Rangkaian Tersusun Ulama Nusantara Dalam Menentang Penjajah

630

Di era penentangan penjajah, satu-satunya golongan yang memiliki rangkaian atau hubungan yang luas dan tersusun antara kerajaan-kerajaan di Alam Melayu adalah golongan ulama.

Sebagai contoh, ulama dari Aceh memiliki rangkaian dengan ulama-ulama Palembang, Tanah Melayu, Jawa, Kalimantan, Pattani dan lain-lain. Begitu juga sebaliknya. Maka para ulama juga menjadi penghubung antara kerajaan-kerajaan di Alam Melayu.

Tempat mereka berkumpul dan menjalankan agenda perang menentang penjajah adalah di Kota Mekah dan mereka mendapat dokongan dari Turki Uthmaniyah.

Baru-baru ini, saya ke Jambi bagi membuat kajian dan mengumpulkan maklumat berkenaan perjuangan ulama-ulama Jambi. Antara maklumat yang diperolehi ialah tentang seorang ulama besar Jambi.

Beliau bernama Syeikh Abdul Majid, penasihat dan panglima perang bagi Sultan Taha Saifuddin. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Ketika Jambi sedang sibuk berperang dengan Belanda, Sultan Taha Saifuddin telah mengutuskan Syeikh Abdul Majid ke Istanbul bagi memohon bantuan dari Daulah Uthmaniah sekitar tahun 1857.

Maka Syeikh Abdul Majid pergi ke Singapura terlebih dahulu untuk berjumpa dengan duta Uthmaniyah, Abdullah Effendi al-Junaid. Dari Singapura, mereka bertolak ke Istanbul.

Namun pergerakan mereka dapat dihidu oleh Belanda dan mereka telah dikejar ketika berada di Selat Melaka. Mereka dapat melarikan diri tetapi terpaksa berpecah. Abdullah Effendi meneruskan perjalanannya ke Istanbul dan Syeikh Abdul Majid pula mendarat di Batu Pahat, Johor buat beberapa lama.

Setelah itu, Syeikh Abdul Majid meneruskan pelayarannya. Tapi beliau tidak ke Istanbul dan tidak pula pulang kembali ke Jambi. Sebaliknya, beliau belayar ke Mekah dan menetap di Madrasah Saulatiyah selama beberapa tahun. Setelah itu, Syeikh Abdul Majid pulang kembali ke Jambi dan meneruskan jihad menentang Belanda.

Ternyata Belanda tidak pernah dapat menguasai Jambi sepenuhnya dan Belanda menerima serangan berterusan dari rakyat Jambi hingga Indonesia mencapai kemerdekaan pada 1945.

Saya cuma terfikir, kenapa Syeikh Abdul Majid mendarat dulu di Batu Pahat? Kenapa beliau tidak ke Istanbul tetapi sebaliknya menukarkan haluannya ke Mekah setelah beliau menetap di Batu Pahat. Kemudian, kenapa beliau pulang kembali ke Jambi setelah beberapa tahun menetap di Mekah?

Ini semua adalah hasil satu gerakan sulit yang terancang disebabkan para ulama Alam Melayu memiliki satu rangkaian yang tersusun.

Kisah ini telah saya masukkan dalam buku Raudhatus Salatin (Sejarah 33 Sultan Soleh Di Alam Melayu) yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Gambar : Madrasah Nurul Iman, salah sebuah madrasah tertua di Jambi yang masih ada hingga hari ini. Madrasah ini turut menyumbang pada gerakan menentang penjajah di Jambi.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.