kegagahannya sehingga dikatakan apabila dia berdiri di atas sekeping kulit lembu dan kulit lembu itu ditarik oleh 10 orang, beliau tetap utuh berdiri sedangkan kulit lembu itu bahkan terkoyak!

Maka Rasulullah ﷺ pada suatu hari mengajaknya bergusti.Sambil mengejek dia menerima pelawaan Rasulullah dengan mengatakan: “Jika engkau menang, maka aku akan beriman denganmu”. Lalu dia bangun dan menerpa ke arah Bagida lalu dengan mudahnya dijatuhkan oleh Baginda. Malu dengan kekalahannya, dia berlalu pergi dan tidak memenuhi janjinya untuk beriman.

Demikian secebis kisah keperkasaan Rasulullah ﷺ yang sepatutnya menjadi motivasi kepada kita untuk sentiasa kekal cergas, aktif dan bersemangat sehingga kekuatan fizikal kita menjadi salah satu medium untuk berdakwah di jalan Allah.

Wallahu A’lam

RUJUKAN:

Bidayah wa An Nihayah, Imam Ibn Kathir

Al-Mawahib Al-Laduniyyah bil Minah An-Nabawiyyah,Imam Ahmad bin Muhammad Al-Qastallani

Wasaail Al-Wusul ila Syamaail Ar-Rasul, Qadhi Yusuf An-Nabhani

Dalaail Al-Nubuwwah, Imam Abu Nu’aim Al-Asbahani

Dalaail Al-Nubuwwah wa Ma’rifatu Sahib As-Syari’ah, Imam Abi Bakr Ahmad bin Husain Al- Bayhaqi

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.